Instagram, Facebook, Twitter, Wechat dan segala bentuk media sosial yang ada pada masa kini bagaikan satu keperluan bagi setiap orang. Lantaran impak laman sosial mempunyai pengaruh yang kuat, ada di kalangan pemilik akaun menggunakan kelebihan tersebut sebagai platform untuk mencari jodoh.

IKLAN

Meskipun percintaan melalui dunia siber sering menimbulkan persepsi sinis dan negatif, namun bagi insan yang pernah menemui cinta sejati di medan ini ia merupakan sebuah pertemuan yang indah untuk dikenang. Itu yang dirasai oleh Azmah Zahari, seorang wanita ceria dan lasak yang bertemu jodoh di laman WeChat tiga tahun lalu.

Menyedari pelbagai penipuan dan sindiket melibatkan wanita berlaku di media sosial, ibu berusia 30 tahun ini nyata tidak khuatir terhadap gejala seumpama itu. Baginya, setiap orang mempunyai pilihan sendiri untuk memilih dan mengelak daripada terjebak dalam aktiviti sedemikian. Jika orang yang dikenali ada agenda tersirat dan mencurigakan, dia pasti segera menjauhkan diri.

“Saya hanya ingin berkenalan dengan lelaki yang biasa sahaja. Tidak terlalu kaya dan tidak meletakkan standard tertentu untuk berkawan. Biasanya saya akan mengelak daripada terus bergaul dengan lelaki yang berhidung belang atau menggunakan gambar profil yang bukan gambar dirinya yang sebenar. Ketika berjumpa dengan Kenny dulu saya tidak tahu yang dia sebenarnya sudah tiga tahun memeluk agama Islam.

Cinta Bersatu Di WeChat, Wanita Ini CERITAKAN PERTEMUAN JODOHNYA Dengan Bekas Jejaka Kristian

Tanpa berselindung, dia mengaku dirinya seorang mualaf dan menunjukkan sekeping kad sebagai bukti keislamannya kepada saya. Dia juga malu hendak tunjuk dan bawa saya bertemu keluarganya sebab dia bukan orang senang. Setelah melihat cara dia melayan ibu bapanya, barulah saya tahu dia adalah yang terbaik buat saya,” telus Azmah.

Tambahnya lagi, suami merupakan bekas penganut agama Kristian yang berasal dari Kuching, Sarawak. Niat Kenny untuk memeluk Islam bukan kerana sering bergaul rapat dengan rakan Melayu dan mempunyai keluarga angkat di Terengganu.

IKLAN

Bahkan hidayah itu datang tatkala dia berasa tenang dan gemar menghayati alunan azan setiap kali ia berkumandang. Sikap Kenny yang penyayang, berhemah dan suka berterus-terang juga telah menambat hati Azmah yang berusia 3 tahun lebih tua daripada dirinya.

Selepas setahun bercinta, pasangan muda ini memutuskan untuk berkahwin. Tanggal 29 November 2014, Azmah dan Kenny disatukan sebagai suami isteri. Ketika sesi fotografi ini berlangsung keduanya baru sahaja meraikan ulang tahun perkahwinan yang pertama. Hasil perkongsian hidup selama setahun mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki bernama Yashkur Arief.

IKLAN

“Alhamdulillah, sejak ada Yashkur perkahwinan kami lebih bererti. Suami juga secara automatik jadi lebih bertanggungjawab dan matang. Dia juga ringan tulang menolong saya menguruskan rumah tangga dan anak. Segala urusan Yashkur, daripada mandikan bayi sampailah tidurkan anak semuanya dia yang buat.”

Azmah mungkin boleh menarik nafas lega kerana terlepas daripada godaan dan kata dusta lelaki bermata duitan. Namun, setiap wanita terutama remaja yang sedang meningkat dewasa tentunya berdepan risiko tinggi untuk terlibat dalam penipuan siber. Sebagai individu yang pernah menggunakan laman sosial dan bertemu jodoh di sini, Azmah menitipkan pesan berikut khusus buat seluruh wanita yang mencari cinta di alam siber.

Cinta Bersatu Di WeChat, Wanita Ini CERITAKAN PERTEMUAN JODOHNYA Dengan Bekas Jejaka Kristian
R.AGE

“Paling penting kita harus siasat latar belakang individu tersebut terlebih dahulu. Sekiranya tak pernah berjumpa dengan mereka, sebaiknya bawa sekali teman anda. Seboleh-bolehnya juga elakkan daripada menaiki kereta atau minta mereka datang jemput di mana-mana.

Biarlah naik kereta berasingan sekalipun janji keselamatan anda terjamin. Usah terlalu bergantung harap terhadap orang lain dan jangan sekali-kali percayakan seseorang itu 100 peratus. Macam saya sendiri, saya pasti akan bawa pepper spray atau pisau di dalam beg. Jadi, kalau terjadi sesuatu sekurang-kurangnya kita ada ‘senjata’ untuk digunakan.” Suziana Abu Daud

Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI