Meraikan Aidilfitri yang bakal tiba, banyak jenama-jenama gergasi sudah pun melancarkan himpunan busana raya untuk tahun ini. Antaranya Ariani RTW yang meneruskan kesinambungan setiap tahun bekerjasama dengan selebriti popular. Dan bersempena ketibaan Ramadan, Nona berjaya membariskan keempat-empat wajah utama Glam Lebaran by Ariani RTW – Dato’ Siti Nurhaliza, Ayda Jebat, Mira Filzah dan Bella Dally sebagai penghias kulit depan Jun 2017.

Cerita Ramadan, fenomena fesyen dan kehidupan tentulah menjadi modal bicara Nona bersama mereka. Namun satu perkara yang paling istimewa, adalah bagaimana jenama Ariani menyatukan nama-nama besar ini dalam satu kempen. Kehadiran legenda Dato’ Siti Nurhaliza yang tersohor, bergandingan dengan tiga aktres muda dan popular menjadikan suasana fotografi tambah bermakna. 

“IDOLA YANG MESRA DAN SENANG DIDEKATI” AYDA JEBAT

Ayda Jebat membesar dengan lagu-lagu Dato’ Siti Nurhaliza. Sejak kecil hingga dewasa, dia sering menjadikan Dato’ Siti sebagai idola dan cukup menyanjung tinggi karakter beliau yang mesra serta mudah didekati.

“IDOLA YANG SERBA LENGKAP DENGAN PAKEJ HEBAT” MIRA FILZAH

Rasa kagum Mira Filzah terhadap Dato’ Siti Nurhaliza jelas terlihat dalam setiap tutur katanya. Menurut gadis ini, Dato’ Siti memenuhi semua pakej penghibur yang lengkap. Seorang ikon wanita yang hebat namun kekal manis dan lemah lembut.

“BELIAU BERKARISMA TINGGI” BELLA DALLY

Pengalaman bergandingan beberapa kali untuk sesi fotografi di sisi Ikon Ariani itu, membuatkan Bella Dally tambah mengagumi perwatakan Dato’ Siti Nurhaliza. Baginya, Dato’ Siti bukan sahaja cantik dan berbakat besar, malah sangat berkarisma sebagai seorang wanita.

SIMETRI SITI

Sambil kami berbual rancak, masing-masing agak hampa apabila diberitakan bahawa Dato’ Siti tidak muncul dengan lagu raya baru pada tahun ini. Ini disebabkan beliau baru saja melahirkan album terbaru berjudul Simetri Siti sebelum ketibaan Ramadan. Walau bagaimanapun, dengan adanya lagu berunsur ketuhanan yang dihasilkan oleh Opick dalam album ini, Aku Bukan Malaikat, bagaikan mengubat kerinduan peminat terhadap lagu-lagu Dato’ Siti.

Menjelang bulan Ramadan ini, Dato’ Siti memilih untuk berehat daripada bidang seni untuk menumpukan perhatian pada ibadah. Dalam perancangan, beliau merancang untuk menunaikan umrah bersama suaminya, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa pada penghujung Ramadan nanti, kira-kira selama 10 hari.

Pandangan Dato’ Siti tentang mereka... “Baiklah, sebenarnya bagi saya, mereka bertiga adalah aktres yang sangat berbakat. Saya suka melihat Mira Filzah yang kini semakin menyerlah dalam dunia lakonan serta boleh mengacara dengan baik. Begitu juga Bella Dally yang kelihatan sangat natural. Manakala Ayda Jebat pula berpotensi untuk maju kerana dia boleh menyanyi dan berlakon. Masing-masing ada kekuatan tersendiri untuk berjaya dalam dunia seni!”

GLAM LEBARAN

Himpunan glamor ini menampilkan pelbagai pilihan seperti kurung moden polos, kurung printed moden, kebaya moden dan jubah eksklusif. Semua rekaan yang dipertaruhkan mengangkat seni cetakan dalam nuansa pastel dan terang. Paling memikat hati, tentu sekali rekaan fabrik broked yang digayakan oleh mereka sempena penggambaran ini.

Dato’ Siti Nurhaliza tampil menawan dalam persalinan Creacion by Siti Nurhaliza dan kerudung Ariani Luxe, menonjolkan lagi ketokohan wanita berusia 38 tahun ini sebagai seorang penyanyi tersohor serta usahawan berjaya. “Saya memang seorang penggemar koleksi Ariani, tidak kiralah helaian square printed, selendang mahupun instant,” ujar beliau sambil tersenyum.

Kolaborasi Ayda Jebat bersama Ariani Lebaran RTW pula merupakan yang kedua selepas tahun lalu. “Saya paling suka melihat koleksi lebaran Ariani tahun ini kerana banyak bermain dengan warna-warna pastel. Ia nampak mahal di mata saya. Lagipun warna-warna terang tidak sesuai dengan semua orang,” kata Ayda.

Buat Mira Filzah, episod kehidupannya semakin rancak di persada seni dan kini disuntik sebagai duta oleh jenama eksklusif Ariani Lebaran RTW. “Saya berasa sangat teruja apabila diberi peluang untuk menggayakan koleksi Ariani RTW. Tidak perlu berfikir panjang untuk menerima tawaran ini kerana bagi saya jenama ini sudah cukup establish dan produk yang dikeluarkan sangat cantik dan trendy mengikut permintaan pasaran sekarang.”

Dan bagi Bella Dally yang kini telah bergelar duta Ariani selama tiga tahun, dia selesa bekerjasama dengan jenama hijab tersebut yang diketahui secara umum sebagai label hijab terbaik dengan kualiti dan corak rekaannya terkini. “Mungkin dahulu saya tidak pandai dalam penggayaan hijab tetapi dengan Ariani, saya belajar dan memahami lebih cara pemakaian hijab yang betul, praktikal, mudah dibentuk dan semestinya cantik bila menggayakannya.”

Jom lihat video di sebalik tabir yang diambil bersama Dato’ Siti Nurhaliza, Ayda Jebat, Mira Filzah dan Bella Dally ini dalam majalah Nona edisi Jun 2017.