Alahai, Manisnya 4 Beradik Ni Bergaya Unik Di Hari Raya, Nampak Fashionable Tau!

Alahai, Manisnya 4 Beradik Ni Bergaya Unik Di Hari Raya, Nampak Fashionable Tau!

Menjelang Syawal, pelbagai persiapan mula direncanakan sebaik mungkin. Bukan sahaja perlu menyediakan pelbagai hidangan untuk menjamu para tetamu, persiapan diri juga perlu diberi keutamaan. Baik daripada segi pemilihan pakaian yang bakal digayakan, solekan dan sebagainya menjadi keutamaan. Tampil anggun menjadi pilihan adik-beradik ini yang mengekalkan unsur tradisi dalam busana Aidilfitri mereka.

 

Nama: Nik Suhaila Megat Deraman

Umur: 37 Tahun

Pekerjaan: Naib Pengerusi, Nang Surya House Of Beauty

 

1.BOLEH KONGSIKAN FESYEN YANG MENJADI PILIHAN ANDA DI MUSIM PERAYAAN?

Nik Suhaila: Bagi menyambut kedatangan Syawal tahun ini, saya selesa memilih kurung moden bermotifkan batik dengan perincian manik serta lace. Pada pandangan saya, fesyen batik sesuatu yang malar segar dan sesuai digayakan untuk Hari Raya mahupun kegunaan harian.

2. NAMPAKNYA ANDA AMAT MEMINATI FESYEN BATIK. MENGAPA ANDA MEMILIH BATIK SEBAGAI SEBAHAGIAN DARI GAYA FESYEN ANDA?

Nik Suhaila: Tidak dinafikan saya amat meminati corak batik sejak dahulu lagi. Pada pandangan saya, corak batik amat unik dan selesa untuk digayakan ke mana sahaja. Tambahan pula, kini rekaan corak batik telah dipelbagaikan dengan suntikan elemen moden dan memberi nilai komersil terhadap hasil seni turun-temurun ini. Selain itu, perkembangan fesyen batik juga berada pada tahap membanggakan dengan permintaan yang semakin berkembang di kalangan generasi muda.

3. KEBIASAANNYA, BAGAIMANA ANDA KEKAL CANTIK TERUTAMANYA DI MUSIM PERAYAAN?

Nik Suhaila: Sudah tentu dengan menjaga pemakanan dan amalan gaya hidup yang sihat menjadi pilihan saya tidak kira di musim perayaan atau sebaliknya. Selain itu, saya mengambil peluang kedatangan Ramadan dengan mengamalkan diet seimbang dan pemakanan yang sihat. Amalan tersebut akan diteruskan ketika menyambut kedatangan Syawal dan seterusnya.

4. DARIPADA SEGI PEMAKANAN PULA, APAKAH MENU PILIHAN ANDA DI HARI RAYA?

Nik Suhaila: Apa sahaja menu yang disediakan oleh ibu pastinya menjadi kegemaran saya. Antara menu wajib ibu termasuklah Sate Jawa, Nasi Minyak dan Nasi Dagang. Bercerita mengenai Sate Jawa menariknya menu ini menjadi menu utama kami sekeluarga yang dimasak secara tradisional dengan mengekalkan keaslian resipi turun temurun. Seawal jam 5 pagi kami adik-beradik akan membakar sate secara bergilirgilir. Juadah resipi Sate Jawa ini hanya dinikmati di Hari Raya Aidilfitri sahaja.

 

Nama: Nik Suryani Megat Deraman

Umur: 38 Tahun

Pekerjaan: Pengacara TV/CEO Nang Surya Group Sdn Bhd

 

1.BOLEH KONGSIKAN FESYEN YANG MENJADI PILIHAN ANDA DI MUSIM PERAYAAN?

Nik Suryani: Saya gemar mengenakan baju kurung moden bercorak batik atau kurung moden batik bermotifkan abstrak.

2.NAMPAKNYA ANDA AMAT MEMINATI FESYEN BATIK. MENGAPA ANDA MEMILIH BATIK SEBAGAI SEBAHAGIAN DARI GAYA FESYEN ANDA?

Nik Suryani: Saya amat menggemari corak batik. Saya berasal dari Terengganu dan keluarga mula terbabit secara langsung dalam perniagaan batik di Singapura pada awal 50-60an lagi. Di mata saya, batik ketika dahulu old fashion kerana selalu dijamu dengan pelbagai corak dan motif. Namun selepas nenek meninggal dunia, saya mula merindui perniagaan itu.

Tiga tahun lalu, atas sokongan suami saya, saya telah mereka cipta beberapa helai batik yang diinspirasikan dari motif kegemaran saya. Dari motif itu, minat saya kembali menebal terhadap batik. Saya ilhamkan rekaan eksklusif dan ilusi si pemakai nampak lebih kurus. Batik adalah identiti dan Warisan Melayu. Tidak kira motifnya ia akan memperlihatkan si pemakai lebih ayu dan cantik beridentiti Melayu. Secara tak langsung mengingatkan diri erti bersopan santun dan menjaga tingkah laku

3.KEBIASAANNYA, BAGAIMANA ANDA KEKAL CANTIK TERUTAMANYA DI MUSIM PERAYAAN?

Nik Suryani: Tampil asli dan sederhana sentiasa menjadi keutamaan saya. Definisi cantik itu sangat luas dan apabila cantik dalaman, baik tutur kata, diserikan cantik busana yang mengekalkan identiti diri pasti memperlihatkan seseorang itu unik dan ada aura sendiri. Walaupun saya arif dengan tuntutan fesyen kini lebih kepada motif elegan. Namun pada saya, tampil sederhana itu lebih cantik dan manis.

4.DARIPADA SEGI PEMAKANAN PULA, APAKAH MENU PILIHAN ANDA DI HARI RAYA?

Nik Suryani: Pasti juadah di masak oleh ibu saya Zaimah menjadi pilihan. Kebiasaan setiap kali raya, apabila giliran saya dan keluarga beraya di Kuala Terengganu juadah Sate daging, nasi impit dan kuah kacang menjadi pilihan. Tidak dilupakan menu seperti nasi minyak, bersama gulai daging dan acar. Nasi dagang ikan tongkol asli (cara masakan ala tradisi) juga Laksa Terengganu menjadi menu pilihan saya. Apa sahaja masakan air tangan ibu pasti menyelerakan.

 

Nama: Nik Sutiny Megat Deraman

Umur: 31 Tahun

Pekerjaan: Kontraktor

1. BOLEH KONGSIKAN FESYEN YANG MENJADI PILIHAN ANDA DI MUSIM PERAYAAN?

Nik Sutiny: Bagi menyambut kedatangan Syawal tahun ini, saya selesa memilih fabrik dan corak yang bersesuaian dengan bentuk tubuh. Batik dan fabrik broked kurung moden menjadi pilihan.

2. NAMPAKNYA ANDA AMAT MEMINATI FESYEN BATIK. MENGAPA ANDA MEMILIH BATIK SEBAGAI SEBAHAGIAN DARI GAYA FESYEN ANDA?

Nik Sutiny: Pada pandangan saya, batik sememangnya menjadi pakaian tradisi keluarga. Sejak kecil ibu menyediakan baju raya dan fabrik batik menjadi pilihan.Saya melihat corak batik kini lebih fashionable seiring dengan pasaran masa kini. Batik bukan hanya di pakai di musim perayaan, malah ia mula diperkenalkan sebagai pakaian rasmi kakitangan kerajaan pada hari khamis. Sekaligus menunjukkan perkembangan batik pada tahap terbaik

3. KEBIASAANNYA, BAGAIMANA ANDA KEKAL CANTIK TERUTAMANYA DI MUSIM PERAYAAN?

Nik Sutiny: Dalam memastikan penampilan menarik di musim perayaan, sudah tentunya soal pemakanan perlu diberi perhatian khusus terutamanya ketika di bulan Ramadan. Saya lebih selesa mengamalkan pemakanan yang seimbang dan minum air secukupnya. Selain itu, saya amat mementingkan penjagaan kesihatan untuk mengekalkan berat badan ideal.

4. DARI SEGI PEMAKANAN PULA, APAKAH MENU PILIHAN ANDA DI HARI RAYA?

Nik Sutiny: Sudah tentu makanan tradisi Terengganu menjadi pilihan. Antara menu wajib yang sering disediakan oleh ibu termasuklah Sate Jawa, Nasi Minyak dan Nasi Dagang. Menu Sate Jawa merupakan menu istimewa keluarga kerana ia disediakan dengan menggunakan resipi warisan keluarga. Juadah resipi Sate Jawa ini hanya dinikmati di Hari Raya Aidilfitri sahaja.

 

Nama: Nik Suzana Megat Deraman

Umur: 48 Tahun

Pekerjaan: Penasihat Fesyen Nang Surya House of Beauty

 

1. BOLEH KONGSIKAN FESYEN YANG MENJADI PILIHAN ANDA DI MUSIM PERAYAAN?

Nik Suzana: Saya tidak terlalu cerewet dalam soal pakaian yang bakal digayakan di musim perayaan. Apa yang penting, pakaian tersebut selesa untuk digayakan.Selain itu, ia masih menerapkan ciri-ciri kemelayuan.

2. NAMPAKNYA ANDA AMAT MEMINATI FESYEN BATIK. MENGAPA ANDA MEMILIH BATIK SEBAGAI SEBAHAGIAN DARI GAYA FESYEN ANDA?

Nik Suzana: Pada pandangan saya, corak batik amat unik dan selesa untuk digayakan ke mana sahaja. Saya lebih gemar memilih pakaian yang menerapkan ciri-ciri kemelayuan. Motif batik Terengganu menjadi pilihan dimana motifnya berlatarkan unsur semulajadi seperti ombak, bunga dan lakaran abstrak.

3. KEBIASAANNYA, BAGAIMANA ANDA KEKAL CANTIK TERUTAMANYA DI MUSIM PERAYAAN?

Nik Suzana: Saya amat mementingkan soal pemakanan diet seimbang bukan sahaja di bulan Ramadan, tetapi untuk hari-hari biasa juga. Dalam membuat persiapan untuk berpuasa, saya pastikan mendapat rehat yang cukup dan tidak membuat persiapan di saat akhir.

Walaupun Berdarah KACUKAN, Zahirah Macwilson & Amelia Henderson Masih Kekalkan Tradisi

Walaupun Berdarah KACUKAN, Zahirah Macwilson & Amelia Henderson Masih Kekalkan Tradisi

Kedatangan Syawal sememangnya memberi nikmat kesyukuran kepada setiap individu untuk mensyukuri setiap pemberian dariNya. Sambutan Aidilfitri tidak bererti tanpa bersama keluarga tercinta. Bagi Zahirah Macwilson, saban tahun dia dan keluarga akan menyambut Syawal di Perth australia bersama ibu tersayang.

Tambah Zahirah lagi, kebiasaannya dia akan menyambut lebaran di Perth bersama ibu tersayang dan pulang ke sana seminggu lebih awal untuk membuat persiapan bersama keluarga.

“Sejak Ira berusia dua tahun lagi, Aidilfitri akan disambut di Perth memandangkan beberapa kaum keluarga mama turut menetap di Perth. Jadi, suasana hari raya tidak banyak bezanya di Malaysia kerana terdapat ramai masyarakat Melayu di Perth,” ujar Zahirah yang turut bertuah dipilih sebagai salah seorang selebriti menghasilkan rekaan baju raya di bawah jenama Starvillion.

“Saban tahun kami akan meraikan Aidilfitri di Perth memandangkan terdapat juga saudara mara yang menetap di sana. Suasana perayaan juga terasa kemeriahannya memandangkan terdapat ramai rakyat Malaysia menetap di sana. Juadah hari raya juga satu kemestian kerana mama akan memasak rendang kesukaan kami,” ujar Zahirah yang pulang ke Perth beberapa hari menjelang Syawal saban tahun.

Dilahirkan di Malaysia, kemudian berhijrah ke United Kingdom dan kemudian menetap di Australia bersama keluarga antara perjalanan kehidupan yang sedang dilalui oleh gadis tinggi lampai ini. Walaupun sewaktu kecilnya dibesarkan di luar negara, ternyata Zahirah tidak pernah lupa akan asal usul jati diri. Keputusan untuk pulang ke Malaysia dan memberikan tumpuan penuh dalam bidang lakonan merupakan keputusan yang dilakukannya demi mengejar impian dan cita-citanya.

Pernah mendalami bidang Pengurusan Sumber Manusia sebelum mengambil keputusan bertukar arah ke bidang lakonan, Zahirah sememangnya seorang wanita yang suka menyahut cabaran dan jitu dalam membuat keputusan mengenai masa depannya.

“Saya seorang wanita yang kuat dan suka mencabar keupayaan diri. Alhamdulillah tiga tahun menjejakkan kaki sebagai pelakon drama, saya belajar dari satu tangga ke tangga yang lain untuk mencapai kejayaan

Ternyata usaha itu bukanlah mudah. Saya harus berusaha untuk mendapat kepercayaan pengarah-pengarah drama. Syukur kerana kehadiran saya diterima dan lakonan yang berbeza mengukuhkan nama saya di bibir para peminat drama tempatan,” ujar Zahirah yang enggan menumpang populariti si bapa dalam mengejar cita-citanya.

Anak sulung dari lima bersaudara ini pernah melalui episod sedih apabila kedua ibu bapanya mengakhiri ikatan perkahwinan setelah hampir 20 tahun mendirikan rumahtangga.Enggan menjadikan kisah keretakan tersebut sebagai kekurangan di dalam institusi kekeluargaan, Zahirah yakin keputusan yang dilakukan oleh kedua orang tuanya adalah untuk kebaikan bersama.

“Saya amat mengagumi mama sebagai wanita yang mempunyai personaliti yang kuat. Sebagai anak sulung, saya sememangnya akrab dengan mama dan sering berkongsi kisah suka dan duka. Mama menjadi tempat saya berkongsi apa sahaja dan kami adik-beradik sememangnya rapat antara satu sama lain.

Sebagai wanita yang memegang pelbagai peranan, Zahirah kagum melihat bagaimana ibunya mempamerkan karektor sebagai seorang wanita yang kuat dalam pelbagai aspek. Selain perlu menguruskan banyak perkara secara serentak. Mujurlah adik-beradik yang lain bersikap supportive.

“Tanpa sokongan keluarga, tak mungkin kami boleh pergi sejauh ini. Setiap kali berjauhan dari keluarga, saya tidak lupa menghubungi mereka dan bertanyakan khabar. Family is where the heart is,’ ujar Zahirah mengakhiri perbualan.

 

AMELIA HENDERSON MELARAM BAJU RAYA

Suatu ketika dahulu wajah Amelia Thripura Henderosn sering kali muncul di kaca televisyen menghiasi pelbagai ruangan iklan. Bagi model berdarah campuran India dan Scotland ini, memiliki wajah kacukan bagaikan bonus untuk dirinya memandangkan suatu ketika dahulu bayi kacukan sering mendapat tempat untuk melakonkan iklan di kaca televisyen.

“Tidak dinafikan terdapat advantage memiliki wajah kacukan ini. Saya sendiri mula berjinak dalam bidang komersil ketika berusia 10 bulan. Ketika itu, saya diberi peluang terlibat dalam iklan jenama pakaian kanak-kanak terkemuka. Selepas itu, saya banyak melibatkan diri dalam komersil sebelum menceburkan diri dalam bidang lakonan,” ujar Amelia yang memulakan karier dalam bidang lakonan pada usia 6 tahun melalui drama Edah.

Tambah Amelia lagi, sejak kecil dia sudah jatuh cinta dengan bidang seni dan memasang angan-angan untuk meneruskan kerjaya di dalam bidang seni sebaik sahaja menamatkan pengajian.

“Apabila minat telah dipupuk sejak kecil, maka ia bercambah menjadi bunga yang berkembang mengikut acuannya. Begitu juga dengan diri saya. Sejak kecil telah diberi pendedahan dalam bidang komersil seterusnya ke bidang lakonan. Jadi saya memasang impian untuk membuktikan keistimewaan yang dimiliki,” ujar Amelia yang sedang sibuk di lokasi penggambaran drama Pengantin 100 Hari bergandingan dengan Aiman Hakim Ridza.

Selain bergelar pelakon, Amelia juga ingin kembali menghangatkan pentas seni dan bidang pengacaraan kerana kepetahannya menjadikan dirinya amat disenangi dan mudah untuk didekati.

Bercerita mengenai Aidilfitri, Amelia turut berkongsi kemeriahan Aidilfitri yang diraikan bersama keluarga. Menurut Amelia, sama seperti keluarga lain, peluang untuk memasak bersama dan menyediakan juadah pagi Raya menjadi momen yang dinantikan kerana ia dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan.

“Sama seperti kebanyakan keluarga yang lain, pastinya momen memasak juadah Raya menjadi lebih istimewa kerana dapat berkumpul. Tambahan pula selepas itu dapat menikmati juadah yang di masak bersama. Sudah tentu ia kenangan yang menjadi ingatan,” ujar Amelia yang gemarkan suasana musim perayaan yang meriah dengan amalan kunjung-mengunjung antara satu sama lain.

“Satu lagi perkara yang saya gemari apabila memperkatakan tentang Hari Raya adalah pemakaian pakaian tradisi yang cantik dan ayu mata memandang. Saya juga penggemar fesyen dan amat meminati rekaan dari Rizman Ruzaini, Alia Bastamam, Nurita Harith dan Adila Long,” ujar Amelia yang memilih busana kurung moden untuk diraikan di Aidilfitri.

Katanya, Orang lelaki Takut Jumpa Doktor, Betul Ke? 30 Cara Tingkat Kesihatan…

Katanya, Orang lelaki Takut Jumpa Doktor, Betul Ke? 30 Cara Tingkat Kesihatan…

Kita selalu dengar atau pernah rasa sendiri pengalaman susah sangat nak paksa suami untuk berjumpa dengan doktor kala dijangkiti penyakit walaupun demam biasa. Ada kajian yang mengatakan orang lelaki takut jumpa doktor, tetapi tidak dapat dipastikan kajian ini, benar atau sebaliknya. Oleh itu, jom kita tingkat kesihatan orang tersayang sebelum dia terkena jangkitan penyakit.

Memiliki tahap kesihatan yang baik adalah penting untuk kesejahteraan hidup. Sebenarnya bukan sukar untuk mendapat kesihatan yang hanya menyeimbangkan kehidupan agar tidak ada yang terlebih dan tidak ada yang terkurang. Tahap kesihatan yang baik boleh merangsang kehidupan yang berkualiti dan gembira di samping keluarga tercinta. Jom ikuti tips untuk meningkatkan kesihatan.

  1. Bina otot perut

Tidak perlu membina otot perut setiap hari. Buat latihan otot perut dua atau tiga kali seminggu.

  1. Lindungi leher

Letak hujung lidah ke langit-langit ketika mengunyah makanan untuk meluruskan kepala untuk mengurangkan ketegangan leher.

  1. Lentur otot

Jika anda berusia bawah 40, lakukan regangan selama 30 saat. Jika anda berusia 40 ke atas lakukan regangan selama 60 saat.

 

  1. Bina otot dan jimat masa

Pastikan anda bersenam kurang daripada sejam. Ini kerana selepas sejam tubuh mula mengeluarkan hormon kartisol yang akan menyekat testosteron.

  1. Bersenam mengikut kemampuan

Bersenam mengikut keupayaan dan kemampuan diri. Tidak perlu menggunakan beban yang berat jika baru bermula. Cukup hanya menggunakan dumb bell sahaja.

  1. Beli kasut mengikut saiz

Beli kasut sukan pada waktu petang. Ini kerana kaki mengembang paling besar ketika petang. Jika tidak membeli saiz yang betul kaki akan sakit ketika bersenam.

 

  1. Buang segala alasan

Jika anda mahu berubah kepada yang lebih berhenti memberi alasan. Teruskan niat dan jangan menoleh ke belakang lagi.

  1. Tingkat keyakinan diri

Jika anda tidak sukan bersenam atau bersukan mula katakana kepada diri, “anda mengelak untuk bersenam kerana anda lemah,”

  1. Cedera pun perlu bersenam

Jika anda mengalami kecederaan pada tangan kanan tidak bermakna tidak perlu bersenam pada tangan kiri. Kajian mendapati senaman pada tangan yang tidak cedera boleh membantu kecederaan cepat pulih.

  1. Kerap melihat keputusan

Setiap empat minggu sekali uji diri sendiri. Cuba ukur saiz pinggang, lemak tubuh dan BMI. Anda pasti gembira jika melihat perkembangan yang sihat.

 

  1. Elak mengambil pil

Jangan mengambil pil sebaik sahaja selepas bersenam. Ubat-ubatan akan menekan perkembangan otot tubuh jika diambil selepas bersenam.

  1. Pukul bola golf

Pukul bola golf di driving range untuk memperbaiki pukulan. Jauh atau dekat tidak penting. Apa yang penting adalah menuju ke sasaran.

  1. Sembuh dengan cepat

Jangan bersenam jika sedang sakit seperti demam atau sakit kepala. Biar tubuh berehat dan jangan paksa otot melakukan sesuatu yang keras.

  1. Tambah kadar jalan

Rangsang kelajuan ketika berlari. Kedudukan kaki sepatutnya berada di bawah bukan ke kiri atau ke kanan tubuh.

  1. Elak guna tali pinggang

Jangan bersenam menggunakan tali pinggang. Ini kerana tali pinggang boleh melemahkan otot abdomen dan menyakitkan otot belakang.

  1. Kayuh dengan cekap

Bagi menambahkan lagi kecekapan mengayuh basikal cuba mengayuh menggunakan satu kaki. Ini mmapu menguatkan otot kaki dan lakukan selama 30 saat. Tukar kaki agar melakukan pergerakan yang seimbang.

  1. Regangan untuk kekuatan

Di antara satu set senaman dengan set senaman yang lain ambil masa 20 hingga 30 saat untuk merehatkan otot.

  1. Rangsang kecepatan masa

Bagi kecepatan masa dalam sukan yang menggunakan kaki cuba lakukan ini. Berdiri tegak dengan tangan di sisi. Keluarkan kaki kiri dan tubuh membongkok serta keluarkan tangan kanan untuk menyentuh kaki kiri tersebut. Tukar pula ke posisi yang berikutnya.

  1. Perbaiki otot kadar segera

Jika anda baru sahaja melakukan senaman yang agak keras kepada otot cuba kendurkan sedikit dengan melakukan senaman yang ringan.

  1. Pakai pakaian yang sesuai

Jangan buang duit membeli pakaian sukan yang tidak relevan. Beli baju yang mudah dipadankan dengan apa sahaja iaitu hitam, putih dan kelabu.

  1. Makan daging setiap hari

Makan daging sebanyak 230 gram setiap hari untuk membina otot.

  1. Jangan terburu-buru

Ketika bersenam di gim jangan terburu-buru untuk melakukan set yang seterusnya. Ambil masa yang secukupnya dan pastikan tubuh benar-benar bersedia untuk melakukan aktiviti seterusnya.

  1. Berbasikal dengan selesa

Semasa berbasikal pastikan anda mempunyai kelajuan 80 hingga 110 rpm. Kelajuan ini mampu membantu anda berkayuh lebih jauh dan tidak sakit lutut.

  1. Perbaiki keseimbangan

Gunakan kusyen sofa untuk memperbaiki keseimbangan anda (caranya dengan berdiri satu kaki atas kusyen dan baling bola daripada tangan kanan ke tangan kiri). Keseimbangan tubuh ini sangat penting buat ahli sukan.

  1. Jadi kuat dengan pantas

Lakukan senaman yang sama dengan masa yang 10 peratus setiap kali. Ini boleh memaksa otot bekerja dengan lebih kuat dan secara tidak langsung meningkatkan kekuatan diri.

  1. Fokus kepada bola

Permainan tenis boleh membantu meningkatkan fokus seseorang. Jadi untuk menjadi pemain tenis yang baik adalah dengan melatih mata fokus dengan lebih tajam lagi.

  1. Memanjat seperti Spiderman

Bagi aktiviti riadah rock climbing perlu memakai kasut yang benar-benar selesa untuk aktiviti itu. Kasut yang selesa boleh membantu pergerakan kaki yang baik untuk memanjat sehingga ke sasaran.

  1. Minum susu

Minum susu rendah lemak kerana lelaki yang mendapat 600 miligram (lebih kurang dua cawan) kalsium setiap hari mempunyai lemak dalam tubuh yang rendah.

  1. Otot lebih fleskibel

Luang masa untuk melakukan regangan agar mempunyai otot yang lebih flesibel. Kawasan yang perlu adalah lutut, bahu dan bahagian belakang.

  1. Menang dalam marathon

Bagi membina kekuatan dan ketahanan diri, latih diri untuk menang dalam marathon. Sasaran ini membuat anda berlatih dan berlatih lagi untuk menang. Secara tidak langsung memaksa anda untuk bersenam.

