Kisah kemelut rumah tangga yang pernah berlaku dalam perkahwinan Rita Rudaini dan Elly Mazlein pernah mendapat liputan yang luas suatu ketika dahulu selepas bercerai dengan suami masing-masing.
Namun kini, dua nama besar dalam industri hiburan tanah air ini semakin bahagia dengan kehidupan masing-masing bersama anak tercinta.
“Selepas dapat anak, saya dah tak kisah pasal baju raya. Harapkan baju orang bagi hadiah. Kadang-kadang pakak apa yang ada je,“ luah Rita Rudaini di laman instagramnya.
Apa yang menyentuh hati seorang ibu tunggal ini ialah anak-anaknya itu langsung tidak kisah dan tidak meminta-minta.
“Mungkin tuhan nak bagi saya dengan cara yamg macam ni,“ tambahnya lagi.
Dalam pada masa yang sama, Rita sempat meninggalkan pesan untuk rakan artisnya, Elly Mazlein agar sentiasa tabah dan bersabar mengharungi kehidupan yang sama sepertinya.
“Buat Elly Mazlein, tak perlu hairan kalau ayah mereka tak bagi baju raya. Doa banyak-banyak supaya kita anak beranak dijauhi manusia munafik dan didiklah anak kita sebaik-baiknya.
Bukan mudah untuk menjalani kehidupan sebagai seorang ibu tunggal dan pada masa yang sama membesarkan anak-anak seorang diri. Namun, Rita Rudaini dan Elly Mazlein mampu membuktikan diri mereka mampu untuk memikul tangunggjawab yang besar ni.
Sumber: Instagram Rita Rudaini
Catat Wedding Termewah Di China Nilai RM128 Juta, ANGELABABY Bercerai Lepas 7 Tahun Jadi Isteri!
7 tahun bergelar suami isteri, akhirnya pasangan terkenal China ini mengaku sudah bercerai. Pernah mencatat sejarah perkahwinan termahal dan termewah di China hingga ke hari ini, Angelababy dan Huang Xiaoming mengesahkan telah berpisah.
Pengumuman itu dibuat pasangan tersebut menerusi akaun Weibo baru-baru ini. “Bersyukur atas sejarah yang lepas, kami masih keluarga pada masa akan datang.”
Meskipun terpaksa mengakhiri perkahwinan, kedua-duanya dilaporkan berpisah secara baik demi membesarkan cahaya mata mereka yang kini berusia lima tahun. Anak sulung mereka yang dikenali dengan gelaran Little Sponge dilahirkan pada Januari 2017.
Khabar angin mengenai keretakan rumah tangga aktres cantik itu mula bertiup kencang pada Julai 2019 namun Huang menafikan perkara tersebut.
Bagaimana pun pada Januari 2021, kemunculan Huang yang berusia 44 tahun di pentas bersama bekas teman wanitanya yang juga pelakon China, Li Feier menjadi persoalan peminat.
Sekaligus menguatkan lagi dakwaan mengenai rumah tangga mereka yang goyah menanti belah. Baru-baru ini, kenyataan Angelababy dan Huangtelah menjawab segala persoalan.
Mengimbas kembali momen penuh gilang-gemilang mereka, Angelababy dan Huang Xiaoming menarik perhatian dunia apabila kos perbelanjaan kahwin pada tahun 2015 itu dilaporkan mencecah USD31 juta atau kira-kira RM128 juta!
Ia menjadikan majlis resepsi berkenaan sebagai yang termahal pernah diadakan di China. Biarpun perkahwinan Angelababy yang digelar ‘Chinese Kim Kardashian’ dari Vogue telah tujuh tahun berlalu namun kemewahan persandingan mereka masih tersenarai sebagai perkahwinan termewah di China hingga ke hari ini.
Bergelar isteri pada usia 26 tahun, gaun perkahwinan yang dipakai Angelababy waktu itu berjaya mencuri tumpuan. Mana tidaknya, gaun dari label mewah Perancis, Dior tersebut diperbuat daripada 115 kaki ivory satin organza dan 165 kaki tulle yang mengambil masa hampir lima bulan untuk disiapkan.
Bukan itu saja bahkan kek perkahwinan mereka setinggi 10 kaki dan berinspirasikan carousel juga mengambil masa selama sebulan untuk diselesaikan. Eksklusif sangat!
Menerusi Instagram milik Angelababy juga, jelitawan ini pernah berkongsi gambar cincin perkahwinan kepada peminat di laman media sosial. Apa yang mengejutkan ialah sebentuk
cincin bertatah berlian ‘Josephine Aigrette Imperiale’ rekaan jenama perhiasan mewah Paris, Chaumet berkenaan bernilai lebih USD1.5 juta bersamaan RM6.2 juta.
Pada majlis persandingan yang diadakan 8 Oktober 2015, Angelababy dan suami menjemput seramai 2,000 tetamu ke majlis bersejarah mereka yang turut menyaksikan acara pra-perkahwinan diadakan di Paris dengan pengantin perempuan mengenakan persalinan mewah dan anggun dari Elie Saab.
Menariknya, tetamu yang hadir menerima bermacam-macam cenderahati dan salah satunya berupa telefon pintar Meitu!
Namun kini, semuanya hanya tinggal sejarah selepas kedua-dua bintang terkenal China tersebut mengumumkan berita perpisahan mereka.
Inisiatif ‘Green Beauty’ Pupuk Generasi Cinta Alam Sekitar Melalui Pendidikan
Garnier Malaysia hari ini mengumumkan pelancaran program pendidikan sekolah di seluruh negara sebagai sebahagian daripada inisiatif hijaunya di bawah kempen ‘Green Beauty’. Pelancaran tersebut diadakan di SMK Darul Ehsan di Selayang Baru dan dihadiri oleh Hajah Marpuaton Sastero, Timbalan Pengarah, Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor dan I.S.Shanmugaraj Subramaniam, Pengarah Eksekutif Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS).
Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada komitmen Garnier Malaysia untuk memupuk generasi Hero Hijau yang seterusnya melalui pendidikan.
Green Beauty adalah inisiatif global Garnier melibatkan pendekatan menyeluruh ke arah kelestarian. Komitmen ini mempunyai sasaran besar menjelang 2025 untuk mengurangkan impak keseluruhan Garnier terhadap alam sekitar secara menyeluruh. Matlamat kelestarian 2025 termasuklah memastikan produk tidak dihasilkan daripada plastik baharu, dan menukar bungkusan bagi memastikan semua bahan boleh diguna semula, dikitar semula dan boleh dikompos.
Dengan mengambil langkah-langkah hijau dalam setiap perjalanan operasi jenamanya, Garnier juga komited memastikan tapak industrinya adalah neutral karbon menjelang 2025. Garnier juga berhasrat memperkasa 1,000 komuniti melalui program Penyumberan Perpaduan (Solidarity Sourcing).
Bagi mengukuhkan lagi pelaksanaan inisiatif ini di peringkat tempatan, Garnier Malaysia bekerjasama dengan MNS untuk menjalankan program pendidikan sekolah yang bermatlamat mendidik 1,000 guru dan beribu-ribu lagi pelajar tentang kitar semula, guna semula dan cara-cara untuk menangani pencemaran plastik. Para pelajar juga turut diperkasa untuk mengamalkan pengetahuan kitar semula yang dipelajari melalui tong sampah kitar semula yang disediakan oleh Garnier.
Inisiatif ini dimulakan dengan pameran bergerak jelajah yang interaktif, dipenuhi pelbagai aktiviti dan bengkel pendidikan yang menyeronokkan di SK Subang Bestari 2 dan SMK Seksyen 4, Bandar Kinrara. Acara ini menerima banyak maklum balas positif daripada pelajar dan guru.
Chris Chan selaku pemimpin Garnier Malaysia berkata, “Pencemaran plastik terus menjadi isu di Malaysia. Melalui inisiatif Green Beauty, kami ingin memainkan peranan sebagai sebuah jenama kecantikan yang lestari dalam mewujudkan impak, tidak kiralah kecil atau besar, ke arah kesejahteraan alam sekitar dalam jangka masa panjang. Kami percaya terhadap kuasa pendidikan dan program pendidikan sekolah ini akan memupuk pencinta alam sekitar yang akan menjadi generasi Hero Hijau yang seterusnya demi Malaysia yang lebih bersih dan lebih hijau.”
“Garnier sangat berbesar hati dapat berganding bahu dengan MNS untuk melaksanakan inisiatif ini memandangkan mereka mempunyai pengetahuan dan pengalaman yang meluas bagi mengukuhkan lagi pelaksanaan dan kesan inisiatif, sekaligus membolehkan kami sama-sama mencapai keseluruhan matlamat yang ditetapkan,” tambah Chan.
SMK Darul Ehsan telah dipilih untuk pelancaran ini memandangkan sekolah tersebut cukup dikenali dengan pelaksanaan inisiatif hijau yang pelbagai di kalangan pelajar dan komuniti.
Antara inisiatif hijau yang dilaksanakan di sekolah ini termasuklah membina rumah hijau, sistem tadahan air hujan, menyediakan kelas agrikultur dan hortikultur, dan juga hab pengumpulan untuk minyak masak dan fabrik terpakai. Sekolah tersebut juga dikenali dengan pelaksanaan ‘Eco-Brick’, dimana botol plastik diisi padat dengan sisa buangan plastik untuk digunakan sebagai bahan binaan bagi menghasilkan dinding penebat atau perabot luar.
I.S.Shanmugaraj Subramaniam, Pengarah Eksekutif Persatuan Pencinta Alam Malaysia berkata, “Program pendidikan sekolah di seluruh negara ini bertepatan dengan matlamat dan tujuan kami ke arah mendidik pelajar bagi mewujudkan minat mereka terhadap kitar semula dan pengurusan sisa buangan plastik.”
Untuk maklumat lanjut mengenai kempen Green Beauty oleh Garnier, layari www.garnier.com.my/green-beauty
Isteri Cantik DATO’ SRI EIZLAN Hamil 5 BULAN, Bakal Timang Anak April Depan!
Wah, tumpang gembira dengan khabar isteri kesayangan Dato’ Sri Eizlan Yusof yang kini sedang hamil lima bulan! Berita tersebut didedahkan Dato’ Sri Eizlan sendiri sempena ulang tahun perkahwinan mereka yang pertama pada 12 Disember lepas. Pandai pasangan romantis ni simpan rahsia daripada pengetahuan peminat.
Menerusi perkongsian Dato’ Sri Eizlan di Instagram, rata-rata peminat dan rakan artis turut meluahkan rasa gembira apabila mengetahui aktor kacak ini bakal menimang cahaya mata kelak. Kongsi Dato’ Sri Eizlan, “Happy 1st wedding anniversary to my sweet soulmate Sasha Boudville. Thanks for your love yayang mummy to be. Terima kasih atas ucapan yang baik dan doa you all semua.”
Walaupun ringkas tapi cukup untuk menyampaikan perasaan teruja dan gembira pasangan ini yang bakal menerima kehadiran ‘orang baru’ dalam hidup mereka tidak lama lagi. Mesti comel!
Sementara itu, mengintai Instagram Datin Sri Natasha Rosa Boudville pula… tiada ucapan atau kata-kata khusus yang menyatakan diri beliau sedang berbadan dua. Namun foto-foto terbaharu yang dikongsikan, jelas kelihatan ‘baby bump’ beliau. Biarpun usia kandungan sudah mencecah lima bulan tapi Datin Sri Natasha maintain langsing dan cantik!
Memetik laporan Harian Metro, Dato’ Sri Eizlan yang mempunyai tiga anak menerusi perkahwinan terdahulu berkata mereka sudah pun mengetahui jantina bayi namun belum bersedia mendedahkannya kepada umum. “Kami terpaksa melalui satu lagi pemeriksaan doktor sebelum benar-benar disahkan. Anak-anak yang lain iaitu Vie Zara, Zareef Yusof dan Vie Zaara memang suka ada adik. Mereka asyik tanya mamanya (Tasha) bila lagi mereka boleh dapat adik. Jadi mereka teruja apabila dapat tahu Tasha mengandung.
Mereka pun tidak kisah sama ada akan dapat adik lelaki atau perempuan asalkan bayi sihat dan selamat,” ujar Dato’ Sri Eizlan yang menjelaskan isteri kesayangannya itu turut mengalami morning sickness yang agak teruk pada dua dan tiga bulan pertama namun kini kesihatan ratu hatinya semakin stabil.
Dato’ Sri Eizlan Yusof menamatkan zaman dudanya bersama Datin Sri Natasha Rosa Boudville dalam majlis pernikahan serba indah di Bora Ombak Marina, Putrajaya pada tanggal 12 Disember 2019. Datin Natasha merupakan wanita cantik berketurunan Serani yang bekerja sebagai kakitangan pengurusan sebuah hotel bertaraf lima bintang di ibu negara. Beliau memeluk Islam pada Ogos 2018 sebelum dilamar pelakon kacak tersebut pada September 2019.
Pada hujung Julai lalu, Datin Sri Natasha melakar kejayaan tersendiri apabila beliau menerima pelantikan Kapten atas penglibatan aktif beliau dalam aktiviti sukarelawan sepanjang dua tahun hingga menarik perhatian dan pengiktirafan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia. Untung Dato’ Sri Eizlan dikurniakan isteri yang bukan sahaja cantik tapi juga berjiwa penyayang dan sedia turun padang membantu mereka yang berada dalam kesusahan.
Ini dibuktikan ketika situasi pandemik Covid-19 melanda negara, Datin Sri Natasha bersama Dato’ Sri Eizlan telah sama-sama memerah keringat membantu petugas barisan hadapan menangani wabak berkenaan. Malah, pembabitan beliau dalam Angkatan Pertahanan Awam Malaysia juga sudah bermula sebelum berkahwin dengan suami tercinta lagi.
Apa-apa pun, Nona mendoakan Datin Sri Natasha dikurniakan kesihatan yang baik dan dipermudahkan urusan bersalin kelak. Moga perkahwinan selebriti romantis ini juga berkekalan hingga ke syurga dan terus menjadi inspirasi ramai.
Kredit foto: Instagram Dato’ Sri Eizlan & Datin Sri Natasha