Fenomena drama sinetron ‘Bawang Putih Bawang Merah’ suatu ketika dulu cukup terkesan hingga ke hari ini. Gandingan mantap Nia Ramadhani sebagai Bawang Merah dan Revalina S Temat sebagai Bawang Putih ketika masing-masing masih bergelar anak dara turut membuatkan ramai jejaka di Malaysia tertarik dengan kecantikan mereka berdua. Seiring peredaran zaman dan peningkatan usia, Revalina yang kini memegang status isteri dan ibu masih terserlah dengan aura tersendiri.
Mendirikan rumah tangga pada 15 Mac 2015 dengan pilihan hati, Rendy Aditwa Gunawan … Revalina yang ketika zaman gadisnya dilihat berpakaian seksi memilih untuk tampil lebih sopan dan berhijab selepas pulang mengerjakan umrah sekitar tahun 2017 lalu. Dengan gaya muslimah yang elegan, ibu kepada Rihga Sadiwasakti Rabbani ini juga tetap kelihatan cantik meskipun hanya bergaya dengan tudung bawal!
Terbaru sempena kehadiran Syawal, Revalina turut berkongsi foto terkininya menyambut Hari Raya di samping keluarga tercinta. Memilih persalinan sedondon turquoise dengan suami, gaya Revalina yang berjubah dan bertudung labuh sekali lagi mencuri tumpuan. Memang serba sederhana.. dengan memakai serkup biasa berwarna putih, bawal satin rona champagne dan solekan ringkas, memadai untuk menyerlahkan kelembutan wajah wanita berusia 32 tahun ini.
Memasuki 2 Syawal semalam, potret keluarga bahagia ini memilih persalinan putih bersih. Haih.. orang cantik, pakai apa pun tetap nampak cantik!
Sumber: Instagram Revalina Temat
Isteri Profesor & Ibu 6 Anak, Senator Fuziah Salleh Timbalan Menteri KPDN Ada Ijazah Sarjana Perniagaan!
Meniti usia 64 tahun, Senator Fuziah Salleh aktif melaksanakan tugasnya sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN). Pelantikan Senator Fuziah memegang jawatan Timbalan Menteri KPDN dibuat pada Disember 2022 dan bertugas bersama Datuk Seri Salahuddin Ayub yang menerajui kementerian itu.
Bagaimanapun Menteri KPDN tersebut meninggal dunia pada 23 Julai lepas.
Menelusuri profil Senator Fuziah, terdahulu dia pernah menjadi Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) ketika pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan yang memenangi Pilihanraya Umum ke-14 pada tahun 2018.
Sebelum menjawat tugas Timbalan Menteri, Senator Fuziah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Kuantan. Pun begitu, dia akur melepaskan jawatan tersebut selepas kalah pada Pilihanraya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.
Menyentuh latar belakang pemimpin wanita ini, Senator Fuziah genap berusia 64 tahun pada 13 Julai lepas. Dia dilahirkan di Johor namun membesar di Kuantan, Pahang.
Figura ini juga merupakan isteri kepada Profesor Dr Haji Russly Abdul Rahman. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan enam orang cahaya mata dan 13 orang cucu.
Seorang pelajar yang bijak, Senator Fuziah Salleh terpilih melanjutkan pelajaran ke United Kingdom (UK) pada tahun 1976 dan seorang kaunselor terlatih yang mempunyai kelayakan Profesional dalam bidang Kaunseling dari University of Reading, UK.
Selepas menimba pengalaman sebagai kaunselor, dia menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari University of Wales.
Ibu penyayang ini juga Juruperunding Latihan Bebas untuk syarikat multinational sebelum memenangi PRU12 pada tahun 2008. Sekaligus melayakkannya menyandang tugas sebagai Ahli Parlimen Kuantan.
Dia dilapor menceburi bidang politik pada tahun 1999 dan bergelar aktivis.
Antara sumbangan Senator Fuziah kepada masyarakat ialah kejayaannya menjadi salah seorang pengasas pusat perlindungan remaja putri, Raudhatus Sakinah pada tahun 1997 yang masih beroperasi sehingga kini.
Artikel berkaitan https://www.nona.my/dari-dunia-seni-ke-arena-politik-kagum-sisi-sederhana-mesra-datuk-dira-abu-zahar/
Tahniah NEELOFA, Kini Kembangkan Empayar Perniagaan Ke Bidang F&B Pula!
Nama Neelofa sudah tidak perlu diperkenalkan lagi dalam bidang perniagaan. Selain mengusahakan perniagaan berasaskan tudung, minyak wangi, kanta lekap dan beberapa produk lain, Neelofa kini melebarkan lagi empayar perniagaannya melalui kolaborasi bersama Chatime. Neelofa X Chatime Signature outlet bakal dilancarkan pada hujung tahun ini menunjukkan komitmen Neelofa untuk melebarkan lagi sayap perniagannya.
Uniknya, kafe tersebut bakal menjadi kafe pertama Chatime yang akan menghidangkan bukan sahaja minuman malah makanan dengan estetik yang insta-worthy melalui dekorasi yang diinspirasi melalui kembara Neelofa dari serata dunia.
Lebih istimewa, kerjasama antara Neelofa dan Chatime ini bakal direalisasikan bukan sahaja di Malaysia, malah Singapura dan juga Timur Tengah iaitu di Mekah! Selepas ini, rakyat Malaysia yang menunaikan umrah boleh menikmati keenakan minuman Chatime di Tanah Suci!
“Saya percaya dalam pembesaran dan perubahan untuk perniagaan, kolaborasi dengan Chatime adalah satu langkah terbaik memandangkan Chatime merupakan sebuah jenama yang dipandang tinggi dalam era ini. Untuk terus belajar, maju ke hadapan dan mempelbagaikan pengetahuan dalam bidang perniagaan, saya libatkan diri dengan memberi inspirasi kepada generasi muda agar mengambil langkah besar dan tidak gentar kepada perubahan dalam mengecapi sesuatu yang besar,” ujar Neelofa ketika sidang media.
Neelofa bersama usahawan Chatime, Aliza Ali dan Widayu Latiff mengumumkan kolaborasi tersebut sempena majlis iftar yang dianjurkan oleh Neelofa dan Chatime Malaysia bertempat di Mutiara Grand Ballroom, Royale Chulan Damansara.
Pada majlis iftar tersebut, kanak-kanak dari Madrasah Tahfiz Al Warisi, Jalan Cameron, Perak dan Rumah Telaga Kasih & Cahaya Kasih Kota Damansara telah berpeluang menikmati juadah iftar istimewa di samping pemberian duit raya oleh Neelofa dan Chatime.
“Seperti Ramadan sebelum ini, saya akan mengambil kesempatan untuk menyumbang semula kepada masyarakat. Saya berharap kolaborasi bersama Chatime ini akan memberi manfaat kepada mereka yang memerlukan dan mengukir senyuman pada wajah mereka, InsyaAllah,” ujar Neelofa.
Program tersebut turut diserikan dengan pengisian rohani melalui sesi sembang santai, perbincangan terbuka Neelofa bersama Ustaz Tarmizi Abd Rahman, Ameng Spring dan Shamsul Ghau Ghau yang membicangkan topik-topik terkini berkaitan bulan Ramadan.
Tahniah buat Neelofa di atas kolaborasi perniagaan F&B yang baharu diceburinya itu, Semoga ia terus memberi inspirasi untuk generasi muda maju dalam mencapai impian!
Kenali Wajah-Wajah RAJA PERMAISURI AGONG Pertama Hingga Yang Terkini!
Esok, satu lagi sejarah tercipta apabila Malaysia bakal mempunyai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang baharu. Upacara Istiadat Pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Yang di-Pertuan Agong ke-16 Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berlangsung di Istana Negara, Kuala Lumpur.
Mengenali peribadi Raja Permaisuri Agong ke-16 ini… baginda bukan hanya gemar memasak bahkan cukup prihatin dengan isu masyarakat terutamanya melibatkan golongan susah dan kesuburan wanita. Disebabkan itu, Tunku Azizah berkenan menjadi Pengasas Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF).
Tunku Azizah Aminah Maimumah Iskandariah merupakan puteri ketiga kepada pasangan Sultan Johor, Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj ibni Al-Marhum Sultan Ismail bersama isterinya Enche’ Besar Hajah Kalsom Abdullah. Dilahirkan di Istana Stulang, Johor Bahru… kakanda lelakinya kini ialah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ismail ibni Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj.
Hasil perkahwinan bersama Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, baginda dikurniakan empat orang putera dan dua puteri iaitu Tengku Amir Nasser, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah, Tengku Ahmad Ismail Muadzam Shah, Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah dan Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah.
Tunku Azizah mendapat pendidikan awal di Sekolah Perempuan Rendah Sultan Ibrahim, Johor Bahru dan meneruskan pendidikan ke peringkat menengah di Sekolah Tun Fatimah. Selain itu, baginda juga aktif dalam aktiviti kemasyarakatan dan memegang pelbagai jawatan bagi persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO).
Antaranya selaku Penaung Diraja Sahabat Asia Pasifik Persatuan Pandu Puteri Negeri Pahang, Pengakap Puteri Sedunia, Naib Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia, Pengerusi PERTAP dan Pengerusi Pertubuhan Perkumpulan Perempuan Pahang (WI).
Raja Permaisuri Agong ke-14
Seri Paduka Baginda Tuanku Hajah Haminah binti Hamidun merupakan Sultanah Kedah serta Raja Permaisuri Agong yang ke-14. Baginda dilahirkan pada 15 Julai 1953 di Bagan Serai, Perak dan berkahwin dengan Sultan Abdul Halim pada 25 Disember 1975.
Baginda mendapat gelaran Che Puan Kedah sehinggalah pada 9 Januari 2004 apabila baginda ditabalkan sebagai Sultanah Kedah.
Raja Permaisuri Agong ke-13
Seri Paduka Baginda Tuanku Nur Zahirah dilahirkan pada 7 Disemberi 1973. Baginda melangsungkan perkahwinan dengan Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 28 Mac 1996.
Baginda dilantik menjadi Raja Permaisuri Agong pada 13 Disember 2006 berikutan perlantikan Seri Paduka Baginda Sultan Mizan Zainal Abidin sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13.
Raja Permaisuri Agong ke-12
Seri Paduka Baginda Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid merupakan ahli kerabat diraja Kelantan dan Terengganu yang diputerikan pada 6 Jun 1946. Baginda berkahwin dengan Tuanku Syed Sirajuddin pada 15 Februari 1967.
Pada 14 Julai 2000, baginda telah dimasyhurkan sebagai Raja Perempuan Perlis.
Raja Permaisuri Agong ke-11
Seri Paduka Baginda Tuanku Siti Aishah telah dilahirkan pada 18 November 1971. Baginda merupakan Raja Permaisuri Agong kesebelas apabila Seri Paduka Baginda Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah ibni Almarhum Sultan Sir Hisamuddin Alam Shah menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-11 pada 26 April 1999 hingga 21 November 2001.
Raja Permaisuri Agong ke-10
Seri Paduka Baginda Tuanku Najihah Tuanku Besar Burhanuddin dilahirkan pada 11 September 1924. Baginda merupakan Raja Permaisuri Agong ke-10 ketika Seri Paduka Baginda Almarhum Tuanku Ja’afar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman yang juga merupakan putera kedua bagi Yang di-Pertuan Agong yang pertama, Almarhum Tuanku Abdul Rahman ibni Almarhum Tuanku Muhammad.
Tuanku Najihah bergelar Raja Permaisuri Agong ke-10 mulai 26 April 1994 sehingga 25 April 1999. Di samping itu, baginda turut memperoleh pendidikan formal di Sekolah Tuanku Muhammad di Kuala Pilah dan London School of Oriental Studies.
Raja Permaisuri Agong ke-9
Baginda ialah Raja Permaisuri Agong yang kesembilan berikutan perlantikan Sultan Perak, Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ibni Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong dari 26 April 1989 hingga 25 April 1994.
Baginda juga merupakan rakyat jelata yang pertama dilantik sebagai Raja Permaisuri Agong. Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Perak, Tuanku Bainun binti Mohamad Ali dilahirkan di Pulau Pinang pada tahun 1932.
Raja Permaisuri Agong ke-8
Seri Paduka Baginda Sultanah Zanariah Almarhum Tengku Panglima Raja Ahmad berasal dari keluarga diraja Kelantan. Baginda merupakan puteri kepada Yang Amat Mulia (YAM) Tengku Panglima Raja Kelantan Tengku Long Ahmad bin Yang Teramat Mulia (YTM) Tengku Temenggong Long Abdul Ghaffar ibni DYMM Sultan Muhammad II.
Baginda merupakan permaisuri kepada Sultan Mahmud Iskandar Alhaj ibni Almarhum Sultan Ismail dan menjadi Raja Permaisuri Agong kelapan sejak 26 April 1984 hingga 25 April 1989.
Raja Permaisuri Agong ke-7
Seri Paduka Baginda Almarhumah Tengku Hajah Afzan binti Almarhum Tengku Muhammad merupakan Raja Permaisuri Agong ketujuh mulai 26 April 1979 hingga 25 April 1984. Baginda juga ialah permaisuri kepada Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah.
Raja Permaisuri Agong ke-6
Almarhumah Tengku Zainab Almarhum Tengku Mohamed Petra merupakan Raja Permaisuri Agong keenam mulai 21 September 1975 hingga 29 Mac 1979. Baginda juga merupakan permaisuri kepada Seri Paduka Baginda Almarhum Tuanku Yahya Petra ibni Almarhum Sultan Ibrahim yang mewarisi takhta kerajaan negeri Kelantan dari tahun 1960 hingga kemangkatannya.
Raja Permaisuri Agong ke-5
Seri Paduka Baginda Almarhumah Tuanku Hajah Bahiyah Almarhum Tuanku Abdul Rahmad merupakan Raja Permaisuri Agong kelima sejak 21 September 1970 hingga 20 September 1975. Baginda adalah permaisuri kepada Almarhum Al-Sultan Almu’tasimu Billahi Muhibbudin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu’adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah.
Raja Permaisuri Agong ke-4
Yang di-Pertuan Agong ke-4, Seri Paduka Baginda Almarhum Tuanku Ismail Nasiruddin Shah ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin III ialah suami kepada Tuanku Intan Zaharah binti Almarhum Tengku Seri Setia Raja yang merupakan Raja Permaisuri Agong keempat bermula 21 September 1965 hingga 20 September 1970.
Raja Permaisuri Agong ke-3
Seri Paduka Baginda Almarhumah Tengku Budriah Almarhum Tengku Ismail merupakan Raja Permaisuri Agong ketiga sejak 21 September 1960 hingga 20 September 1965. Baginda merupakan permaisuri kepada Seri Paduka Baginda Almarhum Tuanku Syed Putra Alhaj ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail.
Raja Permaisuri Agong ke-2
Seri Paduka Baginda Almarhumah Tengku Ampuan Jema’ah Almarhum Raja Ahmad merupakan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong kedua sejak 14 April 1960 sehingga kemangkatan Sultan Hisamuddin Alam Shah pada 1 September 1960.
Raja Permaisuri Agong pertama
Seri Paduka Baginda Almarhumah Tunku Kurshiah Almarhum Tuanku Besar Burhanuddin merupakan Raja Permaisuri Agong pertama sejak 31 Ogos 1957 hingga kemangkatan Tuanku Abdul Rahman pada 1 April 1960.
View this post on InstagramA post shared by Majalah Nona, ?? (@majalahnona) on
Sumber: Majalah Kembara Plus, April 2012 / Foto: Instagram Istana Negara & Malaysia Royal Family