 

 

“Kanvas Dan Berus Jadi Kawan Baik”- YM Sharifah Bahiyah Jamalullail Keturunan Diraja Berdarah Seni

“Kanvas Dan Berus Jadi Kawan Baik”- YM Sharifah Bahiyah Jamalullail Keturunan Diraja Berdarah Seni

Melangkah masuk ke galeri seni milik YM Sharifah Bahiyah Jamalullail yang terletak di Desa Sri Hartamas, mata terpaku dengan hasil kerja tangannya yang penuh berseni. Elemen alam semulajadi menjadi elemen utama yang diketengahkan di dalam koleksinya. Tema flora seperti bunga mawar menjadikan ianya nampak begitu hidup dan menyerikan segenap ruang.

Berpeluang melihat dan menghayati hasil karya artis berdarah keturunan diraja ini antara pengalaman menarik buat diri penulis yang sememangnya kurang kemahiran dalam menilai sesuatu hasil seni. Ini kerana, setiap lukisan yang digantung pada dinding ruang pameran milik Sharifah bahiyah yang terletak di Desa sri hartamas ini seakan-akan ‘hidup’ dan penuh penceritaan.

Terhasil daripada terjemahan rasa dan ekspresi artis di atas kanvas, lukisan abstrak ekspresionis yang ditampilkan bukan saja menampilkan nilai estetika tersendiri malah turut mengajak anda untuk berfikir lebih jauh. Malah tidak salah jika dikatakan, koleksi lukisan yang ditampilkan oleh YM Sharifah Bahiyah memperlihatkan kematangan dari segi penghasilan karya bermula daripada karya awal ketika pembabitannya.

Terkenal dengan lukisan bermotif flora, Sharifah Bahiyah berkata dia kerap bereksperimen selain banyak mengetengahkan unsur bunga-bungaan yang berwarna-warni dalam karyanya ketika mula bertapak sebagai anak seni. Sambil berkongsi beberapa lukisan yang pernah dihasilkan, YM Sharifah Bahiyah sememangnya menggemari keindahan flora sebagai elemen utama lukisannya selain kini berjinak menghasilkan lukisan dalam bentuk abstrak selaras dengan perkembangan hasil seninya.

Menurut wanita berketurunan diraja Perlis dan Negeri Sembilan ini, motif flora sering menjadi pilihan di awal pembabitannya dalam dunia lukisan kerana gemarkan keindahan bunga yang membawa maksud kecantikan dan keceriaan.

“Sememangnya motif bunga amat sinonim dalam kehidupan sehari-hari. Bayangkan bagaimana gembiranya seseorang sekiranya menerima jambangan bunga sebagai hadiah daripada yang tersayang. Ia sekaligus dapat menceriakan seseorang terutamanya untuk hari-hari istimewa seorang wanita. Jadi, saya mengabadikan signifikasi bunga dan wanita dalam lukisan yang dihasilkan kerana bunga melambangkan kebahagiaan untuk setiap wanita,” jelas Sharifah Bahiyah yang anggun dengan solekan oleh Vee Muhammad dan persalinan menawan dari Syomirizwa Gupta.

BERMULA DARI HOBI

Sambil membelek beberapa koleksi yang dipamerkan di ruang pameran, penulis sempat diberi kesempatan untuk melihat sendiri ruang kerja di mana Sharifah Bahiyah menghabiskan masa menghasilkan karya seninya. Aroma cat akrilik, pelbagai jenis berus dan kanvas menjadi teman setia Sharifah Bahiyah menterjemahkan sesuatu melalui lukisan cat yang dihasilkannya.

Selain memilih motif bunga-bungaan, kini Sharifah Bahiyah turut menampilkan unsur abstrak dan sebagainya sebagai elemen utama hasil seninya. Tidak hairanlah mengapa hasil seninya amat halus memandangkan dirinya mengabadikan sepenuh minat dalam seni lukisan sejak kecil lagi.

Ketika ditanya mengenai bagaimana minat dalam dunia lukisan mula bercambah di dalam dirinya, wanita anggun ini berkata sejak zaman kanak-kanak lagi dia sudah didedahkan dengan minat melukis dan mewarna oleh bonda tersayang, Almarhum YAM Tunku Mudziah bte Tuanku Munawir.

“Sejak kecil saya mempunyai hobi melukis dan mewarna. Ketika itu, di tangan pasti akan ada scatch book untuk membolehkan saya melukis apa juga yang dilihat seperti melukis pokok, bunga dan apa sahaja yang menarik untuk dilukis. Hanya kira-kira sepuluh tahun kebelakangan ini saya mula mengambil serius mengenai seni lukisan ini dengan mengambil peluang mendaftarkan diri di kelas-kelas lukisan.

Selain itu, mungkin dek kerana minat terhadap bidang ini terlalu mendalam, saya banyak belajar sendiri melalui latihan dan pembacaan mengenai hasil karya pelukis-pelukis ternama yang boleh dijadikan sumber inspirasi,” ujar Sharifah Bahiyah yang menghargai karya agung Monet dan Van Gogh.

Ditanya mengenai pandangannya mengenai industri seni terutamanya lukisan di Malaysia, beliau berpendapat Malaysia telah berjaya melahirkan ramai pelukis yang mempunyai bakat yang besar dan boleh diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi. Namun jika diberi ruang yang lebih untuk masyarakat Malaysia lebih menghargai keindahan seni, sudah tentu hasil kerja artis tempatan mampu setanding dengan karya antarabangsa.

“Hasil seni sebenarnya adalah salah satu bentuk pelaburan untuk sampai ke pemikiran dan hati seseorang manusia. Bayangkan jika sebuah kediaman tanpa sebarang lukisan, sudah tentu ia akan terasa kosong dan tidak bermaya. Hasil seni ini memberikan anda satu dimensi baru dan suasana yang lebih nyaman. Jadi, saya melihat konteks ini sebagai salah satu kombinasi kehidupan yang memberikan sumber ketenangan buat seseorang,” ujar Sharifah Bahiyah lagi.

Hampir 10 tahun berada dalam industri, karya terbarunya banyak memperlihatkan kematangan dari segi penghasilan dan nyata berbeza daripada karya ketika awal pembabitan.Secara peribadi, karya yang dihasilkan olehnya kini adalah penanda aras bagi perjalanan kerjaya seni sejak 10 tahun yang lalu sehingga kini. Sisi kematangan bukan saja menjelaskan pengalaman dan perjalanan karya seni tapi turut diterjemahkan dari sudut  penghasilan karya itu sendiri.

Terkenal dengan lukisan campuran media cat minyak di atas kanvas, Sharifah Bahiyah berkata dia kerap bereksperimen selain banyak mengetengahkan warna-warni dalam karyanya ketika mula bertapak sebagai anak seni.

Menyentuh pula mengenai kedatangan Ramadan yang sememangnya amat dinanti-nantikan oleh seluruh umat Islam, anakanda kepada YAM Tengku Syarif Bendahara Perlis Syed Badarudin Jamalullail ini tidak terkecuali dari merasai keseronokan menyambut kedatangan Ramadan kerana ia merupakan antara momen indah yang dikenang sepanjang hayat.

Menurutnya, setiap kali kedatangan Ramadan, dia dan keluarga akan mengambil kesempatan sepenuhnya untuk sama-sama menyertai umat Islam mengerjakan solat sunat terawih di masjid ataupun di kediaman saudara-mara terdekat untuk mengeratkan ukhwah persaudaraan.

“Namun begitu, malam ke 20 Ramadan lebih istimewa kerana seluruh keluarga akan berkumpul di Istana Besar Seri Menanti dan menunaikan solat sunat terawih bersama Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir dan kerabat diraja yang lain,” ujar YM Sharifah Bahiyah yang juga merupakan anakanda saudara kepada Yang di Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Selain menunaikan solat sunat terawih, Ramadhan merupakan bulan yang  istimewa untuk melihat refleksi diri dan muhasabah diri serta bersyukur dengan nikmat kehidupan yang diperolehi. Selain itu, Sharifah Bahiyah juga menjadikan bulan istimewa ini untuk lebih bertenang dan sumber ketenangan tersebut membolehkan dirinya menghasilkan hasil seni yang lebih dekat di hatinya.

Selain menantikan kedatangan Ramadan, bulan Syawal juga menjadi momen yang ditunggu olehnya memandangkan ia membolehkan kebanyakan kaum kerabat berkumpul. Kesibukan dengan tugas seharian pastinya membataskan waktu untuk bertanya khabar.

“Sememangnya sambutan Hari Raya merupakan saat paling dinantikan kerana ia merupakan momen untuk berkumpul bersama keluarga. Kebiasaannya, saya akan mengambil giliran menyambut Hari Raya sama ada di Perlis dan Negeri Sembilan. Selepas menunaikan solat sunat Aidilfitri di masjid, seluruh kaum kerabat akan berkunjung ke Makam Diraja sebelum meneruskan tradisi memenuhi jemputan rumah terbuka di istana.

Sebelum mengakhiri perbualan, beliau sempat menitipkan pesanan supaya masyarakat Malaysia lebih berhati-hati dalam memilih juadah untuk berbuka puasa agar pembaziran tidak berlaku. Tambahnya lagi, Ramadan sewajarnya menjadi bulan untuk setiap insan bersyukur dengan nikmat yang diberikan dan soal pembaziran dari segi makanan tidak seharusnya berlaku.

“Ramadan adalah saat yang istimewa kerana nikmat dan syukur seharusnya melebihi dari segalanya. Usah terlebih berbelanja, ingat kepada umat islam lain yang berpuasa dalam keadaan serba kekurangan. Semoga Ramadan dan Syawal ini lebih diberkati untuk setiap umat Islam,” ujarnya seraya mengakhiri perbualan.

Lahir 1 Syawal, Pasangan KEMBAR Nik Aidil Maria & Nik Aidil Marina Sambut Hari Lahir Dua Kali

Lahir 1 Syawal, Pasangan KEMBAR Nik Aidil Maria & Nik Aidil Marina Sambut Hari Lahir Dua Kali

Bulan Syawal adalah bulan sangat yang sangat istimewa kerana sepanjang bulan tersebut adalah merupakan Hari Raya. Hari kemenangan dan kegembiraan, hari kesyukuran dan menambah amal kebaikan. Terdapat banyak keistimewaan di bulan Syawal yang wajar diraikan dengan rasa penuh kesyukuran.

Apatah lagi apabila dapat berkumpul bersama keluarga, ia merupakan momen yang menjadi kenangan sepanjang hayat .Kebahagiaan jelas tergambar di saat masing-masing mula berkongsi pengalaman yang sentiasa segar dalam kotak ingatan.

Bagi pasangan kembar, Nik Aidil Maria  Datuk Haji Nik Sapeia dan Nik Aidil Marina Datuk Haji Nik Sapeia, Aidilfitri merupakan momen indah dalam lipatan kisah hidup mereka memandangkan pasangan kembar ini dilahirkan pada tanggal 1 Syawal.

“Sudah tentu setiap kali tibanya Syawal ia merupakan tarikh yang istimewa di hati kami.  Kebetulan kami dilahirkan pada pagi 1 Syawal. Jadi, setiap tahun semasa kecil setiap kali tibanya  1 syawal kami akan menyambut harijadi kami mengikut kalendar Islaim. Dalam erti kata lain, kami menyambut tarikh lahir buat kali kedua selain dari tarikh lahir sebenar kami,” ujar Nik Aidil Maria mewakili kembarnya yang mengiyakan perbualan bersama penulis.

Tambah Nik Marina pula, lebih istimewa bapa tersayang, Datuk Haji Nik Sapeia Nik Yusoff mengabadikan perkataan Aidil  pada nama mereka bagi menunjukkan sinonim kelahiran pasangan kembar ini di pagi sambutan 1 Syawal.

“Bayangkan semasa kecil kami sering berpakaian sedondon dan menyambut kedatangan 1 Syawal dengan meriah apatah lagi kami dilahirkan pada tanggal satu Syawal, di mana setiap umah Islam menyambut kemenangan setelah selesai melakukan ibadat berpuasa selama sebulan.

Semasa zaman kanak-kanak, kami sering berpakaian sedondon cuma berlainan warna sahaja. Tetapi apabila semakin meningkat remaja, kami sudah mempunyai sense of fashion tersendiri dan sudah tidak menyambut hari jadi di pagi Syawal,” ujar Nik Marina sambil mengimbas keistimewaan tarikh satu Syawal bagi diri mereka.

Walaupun memori itu sudah lebih 10 tahun berlalu, zaman kanak-kanak menjadi saat terindah dan tidak mungkin dilupakan kerana tradisi yang dilakukan ketika itu sudah ditelan zaman.

Memandangkan pasangan kembar ini sudah mempunyai keluarga masing-masing, pastinya ketibaan Syawal amat dinanti-nantikan bagi membolehkan keluarga besar ini berkumpul dan meraikan Syawal dalam suasana yang harmoni dan penuh keberkatan.

Bagi Nik Marina, kebiasannya apabila menjelang satu Syawal, semua ahli keluarga akan berkumpul lebih awal bagi menyambut kedatangan bulan Syawal yang mulia. Tambah Marina lagi, seperti keluarga lain, kediaman keluarga yang terletak di Pasir Tumboh, Kota Bharu menjadi lokasi untuk kaum keluarga dan sahabat handai berkumpul dan menziarahi antara satu sama lain.

“Setiap keluarga pastinya mempunyai cara tersendiri menyambut kedatangan bulan kemenangan bagi umat Islam. Menyentuh tradisi keluarga, selepas selesai menunaikan solat   sunat Hari Raya Aidilfitri, kami sekeluarga akan berkumpul dan sesi bermaaf-maafan mula mengambil tempat. Saat begini pastinya terbit rasa syahdu apabila masing-masing saling meminta dan memberi kemaafan. Tetapi ia adalah momen yang menyentuh hati dan memberi kesan di hati masing-masing. Selepas itu, barulah kami sekeluarga akan menziarahi pusara datuk dan nenek yang telah kembali ke Rahmatullah,” ujar Nik Marina yang sering menerima kehadiran tetamu di kediamannya dari pagi sehingga ke lewat malam.

Bagi Nik Maria, ibu tunggal kepada dua cahayamata pula berkata, saban tahun dia dan dua permata hatinya akan menyambut Syawal di Kota Bharu Kelantan. Pulang ke Negeri Cik Siti Wan Kembang empat hari sebelum Aidilfitri sudah menjadi rutin tiga beranak ini setiap kali tibanya Syawal. Tambah Maria lagi, tidak sah sambutan Aidilfitri jika tidak dapat berkumpul bersama keluarga besarnya di Kelantan tambahan pula kemeriahan Aidilfitri lebih terasa apabila berada di samping keluarga tersayang.

 

KEMERIAHAN LEBARAN

Tidak sah memperkatakan tentang keistimewaan Syawal tanpa menyentuh juadah kegemaran yang menjadi pilihan di musim perayaan. Bagi pasangan kembar ini, selera masing-masing terhadap juadah tradisional amat menyerlah apabila kedua-duanya sepakat memilih menu Kuzi Ayam sebagai menu kegemaran mereka.

“Juadah kegemaran kami semasa hari raya sudah semestinya kuzi ayam. Saya masih ingat keenakan menu kuzi ayam yang dimasak oleh arwah nenek dan mak. Lebih berselera apabila menu kuzi ayam dijamah bersama ketupat tawar dan dicicah bersama air gula Melaka.  Alhamdullilah saya sempat belajar dari mak  cara membuat Kuzi Ayam resepi turun temurun arwah nenek dan berjaya mendapat rasa yang sama,” ujar Nik Maria yang gemar memasak.

Bagi kembarnya yang turut menggemari menu yang sama menambah kebiasannya dia lebih gemar menyediakan sendiri aneka kek dan biskut untuk dinikmati oleh para tetamu yang berkunjung ke rumah.

“Saya dan Maria mempunyai tugasan masing-masing apabila tiba musim raya. Kebiasaannya dia akan memasak hidangan seperti nasi dagang dan kuzi. Semasa zaman kanak-kanak saya sering fikir tidak perlu belajar memasak tetapi apabila sudah berkeluarga, saya perlu mempelajari pelbagai menu hasil air tangan ibu kerana ia merupakan warisan turun-temurun yang paling bernilai. Memang benar kata pepatah masakan ibu adalah masakan terbaik di dunia. Jadi, saya dan Maria mahu menambahkan lagi ‘ilmu memasak’ terutamanya resipi keluarga agar ianya tidak pupus dan dilupakan begitu sahaja,” ujar Marina lanjut.

Tidak sah jika tidak mengajukan persoalan mengenai sambutan Aidilfitri bagi pasangan kembar seiras ini tanpa menyentuh mengenai fesyen yang digemari oleh kedua-duanya. Melihat dari segi penampilan, kedua-duanya tidak banyak berbeza antara satu sama lain dan penulis pasti sense of fashion kedua-duanya juga tidak jauh berbeza. Namun begitu, telahan penulis ternyata meleset memandangkan Maria mahupun Marina mempunyai citarasa fesyen yang agak berbeza.

“Walaupun kami dilahirkan sebagai pasangan kembar, pilihan gaya berfesyen sedikit berbeza antara satu sama lain. Sebagai contoh, Marina lebih gemarkan gaya yang ringkas dan elegan manakala maria lebih gemar mengikut fesyen terkini. Namun begitu, berbalik kepada fesyen semasa menyambut Aidilfitri, kami sepakat memilih gaya yang lebih elegan namun masih sopan dan tidak terlalu sarat dengan perhiasan jemeki. Maklumlah, jika terlalu sarat bergaya pastinya menyukarkan kami melayan para tetamu yang berkunjung ke rumah. Yang penting, pemilhan pakaian biarlah selesa dan sopan serta anggun,” ujar Nik Maria mewakili kembarnya.

Ditanya pula mengenai pengalaman Aidilfitri yang menjadi memori indah dalam diri mereka, Nik Marina yang pernah menyambut ramadan dan Aidilfitri di perantauan berkongsi momen meraikan hari istimewa jauh dari keluarga tersayang.

“Saya pernah berjauhan dengan keluarga ketika saya mengikut suami bertugas di utara Jepun selama 2 tahun Memang terasa sedih  ketika menyambut bulan puasa dan berhari raya di negara orang. Perasaan rindu kepada ayah dan ibu sukar digambarkan dengan kata-kata. Tambahan pula, rindu hendak menjamah hidangan istimewa seperti nasi kerabu, nasi dagang dan sebagainya. Tetapi ia merupakan pengalaman yang berharga bagi diri saya dan keluarga,” ujar Nik Marina.

Manakala bagi Nik Maria pula  sejak dari kecil hingga kini tidak pernah berjauhan meraikan Aidilfitri bersama keluarga dan kenangan ketika hamil anak kedua membuktikan hubungan kekeluargaan mengatasi segalanya.

“Sambutan Aidilfitri pada 2012 merupakan Syawal yang berbeza bagi diri saya tetapi melakar kenangan indah dalam sejarah kami sekeluarga. Ketika itu, saya sedang sarat mengandung dan menunggu masa untuk melahirkan anak kedua saya Maira Qaireen Sapeia yang dilahirkan pada 3 Syawal 2011. Saya terharu kerana semua ahli keluarga sanggup meraikan Aidilfitri di Kuala Lumpur semata-mata untuk menemani saya. Ia merupakan pengorbanan Syawal yang tidak mungkin dapat saya lupakan. Bagi saya mahupun Marina menganggap keluarga adalah segala-galanya bagi kami dan tiada galang gantinya,” ujar Nik Maria seraya mengakhiri perbualan.

Bawa Netizen Dekati Sejarah Islam, Perkongsian Kembara AZRINAZ Ke Jerusalem Dapat Pujian!

Bawa Netizen Dekati Sejarah Islam, Perkongsian Kembara AZRINAZ Ke Jerusalem Dapat Pujian!

Meskipun sekadar membaca postingnya di Instagram, tapi ilmu yang dikongsikan bekas personaliti televisyen, Azrinaz Mazhar Hakim ini mampu membuatkan sesiapa saja berasa seolah-olah berada di bumi Palestin. Berpeluang mengunjungi Masjid Al-Aqsa dan kawasan sekitarnya bersama suami tercinta hujung Mei lalu, usaha Azrinaz menyampaikan kisah para anbia dan sejarah Islam yang tercipta di sana wajar diberikan pujian.

Setiap maklumat yang dikongsi cukup terperinci dan jelas memberi manfaat kepada mereka yang belum pernah menjejakkan kaki ke sana. Dengan pengalaman yang ada sebagai bekas wartawan, Azrinaz tahu bagaimana cara untuk menyampaikan sesuatu maklumat dengan lebih berkesan dan mudah difahami. Malah, beliau turut memuat naik beberapa video pendek. Macam tengok program dokumentari pula!

Azrinaz di samping suami tercinta

Dengan cuaca yang panas, banyak berjalan dan sedang berpuasa, Azrinaz tetap kelihatan bertenaga. Khabarnya, beliau juga menjalani ibadah puasa yang panjang iaitu selama 17 jam sepanjang berada di sana. Namun, ia tidak mematahkan semangatnya untuk terus meneroka dan menyelami peradaban Islam dan kisah para nabi, rasul serta sahabat.

In Amman, Jordan 🇯🇴 before crossing the border of Jerusalam #deadsea

A post shared by Azrinaz Mazhar (@azrinazmazharhakim) on

Salah satu perkara menarik yang dikongsikan adalah tentang Qubbah Al Shakra atau dikenali Dome of the Rock. Dalam perkongsian tersebut, Azrinaz ada membicarakan tentang tiga pendapat mengenai batu tergantung iaitu Ulama Tasawuf, Ulama Bahasa dan Ulama Usuluddin.

“Datanglah dengan niat untuk bersembahyang di Al-Aqsa kerana ini yang pernah disebut di dalam hadith. As-Sakhra hanyalah satu tempat di mana mikrajnya Nabi. Tergantung atau tidak itu bukan matlamatnya. Matlamatnya ialah menyaksikannya, menambahkan keyakinan kita terhadap rukun iman iaitu percaya pada kitab (Al-Quran).

Tempat adalah penting, tapi yang lebih penting adalah penghayatannya. Jika kita melihat ia tergantung, kemudian mengagungkannya lebih dari mengagungkan Allah, ia tidak memberi makna apa-apa. Semoga semakin hari, semakin iman kita terpelihara dari perkara yang boleh mengguris kesahihannya Qubbah Al Shakra.”

Selain itu, Azrinaz juga mendedahkan tentang Street of Shuhada yang terletak di Westbank, Hebron. Di sini, ia terbahagi kepada tiga bahagian iaitu yang merupakan kawasan Palestin, ditadbir oleh kedua-dua Palestin dan Israel; dan sepenuhnya oleh Israel.

“Keistimewaan Hebron adalah masjid Ibrahim di mana menempatkan makam Nabi Ibrahim a.s. Ia juga tempat berkumpulnya seluruh ahli keluarga baginda. Nabi Ibrahim adalah bapa kepada segala nabi.”

Tak ketinggalan tentang peristiwa Nabi Yunus a.s yang ditelan ikan nun.

Di Makan Nabi Yunus di sebuah masjid kecil di perkampungan Hal Hul

Di Qubbah Al Shakra

“Saya berdiri di dalam Masjid Kibli (kubah kelabu) iaitu masjid utama dalam perkarangan Al-Aqsa. Masjid ini juga dipanggil Masjid Al-Aqsa. Terdapat lima masjid di dalam kawasan ini iaitu Masjid Kibli, Qubbat Ak Sakhirah (Dome of the Rock), Masjid Marwani, Masjid Utama lama dan Masjid Buroq.

Ramai umat sering keliru dengan menganggap Dome of the Rock adalah masjid utama. Dome of the Rock menjadi tumpuan kerana kedudukan tanahnya yang paling tinggi, kubahnya diselaputi 200 kg emas dan menempatkan batu Israk Mikraj.”

Jelas Azrinaz lagi, beliau sangat bersyukur kerana Allah makbulkan doanya untuk berada di Al-Aqsa bersama suami. Tahun lalu Azrinaz berpeluang menyambut 10 Ramadan terakhir di Kota Suci Mekah. Yang pasti katanya, ia merupakan dua pengalaman berbeza yang tiada galang ganti.

Apa-apa pun, terima kasih kerana berkongsi ilmu yang sangat bernilai ini. Moga Azrinaz dan suami dikurniakan kesihatan yang baik dan sentiasa berada di bawah lindungan-Nya.

Sumber: Instagram Azrinaz Mazhar Hakim

 

KORPORAT     POLISI DATA PERIBADI    PENAFIAN   •   LANGGANAN      PENGIKLANAN      KERJAYA       HUBUNGI KAMI

© Hakcipta Terpelihara • Dikendali Oleh Astro Group

error: