Awas, jangan biarkan diri anda ‘dibunuh’ oleh kanser payudara! Kesan dan gempur terrorist ini dari awal dengan melakukan rutin PSP (Pemeriksaan Sendiri Payudara) yang mudah di rumah.
Lakukan PSP setiap bulan, kira-kira 7 – 10 hari selepas bermulanya hari haid pertama anda. Jika menstruasi sudah terhenti (menopaus), tetapkan tarikh yang khusus untuk memeriksanya.
Masa terbaik untuk membuat PSP ialah semasa atau selepas mandi.
Boleh juga dibuat secara berdiri, berbaring atau duduk di depan cermin untuk melihat jika ada kelainan pada rupa bentuk payudara anda.
Cara-caranya
(a) Angkat lengan ke atas dan letakkan tangan di belakang kepala.
(b) Menggunakan tiga jari tengah anda, mulakan pemeriksaan dengan tekanan yang solid.
(c) Tekan payudara dari atas ke bawah, secara membulat dan dari luar menuju ke tengah (puting).
(e) Rasa jika ada kelainan saiz atau bentuk, dan periksa jika ada ketulan ganjil di sekitar payudara.
(f) Lihat jika ada perubahan tekstur kulit seperti kedut atau bengkak.
(g) Periksa puting jika termasuk ke dalam, gatal-gatal atau mengecut.
(h) Akhir sekali, picit puting untuk memeriksa jika keluar cecair (selain susu) jernih, kekuningan, darah atau menyakitkan.
Jika anda mengesan tanda-tanda ganjil pada payudara sepanjang melakukan PSP ini, segera berjumpa doktor sebelum terlewat. Dapatkan nasihatnya dan buatlah ujian untuk mengesan kehadiran kanser, jika ada! Norzalina Mohd Alias
7 Selebriti Hollywood Hidap Kanser Payudara, Angelina Jolie Siap Buang Ovari!
Penampilan jelitawan-jelitawan ini dalam drama, filem atau sitkom popular Hollywood suatu ketika lalu, cukup disenangi peminat. Walaupun hidup dalam dunia glamor, tapi mereka juga wanita biasa seperti kita. Tetap ditimpa musibah dan tidak terlepas daripada ancaman penyakit pembunuh No. 1 wanita, kanser payudara.
(1) Julia Louis-Dreyfus
Usia Ketika Diagnosis: 56
Hanya sehari selepas Anugerah Emmy 2017, bintang sitkom popular ini disahkan menghidap kanser payudara. “1 dalam 8 wanita akan mendapat kanser payudara. Hari ini, sayalah orangnya,” tulis aktres ini bersama foto yang dimuat naik di Twitter kira-kira 10 hari kemudian.
Berita baiknya adalah beliau mempunyai rakan-rakan yang penyayang dan selalu memberi motivasi namun beliau juga sedih kerana terpaksa berdepan hakikat menghidap penyakit pembunuh No. 1 wanita tersebut.
(2) Olivia Newton John
Usia Ketika Diagnosis: 44 dan 68
Bintang filem The Grease ini telah didiagnosis menghidap kanser payudara pada tahun 1992 ketika beliau berumur 44 tahun. Sejak itu beliau menjalani pelbagai rawatan seperti mastektomi, kemoterapi, mengamalkan herba dan akupuntur hingga disahkan bebas penyakit kanser.
Beliau juga selalu berkongsi pengalaman untuk menggalakkan wanita agar lebih prihatin soal payudara termasuk melancarkan album berjudul Stronger than Before (2005). Tahun ini, beliau sekali lagi diuji apabila didiagnosis mendapat kanser payudara buat kali kedua dan ia telah merebak ke organ lain.
(3) Shannen Doherty
Usia Ketika Diagnosis: 44
Bintang drama Charmed dan The 90210 ini mendedahkan pada Ogos 2015 bahawa beliau sedang bertarung dengan kanser payudara serta menjalani rawatan intensif merawatnya.
Dalam kesakitan, berlaku pula masalah insurans hingga melibatkan tindakan undang-undang. Namun aktres tersebut terus positif, mengamalkan pemakanan sihat dan gaya hidup aktif.
(4) Angelina Jolie
Usia Ketika Diagnosis: 37
Selepas satu ujian mengesahkan bahawa beliau berisiko tinggi untuk menghidap kanser payudara, Angelina Jolie segera menjalani pembedahan mastektomi pada tahun 2013. Pendedahan itu ditulisnya sendiri dalam sebuah artikel di The New York Times.
