Wahai Wanita, Ketahuilah CANTIK & BERSIH Itu Satu Ibadah! Biarlah Kena Pada Caranya

Wahai Wanita, Ketahuilah CANTIK & BERSIH Itu Satu Ibadah! Biarlah Kena Pada Caranya

Wanita dikatakan sebagai perhiasan dan pelengkap dalam sesebuah kehidupan. Kerana itu kaum wanita disarankan agar sentiasa tampil cantik, kemas, bersih serta berbau wangi. Namun semuanya dilakukan mestilah semata-mata untuk suami.

Inilah kelebihan kepada kaum wanita. Memperkemaskan diri, bersih dengan harum-haruman dan ia dilakukan untuk suami, dianggap sebagai suatu ibadah. Melakukan ibadah dengan penuh keikhlasan, pahala ganjarannya. Begitu mudah untuk wanita memperoleh pahala. Dan sebaliknya jika ia dilakukan bukan untuk suami, dan suami tidak menghalang, suami pula yang akan menanggung dosa tersebut.

Tetapi apabila disebut tentang penampilan, sepatutnya ia bukan hanya ditujukan kepada kaum wanita. Bahkan, lelaki juga disarankan agar sentiasa kemas, bersih dan wangi ketika di rumah. Namun apa yang berlaku, ramai lelaki yang tidak mempedulikan penampilan diri ketika di rumah atau ketika bersama isteri.

Di luar rumah, merekalah lelaki paling kacak dan begitu berkarisma. Tapi ketika di rumah penampilannya tak ubah seperti ‘pakcik-pakcik’. Saban hari dengan baju-T Pagoda lusuh dan kain pelekat atau seluar pendek lusuh tanpa berbaju. Rambut kusut masai dan badan berbau tengik kerana malas hendak membersihkan diri.

Dalam hal ini mungkin ada yang akan berkata, isterilah yang bertanggungjawab dalam menonjolkan imej suami. Memang betul! Tetapi jika penampilan di rumah pun perlu ditentukan oleh isteri, alahai … .

Kenyataannya, seperti mana lelaki yang sentiasa ingin melihat wanita atau isterinya cantik, demikian jugalah halnya dengan wanita. Mereka juga mempunyai citarasa. Sentiasa ingin melihat suaminya kemas, bersih dan wangi.

Kebersihan

Soal penampilan dan kebersihan diri adalah tuntutan agama. Ia adalah ibadah jika dilakukan dengan ikhlas dan bukan menunjuk-nunjuk kepada orang lain. Tidak kira kepada kaum wanita atau pun lelaki. Soal penampilan mungkin tidak menjadi masalah. Kerana ia mudah difahami kerana ia boleh dilihat dengan mata kasar. Tetapi dalam soal kebersihan, ia terbahagi kepada dua. Bersih zahir dan bersih batin.

Kebersihan batin boleh dilakukan dengan membersihkan hati dari akhlak-akhlak yang keji, seperti sombong, riak, hasad, cinta keduniaan dan lain-lain.  Juga dapat dilakukan dengan mengisi jiwa kita dengan budi pekerti yang terpuji, seperti tawaduk, mempunyai rasa malu, ikhlas, dermawan dan sebagainya.

Salah satu jalan untuk menyelamatkan diri kita dari akhlak-akhlak yang buruk agar memperoleh akhlak mulia telah disebutkan oleh Imam al-Ghazali dalam kitabnya Ihya’ Ulumuddin Juzuk yang ke 11.

Mungkin ada yang berkata, kebersihan batin saja yang boleh dilihat dengan mata kasar atau pun melalui deria bau. Sebenarnya kebersihan batin juga boleh dilihat dengan semua pancaindera. Ini kerana mereka yang bersih batinnya, di wajahnya akan terpancar ketulusan dan ketenangan. Kehadiran mereka sentiasa disenangi.

Kebersihan Zahir

Kebersihan zahir pula dapat diperoleh dengan meninggalkan segala yang bertentangan dengan agama dan menjalankan segala sesuatu yang sesuai dengan tuntutan syariat Islam. Barang siapa menghiasi anggota lahiriahnya dengan beramal soleh serta memperbaiki jiwanya dengan akhlak mulia, maka sempurnalah kebersihannya. Jika masih tidak mencapai kesempurnaan itu, tetapi masih berusaha menjalankan kebersihan itu, ia pun masih mendapatkan bahagian kesempurnaan. Sesuai dengan berapa banyak akhlak keji yang ia hindari dan berapa banyak amal soleh yang ia dilaksanakan .

Termasuk dalam kategori kebersihan zahir iaitu menghilangkan segala kotoran di dalam tubuh, bersuci dari hadas dan najis, menghilangkan bulu yang ada di ketiak, mencukur kumis serta memotong kuku. Makruh melambatkan membersihkan hal-hal yang tersebut hingga empat puluh hari. Kebersihan zahir yang lain iaitu menghilangkan kotoran yang ada di celah-celah dan lubang yang ada pada tubuh kita, membersihkan kotoran di mata, membuang kotoran yang ada di dalam hidung serta membersihkan gigi terutama ketika hendak menunaikan ibadah .

Selalu membersihkan pakaian yang kotor dan jangan menggunakan air secara berlebihan.  Beberapa hal yang berhubung dengan kebersihan adalah meminyak janggut dan menyisirnya, juga sunat merapikan setiap rambut yang dipelihara. Disunatkan bercelak sebagaimana yang telah dilakukan Rasulullah SAW.

Wangi-Wangian

Gunakan pula wangi-wangian khususnya ketika hendak mendirikan solat Jumaat dan ketika menghadiri suatu majlis. Sesungguhnya Rasulullah SAW sangat suka menggunakan wangi-wangian, sampai kilauan minyak yang ada di kepala beliau terlihat dengan jelas. Hal itu ia lakukan agar umatnya dapat memakai wangi-wangian, tubuh beliau sudah harum bahkan ada sebahagian sahabat mengumpulkan keringat beliau untuk dijadikan wangi-wangian.

Aisyah berkata yang bermaksud,

“sesungguhnya Nabi s.a.w. apabila meminyaki badannya, baginda akan memulai daripada auratnya menggunakan nurah (sejenis serbuk pewangi) dan isterinya baginda meminyaki bagian lain tubuh Rasulullah s.a.w. ( Hadis Riwayat Ibnu Majah ).

Disunatkan bagi kaum lelaki menggunakan wangi-wangian, tetapi sebaliknya kaum wanita dilarang menggunakan kecuali ketika bersama dengan suaminya.

Berusaha

Kita dituntut memperbaharui wuduk setiap kali mengerjakan solat fardu. Berusaha untuk sentiasa suci dan berwuduk ketika berhadas, kerana wuduk adalah senjata mukmin. Apabila senjata sudah ada di tangan, musuh pun tidak akan berani mendekati kita.

Kekerapan mengambil wuduk akan membersihkan beberapa anggota badan. Di mana setiap mukmin pasti akan terhindar daripada kekotoran. Selain daripada itu, air wuduk yang membasahi wajah mampu menjadikan seseorang itu sentiasa berseri. Sehingga ada yang berkata, walau pun wajahnya tidak cantik, tetapi manisnya tetap ada.

Kita dituntut menunaikan solat dua rakaat setelah berwuduk. Jika tidak mampu, hendaklah bersuci dari hadas ketika memasuki masjid, membaca Al-Quran, berzikir dan lain-lain.  Semasa berwuduk atau mandi, janganlah hanya melaksanakan yang fardu saja, sebaiknya tunaikan pula sunnah-sunnah dan adab-adabnya, sesuai dengan ajaran Rasulullah SAW.

Sesungguhnya, cantik, bersih dan wangi bukan hanya sebagai memenuhi sunnah Rasulullah SAW, tetapi juga akan menambahkan lagi kasih sayang dan keakraban pasangan suami isteri.ROSMAH IDAYU ABU SAMAH

 

Lepas Amalkan Petua Tradisi, Tiada Lagi ‘SALJI PUTIH’ Gugur Dari Rambut!

Lepas Amalkan Petua Tradisi, Tiada Lagi ‘SALJI PUTIH’ Gugur Dari Rambut!

Ramai yang mengetahui bahawa rambut adalah mahkota setiap wanita. Mungkin anda tergolong dalam kalangan wanita bertuah kerana memiliki rambut yang cantik dan sihat. Tidak dinafikan, faktor baka dan penjagaan yang betul mempengaruhi kesuburan rambut. Pun begitu, pasti ramai yang pernah mengalami masalah kelemumur agak teruk sehingga anda tidak tahu apakah puncanya kerana kelemumur masih ada meskipun baru sahaja mencuci rambut.

Tahukah anda rambut berkelemumur antara lain berpunca daripada penggunaan syampu yang tidak sesuai dengan struktur rambut? Bukan itu sahaja, tidur yang tidak mencukupi juga boleh mendatangkan kelemumur.

Oleh itu, anda perlu mendapatkan jenis syampu yang sesuai dengan kulit kepala dan rambut selain mendapatkan tidur yang secukupnya bagi mengelakkan masalah tersebut. Sementara itu, keguguran rambut pula merupakan satu masalah yang biasa terjadi. Dalam sehari, rambut akan gugur dengan kadar tertentu. Jika rambut yang gugur itu terlalu banyak, itu sudah boleh dianggap sebagai luar biasa.

Ada juga yang  mengamalkan menyikat rambut secara berulang kali sebelum tidur bagi mendapatkan peredaran darah yang betul di kepala. Sekurang-kurangnya sikat rambut dua kali sehari pada sebelah pagi dan malam sebelum tidur. Tidak kurang juga yang mengamalkan pelbagai petua bagi mengelakkan rambut bercabang dan putus. Antaranya dengan menggunakan daun lidah buaya.

Kelapa mampu merawat rambut gugur

Tahukah anda bahawa santan kelapa boleh mengatasi masalah kelemumur?

Dengan hanya melumurkan santan di atas kepala dan dibungkus selama 10 minit sebelum dibilas beberapa kali. Ia juga berfungsi untuk membantu mencegah masalah rambut gugur. Anda hanya perlu ambilkan secawan santan kelapa, campurkan dengan hirisan batang pisang serta lumurkan di kepala dan dibungkus selama 10 minit sebelum dibilas. Khasiat santan bukan sahaja mampu memberi baik untuk rambut, malahan minyak kelapa juga ada kegunaannya. Ia boleh mencantikkan rambut dengan melumurkannya di kepala selama kira-kira 10 minit sebelum membilasnya. Langkah ini diulang sekurang-kurangnya dua hari sekali.

Pelbagai faktor persekitaran yang menyebabkan struktur dalaman dan luaran rambut menjadi rosak. Selain daripada itu, mengikuti trend rambut tanpa memikirkan kesihatan rambut seperti melakukan teknik rebonding dan mewarnakan rambut turut mendatangkan masalah besar terhadap struktur rambut.

Terlalu lama berada di bawah sinaram matahari tanpa perlindungan turut memberi impak terhadap kesihatan rambut. Keadaan ini akan menyebabkan rambut menjadi rapuh, kering, rosak, kasar dan kelihatan kusam. Apa yang perlu anda lakukan ialah dengan melakukan rawatan terhadap rambut untuk mengembalikan kesihatan rambut secara  semula jadi. Anda perlu mempunyai serum khas yang dapat menyerap sehingga ke bahagian akar rambut untuk membangunkan kembali sel-sel kutikel rambut yang telah rosak.

Dengan cara itu, rambut yang rosak akan kembali bersinar dan bermaya dengan UV Nutri Filter yang bertindak sebagai agen perlindungan daripada kesan matahari!ROSMAH IDAYU ABU SAMAH

Badan Dah Kurus Tapi Kulit Pula FLABBY, Lakukan 20 Cara Efektif Ini Untuk Mengencangkan Kulit Kendur

Badan Dah Kurus Tapi Kulit Pula FLABBY, Lakukan 20 Cara Efektif Ini Untuk Mengencangkan Kulit Kendur

Menusuk sungguh kalau dengar kawan-kawan rapat cakap macam itu. Kurus salah, gemuk lagi salah. Sudahlah kita bersungguh-sungguh menurunkan berat badan, bila sudah berjaya dapat berat badan ideal, kawan-kawan kata flabby pula. Runsing sungguh bila dengar usikan kawan-kawan berlegar-legar di minda. Macam mana nak buang kulit yang mengendur di sekitar lengan, perut dan paha ini? Tolong…

Ketika kehilangan berat badan terutama melebihi 10 kilogram, kulit akan mula longgar dan mengendur. Ramai wanita tidak suka situasi ini kerana pelbagai masalah mula timbul seperti perlu menukar seluar baru dan timbul selulit.

Walaupun sudah kurus tetapi bahagian-bahagian tertentu pada tubuh flabby sekali gus membuatkan kurang percaya diri. Jika ingin menyingkirkan kekenduran kulit secara semula jadi, ayuh cuba 20 tip ini.

(1) GUNA MINYAK KELAPA

Minyak kelapa berupaya melembapkan kulit dan membantu mengencangkan kulit yang menggeleber atau stretch mark. Sapu dan gosok minyak kelapa setiap hari sedikit demi sedikit di bahagian perut, lengan dan paha sebelum tidur. Selepas beberapa minggu kulit menjadi halus dan lembut.

(2) URUTAN

Urutan adalah cara yang paling berkesan membantu mengurangi lemak tubuh dan membantu mencegah kulit kendur. Sekurang-kurangnya urut tubuh 4 atau 5 kali seminggu setelah mengalami penurunan berat badan. Di samping itu mengurut boleh membantu peredaran darah yang lancar.

(3) LATIHAN BEBAN

Memang benar latihan beban adalah senaman kardio yang boleh membantu menurunkan berat badan. Tetapi, tahukah anda latihan beban juga boleh membantu mengencangkan kulit? Buat latihan beban 3 atau 4 kali seminggu untuk mendapatkan otot kencang dan menegangkan kulit. Perubahan ini mampu meningkatkan keyakinan diri dan memperbaiki penampilan.

(4) SENAMAN

Senaman adalah satu-satunya cara untuk membentuk semula otot dan mengencangkan kulit yang flabby. Cuba kuatkan semangat melakukan senaman setiap hari seperti push-ups, jumping jacks, windmills, squat, atau crunch selama 10 minit setiap hari.

(5) LEBIHKAN SAYUR DAN BUAH

Sayur-sayuran atau buah-buahan jika dimakan secara berlebihan tidak akan menyebabkan pertambahan berat badan. Malah ia turut membantu kulit lebih anjal setelah mengalami penurunan berat badan. Anda boleh makan apa sahaja buah seperti epal hijau, ceri, strawberi dan oren mengikut kegemaran anda.

(6) HINDAR PRODUK MENGANDUNGI SULFAT

Ketika membeli syampu, mandian, perawatan tubuh dan penjagaan diri pastikan tiada kandungan sulfat dalam produk tersebut. Ini kerana sulfat akan menimbulkan iritasi dan kulit yang kering. Situasi ini akan membuatkan kulit cepat berkedut, kendur dan timbul jerawat.

(7) EKSFOLIASI KULIT

Sel kulit mati perlu disingkirkan daripada lapisan kulit. Proses pengelupasan adalah salah satu cara untuk membuang sel kulit mati. Pengelupasan ini membantu menegangkan kulit yang kendur. Caranya sangat mudah iaitu skrub garam 2 atau 3 kali sehari untuk meningkatkan pengaliran darah. Malah proses ini membantu mendapat kulit yang elastik dalam masa singkat.

(8) AMBIL PROTEIN

Protein merupakan sumber yang baik dari kolagen dan mineral untuk kulit. Protein juga turut membantu kulit sihat dan elastik. Sumber kaya protein adalah seperti keju, kekacang, telur dan ayam.

(9) ELAK DIET KETAT

Cuba elak melakukan diet yang ketat kerana bukan sahaja menyeksa diri malah turut mengganggu kesihatan diri dan membuat kulit cepat kendur.

(10) MINUM AIR

Minum sekurang-kurangnya 8 gelas air sehari adalah cara terbaik untuk mengekalkan kelembapan tubuh. Boleh juga ditambah sedikit lemon untuk meningkatkan metabolisme, meningkatkan kesihatan kulit dan meningkatkan sistem imun tubuh.

(11) MANDI SELEPAS BERENANG

Sebelum dan sesudah berenang di dalam kolam renang, mandi dengan segera. Kandungan klorin yang tinggi dalam kolam renang akan menjadikan kulit cepat kering.

(12) MASKER WAJAH

Pakai masker 3 kali seminggu agar kulit wajah lebih anjal. Cara yang paling mudah adalah menggunakan putih telur. Selepas membersihkan lapisan putih telur tadi sapu pelembap agar kelembapan kulit terus terpelihara.

(13) LULUR

Cuba lakukan lulur sendiri. Boleh juga campur gula, yogurt, betik, strawberi dan madu kemudian lulur ke seluruh tubuh. Lulur sekurang-kurangnya 3 kali seminggu untuk membantu mengatasi kulit kendur.

(14) LOSEN PENGENCANG

Menggunakan losen mengencang kulit memang tidak nampak perubahan dalam sekelip mata. Namun, jika rajin berusaha menyapu losen setiap hari pasti membantu mengatasi kulit kendur.

(15) MINYAK KASTOR DAN JUS LEMON

Kombinasi minyak kastor dan jus lemon adalah solusi terbaik untuk menyingkirkan kulit kendur. Gosok kulit dengan campuran ini setiap hari sebelum tidur atau selepas mandi.

(16) KRIM KOLAGEN

Krim kolagen boleh membantu menyingkirkan kulit kendur dan memperbaiki kulit daripada dalam. Jadikan tabiat menyapu krim kolagen ini sebagai rutin yang perlukan dilakukan setiap hari.

(17) ELAK MAKANAN RINGAN

Makanan ringan boleh menambah berat badan dan tidak elok untuk kecantikan kulit. Elak makanan yang mempunyai tinggi lemak, makanan dan minuman bergula serta makanan segera.

(18) SENAMAN YOGA

Yoga mempunyai banyak manfaat seperti melawan stres, menghilangkan depresi, meningkatkan ketenangan diri dan mendapatkan tidur berkualiti. Dalam masa yang sama yoga juga berupaya menegangkan kulit kendur.

(19) HINDAR SINAR UV

Sinar matahari jika berlebihan dapat meningkatkan radikal bebas yang menjadi punca kulit kendur. Hindar terlalu terdedah kepada sinar matahari dan berendam terlalu lama dalam air panas.

(20) RUMPAI LAUT

Menggunakan bahan-bahan semula jadi sebagai produk kecantikan diri. Lulur tubuh dengan krim berasaskan rumpai laut kerana boleh menganjalkan kulit secara semula jadi. Hamizatul Maizan Mohamed

Kalau Nak Awet Muda, Vitamin C Mesti Cukup! Tapi Tak Perlu Suntikan Pun, Cara Macam Ini Pun Dah Memadai

Kalau Nak Awet Muda, Vitamin C Mesti Cukup! Tapi Tak Perlu Suntikan Pun, Cara Macam Ini Pun Dah Memadai

Kuasa antioksidan yang terdapat dalam vitamin C boleh membantu mencerahkan kulit, memberi kesan awet muda dan melicinkan kedutan. Tidak salah jika dikatakan vitamin C adalah bahan wajib yang diperlukan setiap wanita.

Vitamin C juga boleh melindungi kulit daripada kesan negatif sinaran ultraviolet. Memakai krim tabir suria dengan SPF (perlindungan UVB) dan PA++ (perlindungan UVA) sekadar memberi memberikan perlindungan luar kulit. Perlindungan akan lebih berkesan jika diimbangi dengan pengambilan vitamin C yang mencukupi.

Tahukah anda bahawa vitamin C merupakan senjata rahsia untuk awet muda? Vitamin C mengandungi antioksidan yang mampu membantu menghalang radikal bebas yang merosakkan sel kulit. Radikal bebas terbentuk daripada pencemaran dan terlalu terdedah kepada cahaya matahari. Vitamin C memiliki kemampuan untuk menyembuhkan kulit yang terbakar akibat sinar matahari serta mencegah kerosakan kulit.

Vitamin C merupakan komponen penting dalam pembentukan kolagen. Kolagen merupakan sejenis protein yang terdapat pada jaringan kulit, otot dan tulang. Peranannya penting kerana berfungsi mengaktifkan enzim yang merangsang pembentukan kolagen dalam tubuh.

Memang benar vitamin C patut menjadi sahabat baik setiap wanita. Bagi memiliki kulit yang sihat dan cantik perlu mengambil vitamin C setiap hari. Kadar vitamin C yang perlu diambil oleh setiap wanita dewasa adalah 75 gram.

Vitamin C boleh didapati melalui buah-buahan seperti lemon, oren, jambu, kiwi, betik, strawberi dan nanas. Sementara bekalan vitamin C dalam bentuk sayur-sayuran boleh diperoleh daripada paprika merah, brokoli, tomato dan cili.

Manfaat Untuk Kecantikan

(a) Rambut sihat

Vitamin C adalah salah satu nutrisi yang dapat membantu pertumbuhan dan menguatkan akar rambut. Mendapat manfaat vitamin C untuk kesuburan rambut boleh dilakukan dengan mengambil vitamin C dan menggunakan masker vitamin C secara semula jadi seperti menggunakan strawberi atau betik.

(b) Lebih bertenaga

Vitamin C berfungsi dalam penyerapan zat besi dalam tubuh. Zat besi sangat penting untuk kecantikan dan kesihatan tubuh. Jika kekurangan zat besi tubuh akan merasa lesu, lemah dan mengantuk.

(c) Awet muda

Dalam American Journal of Clinical Nutrition ada menyatakan wanita pertengahan usia yang mengambil vitamin C mencukupi tidak mempunyai kedut dan hidrasi kulit. Vitamin C dapat mencegah radikal bebas dan menghalang proses penuaan.

(d) Kesihatan kuku

Vitamin C membantu menjaga kesihatan kuku serta menguatkan ketahanan kulit, jaringan kulit, tulang dan dinding pembuluh darah. Nutisi ini sekali gus dapat mengelakkan kuku cepat rosak dan menguatkan kuku dari dalam.

Produk Pilihan Nona

Wanita urban yang dihambat masa untuk menyiapkan tugasan yang penuh dengan deadline sering merasakan diri terabai akibat kurang penjagaan kulit. Sel-sel kulit mati yang tidak disingkirkan boleh menjadi punca masalah kulit seperti jerawat dan pigmentasi. AstaVita+ Re-fueling Mist Serum menjadi solusi dalam melengkapkan penjagaan kulit wanita.

Diformulasi khas dengan kombinasi elemen semula jadi yang kaya dengan kandungan antioksidan tertinggi bertindak membantu menyelesaikan masalah kulit.

Mengadunkan bahan-bahan terpilih dan berkualiti daripada Astaxanthin, StemCell Epal, StemCell Anggur, Vitamin C, ekstrak Argan dan Pati Bunga Ylang Ylang membuat kulit wajah kekal terpelihara dengan serta-merta di samping memelihara kelembapan kulit. Hamizatul Maizan Mohamed

Magis Bunga, Nak Tahu Macam Mana Serinya Boleh Melekat Di Wajah Kita? Ikut Petua Ini

Magis Bunga, Nak Tahu Macam Mana Serinya Boleh Melekat Di Wajah Kita? Ikut Petua Ini

Pelbagai jenama kecantikan gemar menggunakan bunga sebagai salah satu kandungan di dalam produk mereka. Kerana itu, bunga-bunga indah yang kembang mekar di halaman kediaman pun boleh menjadi salah satu rawatan kecantikan untuk kulit yang lebih mulus.

Chamomile

Chamomile mengandungi sebatian yang dikenali sebagai alpha-Bisabolol untuk mengurangkan garis-garis halus dan kedutan. Ia juga mempunyai sel pemutihan. Infusi dingin pada teh Chamomile juga ideal untuk pencuci wajah.

Cara penyediaan:

(1) Masukkan 2 beg teh Chamomile di dalam 1 cawan air panas. Tutup cawan dan biarkan sejuk selama 20 minit mengikut suhu bilik. Curahkan teh yang sudah sejuk ke dalam botol semburan.

(2) Sebagai pembersih wajah: Sembur wajah dan sapu menggunakan kapas muka untuk membersihkan bahagian kulit wajah. Ia mempunyai aroma yang cukup menyenangkan dan meninggalkan bau buah-buahan pada kulit anda.

(3) Beg teh yang sudah digunakan boleh diletakkan pada bahagian atau untuk mengurangkan lebam bawah mata. Hanya letakkan pada mata selama 10 minit.

Ros

Ros mengandungi vitamin C, dan amat sesuai untuk kulit kering dan kesan penuaan pada wajah. Kelopak ros yang direndam di dalam air boleh digunakan sebagai penyegar wajah.

Cara penyediaan:

Didih dua cawan air kemudian tutup api, ketepikan periuk berisi air tadi. Masukkan kelopak ros seberapa banyak yang diperlukan dan biarkan ia direndam selama 30 minit. Ambil cecair rebusan dan masukkan ke dalam botol semburan. Sangat sesuai digunakan sebagai penyegar wajah. Anda juga boleh menggunakan cecair ros sebagai langkah pencegahan jerawat atau mengurangkan ruam pada wajah.

Marigold

Tinggi kandungan karotenoid (sama seperti vitamin A). Marigold bertindak sebagai bahan yang boleh mengurangkan iritasi pada kulit. Ia juga membantu melindungi kulit daripada menjadi nipis serta menjadikan kulit lebih anjal.

Cara penyediaan:

Bersihkan bunga Marigold dengan air sejuk. Asingkan kelopak kemudian campurkan satu sudu besar madu dan satu sudu besar susu penuh krim. Kacau sebati. Ia digunakan sebagai face mask. Biarkan selama 20 minit dan setelah itu, cuci dengan air suam.

ISTIMEWA ROS

Membuka kembali lembaran kisah mengenai penggunaan ros dalam kecantikan, pada zaman Yunani purba dan Rom, kelopak ros digunakan untuk mengharumkan air mandian mereka. Mereka menghargai ros dan menghiasi lantai kediaman dan dewan bankuet dengan kelopak bunga ros.

Malah, mereka juga menggunakan bunga ros sebagai salah satu bahan untuk kosmetik, ubat-ubatan dan rawatan terapeutik. Kini, kelopak ros juga digunakan dalam kebanyakan produk kecantikan.

(a) Anti-bakteria

Minyak yang diperbuat dari kelopak ros secara semula jadinya membantu merawat kulit yang berjerawat. Digabungkan dengan ciri-ciri pembersihan itu, ros menjadi ramuan ideal untuk mencuci muka dan sebagai pembersih wajah.

(b) Anti-radang

Sementelah kita memikirkan kehangatan rona merah, minyak ros juga boleh membantu mengurangkan bengkak atau kemerah-merahan pada kulit. Sedaikan face mask anda sendiri dengan kelopak ros di rumah.

(c) Antioksidan

Ros mengandungi vitamin C sebagai bahan antioksidan yang paling berkuasa. Vitamin penting ini bertindak melindungi sel kulit dari pendedahan kepada cahaya matahari. Ada eberapa kajian menunjukkan air rendaman ros boleh menyembuhkan selar matahari atau sunburn.

(d) Pelembap

Minyak semula jadi yang terdapat di dalam bunga ros membantu kelembapan dan menguncinya terus dalam kulit, memastikan kulit anda menjadi licin dan segar. Ros bermanfaat untuk mereka yang mempunyai kulit sensitif kerana gula yang terkandung di dalam kelopak mewujudkan ketenangan.

(e) Haruman semula jadi

Kebanyakan produk kecantikan organik akan menggunakan ros untuk memberi aroma lembut dalam produk yang dikeluarkan. KR

Oh, Patutlah YOGURT Digemari Ramai Wanita! Ini Sebabnya

Oh, Patutlah YOGURT Digemari Ramai Wanita! Ini Sebabnya

Adakah anda merupakan penggemar yogurt atau dadih? Walaupun rasanya yang masam namun yogurt masih digemari ramai terutamanya bagi kaum wanita. Yogurt dimakan dalam keadaan yang sejuk bagi memastikan kandungan bakteria atau kultur hidup aktif terjamin untuk memberikan manfaat kesihatan terbaik kepada tubuh. Jika yogurt pada tahap panas, bakteria dalam yogurt akan berada dalam keadaan pasif.

Bakteria dalam yogurt berfungsi membantu menghadamkan laktosa iaitu gula semula jadi dalam susu. Bakteria ini bertindak secara merangsang sebahagian daripada sistem pelalian di dalam saluran usus dan menghasilkan keadaan persekitaran yang lebih sihat di dalam usus menjadikan keadaan itu tidak sesuai untuk organisma ‘tidak baik’ hidup di samping memastikan sistem penghadaman dalam tubuh badan berjalan dengan lancar.

Pengambilan yogurt sebagai menu tambahan dalam pemakanan seharian dapat membantu di dalam menjaga kesihatan usus, meningkatkkan kekebalan tubuh, menurunkan tekanan darah tinggi serta menjaga kesihatan kulit dan tulang.

Yogurt juga membantu kaum wanita untuk kembali ke bentuk asal kerana yogurt merupakan makanan berserat tinggi selain mengandungi pelbagai khasiat yang diperlukan oleh ibu hamil untuk membekalkan susu kepada bayi. Antara khasiat yogurt ialah mengandungi lebih banyak kalsium, vitamin A, tiamina, niasin dan riboflavin daripada susu di samping kaya dengan zat besi, fosforus dan kalium.

Oleh kerana khasiatnya yang banyak, yogurt baik diamalkan semenjak dari kanak-kanak lagi. Manakala bagi orang dewasa yang tidak mengemari susu, boleh mengantikan minuman ini dengan yogurt kerana juga dikenali sebagai minuman kesihatan.

Bakteria Baik Dalam Yogurt

Tahukah anda bahawa yogurt merupakan bahan makanan berasal dari susu dengan bentuk menyerupai bubur dengan rasa masam. Yogurt mengandungi dua jenis bakteria ‘baik’, iaitu Streptococcus thermophilus yang berbentuk bulat dan Lactobacillus bulgaricus yang berbentuk batang. Kedua-dua bakteria yogurt ini merupakan bakteria penghasil asam laktat yang penting dalam kitaran mikroflora usus yang kedua-duanya mampu mencipta rasa masam yang menghalang pertumbuhan bakteria lain kerana bakteria penyebab penyakit tidak tahan keadaan ini dan tidak mampu bertahan dalam lingkungan bakteria yogurt.

Manakala mikroflora dalam usus mampun menjadikan keadaan usus kembali seimbang dan normal. Kebiasaannya apabila seseorang pesakit telah tamat menjalani rawatan antibiotik, doktor akan menyarankan untuk mengambil minuman yogurt. Tujuannya untuk memulihkan keseimbangan mikroflora usus.

