Namanya cukup popular dalam arena seni fesyen tempatan. Sudah lebih 15 tahun berkecimpung di dalam dunia fesyen, pereka fesyen ini memiliki kelompok peminatnya yang tersendiri. Sempat berbual dengannya, Nona tidak melepaskan peluang bertanya khabar dan bercerita serba sedikit perihal dunia fesyen masa kini.

IKLAN

APAKAH PERBEZAAN DI ANTARA PEREKA FESYEN DAHULU DAN SEKARANG?

Perbezaan pereka fesyen dahulu dan sekarang sangat ketara. Sewaktu saya mula-mula menjadi pereka fesyen dahulu, golongan pereka fesyen perlu mendapatkan pelajaran yang kukuh dalam bidang ini dan kemudian baru membina nama sedikit demi sedikit dengan mendapatkan klien-klien tetap, jika dimurahkan rezeki selepas beberapa tahun baru boleh memiliki butik. Berbeza dengan pereka fesyen kini, tidak semuanya belajar dalam bidang fesyen. Asalkan ada wang mereka sudah boleh memiliki butik dan mengupah sahaja orang lain.

Bisnes Fesyen Sekarang Jauh Berbeza Berbanding Dahulu – Syaiful Baharim
Koleksi Bridal RTW Syaiful Baharim untuk Fashion Valet

ADAKAH KEMUNCULAN PEREKA FESYEN TANPA LATAR PENDIDIKAN FESYEN MEMBERI KESAN NEGATIF KEPADA INDUSTRI INI?

Tidak semuanya tidak bagus, kita ambil perkembangan ini dari sudut pandangan yang positif. Cuba ambil contoh Victoria Beckham, walaupun dia tidak mendapat pendidikan secara formal dalam bidang fesyen namanya kini dipuja oleh ramai orang dek kebijaksanaannya dalam mengatur bisnes fesyen yang dibina. Semuanya bergantung kepada usaha dan harus diingatkan menjadi pereka fesyen bukan untuk glamor semata-mata. Kalau glamor yang dikejar ia tidak akan bertahan lama.

APAKAH MOMEN PALING MANIS BERGELAR PEREKA FESYEN?

Setiap kali saya berjaya mempersembahkan sesebuah koleksi ataupun setiap kali saya menyiapkan tempahan peribadi dari pelanggan yang datang ke butik. Melihat mereka menyukai rekaan yang dihasilkan merupakan satu momen manis dalam kehidupan saya sebagai seorang pereka fesyen.

Bisnes Fesyen Sekarang Jauh Berbeza Berbanding Dahulu – Syaiful Baharim
Koleksi Lebaran 2017 S. Baharim

APAKAH DNA JENAMA ANDA?

DNA jenama Syaiful Baharim dalam rekaan berteraskan tiga konsep ini iaitu ringkas, glamor dan perhatian kepada perincian.

IKLAN

SIAPAKAH IKON FESYEN GLAMOR DI MATA ANDA?

Semestinya Camelia. Biarpun kini dia sudah hilang dari radar kerlipan glamor namun bagi saya tiada siapa dapat menyaingi auranya sebagai seorang ikon dalam industri fesyen tempatan kita.

Bisnes Fesyen Sekarang Jauh Berbeza Berbanding Dahulu – Syaiful Baharim
Penampilan Terkini Datin Seri Camelia – Kredit Foto: Khir Khalid & Ayie Ali

ANDA BARU MEMPERSEMBAHKAN KOLEKSI DI KLFW 2017. JADI APAKAH KOLEKSI YANG AKAN DATANG PULA?

IKLAN

Sekarang saya sedang menyiapkan koleksi untuk musim lebaran 2018. Koleksi ini akan memberikan sesuatu yang berbeza kepada peminat Syaiful Baharim berbanding koleksi sebelum ini. Apa yang saya boleh kongsi adalah jenis fabrik, perincian dan warna yang digunakan akan berbeza sama sekali berbanding koleksi lalu. Kali ini saya menyerlahkan penggunaan fabrik renda dan juga serlahan rona yang lebih lantang. Nantikan koleksi ini yang akan dikeluarkan beberapa bulan lagi.

APAKAH PERBEZAAN BISNES FESYEN KINI DALAM DAHULU? DALAM MENGADAPTASIKAN REKAAN KEPADA PERMINTAAN SEMASA ADAKAH ANDA TERPAKSA ‘MENGGADAI’ DNA JENAMA?

Cara bisnes fesyen tempatan kini beroperasi adalah berbeza berbanding dahulu. Seperti saya katakan, dahulu kebanyakan pereka fesyen hanya fokus kepada penghasilan pakaian custom made. Namun kini gelombang ready-to-wear adalah satu transisi yang harus pereka fesyen genggam. Tiada istilah menggadaikan DNA cuma kita perlu mengikut apa yang dikehendaki oleh pasaran semasa. Berbeza rekaan ready-to-wear dengan custom made, daripada segi perincian semestinya tidak sama kerana busana custom made lebih bersifat peribadi. Cuma sebagai pereka fesyen saya akan memasukkan sedikit elemen DNA rekaan saya untuk koleksi ready-to-wear kerana itu merupakan satu faktor kenapa orang membeli, hanya elemen itu tidaklah ‘seberat’ yang disuntik ke dalam rekaan custom-made.

 

Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI