Sempurnanya Hati Seorang Ibu, Lebih Besar & Indah Dari Yang Disangka!

Sempurnanya Hati Seorang Ibu, Lebih Besar & Indah Dari Yang Disangka!

Kisah ini bukanlah terjadi dalam sebuah kehidupan realiti di muka bumi ini. Tetapi bisa membuat kita berfikir dan merenung kembali tentang kehidupan kita sebagai manusia biasa dan menghargai betapa tinggi serta mulianya hati seorang bernama ibu itu.

Terlalu tinggi dan mulianya hati seorang ibu. Hanya mereka yang telah melalui saat melengkapi sebuah kehidupan sempurna sebagai seorang ibu akan memahami betapa halusnya hati dan jiwa mereka ini.

Pada suatu hari anak itu tertidur lalu bermimpi. Dalam mimpinya seolah-olah setiap orang mampu melihat bentuk hati di dada orang lain termasuk hatinya sendiri. Owh! Sesuatu yang luar biasa.

Lalu anak itu mengalihkan pandangan ke dadanya sendiri, ia sangat bangga ketika melihat hatinya berbentuk merah jambu berbentuk sangat sempurna dan berkilau. “Hati yang sempurna” katanya. “Oh! Sungguh indah! Tidak ada cacat dan noda….” Lalu dia melangkah ke luar.

Ia mulai mengamati hati orang-orang di sekitarnya. Ada yang terpancar indah seperti miliknya, ada yang terdapat luka, ada yang besar, ada yang kecil, dan berbagai macam bentuknya.

“Wow, ini sungguh luar biasa…” katanya lagi. Anak itu makin yakin bahawa hatinyalah yang paling sempurna dan indah, berbanding hati orang lain. Tiba-tiba pandangannya terpaku saat melihat seorang wanita tua yang wajahnya tunduk, hampir tidak kelihatan wajahnya.

Wanita tua itu memiliki bentuk hati yang sangat besar tetapi tidak berbentuk. Dia menjadi hairan,  kenapa banyak sekali lubang yang menganga dalam hatinya? Anak itu berjalan dekat ke arah wanita tua itu dan bertanya kepadanya. “Kenapa hatimu seperti itu? Kenapa tidak berbentuk sempurna dan indah seperti milik saya?” katanya bangga.

Jawab wanita tua itu ,”Mungkin kerana kamu masih terlalu muda dan belum begitu memahami perjalanan dunia ini”. Wanita tua itu terus berbicara, “Setiap kali saya mencintai seseorang, saya akan  merobek hati ini dan berikan kepada sesiapa yang saya sayangi.

Begitu pula jika saya menolong orang, selalu ada serpihan hati yang diberi pada orang itu. Dulu saat saya masih muda dan bergaul dengan banyak sahabat, hati saya juga terluka kerana selalu memberikannya pada teman-teman. Sehinggalah saat saya berkahwin dan punya anak, saya hampir habis tersayat-sayat untuk memahami suami dan membesarkan anak-anak.

“Tetapi, ada suatu saat di mana mereka juga memberi hati mereka kepada saya. Mereka juga belajar menghiris hati mereka untuk menutup setiap luka di hati saya hingga bertompok-tompok, itulah sebabnya kenapa hati saya lebih besar dari hatimu, sekalipun tidak berbentuk lagi. Itulah sebabnya masih banyak sekali lubang yang ternganga di hati ini. Sekarang hati siapa yang lebih indah? Hati ku atau hati mu?”

Anak muda itu tertegun dan berfikir. Ia mulai menyedari bahawa hati wanita tua itu jauh lebih sempurna dari hatinya. Luka, cacat, dan banyaknya tampalan di hati wanita itu, menjadikannya lebih indah dan lebih besar dari miliknya.

