Sejak mendirikan rumah tangga kira-kira lima bulan yang lalu, nampaknya Laudya Cynthia Bella semakin berbahagia melayari bahtera rumah tangga bersama suami tersayang, Engku Emran Engku Zainal Abidin. Meskipun sudah menginjak lima bulan usia perkahwinan bersama suami tersayang, kedua-duanya masih dalam fasa honeymoon dan ingin meluangkan lebih masa untuk bersama.

Sempat menikmati percutian bersama ke Bali pada awal tahun lalu yang dianggap sebagai percutian keluarga, Bella dan Emran turut membawa Engku Aleesya dalam percutian tersebut.

IKLAN

“Alhamdulillah kami sempat meluangkan masa bercuti bersama selepas masing-masing sibuk dengan urusan kerja dan sebagainya. Percutian tersebut merupakan antara momen yang kami kongsikan bersama dan peluang melakukan aktiviti-aktiviti secara bersama.

Walaupun sedang bercuti, kami masih melakukan aktiviti beriadah dan bersenam kerana ia merupakan aktiviti wajib Abang dan Bella serta Aleesya ikut serta. Maklumlah, semasa bercuti kami makan banyak, jadi kenalah bersenam!,” ujar Bella yang turut merasakan penambahan berat badan selepas berkahwin.

Jika tidak terikat dengan jadual kerja, dia dan Engku Emran bercadang untuk bercuti di dalam negara memandangkan Bella belum berkesempatan untuk bersiar-siar di luar Kuala Lumpur akibat kekangan masa. “Saya punya banyak masa lagi untuk menikmati keindahan Malaysia, Insyaallah. Saya sempat berkunjung ke Pulau Langkawi akhir tahun lalu ketika menemani abang dalam acara Ironman yang disertai oleh abang. Saya dan Aleesya datang memberikan sokongan untuk abang dalam acara tersebut. Sambil itu, sempat juga menikmati keindahan pulau lagenda tersebut biarpun dalam masa yang singkat.”

Umum pasti tertanya-tanya sejauh mana keserasian hubungan Bella dengan mantan isteri Engku Emran, Erra Fazira. Bella berkata, ternyata dia amat mengagumi ibu kepada Engku Aleesya dan menghormati Erra sebagai ibu kepada Engku Aleesya.

Bukan Mahu Berebut Kasih, Jadi Best Friend ALEESYA Sudah Memadai Buat BELLA!
Bella bersama anak tirinya, Engku Aleesya

“Saya kagum melihat hubungan baik Abang dan kak Erra yang amat baik. Jadi, sangat mudah untuk saya rapat dengan mama Aleesya. Saya tidak ingin menjadi figura ibu tiri untuk Aleesya kerana dia sudah pun mempunyai seorang ibu yang terbaik untuk dirinya. Jadi, saya lebih selesa meletakkan diri sebagai sahabat buat anak manja ini. Kami sering keep in touch mengenai apa sahaja. Malah, kami sering berzumba bersama! Saya bersyukur kehadiran saya sebagai sahabat Aleesya dan saudara buat Kak Erra.”

Menjadi isteri dan ibu ‘segera’ kepada cahaya mata tunggal Engku Emran hasil perkahwinan terdahulu, Engku Aleesya, Bella ternyata bijak membawa dirinya bukan sahaja sebagai isteri, malah ‘bersahabat baik’ dengan Engku Aleesya.

Ketika ditanya mengenai perbezaan paling ketara yang dirasai selepas mendirikan rumah tangga, Bella mengakui kehidupannya kini lebih bermakna dengan kehadiran seorang lelaki bergelar suami. “Alhamdulillah, ‘Abang (panggilan Bella untuk Engku Emran) berbahasa Indonesia ketika di rumah. Mungkin abang tidak mahu saya merasa terasing. Tetapi, setiap hari, saya juga semakin mahir berbahasa Melayu apabila bergaul dengan rakan-rakan di sini,” ceritanya yang cuba mempelajari dialek bahasa Melayu seharian.

Bukan Mahu Berebut Kasih, Jadi Best Friend ALEESYA Sudah Memadai Buat BELLA!

BELAJAR MEMASAK

Memasak antara tugas utama wanita sebaik sahaja mendirikan rumah tangga. Sebagai wanita, Bella juga tidak terkecuali menyediakan hidangan untuk suami tersayang setiap kali berada di Kuala Lumpur. Ujar Bella, dia banyak mempelajari menu kegemaran suami tersayang melalui ibu mentua dan youtube.

IKLAN

“Sejak berumah tangga, saya belajar memasak untuk abang. Abang tidak cerewet dan dia merupakan suami yang tidak banyak kerenah. Itu yang menggembirakan saya. “Saya belajar memasak untuk abang dan selalu membuat kopi kegemarannya dan menyiapkan hidangan seperti buah untuknya,” ungkap Bella yang gemarkan menu seperti nasi lemak dan minuman kopi.

Bella amat menyokong minat suami tersayang dalam bidang sukan seperti berbasikal dan pasangan ini menjadikan aktiviti berjogging sebagai rutin harian mereka walaupun tatkala bercuti. “Abang memang seorang sportsman yang ekstrem. Bayangkan, abang boleh berbasikal dari selepas subuh hingga jam 11 pagi dan menjelajah puluhan kilometer. Kedengaran agak ekstrem tetapi minatnya itu baik untuk kesihatan.”

“Aktiviti masa lapang kami banyak dihabiskan dengan aktiviti olahraga dan kuliner di rumah. Ada ketikanya, abang akan masuk ke dapur menemani Bella memasak.”

Bukan Mahu Berebut Kasih, Jadi Best Friend ALEESYA Sudah Memadai Buat BELLA!
Bella bersama suami tercinta, Engku Emran

KEJUTAN EMRAN BUAT BELLA

IKLAN

Sering berpisah kerana urusan kerja pastinya membenihkan rasa rindu antara pasangan ini. Tambah Bella lagi, jika harus berjauhan atas urusan kerja, baik Engku Emran mahupun Bella menggunakan kemudahan teknologi seperti video call untuk berhubung. “Kalau Bella pulang ke Jakarta pun selalunya tidak lama. Lagipun, penerbangan Kuala umpur ke Jakarta hanya mengambil masa dua jam. Jadi, perkara ini bukan masalah buat kami,” telus Bella lagi.

Walaupun begitu, Bella amat menghargai momen istimewa yang dikongsi oleh suami tersayang bersama Engku Aleesya tatkala menyambut kepulangannya dari Korea  baru-baru ini.

Bukan Mahu Berebut Kasih, Jadi Best Friend ALEESYA Sudah Memadai Buat BELLA!

“Saya ke Korea menjalani penggambaran iklan selama 10 hari. Sekembalinya ke Kuala Lumpur, saya terkejut dengan sambutan yang diberikan oleh abang dan Aleesya di kediaman kami. Bayangkan, ruang kamar dipenuhi dengan belon dan ucapan welcome home dari dua insan yang amat saya sayangi. Sudah tentu saya rasa terharu disambut begitu dan terubat rasanya rindu 10 hari berjauhan dari dua insan ini,” ujar Bella yang ternyata bahagia dengan kehidupannya kini.

Bulan Februari  sememangnya  istimewa  buat Bella kerana ia merupakan bulan kelahiran  dirinya. Tahun ini, Bella bakal menginjak ke angka 30 tahun pada 24 Februari yang akan datang. Lebih istimewa, suami tersayang juga menyambut kelahiran ke 46 beberapa hari yang lalu. Tidak hairanlah mengapa Februari begitu istimewa buat Bella dengan meletakkan hastag #februarymonthoflove di Instagram miliknya. ROSMAH IDAYU ABU SAMAH

 

Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI