Mungkin ada segelintir pembaca yang masih ingat dengan watak Betty dalam siri popular Yo Soy Betty La Fea, yang memaparkan kehidupan seorang gadis bergigi besi yang sering menjadi mangsa buli di tempat kerja kerana penampilannya.

Beatriz Pinzon Solano atau Betty lakonan Ana Maria Orozco ditampilkan dengan wajah seorang gadis yang memakai pendakap gigi dan dilabelkan sebagai si hodoh oleh rakan sepejabatnya.

IKLAN

Tetapi semuanya berubah apabila dia menanggalkan pendakap giginya dan mengubah penampilan menjadi seorang gadis yang jelita. Lihat betapa terkesannya bila seseorang itu memakai pendakap gigi dan terpaksa menerima pelbagai tomahan dari mereka yang prejudis pada kecantikan.

Gigi yang tidak tersusun akan menjejaskan penampilan seseorang. Perasaan malu untuk senyum kerana susunan gigi yang berterabur sering menghantui perasaan segelintir individu.

Impian untuk memiliki senyuman persis seorang pemenang Ratu Cantik sering menjadi impian khususnya bagi wanita. Barisan gigi yang cantik tersusun menambahkan lagi seri dalam senyuman.

Bukan itu sahaja, mereka yang mempunyai masalah gigi ini juga berhadapan dengan masalah untuk mengunyah ketika makan. Kesannya makanan yang dikunyah tidak hadam dengan sempurna dan mengganggu sistem perut.

Individu yang mempunyai bentuk gigi jongang pula akan mendapat kesukaran menyebut beberapa huruf seperti ‘F’ dan ‘S’. Jadi apakah cara untuk mengatasi masalah pada mereka yang mempunyai masalah gigi jongang ataupun susunan gigi yang tidak tersusun? Adakah dengan memakai pendakap gigi atau braces ini mampu mengubah penampilan seseorang menjadi lebih yakin?

Daripada Hodoh Menjadi Cantik Jelita. Ini Sebabnya Ramai Mahu BERGIGI BESI Untuk Penampilan Masa Depan

Rawatan Ortodontik

Ortodontik merupakan proses rawatan untuk membetulkan kedudukan gigi supaya lebih tersusun dan cantik. Ortodontik atau lebih dikenali sebagai pendakap gigi ini bertujuan untuk membaiki rahang dan menyelaraskan gigi pada kedudukan yang sempurna.

Sejarah menyatakan pendakap gigi ini telah mula dipakai sekitar pertengahan kurun ke-17 di Paris. Pakar perubatan Perancis, Pierre Fauchrd (dikenali Bapa Pergigian Moden) telah melakukan banyak perubahan dalam perubatan gigi terhadap penduduk di Paris pada zaman kegemilangan pra-revolusi.

Pada awal kemunculan pendakap gigi, individu yang memakainya akan berasa rendah diri dan tidak yakin sehinggalah pendakap gigi ini ditanggalkan dalam tempoh tertentu.

Jenis Ortodontik

IKLAN

Terdapat beberapa jenis pendakap gigi yang dipasang mengikut jenis masalah pada gigi pesakit seperti:

(a) Aplians ortodontik tetap
Pendakap yang melekat pada gigi. Ia tidak boleh dikeluarkan dari mulut dan tidak sepatutnya tertanggal. Rawatan aktif biasanya mengambil masa selama dua tahun mengikut tahap kesukaran membetulkan kedudukan gigi tersebut.

(b) Aplians fungsi dan boleh tanggal
Aplians boleh tanggal adalah aplians yang boleh dikeluarkan dari dalam mulut. Aplians fungsi ialah pendakap khas yang bertujuan memperbaiki hubungan antara dua rahang atas dan bawah. Syarat memakai aplians ini ialah pesakit harus memakainya setiap masa termasuk ketika tidur.

Risiko
Memakai pendakap gigi mempunyai beberapa risiko jika pesakit mengabaikan penjagaan mulut dengan betul. Antara gejala yang sering dihadapi oleh pesakit ialah:

IKLAN
  1. Gusi bengkak dan berdarah.
  2. Ulser pada mulut.
  3. Kebarangkalian untuk gigi kembali pada bentuk asal.
  4. Tompok putih pada gigi (karies).
  5. Kesan dekalsifikasi pada permukaan enamel gigi yang dapat dilihat seperti tompok-tompok putih (white-spot) merupakan komplikasi yang paling kerap berlaku.
  6. Dekalsifikasi kepada permukaan enamel gigi adalah disebabkan oleh asid yang dihasilkan dari proses metabolisma plak. Karies juga mudah terjadi pada gigi terutamanya apabila kebersihan mulut tidak dijaga dengan rapi oleh pesakit dan jangkamasa rawatan ortodontik yang terlalu lama.

Seiring dengan perkembangan teknologi ortodontik, pendakap gigi tidak lagi tertumpu pada jenis besi (metal braces) tetapi pendakap gigi kini tampil dengan bahan daripada seramik yang hampir tidak kelihatan jika dipakai kerana warnanya yang sama dengan gigi.

Daripada Hodoh Menjadi Cantik Jelita. Ini Sebabnya Ramai Mahu BERGIGI BESI Untuk Penampilan Masa Depan

Lebih hebat lagi, pendakap gigi juga boleh didapati dalam bentuk invisalign braces yang langsung tidak kelihatan kerana diperbuat daripada bahan lut sinar. Sehubungan dengan itu, persepsi pendakap gigi sekali gus berubah daripada kehendak asal untuk membaiki kedudukan gigi menjadi lebih sempurna kepada memakai pendakap gigi untuk tampil berbeza.

Maka tidak hairanlah remaja hari ini tetap memakai pendakap gigi walaupun mereka sudah memiliki sebaris gigi yang cantik semata-mata untuk mengikut kehendak peredaran masa.

Bahaya Braces Tiruan
Pengguna dinasihatkan untuk berhati-hati membeli pendakap gigi tiruan ini kerana risikonya pada kesihatan. Menurut pakar pergigian, kandungan bahan plumbum yang terdapat pada pendakap gigi tiruan ini berupaya untuk mendatangkan risiko kanser usus. Orang ramai seharusnya lebih peka terhadap masalah ini dan mendapatkan nasihat daripada doktor gigi.

Kerajaan boleh menyekat atau mengawal penjualan pendakap gigi ini di Internet, tetapi tidak mampu untuk mengawal pembelian melalui Internet.

Amalan memakai pendakap gigi tiruan ini akan membahayakan diri pengguna kerana risikonya amat tinggi. Pendakap gigi berkualiti tinggi diperbuat daripada keluli tahan karat. Kos untuk memasang pendakap gigi di klinik pula kadangkala boleh mencecah sehingga RM4,000, berbanding pendakap gigi tiruan yang boleh diperoleh sekitar harga RM150 dengan pelbagai warna dan corak. KR

Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI