Sudah agak lama beliau menyepi. Mengasingkan diri daripada dunia perniagaan yang menjadi makanan ruji. Cuma sesekali khabar Mona Din melintas di timeline FB, membawakan kisah percutiannya dan aktiviti seharian yang ditulis dengan perspektif tersendiri.

Orangnya bukan calang-calang wanita. Selepas satu persatu kejayaan bisnes Kak Mona; Leesa Formula, Serenity Spa, Butik Hajaba, Butik Women of Jannah dan KL International Hijab Fair (KLIHF), kini beliau memilih untuk bersara dan menumpukan masa untuk beribadah.

Berbeza dengan dulu, beliau dan suami tidak lagi ‘bertungkus-lumus’ mengejar dunia. Kak Mona dan suami, Zulkefli Mohd Ali, sama-sama memilih untuk keluar dari zon selesa dan berkelana mencari pengalaman di negara orang.

Ketika Nona menemui ikon usahawan wanita negara ini di majlis Malaysia Quran Hour di Putrajaya, penampilan beliau kelihatan lebih relaks dengan riak wajahnya yang tenang. Sesungguhnya waktu ‘persaraan’ ini banyak mengubah karakter beliau yang tegas menjadi lebih peramah dan sentiasa manis melemparkan senyuman.

Meskipun kami bertemu dalam tempoh yang singkat, Kak Mona sempat berkongsi beberapa tip ini.

  1. Tetapkan target yang jelas. Saya dah siapkan diri sejak dua tahun lepas untuk meninggalkan dunia kerjaya dan dalam rancangan persaraan itu, saya masukkan keinginan untuk melawat dunia.
  2. Gunakan wang simpanan secara bijak. Saya pilih untuk menggunakan sedikit simpanan kami untuk melawat dunia ciptaan Allah Taala. Dalam setahun ini, setiap bulan kami jelajah beberapa negara.
  3. I used to have everything... empayar perniagaan yang besar, rumah yang besar, kereta yang besar, handbag mewah dan segala-galanya. Tapi sekarang sudah masanya untuk kembali ke fitrah. Saya mahu mencari Akhirat dan cuba memperbaiki diri.
  4. Saya selalu cuba mendekatkan diri ke jalan Allah dan menjadikan Al-Quran sebagai teman karib saya.

Klik video interview untuk cerita selanjutnya. Kata-kata beliau yang terakhir buat kami semua sebak nak menangis!