Tidak ada seorang wanita pun yang tidak mahu menjadi wanita cantik. Sejak kecil lagi sudah pandai ‘mencuri’ lipstik ibu dan bersolek secara sembunyi-sembunyi di bawah katil.

Bila sudah meningkat remaja, perubahan hormon pula menggalakkan jerawat timbul di atas permukaan kulit. Ketika ini ramai remaja yang melakukan try and error untuk menyingkirkan jerawat. Sudahnya bukan sahaja jerawat hilang malah meninggalkan parut.

IKLAN

Wanita sering melakukan kesilapan dalam menjaga kecantikan kulit sama ada yang sengaja ataupun tidak. Melakukan kesilapan yang sama berulang kali adalah suatu yang tidak boleh dimaafkan terutama dalam rutin penjagaan diri. Apakah kesilapan yang sering kita lakukan?

25 Kesalahan Kecantikan Yang Wanita Selalu Lakukan TANPA SENGAJA, Jaga-Jaga!

(1) Guna pembersih wajah yang salah. Pernah tak kulit rasa tegang atau cekang sebaik sahaja selepas membersihkan wajah? Jika ya, anda telah memilih buih pembersih yang salah. Buih pembersih itu telah mengeringkan kulit dan turut menyingkirkan kelembapan semula jadi kulit. Cari pembersih wajah yang bersesuaian dengan jenis kulit anda seperti kering, berminyak, sensitif atau kombinasi.

(2) Tidur dengan posisi terlungkup. Tidur dengan cara ini tidak elok kerana boleh member kesan kepada wajah. Tidur dengan posisi ini biasanya akan menambahkan lagi kesan garisan halus pada wajah. Lama-kelamaan akan menjadi kedut yang sukar disingkirkan.

(3) Sapu krim tabir suria bawah mata. Kulit di bawah mata merupakan kulit paling nipis yang perlu dijaga dengan sempurna. Menyapu krim tabir suria dekat dengan mata boleh mengundang pedih atau mengeluarkan peluh tetapi anda boleh memilih tabir suria yang lembut atau bebas pewangi.

(4) Eksfoliasi berlebihan. Melakukan eksfoliasi kulit sangat baik untuk menyingkirkan sel kulit mati di atas kulit. Tetapi kalau melakukan secara berlebihan atau keterlaluan akan menyebabkan kelembapan semula jadi kulit tersingkir dengan sendirinya. Lakukan eksfoliasi paling kurang seminggu sekali, kemudian sapu dengan pelembap untuk mengembalikan kelembapan di bawah kulit.

(5) Sering mengabaikan leher. Sebenarnya leher juga mengalami proses penuaan yang sama seperti kulit wajah. Tetapi, wanita sering menumpukan perhatian pada kulit wajah berbanding kulit leher. Jika kulit leher nampak berkedut tetapi kulit wajah tegang, nampak macam pelik pula. Jangan lupa sapu pelembap dengan SPF pada kulit leher!

(6) Membasuh wajah dengan air panas. Sama ada mandi atau bilas wajah dengan air panas boleh menyingkirkan minyak semula jadi di bawah kulit. Elakkan wajah terkena air panas dan seelok-eloknya bilas dengan air suam atau air sejuk sahaja.

(7) Guna pelembap berasaskan minyak mineral. Pelembap yang mengandungi minyak mineral memang baik untuk kulit tetapi tidak hidrasi kulit. Sebaik-baiknya guna produk yang mengandungi hyaluronic acid atau ceramides yang akan menyerap lembapan bawah kulit.

(8) Guna krim tabir suria yang sudah tamat tempoh. Kebiasaannya krim tabir suria ini bertahan hanya tiga tahun sahaja. Lebih daripada itu, bahan-bahan yang terkandung di dalamnya akan menjadi tidak efektif. Jadi kalau krim tabir suria dalam laci sudah tamat tempoh, buang sahaja dan gantikan dengan yang baru.

(9) Tidur dengan wajah yang bersolek. Lebih banyak kali anda tidur dengan wajah yang bersolek, lebih banyak kerosakan yang anda lakukan pada kulit wajah. Ketika tidur sebenarnya memberikan peluang kulit untuk berehat tetapi apabila ada bedak asas yang menghalang, kulit boleh menjadi rosak.

(10) Tidak hirau jenis kulit. Jika anda seorang wanita yang menggunakan pembersih, penyegar dan pelembap mengikut trend atau mengikut kawan, anda salah. Anda perlu meneliti jenis kulit dengan membuat analisa kulit dengan ahli dermatologi. Bila sudah kenal pasti baharu memilih produk yang bersesuaian dengan kulit.

(11) Terlalu kerap membersihkan wajah. Dalam sehari cukup hanya membersihkan wajah pada waktu pagi dan malam sebelum tidur. Tidak ada sebab wanita membersihkan wajah lebih daripada dua kali. Jika tidak yakin dengan kulit wajah pada siang hari, cukup hanya menggunakan micellar water untuk kulit yang bersih.

IKLAN

(12) Tidak mendapat tidur yang cukup. Wajah anda melambangkan setiap aktiviti yang dilakukan. Jika anda tidak mengambil berat tentang kesihatan atau kecantikan turut terpamer pada wajah. Apabila tidak mendapat tidur yang cukup, kulit wajah akan menjadi kusam, kering dan tidak bermaya. Kulit wajah perlukan beauty sleep untuk mengembalikan kesempurnaan wajah yang letih dengan aktiviti seharian.   