Setiap lubangnya seolah berbicara tentang cinta dan ketulusan dalam kehidupan yang dijalaninya. Sejenak, si anak itu mulai mengamati wajah wanita tua itu. Ia terperanjat ketika melihat wanita tua itu ternyata ibunya sendiri yang memanggilnya untuk bersama menunaikan solat subuh…

Hati seorang ibu sangat tabah dengan apa sahaja ujian hidup… Hati seorang ibu sangat sensitif, jika si anak yang disayanginya melukakannya dan tidak ambil berat tentangnya. Hargailah hati seorang ibu. Jagalah hati dan perasaan seorang ibu. Peliharalah lidah mu wahai si Anak……jangan celupar dengan ibumu.

Jagalah raut wajahmu selalu…..jangan melukakan hati dan perasaan seorang ibu dengan wajahmu yang masam, tidak indah dipandang oleh mata seorang ibu. Ibu telah melalui satu perjalanan hidup yang panjang, hargailah mereka.

Berilah secebis kebahagiaan di hati mereka, hanya itu yang mampu memberi kesempurnaan buat mereka… Ibumu adalah permata hatimu, jangan permata hati ini kamu abaikan. Kelak dirimu akan rugi selama-lamanya. Rugi dunia dan di akhirat. Mohonlah restu dan reda dari ibu mu, sebelum ibumu memejamkan matanya yang terakhir buat selama-lamanya. KR

Kalau Nak Hamil Kena TURUNKAN BERAT BADAN, Betul Ke Ada Kaitan Dengan Kesuburan Wanita?

Kalau Nak Hamil Kena TURUNKAN BERAT BADAN, Betul Ke Ada Kaitan Dengan Kesuburan Wanita?

Ramai wanita merasakan berat badan yang berlebihan ini adalah perkara biasa terutamanya jika orang di sekeliling seperti suami, keluarga dan rakan-rakan turut mempunyai masalah yang sama.

Adakala mereka membandingkan diri dengan wanita obes lain yang tidak mempunyai masalah kesuburan atau belum menghidapi sebarang masalah kesihatan lain. Oleh itu mereka merasakan tidak ada keperluan untuk menurunkan berat badan.

Namun kajian telah menunjukkan bahawa penurunan berat badan sebanyak 10 peratus akan merangsang proses ovulasi secara semula jadi. Kitaran haid menjadi lebih baik dan terdapat juga yang berjaya hamil secara semula jadi.

Penurunan berat badan sememangnya merupakan rawatan utama. Selain membantu meningkatkan kesuburan secara semula jadi, ia juga membantu meningkatkan keberkesanan ubat-ubat kesuburan yang digunakan. Sekiranya mereka berjaya hamil, risiko-risiko kesihatan sepanjang kehamilan akan lebih berkurangan.

Wanita yang mempunyai masalah obesiti sememangnya disarankan mengambil langkah serius untuk menurunkan berat badan mereka. Perubahan yang besar perlu dilakukan terhadap gaya hidup, pemakanan sihat di samping menjalani senaman yang teratur dan efektif.

(a) Pemakanan yang sihat bukan bermaksud mengelak makan tetapi menjaga kualiti dan kuantiti pemakanan tersebut. Mula belajar untuk mengira jumlah kalori pemakanan seharian, catat dan kaji diari pemakanan sendiri.

(b) Bersenam juga adalah keperluan mandatori seiring dengan penjagaan diet. Ramai yang kecewa dan tidak dapat bertahan lama dengan perubahan diet sahaja. Kadar metabolik badan akan kekal rendah tanpa senaman dan lemak-lemak badan ini sangat sukar disingkirkan.

Senaman akan meningkatkan kadar pembakaran lemak di samping mula membina otot-otot yang akan terus kekal meningkatkan kadar metabolik badan walaupun semasa rehat. Cari dan amalkan senaman yang praktikal, sesuai dan disukai agar ianya boleh dilakukan setiap hari. Beban kerja harian bukanlah alasan untuk mendapatkan 20 ke 30 minit untuk bersenam setiap hari.

Senaman di rumah sama ada menggunakan alat, mesin senaman atau semudah melakukan aerobik mahupun tarian berpandukan pita video boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja, walaupun seawal pagi atau lewat malam.

(c) Penggunaan ubat-ubatan untuk menurunkan berat badan, turut serta dalam program-program pelangsingan badan dan pembedahan bukanlah perkara mudah selain melibatkan kos yang sangat tinggi. Kaedah ini adakalanya mendatangkan risiko dan kesan sampingan. Mungkin tidak berkekalan sekiranya gaya hidup sihat tidak diamalkan. Walau bagaimanapun rawatan ini mungkin diperlukan bagi mereka yang mempunyai masalah obesiti yang serius (BMI >40-45).

Ubat seperti Metformin/Glucophage kerap digunakan untuk rawatan pesakit PCOS yang obes. Selain membantu mengurangkan masalah kerintangan terhadap hormon insulin dan mengurangkan hormon androgen dalam darah, ianya juga akan mengurangkan penyerapan karbohidrat yang mungkin akan membantu dalam penurunan berat badan secara tidak langsung. Selain itu Metformin juga dapat meningkatkan keberkesanan ubat kesuburan seperti Clomiphene.

Selain penurunan berat badan dan menjalani rawatan kesuburan, wanita yang merancang untuk hamil perlu mengambil asid folik beberapa bulan sebelum memulakan usaha kehamilan. Sekiranya mereka sudah menghidapi penyakit-penyakit seperti diabetes, darah tinggi mahupun kolesterol yang berlebihan, penyakit-penyakit ini perlu dikawal terlebih dahulu. Ada kalanya ubat-ubat yang diambil perlu ditukar, penilaian dan nasihat dari doktor yang merawat mereka turut diperlukan.

Obesiti adalah masalah kesihatan yang serius. Selain mengganggu keupayaan wanita untuk hamil, ianya juga boleh menjejaskan kesihatan ibu dan bayi sepanjang kehamilan. Selain itu boleh menjejaskan kesihatan wanita secara amnya dan menjadi punca kepada beberapa jenis kanser. Oleh itu wanita obes perlu melakukan perubahan besar. Hamizatul Maizan Mohamed

Khusus WANITA SINGLE, Sila Hadam 7 Peringatan Ini Bila Bekas Teman Lelaki Mahu Kembali!

Khusus WANITA SINGLE, Sila Hadam 7 Peringatan Ini Bila Bekas Teman Lelaki Mahu Kembali!

Bila bekas teman lelaki anda mahu kembali… Walaupun ia mungkin sukar tetapi tidak mustahil. Untuk memulakannya kembali, jadilah insan yang lebih fokus dan bersabar. Jangan terburu-buru dalam mengambil sebarang keputusan dengan cepat.

Anda mungkin sudah bijak menyesuaikan diri dengan keadaan single, walaupun masih ada lagi hati dan sayang kepadanya. Tapi tunggu dulu! Ambil masa dan hadam 7 peringatan ini sebelum beri peluang kedua kepadanya.

(1) Jangan buat kesilapan yang sama

Apabila anda ingin kembali bersama teman lelaki anda sekali lagi, ingatkan diri anda tentang apa yang berlaku dan cuba hindari perkara yang serupa berlaku lagi. Jika punca masalahnya adalah selalu bergaduh, maka ingatkan diri anda untuk bertenang apabila anda rasakan sesuatu yang tidak puas hati dan akan menimbulkan perbalahan kembali.

Cuba untuk menjadi lebih baik tetapi bukan kerana dia, tapi untuk diri anda sendiri. Jika bekas teman lelaki anda yang sering membuat kesilapan, ingatkannya bahawa kalian harus belajar daripada pengalaman dan sama-sama memperbaiki kelemahan diri.

(2) Mulakan sekali lagi

Tunggu sehingga bekas teman lelaki anda menyatakan penyesalannya dan anda boleh memberanikan diri beritahu dia bagaimana perasaan anda dan kemudian mula berbincang dengannya lagi jika dia merasakan cara yang sama. Lakukan semunya dengan mudah dan jangan terlalu rumitkan keadaan.

Jangan jumpa dia lebih daripada beberapa kali seminggu. Bekerja untuk membina asas kukuh dan bukannya melompat terus di mana anda berhenti. Jangan kembali fokus pada bekas teman lelaki anda dahulu, luangkan lebih banyak masa dengan rakan-rakan atau hanya melakukan perkara sendiri seperti yang dilakukan oleh anda sewaktu berpisah dengannya.

Ya! Maafkan dia tetapi beri masa untuk benar-benar mengetahui sejauh mana bekas teman lelaki inginkan anda kembali.

(3) Jangan beri harapan terlalu awal

Bergerak dari hello yang kasual ke perbualan ringkas, kemudian berbual dengannya selama sepuluh atau bahkan dua puluh minit. Pastikan anda selalu mengucapkan selamat tinggal dahulu dan jangan berbual lebih lama daripada apa yang dia mahukan.

Ini akan membuat dia lebih sedih melihat anda pergi dan merayu untuk menghabiskan lebih banyak waktu bersama. Jangan berikan dia sebarang tanda yang anda inginkan dia lagi. Anda hanya perlu menjadi sangat hebat dan mesra dan bila sampai satu tahap dia akan mahu bersama anda dan tidak mampu berpisah lagi.

(4) Jangan tertekan

Walaupun anda harus mengelak daripada membuat kesilapan yang sama! Cukup bersenang-senang dan cuba untuk tidak memikirkannya terlalu banyak melainkan jika anda mempunyai konflik. Sekiranya anda tidak rasa selamat tentang hubungan yang anda ingin kembalikan itu, cakaplah sejujurnya apa yang yang terbuku di hati.

(5) Mulakan dengan segar

Jangan memikirkan ini sebagai peluang kedua, fikirkannya sebagai dua orang yang bermula sepenuhnya untuk menjadi lebih baik dalam menangani sebarang cabaran yang datang. Walaupun anda tidak dapat melupakan masa lalu, tidak ada keperluan untuk mengatasinya atau memperbaharuinya. Lupakan keperitan itu, jika dalam hati masih ada sayang untuk terimanya kembali.

Sudah tentu, jika ada kenangan manis pada masa lalu, kenangkan kembali dan perlu memikirkan segala-galanya sebagai permulaan yang baru. Anda bermula dengan segar dan kali ini, anda lebih bijak untuk mengatasi setiap masalah yang datang.

(6) Menjadi diri sendiri

Adalah penting untuk melakukan apa sahaja untuk diri sendiri, penuhi hati dan perasaan anda sendiri. Nampak seperti pentingkan diri, tetapi ia perlu untuk merasakan diri tidak mudah dikecewakan lagi. Anda hanya perlu menukar jika anda mahu berubah, bukan hanya untuknya.

Kalau dia ingin menerima anda kembali, dia harus menerima anda seadanya. Terdapat perbezaan antara menangani kelemahan anda dan menjadi orang baru sepenuhnya. Tidak mengapa untuk menangani kelemahan anda untuk kebaikan tetapi jangan mengubah diri anda demi hubungan.

(7) Percaya pada jodoh

Jika anda sudah kembali dengan bekas teman lelaki anda sesuatu yang tidak betul berlaku, maka mungkin benar anda telah memutuskan untuk alasan yang baik bahawa mungkin tidak ada jodoh untuk kembali bersama. Sesetengah pasangan berkembang maju bersatu kembali dengan pelbagai drama tetapi hakikat dalam hati tidak seratus peratus keinginan itu ikhlas untuk kembali.

Anda perlu menerima hakikat, bahawa hubungan ini tidak sesuai untuk satu sama lain. Sekiranya masalah yang sama menjalar semula dan tidak bahagia walaupun dengan pelbagai perkara telah dilakukan, maka mungkin masa untuk mengambil keputusan, tiada jodoh antara kita.

Jujurlah dengan diri anda sendiri. Jika anda telah mencuba segala-galanya dan ia hanya tidak berfungsi, maka ia mungkin masanya untuk melepaskan saja. Anda seharusnya bangga dengan diri anda kerana sudah berusaha keras untuk kembali bersama tetapi gagal.

Sekurang-kurangnya sekarang, anda tahu bahawa ia tidak berbaloi, lebih baik untuk mengetahui kebenaran daripada bertanya-tanya apa yang mungkin berlaku jika anda berjuang untuk hatinya lagi. KR

Ungkapan ‘SAYA SAYANG IBU’ Kini Tinggal Kenangan, MAZULAIHA Reda Ketentuan Ilahi!

Ungkapan ‘SAYA SAYANG IBU’ Kini Tinggal Kenangan, MAZULAIHA Reda Ketentuan Ilahi!

Saya amat merindui suaranya terutama ungkapan ‘Sayang Ibu’ yang paling menyentuh jiwa.

Ibu mithali ini kental mengharungi ujian di mana dia harus menjaga anak yang lumpuh dan cacat kekal akibat kemalangan. Ujiannya sungguh hebat. Mazulaiha Saidin, 55, terpaksa menerima hakikat bahawa anak, Alif Hakimi Saharin yang berusia 15 tahun kini hanya mampu terbaring tanpa tindak balas normal.

Mazulaiha dan suami, Saharin Abu Talib (45 tahun) reda dengan ketentuan Ilahi. Kasih sayang terhadap Alif Hakimi tetap tidak berubah. Anak sulung mereka, Afiq Haikal Saharin berusia 17 tahun ringan tulang membantu menguruskan adiknya itu setiap hari.

Keluarga ini tergolong sebagai asnaf gharimin. Saharin berkerja sebagai pembantu tadbir sementara Mazulaiha tidak bekerja. Mereka kini menduduki rumah sendiri dengan kadar bayaran RM1,000 sebulan serta perlu membayar ansuran bulanan kereta sekitar RM700 sebulan.

MALANG TIDAK BERBAU

“Alif seorang anak yang baik, manja, ceria, disenangi ramai serta aktif bersukan di sekolah. 15 Mac 2016 adalah detik sedih buat kami sekeluarga apabila Alif terlibat dalam kemalangan antara motosikal dan kereta.

Segalanya bermula apabila Alif meminjam motosikal ayahnya yang baru pulang dari kerja. Tidak sampai 10 minit kami dimaklumkan Alif kemalangan. Waktu itu sekitar pukul 7 malam. Abangnya, Afiq bergegas ke tempat kejadian dan sedih melihat keadaan Alif waktu itu. Katanya Alif masih sedar tapi darah banyak keluar.

Mata dan hidung cedera. Afiq turut menaiki ambulan hingga ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah. Sekitar pukul 12 malam Alif dihantar ke Hospital Sungai Buloh dan ditempatkan di wad ICU. Ketika itu Alif sudah tidak sedarkan diri. Doktor mengambil keputusan untuk menjahit matanya. Hampir tiga bulan setengah Alif diwadkan di Hospital Sungai Buloh.

Kami terpaksa berulang alik. Setelah pembedahan membuka tempurung kepala dilakukan Alif terus lumpuh hingga kini,” luah Mazulaiha yang turut membawa Alif berurut dan menjalani rawatan fisioterapi di hospital.

RUTIN

“Kini Alif sudah mampu membuka matanya. Walaupun tidur namun tiada respon. Alif berada di alamnya sendiri. Terlantar dan tidak dapat mengurus diri sendiri termasuk makan minum, pakaian dan mandi. Walaupun keadaannya begitu saya tidak pernah jemu bercakap dengannya setiap hari. Saya faham Alif mahukan perhatian. Setiap malam kami bergilir-gilir menjaga Alif.

Setiap hari Alif diberikan susu khas setiap tiga jam sekali dan lampin pakai buang. Satu tin susu boleh tahan selama dua hari. Jika dulu minum ikut mulut tapi kini terpaksa pakai tiub di perut. Enam bulan sekali kena tukar tiub.

Rutin lain ialah rawatan fisioterapi dan pemeriksaan mata di hospital. Pemantauan 24 jam penting bagi memantau pengeluaran kahak, batuk dan muntah bagi mengelakkan sawan,” jelas Mazulaiha yang berasal dari Perak.

Bermula Jun 2017, Lembaga Zakat Selangor memberikan bantuan perubatan sebanyak RM600 sebulan untuk keperluan susu khas dan lampin pakai buang.

KENANGAN

“Alif bukan saja menjadi kesayangan kami sekeluarga bahkan orang-orang kampung di sini kerana sikapnya yang rajin, suka bergurau dan mesra dengan sesiapa sahaja. Kini semuanya tinggal kenangan dan saya amat merindui suaranya terutama ungkapan ‘Sayang Ibu’ yang paling menyentuh jiwa.

Saya masih ingat, sehari sebelum kemalangan Alif bersikap pelik dan kuat merajuk. Dia beria sangat hendak tidur dengan saya dan ayahnya. Hendak tidur tengah-tengah pula tu. Mungkin itulah petandanya. Saya bersyukur kerana umurnya masih panjang. Saya akan menjaganya selagi bernafas,” akhiri Mazulaiha yang susut badannya sejak menjaga Alif. Biarpun ada masalah paru-paru namun wanita ini tabah mengharungi ujian Allah SWT. AMY MOHD      

 

 

 

 

 

Lakukan 20 Tip Hebat Ini Untuk Miliki Bentuk Tubuh IDEAL & LANGSING!

Lakukan 20 Tip Hebat Ini Untuk Miliki Bentuk Tubuh IDEAL & LANGSING!

Berazam untuk tampil lebih langsing sempena tahun baru ini? Lupakan jalan pintas dan pendam segala pelan diet Hollywood yang keterlaluan sekaligus menyeksa perut. Ikuti 20 tip berikut untuk memperolehi tubuh yang lebih ramping dan sihat, seperti yang diidam-idamkan! Diet seharusnya tidak menyeksakan, tetapi lebih memenangkan, bukan! Selamat mencuba.

  1. Permulaan

Hindari tekanan yang mampu mempengaruhi cita-cita anda untuk berdiet. Jika sedang dibelenggu masalah, eloklah ditangguhkan dahulu keinginan ini sehingga minda sudah benar-benar bersedia.

  1. Tempat makan

Jadikan suatu kebiasaan untuk duduk dengan selesa dan makan di atas meja – tentu sekali bukan di dalam kereta, di atas meja pejabat atau kala tergesa-gesa!

  1. Pencahayaan

Warna yang ceria merangsang selera makan, jadi pilihlah rona kain lapik meja, napkin serta dinding ruang makan yang lembut dan neutral. Pencahayaan yang terlalu gelap atau terang mendorong mood anda untuk makan dengan banyak.

  1. Saiz pinggan

Gunakan saiz pinggan yang kecil pada setiap waktu makan. Cara ini membentuk perspektif – hidangan terlihat banyak di dalam ruang pinggan yang sempit.

  1. Masa makan

Letakkan sudu atau tangan anda ke bawah ketika sedang mengunyah makanan. Nikmatilah rasa dan teksturnya yang berbeza. Minda anda memerlukan kira-kira 20 minit untuk mentafsir mesej bahawa perut sudah kenyang.

  1. Alunan muzik

Dengarkan dendangan muzik klasik yang merdu kerana ia membantu membuai diri agar makan lebih sedikit dan teratur. Berbeza dengan alunan muzik yang rancak seperti rock & roll – ia mendorong anda makan dengan banyak dan laju.

  1. Berhenti apabila kenyang

Sebaik terasa kenyang, letakkan sudu, bangkit daripada kerusi, kemaskan sisa makanan tersebut dan sibukkan diri dengan perkara lain.

  1. Stok makanan

Pastikan setiap ruang simpanan makanan dan peti sejuk anda diisi makanan yang berkhasiat dan rendah kalori. Nyahkan segera makanan ringan yang ditemui!

  1. Bertenang

Elakkan menjamah makanan semata-mata kerana tertekan. Jika berdepan hari yang sukar, ambillah udara segar, berjalan-jalan, bermeditasi atau cukup sekadar mendengar muzik yang tenang.

  1. Gambarkan kejayaan

Gunakan imaginasi anda untuk membayangkan kejayaan. Fikirkan diri anda yang langsing, berkeyakinan tinggi serta tersenyum girang dalam persalinan indah yang diimpikan. Bayangkan perasaan bangga setiap kali anda menimbang berat badan.

  1. Hobi

Sibukkan diri daripada keinginan untuk mengudap snek dengan melakukan hobi ringan dan melekakan seperti mengait, bermain jigsaw puzzle atau membuat buku skrap.

  1. Hitung makanan

Jangan mengunyah snek terus daripada kotak bungkusannya! Asingkan jumlah atau potongan tertentu yang ingin dimakan dan simpan bakinya.

  1. Air

Pakar diet mencadangkan supaya anda minum segelas minuman berais sebelum makan untuk menyekat selera. Cecair, samada panas atau sejuk boleh membuat anda kenyang, justeru minumlah segelas air sebelum mengunyah sesuatu. Namun begitu, elakkan minuman manis dan berkarbonat.

  1. Jus buah-buahan dan sayuran

Minuman jus kaya fruktosa sememangnya amat penting buat anda yang ingin menurunkan berat badan. Kajian menunjukkan bahawa seseorang yang minum segelas jus 200 kalori setengah jam sebelum makan mampu menghapus purata 300-400 kalori ketika waktu makan berikutnya.

  1. Kalori negatif

Amalkan snek yang mempunyai paras kalori yang amat rendah seperti seleri, timun dan daun salad. Snek ini dianggap kalori negatif kerana proses persediaan, mengunyah dan menghadamnya lebih membakar kalori berbanding kalori yang terkandung di dalamnya.

  1. Hidangan waktu malam

Mengambil makanan berat pada waktu malam boleh membuncitkan perut dan membuat anda susah tidur nyenyak. Makanan berkarbohidrat seperti nasi atau mi pada waktu ini mampu memberi tekanan keterlaluan pada otot perut anda.

  1. Senarai membeli-belah

Rancang hidangan menu anda sebelum keluar membeli-belah. Usah berlegar-legar ketika membeli barang kerana anda terdorong untuk berbelanja lebih. Elakkan daripada terpedaya dengan nama-nama makanan yang enak seperti ‘Biskut Coklat Lazat Dari Ketuhar Tradisi’ kerana biasanya ia cuma indah khabar dari rupa.

  1. Baca label

Selain dapat mempelajari pelbagai informasi yang tertera, anda juga dapat mengetahui data nutrisi termasuk kiraan nilai kalori yang disediakan oleh pengeluar makanan. Semaklah dahulu sebelum membelinya.

  1. Jangan membeli ketika lapar

Kudaplah snek yang sihat dan mengenyangkan sebelum membeli-belah. Elakkan mencuba sampel makanan percuma yang diberikan kerana anda mungkin terdorong untuk membelinya.

  1. Nikmati makanan sihat

Buah-buahan tinggi serat, sayuran dan bijirin merupakan makanan bernutrisi dan boleh menurunkan berat badan. Ia mengurangkan keinginan untuk bersnek serta mengisi perut anda dengan kalori yang sedikit. Serat membuatkan anda kenyang sambil merendahkan kolesterol dan tekanan darah.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Tanpa Lamaran Istimewa, MARINA & JEFFRI Cipta Bahagia Dengan Cara Tersendiri!

Tanpa Lamaran Istimewa, MARINA & JEFFRI Cipta Bahagia Dengan Cara Tersendiri!

Kematangan, penyayang serta gemar membantu antara sifat dimiliki oleh Jeffri yang berjaya menambat hati Marina. Lebih-lebih lagi, Jeffri pandai mengambil hati keluarga Marina sekaligus menguatkan lagi keyakinan wanita cantik ini untuk hidup bersama jejaka pilihan hati.

Bagi Jeffri pula selain manja, penyayang dan memahami Marina juga seorang yang mengambil berat. Namun Marina seorang yang cukup mementingkan kesempurnaan khususnya dari segi kerja dan tegas dalam membuat keputusan. Ternyata, Marina Mohd Noor dan Jeffri Rahmat Low saling melengkapi.

PERKENALAN

“Kami mula kenal semasa sedang menuntut di University of Sunderland, United Kingdom sekitar tahun 2013. Mulanya kami sekadar berjiran dan tidak pernah bertegur sapa. Suatu hari Jeffri dan rakan serumahnya menjemput saya dan rakan-rakan ke majlis harijadi salah seorang rakannya. Itulah pertama kali berbual.

Sebulan selepas itu Jeffri mengajak pula saya makan malam. Hubungan kami makin akrab dan serasi hari demi hari. Hubungan kami berjalan lancar sebarang halangan. Ia sedikit pun tidak menjejaskan pengajian kami sebaliknya lebih membakar semangat kami berdua.

Dua tahun selepas itu barulah Jeffri bertemu keluarga saya. Alhamdulillah keluarga saya dapat menerima Jeffri. Begitu juga keluarga Jeffri yang menerima saya seadanya. Kami bersyukur keluarga kedua belah pihak merestui hubungan ini. Majlis merisik berlangsung pada Julai 2016. Tiada majlis pertunangan sebaliknya kami terus bernikah,” kongsi Marina.

TANPA LAMARAN ISTIMEWA

Tanpa lamaran istimewa daripada Jeffri sudah cukup memberi keyakinan buat Marina. Apa yang penting Jeffri berjaya menawan hati keluarganya. 25 Februari 2017 termeterailah ikatan suci pasangan ini sebagai suami isteri yang sah.

Marina yang berusia 29 tahun merupakan seorang Pegawai Farmasi berkelulusan Ijazah Sarjana jurusan Farmasi. Sementara Jeffri pula lulusan Ijazah Sarjana Muda jurusan Perniagaan dan Pengurusan. Jeffri kini berusia 28 tahun bertugas sebagai Eksekutif Logistik. Kedua-duanya graduan dari University of Sunderland, United Kingdom.

MAJLIS

Marina dan Jeffri melangsungkan majlis pernikahan dan resepsi pada hari yang sama disaksikan oleh ahli keluarga, sanak saudara terdekat serta rakan-rakan. Berkonsepkan dalam taman, pasangan ini menggunakan khidmat Deco by Dnora sebagai perancang perkahwinan. Kedua mempelai indah dalam busana berkonsepkan moden rona putih dan keemasan. Kecantikan asli Marina terserlah dengan sentuhan solekan daripada makeupbycwfarah. Sementara persalinan raja sehari daripada Innai Red.

“Semua teman serumah Jeffri bersetuju untuk menjadi pengapitnya sebagai mana impian Jeffri yang mahu melihat rakan-rakan baiknya berada di majlis istimewa ini. Begitu juga saya yang mahu semua teman baik ketika di Sunderland turut serta dalam majlis perkahwinan ini. Alhamdulillah mereka sudi hadir biarpun ada yang sibuk dengan karier di Singapura.

Salah satu momen mencuit hati yang tidak dapat kami lupakan ialah ketika Jeffri sukar memahami loghat asli Terengganu sekaligus tidak dapat menjawab beberapa soalan daripada Tok Kadi. Namun alhamdulillah segalanya berjalan lancar,” ungkap Marina.

Marina menerima sebentuk cincin, mas kahwin sejumlah RM252 diambil bersempena dengan tarikh perkahwinan, minyak wangi, set kecantikan, beg tangan dan Iphone. Jeffri pula menerima sebentuk cincin, minyak wangi, dompet, kasut, jam tangan, tali pinggang dan Iphone. Atas permintaan arwah bapa, Marina tidak menerima wang hantaran. Wsvs.com bertindak selaku videografer untuk majlis resepsi Marina dan Jeffri.

BULAN MADU

Berhasrat untuk melihat bunga sakura dan menjelajah Jepun, pasangan ini memilih tarikh 19 April 2017 untuk berbulan madu selama dua minggu. Antara destinasi yang dikunjungi ialah Osaka, Kyoto, Lake Kawaguchiko dan Tokyo. AMY MOHD

Kredit Foto: SYAHMI AZMAN PHOTOGRAPHY

 

 

KORPORAT     POLISI DATA PERIBADI    PENAFIAN   •   LANGGANAN      PENGIKLANAN      KERJAYA       HUBUNGI KAMI

© Hakcipta Terpelihara • Kumpulan Karangkraf

error: