"Abang ni balik lewat pergi meeting ke jumpa wanita lain?"

"Eh, mana datang bau wangi ni? Ada lori minyak wangi perempuan tumpah ke kat baju Abang?"

Dalam masyarakat kita, pasangan suami isteri suka berkias secara halus. Sikap tidak mahu berkonfrontasi dan menegur secara terus terang membuatkan mesej yang ingin diluahkan, tidak kesampaian. Sebaliknya teguran dinyatakan dalam bahasa yang sarkastik atau agresif.

Budaya menyindir tidak seharusnya diamalkan, lebih-lebih lagi jika suami anda seorang yang sensitif, cepat terasa atau mudah tersinggung. Sifat suka melemparkan ayat-ayat sarkastik dalam rumah tangga juga merupakan signal awal masalah komunikasi yang tidak efektif di antara suami isteri.

Oops... Kenapa Wanita Suka Menyindir?

(a) Tidak Berani

Ramai suka menyindir sebagai cara menegur pasangan atau kritikan secara simbolik. Mungkin juga kerana tidak berani menggunakan ayat yang bersifat straight forward.

(b) Komunikasi Terputus

Isteri perlu selalu berwaspada setiap kali bercakap dengan suami kerana sindiran biasa berlaku secara indirect seterusnya membuatkan maruah lelaki seperti tercabar.

(c) Jadi Contoh Buruk Anak-Anak

Kebiasaan menyindir di depan anak boleh membuatkan si kecil bingung dengan komunikasi ibu bapanya. Anak anda juga tidak mustahil mencontohi sikap ini kerana tidak mengenal yang mana sindiran, yang mana gurauan.

(d) Serangan Peribadi

Niat anda untuk menyindir secara bergurau boleh disalah anggap sebagai serangan atau ancaman serius. Bimbang suami pula menunjukkan reaksi emosional secara berlebihan sehingga mengundang tanda tanya besar kepada anda.

Jadi, Apa Adab Terbaik Untuk Tegur Pasangan?

  1. Jangan besarkan masalah kecil.
  2. Tegur secara berlapik dengan nada lembut.
  3. Usah mengungkit kesalahannya di depan orang lain.
  4. Pilih masa yang sesuai.
  5. Elakkan rasa sombong dan meninggi diri.
  6. Bercakap penuh kasih sayang.