“Saya menulis untuk memberitahu wanita lain bahawa bukan mudah membuat keputusan untuk mastektomi tapi saya gembira membuatnya. Saya juga selalu memberitahu anak-anak agar jangan takut jika kehilangan saya kerana penyakit ini,” ujar ibu kepada 6 cahaya mata itu.
Tahun 2015, Angelina Jolie juga membuang ovari serta tiub fallopio miliknya bagi mencegah sebarang kemungkinan kanser pada masa akan datang. Ibu beliau meninggal dunia pada usia 56 tahun akibat kanser ovari.
(5) Christina Applegate
Usia Ketika Diagnosis: 36
Aktres berwajah comel ini sanggup membayar harga yang tinggi untuk memulihkan kanser payudaranya pada tahun 2008. Beliau mengambil keputusan drastik membuang kedua-dua payudaranya dalam satu pembedahan bernama prophylactic double mastectomy walaupun hanya satu ketulan kanser yang ditemui.
“Kadang-kadang saya menangis, menjerit dan marah kerananya,” luah ibu kepada seorang anak perempuan dan kini disahkan bebas kanser. Beliau juga merancang untuk menubuhkan yayasan untuk wanita berisiko tinggi yang tidak mampu menjalani pemeriksaan MRI, yang dikatakan menyelamat nyawanya.
(6) Kylie Minogue
Usia Ketika Diagnosis: 36
Pada asalnya berlaku initial misdiagnosis sewaktu mengesan kanser payudara Kylie Minogue. Sehinggalah bintang pop Australia ini tekad membuat ujian kedua yang menemukan doktor dengan ketulan pada payudara kirinya, beliau terus membuat rawatan pada tahun 2005.
“Saya pernah kehilangan segalanya, termasuklah menunggu bulu mata dan rambut tumbuh semula. Susah untuk mengekspresikan apa yang telah saya pelajari tapi yang pastinya ia melibatkan kesan psikologi dan emosi yang sangat mendalam.”
Kini Kylie Minogue telah bebas daripada kanser payudara dan beliau berusaha menggalakkan semua wanita untuk percaya pada gerak hati sendiri.
(7) Cynthia Nixon
Usia Ketika Diagnosis: 40
Pada tahun 2006, bintang Sex and the City ini mendedahkan tentang tumor kanser yang ditemui dalam payudara kanannya sewaktu menjalani pemeriksaan mamogram. Namun aktres ini enggan berkongsi tentang kondisi kesihatannya sewaktu rawatan dijalankan.
“Saya sangat takut malah sampai ke tahap, saya betul-betul tak mahu perkara ini terjadi. Tapi akhirnya saya mengalah. Saya lega ia dikesan dengan cepat supaya masih sempat untuk merawatnya.”
Nixon, yang juga mempunyai ibu yang pernah menghidap kanser payudara, kini bertindak sebagai duta di Yayasan Kanser Payudara Susan G. Komen. Norzalina Mohd Alias
Lepas Jumpa Pakar Psikiatri Baharu SONALI BANDRE ‘Buka Mata’ & Berjuang Melawan Kanser
Kanser menyerang tanpa mengenal pangkat, darjat mahu pun usia. Kadang-kadang seseorang itu mengamalkan gaya hidup sihat tetapi tetap juga diuji dengan kanser. Pelakon cantik Bollywood, Sonali Bandre yang terkenal dengan lakonan mantapnya dalam filem, Hum Saath Saath Hain juga diuji dengan kanser. Namun kekuatan yang ada dalam dirinya melawan kanser wajar diambil iktibar.
Sonali Bandre telah didiagnos mengidap kanser pada bulan Julai 2018 dan telah mendapatkan rawatan di New York setelah dipujuk suami tercinta, Goldie Behl. “Sebaik tiba di Kota New York, keesokan harinya kami terus berjumpa dengan doktor di sana.
Setelah membaca report tentang keadaan kesihatan saya, doktor mengesahkan saya adalah pesakit kanser tahap 4 dan hanya mempunyai 30 peratus sahaja peluang untuk hidup,” terang wanita yang tidak berkongsi tentang jenis penyakit kanser yang dihidapinya.
Siapa yang tidak sedih atau terkejut mendapat berita seperti pelakon berusia 44 tahun ini. Sonali Bandre juga pada mulanya seakan-akan tidak mampu menerima ketentuan ini lebih-lebih lagi apabila ramai yang berkata “Mengapa anda mengidap penyakit ini sedangkan anda seorang yang sangat positif”.
Hati Sonali Bandre hancur mendengar ucapan doktor tentang tahap kesihatannya sehingga telah menyalahkan dirinya sendiri didiagnos penyakit yang menjadi pembunuh utama manusia ini. Sikap menyalahkan diri sendiri berlarutan sehingga terpaksa berjumpa dengan Pakar Psikiatri di New York. Namun Sonali Bandre bersyukur kerana kata-kata Pakar Psikiatri tersebut telah membuka matanya untuk berjuang dan tidak mengaku kalah.
Nasihat Pakar Psikiatri tersebut, “Sonali, kanser berpunca dari faktor keturunan atau virus. Jika pemikiran yang menjadi punca atau penyembuh kanser, saya adalah orang yang paling kaya di dunia kerana kerjaya saya berkisar tentang pemikiran,” kongsi Sonali Bandre yang mengumpamakan seperti batu besar yang berada di atas bahunya hilang tiba-tiba setelah mendengar nasihat pakar tersebut.
Setelah hampir enam bulan mendapatkan rawatan di New York, ibu kepada seorang anak lelaki ini telah pulang ke tanah airnya dengan semangat baru. Sonali Bandre sering mengemaskini akaun Instagramnya dan bercerita tentang perjalanannya melawan kanser. Semangat tidak mahu mengaku kalah dan yakin ajalnya masih panjang serta berusaha melawan kanser yang dihidapinya demi keluarga tercinta menyuntik inspirasi kepada wanita yang senasib dengan dirinya agar tidak cepat berputus asa.
Sumber: indiatoday
#NONAPinkRibbon Rupanya Banyak Bantuan Kewangan Tersedia Bagi Pesakit Kanser Payudara Metastatik
Perjalanan hidup seseorang itu diuji dengan dugaan yang berbeza. Segala-galanya telah diatur oleh Sang Pencipta mengikut kemampuan masing-masing. Tidak ada seorang wanita pun mahu dijangkiti kanser payudara tetapi siapa kita nak menolak takdir.
Pesakit kanser payudara perlu terus positif meneruskan kehidupan dengan menerima rawatan yang sewajarnya. Di samping itu, sebagai ahli keluarga terdekat, perlu memberi sokongan padu agar pesakit kanser terus berusaha melawan penyakit pembunuh nombor 1 wanita itu.
Ramai telah maklum rawatan untuk menyingkirkan sel-sel kanser memerlukan kos rawatan yang agak tinggi. Rupa-rupanya ada banyak bantuan kewangan yang boleh dipohon oleh pesakit kanser ini.
Menurut ECXO Breast Cancer Welfare Association Malaysia (BCWA) & Emeritus Professor Surgeri Universiti Malaya, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Yip Cheng-Har, “Saya memahami bahawa tahap kemampuan masih menjadi penghalang utama yang dihadapi pesakit apabila melibatkan rawatan mBC.
Terdapat pelbagai pilihan sokongan kewangan di Malaysia yang dapat membantu pesakit Kanser Payudara Metastatik (mBC) seperti hospital kerajaan, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO/SOCSO) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), insurans dan program sokongan pesakit seperti EMBRACE. Berbincanglah dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat lanjut,” kata Prof. Emeritus Dato’ Dr Yip.
EMBRACE merupakan program sokongan pesakit oleh Pfizer bagi membantu keterusan rawatan pesakit HR+/HER2- mBC untuk kesihatan dan kualiti kehidupan yang lebih baik. Menerusi program ini, pesakit mBC dapat merancang kewangan mereka dengan lebih baik serta mengakses rawatan perubatan inovatif.
“Sebagai pengamal perubatan, saya menggesa kenalan dan rakan sekerja untuk menggalakkan para pesakit mereka untuk berbincang lebih proaktif dengan doktor masing-masing berkenaan tahap kesihatan dan pilihan rawatan.
Antara cara paling efektif bagi membuat pilihan rawatan terbaik untuk anda adalah dengan melibatkan diri secara langsung berpandukan kesesuaian keperluan peribadi, keinginan dan kelebihan yang ditawarkan,” terang Prof. Emeritus Dato’ Dr Yip.