Sudah berusia 128 tahun, jenama fesyen Lanvin merupakan jenama fesyen tertua di kota Paris. Namun sejak insiden pemberhentian pengarah kreatif, Alber Elbaz oleh pemegang saham, jenama tersebut seolah-olah hilang pesona dan mendapat respon yang bercampur dari peminat fesyen.

Alber yang berkhidmat selama 14 tahun bersama rumah fesyen tersebut dilihat sebagai seorang yang berjaya mengubah wajah dan juga imej Lanvin menjadi lebih glamor, ceria, moden dan menjadi pilihan banyak selebriti terkenal hollywood.

Selepas Alber meninggalkan tampuk kreatif jenama ini, tempatnya diganti oleh Bouchra Jarrar namun hanya bertahan selama 16 bulan. Walaupun koleksi rekaannya menerima rekasi bercampur, pereka fesyen ini mendapat tempat di hati kelompok fesyen Paris. Kini Tampuk pengarah kreatif jenama ini diganti oleh seorang pereka fesyen yang kurang terkenal namun bijak dalam pemasaran e-dagang iaitu Olivier Lapidus.

Olivier Lapidus diharapkan oleh pemilik Lanvin, Shaw-Lan Wang agar mampu menjadikan Lanvin lebih komersial.

Pelantikan Olivier ini dianggap sebagai satu pergerakan baru Lanvin untuk lebih dekat dengan generasi muda. Dari segi harga yang ditawarkan, menurut sumber The Business of Fashion, Oliver telah ditugaskan untuk menukar jenama fesyen ini menjadi "A French Michael Kors" yang mana harga akan diturunkan dan estetik rekaan menjadi lebih komersial bagi menarik lebih ramai pelanggan. Ini dilihat mampu membawa Lanvin ke satu horizon bisnes yang baru.