Soalan: Saya adalah seorang pelajar tingkatan lima. Sejak bulan Januari, saya mendapati kitaran haid tidak teratur serta berlaku pendarahan yang berketul-ketul. Sebelum ini, kitaran haid saya adalah teratur dan tidak banyak darah yang keluar. Doktor telah memberi saya ubat seperti Provera tetapi tidak berjaya. Seorang doktor lain telah menyarankan supaya makan ubat pil perancang, tetapi saya khuatir jika ianya menyebabkan saya tidak boleh mengandung di masa hadapan.

IKLAN

Jawapan: Adik, kemungkinan suasana sekolah di tingkatan lima penuh dengan stres, ini mungkin salah satu faktor kenapa kitaran haid berubah. Ada pelbagai ubat yang boleh dicuba untuk mengurangkan darah haid yang keluar berketul-ketul tersebut. Penggunaan hormon seperti Provera dan Norethisteron bertujuan menipiskan dinding rahim. Namun jika tidak berjaya, adik boleh mencuba ubat yang bukan hormon pula.

Ubat NSAIDs seperti Ponstan (mefenamic acid) juga boleh mengurangkan darah haid yang keluar, selalunya diberikan pada hari pertama hingga hari ketiga haid. Ianya juga berguna bagi mengurangkan kesakitan hari-hari haidanda, jika ada. Ubatan lain yang boleh dicuba ialah Transamin (tranexamic acid) dimana ianya juga dimakan pada hari pertama, kedua dan ketiga ketika haid. Ubat ini mampu ‘menstabilkan’ salur darah di dinding rahim di mana pendarahan haid berlaku.

Jika masih tidak berjaya, barulah mencuba pil perancang keluarga. Terdapat pelbagai pil perancang keluarga di pasaran (juga dikenali sebagai OCP iaitu ringkasan kepada oral contraceptive pills). OCP adalah pil yang dibuat dari 2 jenis hormon iaitu estrogen dan progesteron. Ia tidak menyebabkan kemandulan. Namun mereka yang makan pil OCP boleh mengalami kesukaran untuk mengandung JIKA pada asalnya mereka tergolong dalam golongan wanita yang kurang subur.

IKLAN

Kebaikan pil OCP adalah, haid akan menjadi teratur, darah haid yang keluar akan berkurangan. Sakit ketika haid juga berkurang. Pesakit yang menggunakan OCP menunjukkan tahap hemoglobin dalam darah mereka semakin baik. Seterusnya pembelajaran dan kosentrasi ketika belajar semakin baik juga. Oleh itu, ikutilah nasihat doktor, semoga kitaran haid adik akan semakin baik.

IKLAN

Sumber: Nona bekerjasama dengan Dr. Norintan Zainal Shah menjawab segala kemusykilan mengenai kesihatan reproduktif wanita. (MAJALAH NONA, NOV 2008)

Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI