Ibu mana yang tak gembira dengan kejayaan anak-anaknya? Pulang dengan segulung ijazah, malah dari universiti terbaik dunia lagi. Begitulah khabar terbaru dari Tan Sri Shahrizat Jalil dan Datuk Seri Dr. Mohamad Salleh, pasangan bahagia itu kini sedang berdebar menunggu hari kepulangan dua anakanda mereka, Izran dan Izzana Salleh dari Amerika Syarikat.

Sejak dua tahun lepas, Izran dan Izzana sama-sama melanjutkan pengajian mereka di Harvard Kennedy School, Amerika Syarikat. Izran ke sana membawa isterinya, Ramiliya Ikhsan dan dua anak mereka, manakala Izzana tinggal bersama keluarga abangnya. Keakraban dua beradik ini cukup terserlah apabila mereka saling menjaga satu sama lain.

Selesai majlis graduasi baru-baru ini, Tan Sri Shahrizat melahirkan rasa tidak sabarnya menantikan kepulangan mereka, sekaligus menyatukan semula keluarga bahagia tersebut. Semoga dengan kembalinya Izran dan Izzana ke tanah air bakal menyambung legasi ibu mereka yang tegas berbicara, namun adil, bijak dan lembut menarik hati masyarakat.    

Izzana Salleh atau nama penuhnya Wan Izzana Fatimah Zabedah Binti Mohamad Salleh merupakan seorang wanita jelita, pintar dan terpelajar. Beliau bergiat aktif dalam organisasi pemerkasaan wanita iaitu Lean In Malaysia sebagai Pengarah Kewangan Strategik dan pernah menimba pengalaman perbankan di sebuah bank terkemuka di ibu negara. Sebelum itu, Izzana pernah bergelar usahawan di syarikatnya iaitu Real Food Company Sdn Bhd.