Meskipun ibu hamil mampu untuk menahan makan dan minum selama lebih kurang sembilan jam, namun keadaan kandungan yang memerlukan nutrisi penuh untuk tumbesaran harus diambil kira. Tambahan pula apabila usia kandungan sudah mencecah trimester ketiga. Justeru, sebelum memutuskan untuk berpuasa ibu hamil wajar mengetahui inti pati penting di sebalik kewajipan berpuasa.  

Persiapan Awal Untuk Ibu Hamil

Usah rasa terbeban jikalau tidak mampu berpuasa di bulan Ramadan kerana Islam membenarkan ibu hamil yang tidak berupaya menunaikan puasa dengan menggantikannya dalam bentuk fidyah. Perkara utama yang harus dipertimbangkan terlebih dahulu adalah kondisi dan kemampuan diri sendiri.   

  1. Ada baiknya ibu hamil mendapatkan kaunseling daripada doktor pakar untuk mengetahui kesihatan bayi yang dikandung sebelum berpuasa.
  2. Jika tiada sebarang masalah, ibu hamil perlu menghindari pengambilan minuman berkafein seperti kopi, teh dan coklat serta minuman berkarbonat yang dikhuatiri menjejaskan kesihatan ibu serta bayi.
  3. Ibu hamil dilarang berpuasa jika mengalami simptom berikut yang memerlukan rawatan segera daripada doktor:
  • Sakit kepala
  • Terganggu dengan pergerakan bayi berlebihan
  • Bayi tidak bergerak
  • Ibu berada dalam keadaan letih, pengsan atau tertekan
  • Kehadiran kontraksi yang keterlaluan
  • Rasa dahaga yang berpanjangan yang juga petanda dehidrasi