(13) Rawatan kulit berjerawat. Kulit berjerawat memang menyebabkan kurang keyakinan diri. Memang seboleh-bolehnya mahu menyingkirkan jerawat dengan segera. Jalan pintas yang bertindak dengan cepat adalah menggunakan krim jerawat. Memang krim jerawat bagus untuk menghilangkan jerawat tetapi kalau terlalu banyak menggunakannya boleh menyebabkan kulit rosak.

(14) Tabiat memegang kulit wajah. Ramai wanita yang gemar memegang, memicit dan mengelus kulit wajah. Tabiat ini tidak elok lebih-lebih lagi dengan tangan yang belum dibersihkan. Ini kerana berjuta-juta bakteria yang terdapat pada tangan akan berpindah pada kulit muka yang akhirnya menjadi punca jerawat.

(15) Guna berus solekan terlalu lama. Berus mekap sangat penting kala bersolek untuk mendapatkan hasil yang sempurna. Tapi bila berus yang kotor digunakan untuk bersolek akan mengundang bakteria. Seelok-eloknya berus solekan dibersihkan seminggu sekali menggunakan cecair pembersih yang khusus buat berus solekan atau syampu yang lembut.

(16) Tidak mengamalkan makanan seimbang. Apa sahaja yang anda makan akan terpancar pada kulit. Jika anda mengelakkan makanan ringan atau minuman bergas anda akan dapati kulit lebih berseri dan bermaya. Makan lebih banyak buah-buahan dan sayur-sayuran untuk kulit yang sihat dan cantik.

(17) Periksa kandungan produk yang dipakai. Tidak ramai wanita yang meneliti terlebih dahulu setiap produk yang dipilih. Ramai yang mengikut kawan-kawan atau terpengaruh dengan promosi yang ditawarkan. Bahan yang terkandung dalam sesuatu produk perlu diteliti dengan mendalam agar tidak merosakkan kulit di kemudian hari.

IKLAN

(18) Tidak menyapu pelembap dengan sempurna. Memakai terlalu banyak pelembap, menyapu terlalu sedikit pelembap dan tidak memakai langsung akan memberikan yang teruk kepada kulit. Kulit boleh menyerap lembapan pada kadar yang tertentu sahaja dan selebihnya akan tinggal di atas kulit menjadi punca kulit tersumbat. Jadi sapu pelembap dengan jumlah yang diperlukan oleh kulit.

(19) Bersihkan kulit tanpa menanggalkan solekan. Tidak semua buih pembersih berupaya menanggalkan solekan jadi sebelum membersihkan wajah, pastikan anda mencuci solekan dengan cecair pembersih solekan. Pastikan kulit bebas daripada sebarang solekan sebelum membersihkan kulit dengan buih pembersih.

(20) Bersenam dengan solekan. Tiada kompromi tentang bersenam dengan wajah yang bersolek ini. Bersenam dalam keadaan bedak asas menutupi kulit wajah akan menggalakkan pori-pori tersumbat dan iritasi. Mengelap kulit dengan tuala pada kulit berpeluh dan ditambah pula dengan solekan akan mengakibatkan keadaan lebih buruk.

(21) Bersihkan wajah sebelum bersyampu. Ramai yang tidak perasan bahan yang terdapat dalam syampu dan perapi rambut akan menyebabkan kulit tersumbat. Cuba perhatikan kadang-kadang tumbuh jerawat di atas garisan rambut, tepi wajah atau leher. Tiba masanya untuk menukar rutin dengan bersyampu serta menyapu perapi terlebih dahulu kemudian baharu diikuti dengan membersihkan wajah.

(22) Guna penyegar yang berasaskan alkohol. Menggunakan penyegar yang berasaskan alkohol akan merosakkan kulit wajah semata-mata. Penyegar yang berasaskan alkohol ini akan membuatkan kulit menjadi ketat dan kadang-kadang menjadi kering.  

(23) Tidak membasuh sarung bantal. Ketika tidur kita pasti akan berpeluh. Bantal yang kita tidur sepanjang malam kalau tidak dibersihkan akan membuat bakteria berkumpul. Apabila kulit wajah terkena sarung bantal akan membuatkan bakteria itu berpindah ke atas kulit. Kalau boleh seminggu sekali basuh sarung bantal yang kita guna itu.

(24) Terdedah awal kepada produk anti-penuaan. Anda masih muda, berumur awal 20-an tetapi telah mengambil langkah awal dengan menggunakan produk anti-penuaan. Jangan takut, kulit anda masih muda dan biarkan sahaja. Apabila usia sudah meningkat 25 tahun baharu perlu mengambil langkah awal mengekalkan keremajaan kulit dengan mengamalkan produk antipenuaan.

(25) Salah pegang sikat ketika mengeringkan rambut. Jika anda memegang alat pengering rambut dengan tangan dominan dan memegang sikat pada tangan yang satu lagi, anda tidak berkeseorangan. Tapi, sebenarnya cara itu adalah salah. Tangan yang lebih kuat sepatutnya mengawal sikat agar lebih banyak masa dapat dijimatkan. Hamizatul Maizan Mohamed

Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI