• 313
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    313
    Shares

Siapa yang tidak kenal seraut wajah lembut yang menghiasi kaca televisyen ketika mengacarakan program HLive! suatu ketika dahulu. Wajah ayu ini juga mula berjinak-jinak dalam dunia pengacaraan kala mengendalikan program GoShop pada awal penerbitannya.

Dianugerahkan bakat semula jadi dengan pakej seraut wajah manis, pasti menambat hati setiap mata yang memandang. Selepas lebih setahun melangsungkan perkahwinan dengan suami tersayang, YM Tengku Ezrique Ezzuddean Tengku Dato’ Ardy Esfandiari Al-Haj, kehidupan berumah tangga banyak mengajar erti sebuah kehidupan buat Che Puan Syamim Farid.

Bertanyakan tentang fasa kehidupan rumah tangga, kedua-duanya bersifat terbuka berbicara tentangnya. “Sebagai seorang suami, saya mahu melihat dia gembira melakukan apa yang disukainya. Menerimanya sebagai seorang selebriti, saya tidak pernah menetapkan syarat tertentu tetapi saya yakin dia tahu batas-batas yang perlu dijaga sebagai seorang isteri.”

Jatuh cinta pandang pertama bukan situasi yang luar biasa bagi pasangan yang bercinta. Daripada mata turun ke hati telah menyingkap detik pertemuan dua merpati sejoli ini.

Ketika diajukan tentang pertemuan pertama mereka, Tengku Ezrique sambil tersenyum memandang isterinya berkata, “Memori detik pertemuan kami sangat unik untuk diimbas kembali.

Pertemuan pertama kami telah diperkenalkan oleh abang Syamim sendiri dan juga sepupu saya. Merekalah yang mengatur pertemuan itu. Masa mula-mula berjumpa Syamim dia tak layan pun saya, asyik dengan telefon bimbit saja.

Dan selepas itu, kami tak berkawan lama-lama. Enam bulan berkenalan, saya ambil keputusan untuk meminang Syamim. Genap tiga bulan tempoh pertunangan, akhirnya kami pun melangsungkan perkahwinan,” tutur Tengku Ezrique lembut.

Balas Che Puan Syamim, “Memang mula-mula dulu saya agak jual mahal. Ketika itu saya sendiri tidak tahu Ezrique merupakan kerabat diraja. Sebab dia sangat merendah diri dan langsung tidak pernah bercerita tentang keluarganya.

Kemudian abang saya bercerita tentang status Ezrique yang sebenarnya, terus saya jadi takut dan mula menjauhkan diri. Saya sedar hanya orang biasa dan takut untuk berkawan dengannya.

Tetapi apa yang saya bayangkan nyata berbeza dengan realiti. Kesungguhan Ezrique dan karakternya yang sangat merendah diri benar-benar menambat hati kecil saya untuk terus mengenalinya.

Namun ketika itu dia masih mengelak jika ditanya tentang keluarga. Selepas bertunang, barulah dia agak terbuka bercerita tentang hal-hal yang lebih peribadi,” ujar Che Puan Syamim yang merupakan anak ketiga daripada empat orang adik-beradik ini.

Keluarga Diraja

Masyarakat sering dijaja cerita dengan institusi diraja yang dikawal ketat dan ke mana sahaja kaki melangkah sudah pasti ada yang mengekori. Serba-serbinya mengikut adat dan istiadat. Tiada sesuatu pun boleh dilakukan sesuka hati dan kebebasan terkawal.

“Secara jujurnya kedua-dua ibu dan bapa mertua saya sangat merendah diri dan menerima kehadiran saya dalam keluarga dengan tangan yang terbuka.

Kemesraan yang ditonjolkan dalam keluarga suami membuat saya mudah membiasakan diri dengan keluarga diraja. Adat dan protokol istana hanya berlangsung apabila menghadiri majlis yang melibatkan golongan istana.

Sebelum berkahwin ibu mertua sudah memberitahu serba sedikit apa yang boleh buat dan apa yang tidak boleh buat. Selepas berkahwin segalanya berjalan dengan lancar dan dipermudahkan. Malah sepanjang perkahwinan pun ibu mertua banyak memberi tunjuk ajar agar saya lebih memahami adat di dalam istana.”

Tambahnya, protokol istana yang agak sukar adalah cara menyembah dalam bahasa istana atau dalam bahasa yang lebih mudah difahami adalah memberi salam. “Sebenarnya tidaklah sesusah mana tetapi takut melakukan kesilapan. Mungkin tidak timbul kesalahan tetapi nampak macam tidak biasa sahaja.

Kalau tiada majlis di istana, kami menjalani kehidupan macam orang biasa yang lain. Suami pula seorang yang merendah diri. Sikap yang ditonjolkannya membuat saya berasa selesa. Mungkin pada permulaan saya rasa agak janggal tetapi lama-kelamaan rasa janggal itu hilang dan saya boleh menerima dengan baik sebarang perubahan dalam kehidupan ini,” terang wanita yang baru berusia 25 tahun ini.

Kesudian Tengku Ezrique yang merupakan anak sulung daripada tiga orang adik-beradik ini menjayakan sesi fotografi bersama merupakan suatu penghormatan. Walau jarang beraksi di depan lensa kamera tetapi kelihatan selesa dan tidak janggal lebih-lebih lagi apabila bergandingan dengan isteri tersayang yang sudah biasa dengan bidikan kamera.

Darah diraja mengalir di tubuh Tengku Ezrique setelah termeterai perkahwinan di antara kedua ibu bapanya, YDM. Tengku Dato’ Ardy Esfandiari Tengku Abdul Hamid Shah Alhaj Tengku Seri Paduka Shahbandar dan Toh Puan Datin Siti Rahilah Mohd Hashim.

Moyang Tengku Ezrique merupakan Sultan Selangor kelima, Sultan Ala’eddin Suleiman Shah Ibni Al-Marhum Raja Musa Al-Haj. Manakala Y.A.M. Tengku Abdul Hamid Shah Ibni Almarhum Sultan Sir Ala’eddin Suleiman Shah merupakan datuk kepada Tengku Ezrique. Hamizatul Maizan Mohamed

Artikel Berkaitan

Jangan Lupa Komen

KORPORAT     POLISI DATA PERIBADI    PENAFIAN   •   LANGGANAN      PENGIKLANAN      KERJAYA       HUBUNGI KAMI

© Hakcipta Terpelihara • Kumpulan Karangkraf

error: