Cinta itu bisa membuat aku menipu orang yang paling aku sayang. Cinta juga membuat aku menghampiri dosa zina. Cinta membuat aku menjadi orang lain. Orang yang teruk perangainya, bukan ke arah jalan yang Allah redhai. Aku mula sedar…

IKLAN

Selepas tamat pengajian dengan memiliki segulung ijazah, aku mula mencari pekerjaan di kota yang menjanjikan kehidupan lebih mencabar dan moden. Alhamdulillah mungkin dengan berkat doa ibu dan ayah, aku berjaya menjadi seorang eksekutif pemasaran di sebuah syarikat kosmetik antarabangsa. Tiga tahun bekerja dengan memberi fokus sepenuhnya, aku tidak pernah abaikan tanggungjawab sebagai anak kepada ibu dan ayah di kampung. Sebulan dua kali aku pulang menziarahi mereka di utara, nasib ada abang menemani ibu dan ayah di sana.

Satu hari, bila ibu dan ayah bertanyakan tentang jodoh, membuatkan aku tersedar bahawa hidup aku ini hanya dengan tanggungjawab kerja sahaja tanpa dipenuhi limpahan kasih sayang. Pagi keluar mencari rezeki, malam pulang hanya untuk melelapkan mata yang lesu keletihan. Aku perlu mempunyai kehidupan yang lebih terbuka, kerjaya yang baik telah ku peroleh. Inilah masanya untuk aku fokus mencari kebahagiaan naluri sendiri… Tapi bagaimana ya!

Aku mula menggunakan sosial media untuk berkenalan. Melalui FB dan IG aku mula memuat turun pelbagai gambar selfie dan aktiviti harian dengan tujuan mempromosikan diri ku yang ‘single and available’. Selepas sebulan aktif, ramai pula yang ‘PM tepi’ untuk berkenalan. Aku bukan la secantik Neelofa, tapi manis tu ada la walaupun setiap kali selfie banyak bergantung pada aplikasi filter. Dalam semua-semua jejaka dan tidak terlepas suami orang yang ingin berkenalan, aku terpaut dengan seorang lelaki ini berkopiah dan manis raut wajahnya. Mungkin ini lelaki yang bakal membimbing aku ke jalan syurga, insyaAllah.

Kami mula berhubung di alam maya, sehinggalah seminggu kemudiannya bertemu makan malam di sebuah restoran Thai, Wangsa Maju. Amri kelihatan sangat tenang dan baik perwatakannya. Aku sepertinya jatuh cinta kali pertama. Dunia tiba-tiba bertukar menjadi indah, bangun pagi dengan semangat baru. Senyuman terukir dengan iringan bunga-bunga cinta. Aku dan Amri bahagia melayari kehidupan sebagai pasangan bercinta. Aku dengan bangganya post pic kami berdua di IG untuk menyatakan hati ini telah dimiliki.

Sejak bercinta, Amri pun tidak berkopiah lagi. Malah aku pun mula terpengaruh dengan permintaan Amri untuk lebih bergaya menjadi hijab fashionista, tudung lebih singkat dan baju ketat menampakkan susuk tubuh. Oh! Kuasa cinta bisa mengubah segala-galanya, tanpa kita sedar dan berfikir panjang dengan setiap langkah yang dibuat. Dan ada sekali itu, aku telah membawa Amri pulang ke kampung untuk menemui ayah dan ibu. Tapi entah kenapa, mereka tidak sepertinya tidak berkenan dengan Amri. Aku tidak kisah pun, mungkin terlalu awal ayah dan ibu untuk menilai Amri. Yang penting hati aku telah jauh cinta tersangat mendalam pada lelaki ini. Mulai hari itu, aku tidak lagi pulang ke kampung lagi dengan alasan sibuk.

Tiga bulan berkenalan memupuk rasa kasih dan sayang. Sehinggalah satu malam, aku bersetuju untuk membenarkan Amri masuk ke rumah sebab Ani teman serumah tiada. Kami berbual dengan mesra dan semakin dekat bersentuhan antara satu sama lain. Lalu mulalah aksi bercumbuan yang mengghairahkan, mungkin kerana sudah lama dinantikan oleh hasutan syaitan untuk menghanyutkan kami. Tiba-tiba panggilan telefon dari ibu mengejutkan aku yang dalam keghairahan. Panggilan yang menamatkan semunya. Ayah telah pergi meninggalkan kami semua…

IKLAN

Seminggu menghabiskan masa yang panjang di kampung, aku mula terfikir dengan keterlanjuran yang telah aku lakukan. Aku salah langkah dengan aturan cinta ini. Aku mula dapat rasakan Amri bukanlah lelaki selayaknya untuk dijadikan suami. Selama seminggu dia hilang tanpa bertanya khabar aku di kampung. Aku pasrah dengan keadaan ini dan membuat keputusan untuk memutuskan hubungan ini. Alhamdulillah diri ini tidak terlanjur lebih dari itu…

Pulang ke Kuala Lumpur, Amri datang menyapa dan mula mendesak untuk aku menerimanya. Aku yang masih dalam keadaan sayu hati, kehilangan ayah tercinta telah menolak cinta Amri. Tiba-tiba Amri menjadi seorang yang panas baran dan mengugut aku untuk menyebarkan video kami bercumbuan di sosial media. Aku sepertinya tidak percaya apa yang dilihat, bila masanya Amri sempat merakamkan aksi itu dan ingin menyebarkannya di sosial media… Oh menangis aku tanpa berhenti, kesal dengan cinta yang telah ku berikan kepada Amri. Rupanya tiada kejujuran dalam dirinya, tergamak untuk dia melakukan perkara tersebut.

IKLAN

Pergaduhan berlaku dan akhirnya kereta yang di pandu Amri terbabas. Kami terlibat dalam kemalangan jalan raya, aku cedera ringan tetapi Amri mengalami masalah pada bahagian tangan dan kaki. Selepas kejadian tersebut, Amri terus sepi dan menghilangkan diri. Aku terus menjalani kehidupan hari-hari dengan rasa syukur dan menjadikan cinta pertama ini sebagai satu pengalaman untuk aku berhati-hati.

Setahun berlalu, kini aku memberi peluang diri ini untuk menerima Syukeri yang merupakan sebelum ini sahabat di pejabat. Tidak sangka rupanya selama ini sudah lama Syukeri menyimpan rasa hati terhadap diri ku. Tanpa berselindung, aku bercerita segala-galanya kepada Syukeri tentang kisah ku sebelum ini supaya tidak timbul sebarang kesulitan nanti. Alhamdulillah, Syukeri faham dan menerima diri ini seadanya.

Masa lalu tidak mungkin kita dapat mengubahnya, masa hadapan pula adalah yang tak mungkin kita duga. Jalanilah kehidupan dengan optimis dan berdoalah semoga esok lebih baik dari hari ini. Yang baik itu datangnya daripada Allah dan yang buruk itu datangnya daripada kekhilafan kita sendiri. Aku ingin sekali berpesan kepada semua wanita di luar sana, jagalah diri sebaik mungkin supaya tidak menjadi mangsa atas keterlanjuran sendiri…

Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI