Pejamkan matamu. Bayangkan kulit licin sehalus porselin, kilauannya menggoda bak embun segar membasahi satin. Ah, wanita manalah yang tidak mendambakannya?

Nona membariskan 5 selebriti Korea ini mengikut turutan World's Top Most Beautiful Korean Actresses 2017. Tiap satunya begitu cantik, walaupun dirias solekan tipis tapi rona kulit mereka yang cerah, tampak sedikit pucat tapi tetap berbayang dasar merah jambu di pipi. Aduhai, sempurna sekali.

Sederhana, Ini Tip Dapatkan Kulit Dewy Look

(a) Manfaatkan air beras

Air beras, juga dikenali sebagai air tajin ternyata merupakan salah satu amalan wanita Korea. Caranya mudah, hanya rendamkan beras yang mahu dimasak selama 10-15 minit dalam air. Simpan air beras ini untuk dijadikan toner atau penyegar wajah.

Khasiat: Air beras bermanfaat untuk melembapkan kulit, menghambat penuaan, mengurangkan lingkaran gelap bawah mata dan mencerahkan wajah.

(b) Gunakan sheet mask

Lembaran pupur muka atau sheet mask sememangnya terkenal di Korea. Esen yang terdapat di dalamnya mampu mengatasi pelbagai masalah kulit dengan segera. Ia juga boleh menjadikan wajah kita lebih cerah dan lembap.

Khasiat: Beristirahat sebelum tidur dengan memakai sheet mask pada waktu malam. Ia berfungsi untuk mengunci serum atau krim malam anda ke dasar kulit. Pakai sekitar 15-20 minit saja kerana esen tidak berkhasiat lagi selepas itu.

(c) Pembersihan dua kali

Anda rasa mekap benar-benar tertanggal selepas mencucinya dengan air? Tidak! Wanita Korea mengamalkan cara pembersihan dua kali iaitu pertama dengan makeup remover berasaskan minyak dan kedua dengan produk pembersih ultra, sebelum dibilas dengan air dingin.

Khasiat: Hal ini akan membuat wajah anda lebih segar dan beristirahat selepas mengenakan mekap. Jangan lupa oleskan toner setelah proses ini bagi mengembalikan pH kulit yang normal.

(d) Aturan 10 saat

Tahukah anda bahawa semakin lambat jarak waktu membersihkan wajah, diikuti toner dan pelembap akan mempercepatkan kulit kehilangan lembapannya? Ya, wanita-wanita cantik di Korea percaya bahawa wajah harus segera dioles dua produk asas ini iaitu kira-kira 10 saat selepas mandi atau membersihkan wajah mereka. Dalam tempoh ini, kulit masih bekerja untuk mengunci khasiat toner dan pelembap dengan baik.

Kulit dewy look menjadi dambaan di Korea kerana ia melambangkan gaya hidup, prestij atau kelas pemiliknya. Kebanyakan wanita elit kerap berada di dalam bangunan dan di bawah pendingin hawa bagi memelihara kecantikan mereka, berbanding wanita berkulit gelap yang dikatakan terpaksa bekerja membanting tulang di bawah terik suria.