Manusia selalu lupa, maka sebab itu kita harus saling ingat-mengingatkan. Dalam menantikan ketibaan Syawal kira-kira seminggu lagi, apa kata anda berjaga-jaga dengan kesilapan di bawah ini sebagai persiapan menangkis dosa kering pada musim perayaan.

Sambung buat dosa

Selepas bulan Ramadan berakhir, ada pula yang berniat menyambung dosa yang ditinggalkan. Contohnya menangguhkan pergaduhan pada bulan puasa, maka Syawal bolehlah bergaduh kembali. Atau cuti raya dijadikan pesta maksiat apabila ramai yang ber-dating, bersyahwat melalui media sosial atau laman chatting, berdua-duaan dengan teman wanita atau sebagainya.

Tip: Kebaikan baru nak bersebati dengan hati, tapi bila raya je lebur semuanya. Jadi istiqamahlah dalam membuat kebaikan. Tanamkan sifat-sifat baik yang kita semai semasa berpuasa dan teruskan sampai bila-bila pun.

Bersentuhan

Jangan berjabat tangan di antara lelaki dan wanita bukan muhrim ketika berziarah, hatta sepupu paling rapat sekalipun. Lebih lagi di kalangan pemuda dan pemudi, cukup dengan hanya berbalas senyuman sebagai lambang kemesraan.

Tip: Letakkan tangan di dada, berdekatan hati sebagai tanda menolak salam yang dihulurkan. Ataupun, cuba elak laluan dengan lelaki yang anda tahu gemar berjabat tangan. Lebih baik jangan bertembung secara berdepan, bukan?

Berfesyen keterlaluan

Tidak salah mahu berfesyen tapi janganlah memakai pakaian yang mendedahkan susuk badan. Rekaan baju yang nipis serta singkat juga tidak sepatutnya dipakai sewaktu bertandang ke rumah orang.

Tip: Potongan baju yang longgar seperti jubah atau kaftan juga boleh kelihatan cantik jika pandai menggayakannya. Tiada istilah ketinggalan zaman apabila menutup aurat dengan sempurna, walaupun tak pakai baju rekaan designer!

Jaga aurat

Semasa berkumpul di rumah ibu bapa, ambil berat soal aurat di antara satu sama lain. Contohnya adik ipar perempuan tidak menutup aurat di rumah sedangkan abang iparnya ada di situ. Termasuk juga, tidur secara terbuka di ruang tamu sehingga membolehkan ipar duai melihat aurat yang terdedah.

Tip: Pertimbangkan untuk tinggal di hotel atau homestay jika bercadang untuk balik kampung. Khasnya di rumah ibu bapa yang kekurangan bilik tidur bagi menjaga privasi anda sebagai isteri dan anak-anak perempuan. Nak keluar bilik mandi bertuala pun segan!

Pakai wangian

Disebabkan mahu berjumpa saudara mara, janganlah memakai wangian yang kuat dan bersolek seperti artis. Raya bukan tiket anda untuk mendedahkan diri pada lelaki bukan muhrim.

Tip: Banyak dugaan untuk membeli pewangi yang kita gemari pada zaman sekarang. Menyembur sedikit wangian tidak mengapa, asalkan aromanya tidak terlalu kuat menarik perhatian orang lain. Memadai sekadar berbau segar dan selesa apabila didekati saja.

Meninggalkan solat

Dek kerana terlalu sibuk beraya dari pagi sampai ke malam, solat wajib sanggup ditinggalkan. Adalah lebih baik anda bawa telekung siap-siap di dalam beg supaya boleh minta kebenaran untuk bersolat di rumah orang.

Tip: Betul, idea bawa telekung itu adalah bijak sekali. Kalau anda mampu bawa beg mahal beribu-ribu harganya, apa salahnya belanja sedikit untuk beg telekung yang cantik. Nak bersolat pun senang, berhenti di R&R atau surau pun boleh bila sedang on the go.

Ziarah pusara

Elakkan berkumpul beramai-ramai di pusara hingga duduk di atas kubur orang lain dengan alasan untuk membaca Yasin. Maklumlah bacaan agak panjang dan meletihkan jika berdiri. Ada baiknya tinggalkan juga anak-anak kecil di rumah supaya mereka tidak berlari-lari di kawasan ini.

Tip: Tidak semestinya perlu ziarah pusara untuk bacakan Yasin buat orang tersayang. Kita boleh saja kirimkan doa dari rumah, kerana tiada hijab yang menyekat doa kita agar sampai kepada si mati. Biarlah orang lelaki saja yang ke pusara untuk mengemas atau membersihkan rumput.