Memasuki gerbang 40 tahun, sebenarnya tanda-tanda penuaan akan kelihatan semakin jelas. Perubahan ini lebih ketara pada bahagian kulit terutamanya wajah.

Garis-garis penuaan yang terhasil akibat ekspresi wajah tidak seharusnya disesali kerana itulah garis kebahagiaan kita. Dengannya, datang bersama pengalaman dan memori manis untuk dikenang.

Walau bagaimanapun, terdapat bantuan yang anda perlukan bagi mengurangkan tanda-tanda ini. Sedikit penyamar dan rejim penjagaan kulit antipenuaan dari awal dipercayai baik untuk memperlahankan kesan-kesannya.

Kedutan dan garis penuaan

Kedutan adalah tanda pertama yang paling jelas kelihatan dan harus diperhatikan. Biasanya ia mudah dialami oleh mereka yang memiliki kulit jenis kering.

Selain itu, garis-garis halus mula ketara di bawah mata. Penebalan yang tidak sekata pada lapisan kulit ditambah pula kekurangan air pada lapisan bawah kulit akan mempercepatkan lagi proses kedutan pada kulit anda.

Kulit kusam

Kolagen bertindak menjaga kulit namun ketika proses penuaan berlaku, urat semakin kendur dan kadar kolagen semakin menurun sekali gus menyebabkan kulit menjadi longgar dan tipis.  Selain itu, kulit akan kehilangan lemak sekaligus membuatkan kompleksi tambah kusam dan tidak bermaya.

Kulit kering

Kulit menghasilkan sebum sendiri bagi melindungi dan mencegah kehilangan kelembapan kulit. Namun, seiring dengan bertambahnya usia, keupayaan kulit menghasilkan sebum semakin berkurangan sekali gus menyebabkan kulit mudah rapuh dan kering terutama di bawah sinaran matahari yang terik.

Ditambah pula dengan keadaan cuaca yang sejuk, iklim yang kering dan berangin mudah menjadikan kulit anda bersisik dan mudah menimbulkan rasa gatal.

Bintik hitam

Peningkatan usia menyebabkan kulit seseorang turut mengalami perubahan. Antaranya, bintik-bintik coklat pada kulit akan mula timbul di bahagian wajah.

Bintik-bintik ini juga boleh menyebabkan masalah ketika anda menyapu solekan pada wajah. Ia biasanya berlaku disebabkan pendedahan secara berterusan kepada sinaran ultra ungu atau terdedah pada sinaran matahari dalam tempoh yang lama tanpa menggunakan topi atau krim pelindung kulit wajah.

Liang-liang roma terbuka

Faktor genetik dan usia antara dua faktor utama yang membolehkan pori-pori atau liang-liang roma pada kulit membesar. Kebiasaannya, ia berlaku kepada mereka yang memiliki kulit tebal dan berminyak.

Terdedah lama pada sinaran matahari, kotoran, bakteria dan keanjalan kulit menurun juga antara faktor menyebabkan liang-liang roma membesar dan terbuka.

TIP AWET MUDA

  1. Lindungi kulit wajah daripada sinaran matahari untuk mencegah kulit daripada penuaan pramatang. Pakai krim pelindung cahaya matahari atau pelembap dengan SPF setiap kali anda berada di luar mahupun di dalam bilik berhawa dingin.
  2. Merokok dapat menyempitkan pembuluh darah, yang mana dapat menurunkan aliran darah selain mengurangkan perjalanan oksigen dan nutrisi ke sel-sel kulit. Ia juga menyebabkan kulit anda menjadi kusam.
  3. Merokok juga menyebabkan proses penghasilan kolagen lambat pada kulit anda. Jadi, untuk mendapatkan kulit yang sihat dan bercahaya, berhentilah merokok.
  4. Gunakan pelembap antipenuaan, ia membantu meningkatkan kapasiti air  pada kulit. Selain itu, Vitamin A yang turut membantu dalam menjaga kulit yang terhidrasi. Pastikan anda mendapat vitamin A dari makanan seperti keju, ikan kod dan telur.
  5. Penggunaan kosmetik juga dapat membantu memperbaiki tekstur kulit. Garis-garis halus dan kulit kedut dapat ditingkatkan dengan memperbaiki permukaan kulit (resurfacing) melalui kaedah dermatologi, pengelupasan kimia (chemical peeling), laser atau mikro dermabrasi.
  6. Peeling juga dapat membantu untuk meratakan warna kulit dan memperbaiki tekstur kulit.