• 24
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    24
    Shares

Kolagen adalah istilah yang wajib difahami setiap wanita yang teruja mengambil kolagen untuk cantik tetapi tidak mengkaji dengan lebih terperinci apakah sebenarnya kolagen itu. Promosi produk kecantikan membuat wanita bagai tidak sabar untuk cantik dengan mudah dan segera.

Kolagen merupakan bahan utama dalam otot, kulit, tulang, tendon dan pelbagai tisu di dalam tubuh. Hampir 70 peratus kolagen terbentuk di bawah lapisan dermis. Kolagen berfungsi membantu pertumbuhan sel kulit baru dan mengekalkan kelembutan kulit. Manakala di dalam sendi rawan pula kolagen berfungsi sebagai kusyen akibat bebanan daripada pinggul, sendi dan lutut.

Namun, peningkatan usia telah mengurangkan penghasilan kolagen dalam tubuh. Pengurangan kolagen ini menyebabkan kedutan di wajah, kulit kendur, sakit di bahagian sendi dan tulang merapuh. Penghasilan kolagen ini berkurang apabila usia mencecah 26 tahun dengan pengurangan 5 peratus setiap tahun. Pengurangan kolagen semakin ketara dengan pengamalan diet yang tidak seimbang dan gaya hidup yang tidak sihat.

Bagi menampung keperluan harian tubuh kolagen tambahan sangat diperlukan. Kolagen tambahan boleh diperoleh melalui tiga kaedah iaitu kolagen dalam bentuk pil atau minuman. Kolagen melalui oral ini membantu mengurangkan penyakit tulang, mengurangkan berat badan, membina otot dan meremajakan kulit. Manakala krim kolagen pula membantu menegangkan kulit melalui lapisan luar kulit. Kolagen tambahan yang paling popular adalah melalui suntikan. Suntikan kolagen ini membantu menegangkan kulit dan mencerahkan kulit.

Tip Memilih Kolagen

  • Kolagen adalah sejenis protein yang mempunyai struktur besar dan tidak boleh diserap begitu sahaja. Kolagen biasa yang diambil melalui oral akan diuraikan kepada molekul asid amino untuk membentuk struktur kolagen dalam darah. Justeru, penting untuk memilih kolagen yang mempunyai struktur yang halus.
  • Terdapat lebih 20 jenis kolagen yang terbentuk di dalam badan. Kolagen untuk kulit, sendi, tulang dan organ dalaman. Kolagen daripada sumber lembu hanya memberi kebaikan untuk sendi dan bukan untuk kecantikan. Sumber kolagen daripada sumber marin membantu menjaga kecantikan dan kesihatan dalaman.
  • Ada dua sumber utama kolagen iaitu Bovine derived collagen dan Marine derived collagen. Kolagen yang dihasilkan daripada sumber marin (sumber laut dalam) adalah 60 peratus lebih asli daripada Bovine kolagen (lembu).
  • Rata-rata saiz kolagen di pasaran adalah di antara 2000 hingga 5000 dalton. Saiz kolagen yang lebih kecil adalah lebih bagus dengan penyerapan yang optimum serta kesan yang lebih cepat. Namun penghasilan saiz kolagen yang kecil adalah lebih mahal dan secara tidak langsung menyebabkan kolagen yang mempunyai saiz yang kecil adalah agak mahal.
  • Pastikan setiap kolagen mempunyai bahan yang merangsang pembentukan asid hyaluronic memberi kesan tegangan pada kulit kerana fungsinya adalah untuk mengikat kolagen dengan serat elastin.
  • Kolagen yang ada di pasaran sekarang kebanyakannya mengandungi kolagen untuk sendi dan meremajakan kulit anda. Pastikan ianya diadun bersama marin kolagen bagi mendapatkan kolagen yang berkualiti.
  • Mengandungi antioksida yang tinggi bagi mengurangkan proses penuaan dan mengawal kulit dari sinaran UV.
  • Lebih baik pilih dalam bentuk makanan dari di suntik untuk memastikan sintesis enzim mengoptimumkan serapan ke dalam tubuh badan.
  • Pastikan setiap pemilihan kolagen mempunyai emolien yang unggul dan boleh mengunci kelembapan yang berpanjangan.
  • Kolagen juga penting bukan sahaja untuk kekal cantik tapi kesihatan sendi juga perlu dijaga maka adanya kandungan glucosamine adalah kunci utama untuk mendapat sendi yang sihat.
  • Badan manusia memerlukan empat hingga lima gram setiap hari bagi membekalkan bahan bina yang mencukupi untuk kegunaan badan. Jumlah pengambilan yang betul dapat memastikan kolagen yang diambil benar-benar berkesan.

Jangan Lupa Komen

KORPORAT     POLISI DATA PERIBADI    PENAFIAN   •   LANGGANAN      PENGIKLANAN      KERJAYA       HUBUNGI KAMI

© Hakcipta Terpelihara • Dikendali Oleh Astro Group

error: