Sejak kecil, dia menyimpan cita-cita untuk bertugas di awan biru. Keasyikkan menjelajah ke setiap pelosok benua dengan penampilan anggun bergaya setiap hari bagaikan satu kepuasan kepada Sufya Subashni Nair Balen. Dilahirkan pada 14 Mei 1981, ibu kepada dua cahaya mata ini nyata memiliki pakej lengkap seorang pramugari.

“Menjadi pramugari adalah childhood dream saya. Selepas tamat persekolahan Tingkatan 5 memang saya teringin sangat hendak memohon pekerjaan ini. Tapi kerana parent mahu saya sambung belajar dulu, saya terpaksa akur dan melupakan hasrat tersebut seketika.

IKLAN

Sudahnya, saya ambil keputusan untuk melanjutkan pengajian di Malaysia Institute of Integrative Media, MIIM yang dikenali sebagai Akademi TV3 dalam jurusan Diploma Kewartawanan. Pada tahun akhir pengajian sekitar 2002, saya nekad menghadiri temu duga pramugari MAS di sebuah hotel di Melaka. Ketika itu saya baru berusia 22 tahun dan alhamdulillah, saya lulus semua peringkat ujian sekali gus terpilih mengikuti latihan di Akademi MAS selama 4 bulan di Kelana Jaya.”

MIMPI JADI NYATA

Selesai menamatkan latihan praktikal sebagai wartawan di Berita Publishing, bermulalah kerjaya impiannya sebagai pramugari apabila dia diterima masuk ke Akademi MAS dari bulan April hingga Ogos 2003. Tempoh latihan 4 bulan tersebut digunakan sebaik-baiknya sebagai persediaan awal buat bakal pramugari untuk mengenali ilmu penerbangan di samping mempelajari selok-belok sesebuah pesawat sebelum didedahkan kepada realiti sebenar.

Di Sebalik KERJAYA GLAMOR Di Awan Biru & Bergelar MUALAF, Perkongsian Bekas Pramugari Ini Sentuh Perasaan

Penerbangan dari Kuala Lumpur ke Delhi merupakan penerbangan sulungnya sebaik selesai mengikuti latihan di Akademi MAS. Walau dihimpit rasa kekok dan malu untuk berdepan para penumpang, namun perasaan gembira menjadi pramugari menandingi segala kekalutan yang dialami. Tambahan pula, tunjuk ajar dan keramahan pramugari senior banyak membantu pekerjaan Sufya ketika itu.

Memiliki lebih 10 tahun pengalaman dalam bidang penerbangan banyak mengajar isteri kepada Shan Irwan Sallehuddin ini tentang erti perjuangan hidup. Mungkin ramai yang beranggapan kerjaya ini mudah dan penuh glamor. Realitinya, hanya mereka yang bergelar pramugari sahaja tahu akan kepayahan yang terpaksa ditempuh.

Berdepan bermacam-macam ragam penumpang, berada di dalam kapal terbang untuk tempoh yang panjang dan terikat dengan jadual kerja tidak menentu adalah antara cabaran seorang krew kabin penerbangan.

Being a crew memang banyak dugaan lebih-lebih lagi being away from family. Kalau ada kecemasan melibatkan ahli keluarga kebiasannya saya jarang dapat melawat atau teman mereka. Pernah suatu masa dulu, waktu saya mengikuti penerbangan ke Stockholm, New York selama hampir 2 minggu. In the midst of the trip saya dapat SMS daripada keluarga yang abang saya mengalami kemalangan teruk.

Di Sebalik KERJAYA GLAMOR Di Awan Biru & Bergelar MUALAF, Perkongsian Bekas Pramugari Ini Sentuh Perasaan

I was so sad and lost. Tak tentu arah dibuatnya sebab kapal terbang ke KL lagi 3 hari. Ikutkan hati memang mahu saja terbang balik ke rumah, tapi sebab tanggungjawab kerja terpaksa juga cekalkan diri. Mahu atau tidak, hanya rakan setugas jadi tempat saya mengadu. Dan mereka jugalah yang banyak memberi semangat.

IKLAN

Bila sudah berkahwin dan ada anak, situasi sama juga yang harus saya lalui. Sebagai ibu, saya sepatutnya yang jaga anak apabila mereka demam tapi terpaksa pergi kerja pula. Hendak tahu perkembangan anak pun kena tunggu sampai mendarat baru boleh telefon. Luaran memang nampak macam tak ada apa-apa dan tenang saja layan dan jaga keselamatan penumpang tapi dalam hati hanya Tuhan tahu.

Daripada mula pergi kerja sampai pulang, tak habis-habis fikirkan tentang anak saya yang tengah sakit. Your mind has to be very strong dan hati kena kuat untuk lalui semua ini. Penumpang tidak tahu apa yang sedang kita alami dan sebagai pramugari, saya perlu bertindak profesional. No matter what it is, you have to put a smile on your face walau pun tengah bersedih,” bicaranya penuh semangat.

SINAR HIDAYAH

Wanita yang dikurniakan raut wajah menawan dan perwatakan lembut serta berbudi bahasa ini sebenarnya seorang yang tabah menghadapi liku hidup. Semangatnya tidak pernah patah walau seribu dugaan mendatang. 24 tahun menganut agama dan mengamalkan adat resam Hindu dan Buddha akhirnya Sufya memilih sinar kebahagiaan yang dicari selama ini.

IKLAN

Petunjuk Allah SWT datang tanpa diduga. Membesar dengan persekitaran dan bergaul rapat dengan masyarakat Melayu telah banyak mempengaruhi cara hidup Sufya. Sejak zaman persekolahan sehinggalah bekerja, kehidupannya dikelilingi dengan budaya Melayu dan ajaran Islam. Tanpa berselindung, wanita ini mengakui dia cukup terkesan melihat keindahan Islam dan mahu menganuti agama ini.

Di Sebalik KERJAYA GLAMOR Di Awan Biru & Bergelar MUALAF, Perkongsian Bekas Pramugari Ini Sentuh Perasaan

“Tanggal 17 Jun 2005 sambil ditemani suami yang ketika itu kenalan rapat, dia bersama ibu bapa serta bapa saudaranya telah membawa saya ke Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) di Kuala Lumpur untuk mengucap dua kalimah syahadah. Tiada paksaan daripada mana-mana pihak kerana memeluk Islam adalah pilihan saya sendiri.

Memang dari kecil ketika saya tinggal bersama datuk dan nenek di Negeri Sembilan, saya sudah biasa hidup dalam kejiranan yang majoritinya berbangsa Melayu. Bahkan ketika masih di bangku sekolah rendah, saya turut mengikuti subjek Pendidikan Islam. Pendek kata, cara hidup saya sama seperti orang Melayu bezanya cuma kami berlainan agama.

Keputusan untuk memeluk Islam dibuat tanpa pengetahuan keluarga. Pada mulanya, mereka agak keberatan untuk terima hakikat. Tetapi lama-kelamaan, mereka sedar dan menerima saya seadanya. Ibu saya berketurunan Cina manakala bapa pula berbangsa India. Boleh dikatakan keluarga kami berasal daripada berbilang kaum,” jelas model iklan komersial yang pernah menghiasi kempen produk Nestle, Fair & Lovely, MAS dan McDonalds ini.

Dua tahun bergelar mualaf dan mendalami Islam, Sufya akhirnya dilamar Shan Irwan. Perkenalan bersama jejaka Melayu yang dikenalinya sejak menuntut di MIIM pada tahun 2000 membawa ke jenjang pelamin.SUZIANA ABU DAUD

 

Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI