Labbaikallahumma Labbaik... Labbaika Laa Syarikalaka Labbaik...

Alhamdulilah, beruntungnya pada sesiapa yang telah mendapat panggilan Haji tahun ini. Tapi dalam keterujaan menunaikan ibadat rukun Islam kelima tersebut, penyebaran wabak penyakit harus dititikberatkan dari awal memandangkan lebih 1.8 juta* jemaah haji bakal berkumpul dari seluruh dunia. (Data Saudi Gazette, 2016)*

Musim haji bakal tiba. Seramai lebih 30,000 orang rakyat Malaysia dijangka menunaikan ibadah haji di Mekah pada tahun ini. Malangnya, kesesakan dengan jutaan jemaah dari seluruh dunia boleh meningkatkan risiko mereka mendapat jangkitan yang boleh membawa maut seperti wabak penyakit meningokokus invasif (IMD).

Bekas Ketua Pasukan Perubatan Tabung Haji, Dato’ Profesor Dr. Abdul Razak Abdul Muttalif, menjelaskan bahawa kira-kira 135,000 kematian di seluruh dunia mempunyai kaitan dengan penyakit meningokokus invasif setiap tahun. Di negara-negara yang mempunyai masalah penyakit endemik yang tinggi, ia boleh menjadi beban yang serius kepada sistem kesihatan awam.

Perunding kanan respiratori ini juga berkata, “Wabak IMD disebabkan oleh bakteria Neisseria meningitidis. Ia boleh mengakibatkan meningitis, satu bentuk jangkitan serius ke atas meninges (membran yang menyelaputi otak dan saraf tunjang).

Jika dibiarkan tanpa rawatan, ia boleh menyebabkan kerosakan otak yang teruk dan kematian bagi 50% kes. Bakteria itu juga boleh mengakibatkan masalah sepsis (jangkitan darah), pneumonia (radang paru-paru) dan jangkitan-jangkitan lain.”

Bagaimana saya boleh tahu jika saya mempunyai meningokokal meningitis?

Mereka yang dijangkiti meningokokal meningitis hanya mula menunjukkan simptom 3–7 hari selepas terdedah kepada jangkitan. Ini termasuklah demam, sakit kepala dan leher yang tegang. Kadang-kadang, orang yang dijangkiti mungkin mengalami loya dan muntah.

Disebabkan bakteria menjangkiti otak secara langsung, ia turut mempengaruhi sensitiviti seseorang terhadap cahaya (fotofobia) dan mungkin menjejaskan status mental mereka (kekeliruan).

Bagaimana cara jangkitannya?

  1. Titisan cecair daripada saluran pernafasan
  2. Batuk jarak dekat
  3. Selsema jarak dekat
  4. Bersin jarak dekat

Penyakit itu mengakibatkan kadar kematian sekitar 10%-15% di kalangan mereka yang terkena jangkitannya. Di kalangan pesakit yang sembuh pula, ramai yang mengalami kecacatan kekal seperti hilang anggota badan, pekak, masalah pada sistem saraf atau kerosakan otak.

Dato’ Dr. Abdul Razak menegaskan bahawa vaksinasi merupakan cara yang berkesan untuk membantu mencegah penyakit meningokokus. Jemaah haji mempunyai dua pilihan vaksin iaitu meningokokus polisakarida dan vaksin meningokokus konjugat.

Bawa Pulang Barakah, Elak Mudarat

Kerajaan Arab Saudi telah mewajibkan semua jemaah haji supaya mendapatkan vaksin untuk mencegah IMD. Disebabkan itu, program Immunise4Life dilancarkan dengan kerjasama Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMAM) dan GlaxoSmithKline (GSK) Pharmaceutical Sdn. Bhd., Malaysia.

“Peluang melaksanakan ibadah Haji sememangnya satu kelebihan dan keistimewaan yang besar. Kesihatan tubuh badan dan kemampuan fizikal amat penting untuk menjalankan ibadah itu dengan sebaik mungkin. Jatuh sakit akibat pelbagai penyakit terutama jangkitan meningokokus boleh menghalang para jemaah daripada menyempurnakan haji.

Selain itu, terdapat kemungkinan ia menjangkiti ahli keluarga lain apabila mereka pulang nanti. Jemaah haji seharusnya berazam untuk pulang ke rumah dalam keadaan yang kuat dari segi spiritual dan fizikalnya serta ibadah haji yang diterima oleh Allah SWT. Mereka perlu mengelak daripada dijangkiti atau menjadi pembawa bakteria meningokokus dengan mendapatkan vaksin meningokokus.

Kami berharap dapat melindungi jemaah haji dalam perjalanan suci ini dan melindungi mereka yang tersayang.” Pelancaran kempen ‘Bawa Pulang Barakah, Elak Mudarat’ dirasmikan oleh Presiden Persatuan Perubatan Islam Malaysia, Dr. Jeffrey Abu Hassan. Klik video di bawah untuk kefahaman yang lebih mendalam.