Mencari SYURGA Makanan Laut? Just Seafood Boleh Buat Anda Jadi Ketagih!

Mencari SYURGA Makanan Laut? Just Seafood Boleh Buat Anda Jadi Ketagih!

Makanan berasaskan makanan laut sememangnya sering menjadi pilihan untuk dinikmati bersama seisi keluarga. Malah ada yang menjadikan menu berasaskan makanan laut sebagai pilihan utama untuk majlis keraian keluarga. Ditambah pula dengan kegilaan masyarakat kini dengan fenomena makan ala shell out yang berkonsepkan menikmati hidangan makanan laut yang diletakkan di tengah-tengah sehelai kertas yang boleh dikongsi beramai-ramai.

Kini penggemar hidangan berasaskan makanan laut boleh melepaskan keinginan menikmati hidangan makanan laut yang segar di Just Seafood yang terletak di Sunway Giza, Kota Damansara. Menurut pemilik Just Seafood,Terence Ham, restoran yang dibuka sejak penghujung tahun 2014 ini menyajikan hidangan makanan laut yang segar dan berbeza jika dibandingkan dengan beberapa restoran yang mempunyai konsep yang sama.

“Just Seafood mempunyai motto dan memegang pada prinsip menghidangkan hidangan makanan laut yang segar dan berkualiti untuk para pelanggan. Jadi, kami sentiasa memastikan makanan laut yang disajikan adalah dari kualiti terbaik bagi mengekalkan rasa segar dan keenakannya apabila dimasak bersama sos istimewa kami,” ujar Terrence sambil menghidangkan pelbagai makanan laut yang dimasak menggunakan tiga jenis sos istimewanya iaitu Louisiana Cajun, Butter Milk dan Creamy Peanut.

TIGA SOS ISTMEWA

Tambah Terrence lagi, Just Seafood mengetengahkan tiga jenis sos istimewa yang mana setiap sos pastinya menepati citarasa masyarakat Malaysia yang semakin bijak memilih hidangan yang enak dan berkualiti untuk dinikmati.

“Kami menggunakan tiga jenis sos istimewa iaitu Lousiana Cajun, Butter Milk dan Creamy Peanut untuk dimasak bersama hidangan makanan laut yang terdiri daripada aneka kerang-kerangan, ketam dan udang. Di samping itu, hidangan tersebut turut disertakan dengan aneka sayur-sayuran yang bersesuaian antaranya termasuklah lobak merah, jagung dan ubi kentang. Pelanggan boleh menikmati hidangan ini sama ada memesan nasi atau roti bawang putih,” ujar Terrence yang sememangnya menjalankan penyelidikan yang berterusan untuk memastikan kualiti sos yang dihasilkan menepati citarasa pelanggan.

Menyentuh mengenai penyelidikan dan pembangunan sebelum sos tersebut diperkenalkan kepada para pelanggan, menurut Terrence lagi dia dan rakan kongsi mengambil masa selama beberapa bulan untuk mencuba sos seperti Lousiana Cajun bagi mendapatkan konsistensi yang sama di samping menepati citarasa masyarakat Malaysia. Sos yang dihasilkan mendapat inspirasi dari pelbagai citarasa antaranya termasuklah Amerika Syarikat, Vietnam dan citarasa tempatan. Sos Lousiana Cajun popular di kalangan masyarakat Vietnam di Lousiana, Amerika Syarikat.

“Saya dan rakan kongsi mengambil masa kira-kira dua bulan untuk makan hidangan yang sama setiap hari untuk memastikan rasa yang sama untuk sos tersebut. Kami mahukan yang terbaik untuk para pelanggan. Jadi, kami sanggup melakukan beberapa perubahan untuk mendapatkan rasa yang terbaik untuk para pelanggan. Malah sos Creamy Peanut diinspirasikan dari kuah sate yang sememangnya popular di kalangan masyarakat Malaysia,” ujar Terrence yang amat mementingkan kualiti terhadap setiap hidangan yang disediakan di Just Seafood.

PILIHAN SET HIDANGAN

Jika anda datang menikmati makanan laut di sini, anda boleh memilih set makanan laut untuk satu hingga dua orang, tiga atau empat orang dan lima hingga tujuh orang. Setiap set mengandungi makanan laut seperti ketam bersaiz besar, udang, udang bersaiz besar, aneka kerang-kerangan, sotong, ubi kentang, lobak merah dan jagung yang dimakan bersama pilihan nasi atau roti bawang putih.

Tambah Terrence lagi, dia mendapat inspirasi membuka restoran ini selepas ingin beralih angin dari pekerjaannya yang terdahulu yang mengusahakan perniagaan berasaskan pinggan mangkuk Chinaware. Ingin lari dari kebiasaan dan formal menikmati hidangan menggunakan kutleri dan peralatan kaca dan pinggan mangkuk, dia tertarik untuk cuba menikmati hidangan dengan cara yang berbeza. Dengan cara itu, ia dapat merubah persepsi menikmati makanan dengan lebih fokus terhadap makanan dan menikmati hidangan dalam suasana santai dan lebih kasual.

Konsep dapur terbuka di Just Seafood juga merupakan antara tarikan yang mendapat pujian di kalangan pelanggan setianya. Mana tidaknya, sambil menunggu hidangan disajikan di meja, pelanggan dapat melihat sendiri proses memasak hidangan tersebut. Konsep dapur terbuka ini amat baik bagi memastikan pihak penyedia makanan menjaga tahap kebersihan dan memastikan hidangan yang dihasilkan memenuhi standard piawaian hidangan. Selain itu, konsep restoran yang terbuka juga amat menarik untuk menikmati hidangan makanan laut secara berkeluarga dan berkumpulan. Anda boleh memilih untuk menikmati hidangan di tingkat bawah dan tin gkat atas yang boleh memuatkan sehingga 200 pelanggan pada satu masa.

Jadi, jika anda penggemar hidangan makanan laut, jangan lupa mencuba hidangan yang disajikan di Just Seafood. Selain hidangan yang segar, kualiti hidangan yang tiada kompromi menjadikan ianya salah sebuah restoran yang sesuai untuk dikunjungi seisi keluarga!

 

Hilangkan Stres Dengan Menikmati CREPE Istimewa Ini!

Hilangkan Stres Dengan Menikmati CREPE Istimewa Ini!

Pencuci mulut dalam bentuk crepe semakin mendapat tempat di hati rakyat Malaysia kerana ia mudah untuk dinikmati di samping filling yang telah dipelbagaikan. Bagi penggemar hidangan seperti lempeng nipis ini, ia bertambah menyelerakan apabila ramuan tambahan disertakan di dalamnya seperti hirisan strawberi, taburan cip coklat, hirisan pisang, krim dan sebagainya.

Terkini, penggemar hidangan pencuci mulut ini usah ketinggalan mengunjungi Marion Crepe, salah sebuah jenama yang begitu popular di Harajuku, Jepun. Membuka ruang perniagaannya di Plaza Mont Kiara, lebih 60 variasi filling boleh dipilih mengikut citarasa anda, sama ada manisan mahupun savory.

Umum sedia maklum akan ketelitian masyarakat Jepun dalam menghasilkan hidangan, Marion Crepes juga tidak terkecuali dari memberikan persembahan hidangan yang bukan sahaja menarik, tetapi memastikan kualiti bahan yang digunakan adalah pada tahap terbaik.

Menurut Ketua Pegawai Operasi Marion Crepes, Tsutomu Yumoto, Marion Crepes amat mementingkan kualiti bahan utama dalam penyediaan crepe yang enak. Dengan pilihan sebanyak 60 perasa asli dan unik yang ditawarkan, sudah pasti penggemar hidangan ini wajib berkunjung ke Marion Crepes untuk menikmati sendiri keenakan hidangan yang jenamanya telah 40 tahun berada di pasaran Jepun.

Pelanggan boleh memilih crepe berasaskan variasi buah-buahan seperti strawberi, pisang, aprikot, mangga, blueberi dan sebagainya. Di samping itu, lengkapkan crepe dengan topping yang terdiri daripada krim, sos karamel dan banyak lagi.

Jadi, usah berlengah lagi. Jika teringin hidangan yang menghilangkan stres, crepe boleh dijadikan pilihan.

 

Ini Antara Sebab Kenapa Anda Perlu Menjamu Selera Di THE PICNIC TABLE, Sajiannya Pasti Buat Pelanggan Rambang Mata!

Ini Antara Sebab Kenapa Anda Perlu Menjamu Selera Di THE PICNIC TABLE, Sajiannya Pasti Buat Pelanggan Rambang Mata!

Nama The Picnic Table by Simply Sandwiches pastinya tidak asing lagi bagi pengguna laman Instagram. Pertama kali melangkah masuk ke kafe yang berkonsepkan perkelahan ini seakan dekat di jiwa. Gaya hiasan yang comel dan santai ini memberikan ruang keselesaan untuk keluarga bersantai sambil menikmati hidangan istimewa yang menjadi trademark mereka.

Melangkah masuk ke dalam kafe, pandangan mata pelanggan pastinya akan tertumpu di satu bahagian khas untuk pelanggan duduk santai di atas kain yang dibentang di atas rumput tiruan. Ia seolah- olah memberi mood suasana berkelah di taman yang indah tetapi tanpa gangguan cuaca sama ada terlalu panas dengan terik matahari mahupun hujan.

Tidak lengkap perkelahan di dalam kafe ini tanpa menu wajib berkelah seperti aneka sandwic, pasta dan sebagainya. Malah dekorasi hiasan yang ditampilkan juga menggambarkan suasana berkelah yang sering digambarkan di kaca televisyen yang lengkap dengan pelbagai menu istimewa dan boleh ditambah dengan suasana romantik apabila sebuah gitar turut disediakan untuk anda bersantai bersama rakan-rakan dalam suasana perkelahan.

Idea pembukaan kafe berkonsepkan perkelahan ini dicetuskan hasil gabungan idea Shaheera Djaafar dan rakan kongsinya, Sharin Mohamed. Menurut Shaheera, mereka tertarik dengan budaya masyarakat di Australia yang gemar berkelah di taman atau di pantai bersama keluarga dan rakan-rakan. Sebaik tamat melanjutkan pelajaran di sana,Shaheera dan Shahrin sepakat membawa budaya tersebut dengan membuka The Picnic Table pada tahun 2014.

“Kami tertarik dengan budaya berkelah bukan sahaja di tepi pantai, malah di taman-taman juga. Apabila melihat suasana tersebut begitu nyaman dan menyeronokkan, terdetik di hati kami mengapa tidak konsep ini di bawa pulang ke tanah air dan dijadikan sebagai cara untuk merapatkan lagi hubungan kekeluargaan. Namun apabila mengenangkan keadaan cuaca di Malaysia, kami ubah konsep berkelah ke dalam bangunan tanpa gangguan cuaca tetapi masih mengekalkan konsep berkelah yang menyeronokkan,” ujar Shaheera lagi.

“Di The Picnic Table, kami turut menyediakan kemudahan menyediakan peralatan berkelah di luar mengikut keperluan dan bajet pelanggan. Kami memastikan impian pelanggan dapat direalisasikan kerana ia merupakan antara kenangan manis yang  kekal dalam ingat masing-masing.

“Selain menyediakan kelengkapan berkelah di luar, kami turut menyediakan konsep berpiknik di dalam kafe. Suasananya cukup selesa serta menghampiri suasana berpiknik sebenar untuk kepuasan pelanggan.” Sambung Shaheera lagi.

The Picnic Table turut menyediakan hampir kesemua sos di dalam hidangan tidak kira sandwic mahupun pasta bagi mengelakkan bahan pengawet yang tidak baik untuk kesihatan digunakan di dalam hidangan. Antara hidangan yang menjadi signature dish termasuklah Spageti Aglio Olio Salami Ayam, sandwich soft shell crab dan nachos yang dimakan bersama sos keju atau salsa.

 

 

 

Resipi AIR DETOKS Wajib Cuba! Memang Sedap, Segar & Mudah Disediakan

Resipi AIR DETOKS Wajib Cuba! Memang Sedap, Segar & Mudah Disediakan

Kesibukan kerja dan pemakanan yang tidak seimbang banyak menyumbang ke arah gaya hidup yang tidak sihat. Mana tidaknya, kurang prhatin terhadap soal pemakanan menjadi antara sebab masalah kesihatan seperti sembelit dan sebagainya. Jadi, amalan minuman detoksifikasi bertujuan membersihkan sistem pencernaan untuk memastikan tubuh dapat berfungsi dengan baik.

Amalkan pengambilan jus detoks hari ini untuk kesejahteraan tubuh. Penulis buku masakan, Tania Pawanteh berkongsi resipi bersama pembaca NONA

Tania Pawanteh

JUS CUKA EPAL, LIMAU GEDANG DAN KAYU MANIS

JUS CUKA EPAL, LIMAU GEDANG & KAYU MANIS

Bahan-bahan:

  • 2 sudu makan cuka epal
  • Jus dari 1 biji buah limau gedang
  • 1 sudu teh serbuk kayu manis
  • 1 sudu makan madu

Cara membuat:

Potong limau gedang dan ambil jusnya. Kemudian masukkan cuka epal diikuti dengan serbuk kayu manis ke dalam jus limau gedang tadi. Tambahkan sedikit madu dan kacau sehingga larut sebelum dihidangkan.

AIR STRAWBERI, TEMBIKAI DAN DAUN PUDINA

2.AIR STRAWBERI, TEMBIKAI DAN DAUN PUDINA

Bahan-bahan:

  • 1 cawan buah strawberi
  • 1 cawan hirisan tembikai
  • 10 tangkai daun pudina
  • 2 liter air masak

Cara membuat:

Bersihkan buah strawberi. Kemudian belah dua. Seterusnya, potong dadu buah tembikai. Masukkan air masak ke dalam jag dan campurkan buah strawberi bersama buah tembikai yang telah siap dipotong tadi. Sejukkan di dalam peti sejuk selama 4 hingga 6 jam sebelum dinikmati.

TEH DETOKS HALIA DAN KUNYIT

TEH DETOKS HALIA DAN KUNYIT

Bahan-bahan:

  • 1/2 inci halia
  • 1/2 inci kunyit hidup
  • 1/2 biji lemon (diambil jus)
  • 500ml air

Cara membuat:

Bersihkan halia dan hiris nipis. Kemudian, ambil kunyit hidup dan diketuk. Masak air sehingga mendidih sebelum memasukkan halia dan kunyit. Reneh selama 15 minit. Tutup api dan masukkan pula perahan jus lemon. Hidangkan bersama hirisan lemon.

Hanya Perlu 4 Bahan Ini Untuk Sediakan Snek Kerepek Rangup UBI NGARKU!

Hanya Perlu 4 Bahan Ini Untuk Sediakan Snek Kerepek Rangup UBI NGARKU!

Ubi ngarku atau lebih dikenali sebagai Arrow Head sering didapati apabila tibanya musim perayaan Tahun Baru Cina sahaja. Sempena kedatangan tahun anjing kali ini, snek ringan ini boleh dijadikan pilihan.

Ubi ngarku mudah diperolehi di kebanyakan pasar raya besar terutama menjelangnya perayaan masyarakat Tiong Hua ini. Ia digunakan di dalam penyediaan makanan dan turut dijadikan hidangan sampingan seperti kerepek.

Nak cuba sediakan kerepek mudah ini? Hanya 4 bahan sahaja diperlukan hasil perkongsian resipi Cef Sue M Arukin.

BAHAN-BAHAN

  • 15-20 biji ubi ngarku (arrow head)
  • Garam secukupnya
  • Serbuk lada hitam secukupnya
  • Minyak untuk menggoreng

CARA-CARA MEMBUAT

  1.  Kupas ubi ngarku dan bersihkan. Sagat ubi ngarku nipis-nipis.
  2.  Panaskan minyak yang banyak di dalam kuali. Goreng ubi ngarku hingga keperang-perangan. Toskan.
  3.  Tabur garam dan serbuk lada hitam secukupnya.
  4.  Setelah sejuk, simpan di dalam bekas kedap udara.
Nikmati Resipi IKAN Lazat & Berkhasiat Dari Ayam Brand Sempena Musim Perayaan! Jom Cuba

Nikmati Resipi IKAN Lazat & Berkhasiat Dari Ayam Brand Sempena Musim Perayaan! Jom Cuba

Sambutan Tahun Baru Cina bakal menjelang tidak lama lagi dan apabila kawan-kawan dan ahli keluarga berkumpul, pesta makan pasti tidak berkesudahan. Bagaimanapun, resipi tradisional musim perayaan biasanya mengandungi kadar lemak yang tinggi dan rendah serat yang baik.

Ayam Brand berbangga untuk memperkenalkan sembilan resepi untuk musim perayaan yang lebih sihat. Resepi ini mengandungi kebaikan Omega 3 dan kalsium daripada ikan tuna dan sardin, rantaian sederhana trigliserida (MCT) daripada santan kelapa, serta serat dan vitamin daripada nanas dan jagung manis.

Sebagai jenama yang mempunyai warisan selama 126 tahun, Ayam Brand cukup memahami aspek budaya dan masakan. Pada masa yang sama mempromosikan hidangan alternatif lebih sihat yang menggunakan makanan dalam tin keluarannya yang berkualiti tinggi, sihat dan mudah, tanpa sebarang bahan awet serta MSG tambahan.

Yee Sang tuna merupakan satu cara ideal untuk merapatkan hubungan di antara ahli keluarga sewaktu jamuan makan malam. Ia sememangnya berkhasiat dan sedap apabila disediakan dengan Ayam Brand Tuna Chunks in Organic Olive Oil dan Ayam Brand Mushrooms yang dihiris nipis.

Kemewahan hidangan itu ditambah dengan pembuka selera  Sardin Gulung Goreng atau Kukus yang menggunakan Ayam Brand Sardines in Tomato Sauce. Mudah disediakan dan cantik ketika dihidangkan, hidangan pembuka selera ini kaya dengan kalsium dan DHA, serta rasa yang mengimbau kembali kenangan lama.

Padankannya dengan Dumpling Cendawan yang diperbuat daripada Ayam Brand Mushrooms dan Ayam Brand Tuna in Organic Broth untuk kelihatan seperti hidangan mewah di rumah. Akhiri makan besar dengan pencuci mulut kacang tradisional Cina atau thong sui yang hadir dalam bentuk Mixed Bean Coconut Ice Lollies menggunakan Ayam Brand Coconut Milk.

Kuih Tart Nanas ialah hidangan yang wajib ada ketika acara Makan Besar Tahun Baru Cina. Ayam Brand Pineapple Chunks memastikan kemewahan itu hadir tanpa perlu bersusah-payah mengupas dan memotong nanas. Pada masa yang sama dapat mengekalkan rasa manis yang sederhana untuk kesihatan lebih baik.

Mulakan hari pertama Tahun Baru Cina dengan Smoothie Kelapa Mangga untuk membantu mencernakan hidangan berat yang diambil ketika makan besar serta mengekalkan tenaga yang anda perlukan sepanjang hari. Untuk hidangan sarapan dan makan tengah hari yang ringan, ambil sahaja Bubur Tuna yang mudah dan sedap, diperbuat daripada Ayam Brand Tuna Flakes Omega 3. Untuk makan tengah hari yang ringan dan sihat, cubalah Nasi Goreng Sayur menggunakan Kacang Pis, Jagung Manis dan Cendawan dalam tin Ayam Brand yang telah diproses.

Menikmati hidangan semasa musim perayaan boleh jadi lebih sihat dan kreatif apabila anda menerokai idea-idea baru. Kebanyakan resepi ini boleh disediakan lebih awal membuatkannya sesuai untuk mereka yang mempunyai gaya hidup yang sibuk. Selamat menjamu selera! ROSMAH IDAYU ABU SAMAH

KORPORAT     POLISI DATA PERIBADI    PENAFIAN   •   LANGGANAN      PENGIKLANAN      KERJAYA       HUBUNGI KAMI

© Hakcipta Terpelihara • Dikendali Oleh Astro Group

error: