Sebut soal kesuburan, kepala terus teringatkan masalah di organ reproduksi. Walhal ia sebenarnya boleh berlaku kerana pelbagai sebab, contohnya masalah kelenjar tiroid.

Wanita jarang memberi tumpuan terhadap masalah tiroid. Pernahkah anda memeriksanya, memegang atau mengenal pasti kelainan di bahagian bawah leher hadapan? Di sinilah terletaknya sejenis kelenjar penting, yang menghasilkan banyak hormon untuk mengatur metabolisme tubuh seperti suhu, kelajuan degupan jantung, kecepatan pembakaran kalori dan pertumbuhan.

SIMPTOM UTAMA

  • Letih meskipun setelah tidur secukupnya (7-8 jam).
  • Stres, depresi atau mengalami mood swings tanpa sebab.
  • Aliran darah terjejas mengakibatkan tangan dan kaki kerap berasa sejuk dengan suhu tubuh di bawah 37 darjah Celsius.
  • Kulit kering dan kuku rapuh.
  • Sembelit.
  • Berpeluh-peluh walaupun tidak melakukan aktiviti berat.
  • Keguguran rambut.
  • Gangguan tidur.
  • Ketidakseimbangan hormon antaranya yang melibatkan kitaran haid tidak teratur atau ghairah seks menurun.
  • Selera makan yang luar biasa (terlalu besar atau tidak berselera langsung).

KESAN NEGATIF

KITARAN HAID TERGANGGU

Hormon tiroid berfungsi dalam kitaran haid. Masalah tiroid boleh menyebabkan kekerapan dan intensiti haid menjadi abnormal. Penyakit tiroid juga boleh mempengaruhi sistem reproduksi seperti ovari. Kesannya, fasa menopaus lebih cepat.

SUKAR HAMIL

Seiring dengan kitaran haid yang terganggu maka proses ovulasi juga akan turut terjejas. Sel telur sukar dihasilkan dan kualitinya tidak sebaik yang diharapkan.

MASALAH KEHAMILAN

Ketika hamil dan kebetulan pula anda mengalami masalah kelenjar tiroid seharusnya berhati-hatilah. Keadaan hipotirodisme atau hipertirodisme boleh menjadi parah ketika kehamilan. Janin juga berisiko tinggi untuk keguguran. Jika tidak ditangani, risiko besar boleh terjadi seperti kegagalan jantung pada ibu hamil, kelahiran pramatang atau kematian janin.

SELEPAS MELAHIRKAN

Ketika pasca melahirkan, berlaku satu keadaan yang dikenali sebagai postpartum thyroiditis. Semasa hamil kelenjar tiroid masih berkeadaan baik namun selepas melahirkan kemungkinan berlakunya pembengkakan pada kelenjar tiroid. Adakala ia disalah anggap sebagai stres atau depresi pasca kelahiran. Ia akan hilang setelah beberapa bulan namun ada yang mengalaminya selama setahun atau lebih, bahkan ada yang menjadi komplikasi kekal.      

TIP

Pada dasarnya, kelenjar tiroid yang normal tidak dapat dirasai jika diraba atau disentuh. Anda boleh melakukan pemeriksaan sendiri dengan melakukan ujian mudah ini. Anda hanya perlukan segelas air dan cermin. Minumlah air sambil melihat ke bahagian leher anda di cermin. Perhatikan pada perubahan ukuran atau jika ada bonjolan ketika anda meneguk air. Jika tanda-tanda itu ada, segeralah bertemu dengan doktor anda.