Menurut Prof Dr McGill dari Mayo Medical School Minesotta, apabila membeli yogurt pastikan bahawa produk tersebut mengandungi kultur aktif yang masih hidup kerana setelah kultur hidup masuk ke dalam usus, kultur yogurt akan mulai aktif dan mula bekerja untuk memecahkan laktosa bagi menghasilkan asam laktat. Dr McGill juga menambah untuk menghindari jenis yogurt yang sudah dibekukan kerana terlalu sedikit bakteria yang masih berfungsi sehingga tidak mendapat manfaat yang banyak daripada minuman ini. Jika sebahagian besar bakteria telah mati, yogurt akan menjadi seperti minuman susu yang bergizi.

Khasiat Yogurt

– Berupaya menghasilkan zat-zat yang diperlukan oleh hati sebagai pencegah kepada penyakit kanser

– Mikroflora dalam yogurt mempunyai manfaat untuk proses pencernaan tubuh

– Yogurt memiliki gizi yang tinggi berbanding susu segar mslsh kandungan lemak lebih rendah sesuai untuk mereka yang sedang berdiet

– Yogurt mempunyai vitamin tambahan, meningkatkan nilai gizi serta membantu pertumbuhan

– Dikenali sebagai minuman kesihatan kerana mampu melawan pertumbuhan bakteria ‘jahat’ di dalam tubuh

– Mampu mengurangkan kadar kolesterol kerana bakteria ‘baik’ dalam yogurt boleh menyerap sejumlah zat kolesterol ke dalam selnya yang penyerapan ini terjadi di usus kecil dan membantu mengurangkan kolesterol dalam darah serta menghindarkan gejala penyakit jantung koroner

– Mengurangkan risiko kanser dan tumor dengan meningkatkan kekebalan tubuh

Selain dijadikan sebagai makanan diet yang baik untuk kesihatan tubuh, yogurt juga mempunyai pelbagai manfaat untuk kecantikan luaran. Berikut merupakan rahsia kecantikan menggunakan yogurt.

  • MENANGGAL SEL KULIT MATI

Kulit kusam biasanya berlaku disebabkan oleh sel kulit yang telah mati. Antara cara yang boleh digunakan untuk mengatasi masalah tersebut adalah menggunakan yogurt. Sifat pelembap yang terkandung di dalam yogurt dapat menjadi skrub yang terbaik untuk menanggalkan sel kulit mati. Ia juga mengandungi vitamin C dan vitamin B3 yang bermanfaat untuk mencerahkan kulit. Bahan ringkas yang boleh digunakan untuk membuat skrub secara alami adalah dengan mencampurkan yogurt dengan oat.

  •  MERAWAT JERAWAT

Menjadikan yogurt sebagai menu tambahan dalam diet harian atau sebagai perawatan wajah dapat membantu untuk memulihkan kulit wajah yang berjerawat. Sifat masam yang dimiliki yogurt dapat menghapuskan pelbagai bakteria penyebab jerawat dan kuman dalam tubuh. Justeru, yogurt boleh digunakan sebagai ‘masker’ wajah bagi membersihkan kulit.

  •  MENYINGKIRKAN KELEMUMUR

Yogurt juga digunakan sebagai kaedah semula jadi untuk melicinkan rambut, melembabkan kulit dan mengurangkan masalah kelemumur. Selain itu, ia membantu di dalam menenangkan dan mengurangkan rasa gatal di bahagian kulit kepala. Sapukan yogurt pada kulit kepala dan rambut. Cuci kepala dengan air suam setelah kira-kira 15 hingga 20 minit.

  •  MENGATASI RAMBUT GUGUR

Masalah rambut gugur merupakan petanda rambut  kurang mendapat  gizi dan kurang terhidrasi. Yogurt boleh digunakan untuk mengatasi masalah rambut gugur dan rosak. Lumurkan bahan tersebut ke seluruh bahagian rambut seperti memakai ‘masker’ rambut. Biarkan selama  sejam hingga dua jam sebelum mencuci rambut. Amalkan sekurang-kurangnya dua hingga tiga kali seminggu.ROSMAH IDAYU ABU SAMAH

 

 

 

 

 

KORPORAT     POLISI DATA PERIBADI    PENAFIAN   •   LANGGANAN      PENGIKLANAN      KERJAYA       HUBUNGI KAMI

© Hakcipta Terpelihara • Kumpulan Karangkraf

error: