Hampir setiap wanita dikatakan sensitif dengan panggilan Si Gemuk. Selain menjejaskan penampilan, masalah berat badan ini juga membahayakan kesihatan serta boleh mengganggu emosi. Salah satu jenis kegemukan yang paling kerap menghantui wanita ialah gemuk air atau gejala pembendungan air di dalam badan (water retention). Nona membongkar penyelesaiannya agar anda dapat merawat bentuk badan mengikut teknik yang sesuai.

Walaupun anda sudah mengamalkan diet yang ketat, namun baju-baju kegemaran masih tidak muat dipakai. Tambah tertekan, tubuh anda kelihatan seperti jeli kulit yang lembik dan menggeleber apabila sedang berjalan pantas atau berlari. Satu lagi kaedah untuk mengetahui apakah anda menderitai gemuk air ialah dengan menimbang berat badan pada waktu pagi dan malam. Sekiranya berlaku perubahan berat sekitar 1-2 kilogram, maka semakin kuatlah anggapan itu.

Gejala pembendungan air di dalam badan acap kali berlaku kerana masalah hormon. Ia lebih kerap melanda kaum Hawa kerana wanita memiliki hormon yang lebih banyak serta sensitif kepada kandungan air. Gemuk air merujuk kepada masalah pengumpulan cecair yang terlampau di dalam salur darah dan di dalam tisu pada tubuh. Sebanyak 90 peratus air dalam tubuh berada di dalam salur darah manakala 10 peratus lagi di dalam tisu tubuh.

PENYEBAB

  • Perubahan tekanan di dalam kapilari atau masalah dinding kapilari yang bocor sehingga menyebabkan air terkumpul di dalam tisu dan seterusnya membengkak.
  • Apabila cairan terlalu banyak di dalam sistem limfatik, lebihan ini akan kekal di dalam tisu dan menyebabkan bengkak.
  • Kegagalan fungsi jantung menyebabkan ia bekerja lebih kuat. Tekanan ini menyebabkan masalah kegemukan air di bahagian kaki, tapak kaki, betis dan paru-paru.
  • Kekurangan protein yang teruk.
  • Pengambilan vitamin B yang tidak mencukupi.
  • Kegagalan buah pinggang.
  • Sewaktu kehamilan atau menstruasi.
  • Kurang bersenam.
  • Pengambilan ubat-ubatan seperti terapi penggantian hormon, pil perancang keluarga, ubat anti-inflamasi tanpa steroid dan beta-blockers.
  • Banyak memakan makanan tinggi sodium (garam) dan gula.

Pastinya wujud bertubi-tubi soalan, bagaimana caranya untuk menyingkirkan lebihan air di dalam badan. Terdapat pelbagai jenis makanan yang bersifat diuretik untuk membantu pembuangan urin, semestinya cara ini dapat menyingkirkan lebih cecair daripada tubuh anda secara semula jadi. Amalkan makanan di bawah sambil meningkatkan pengambilan air putih secukupnya.

MAKANAN DIURETIK

  • Asparagus – mengandungi asparagines untuk membersihkan buah pinggang.
  • Cuka epal – juga membantu mengekalkan tahap potasium.
  • Kubis – membantu memecahkan lemak.
  • Lobak – mempercepatkan metabolisme dan mengeluarkan lemak dalam tubuh.
  • Ubi bit – membantu menyingkirkan deposit lemak.
  • Articok
  • Kubis mini
  • Jus kranberi
  • Timun
  • Buah adas
  • Lobak horseradish
  • Salad
  • Oat
  • Tomato
  • Tembikai
  • Daun dandelion
  • Teh hijau
  • Parsli

Sebelum mencuba makanan diuretik di atas, anda dinasihatkan untuk berbincang terlebih dahulu dengan doktor bagi memastikan penyebab sebenar gemuk air yang dialami. Lebih-lebih lagi, sekiranya anda mempunyai masalah kesihatan seperti penyakit jantung atau buah pinggang. Jika anda banyak mengambil makanan yang tinggi garam atau gula, kini tiba masanya untuk mengurangkannya. Begitu juga dengan pengambilan vitamin B, amalkanlah secukupnya sambil terus menjalani gaya hidup sihat dan mengamalkan diet seimbang.