Kotak komen Nona berkedip-kedip diketuk seorang wanita... 'Saya Salmah Shafii', dia perlahan memperkenalkan diri. Mulanya Salmah yang menggunakan nama profil Puteri Impian itu mengirim satu keratan akhbar, tapi tujuannya masih kabur selain sedikit butir memohon sumbangan derma.

Tidak ingin terus berkongsi maklumat yang belum sahih, Nona cuba mendalami kebuntuan dan cerita sebenar yang membelenggu asnaf tersebut. Maklumlah zaman sekarang, niat yang ikhlas pun boleh jadi sebaliknya. Seperti kejadian tabung palsu yang viral kelmarin, kononnya untuk membiayai perubatan penyanyi Saleem.

Salmah, 36 tahun, mengangguk faham pabila kami terpaksa menanyakan beberapa soalan peribadi bagi memastikan kesahihan masalahnya. Lesu, tapi ada nada pasrah kerana berasakan dia terpaksa menggunakan saluran media untuk mendapatkan, walau sedikit wang untuk melegakan kesempitan hidup.

"Tolong... saya betul-betul sesak kekurangan duit. Nak buat belanja dapur dan anak bersekolah," rintihnya perlahan. Kalau bukan kerana benar-benar memerlukan, mana mungkin seorang wanita tergamak menebalkan muka memohon sedikit sumbangan walau seringgit untuk membeli makanan buat keluarga. Tapi Salmah Shafii terpaksa!

Dulu suami dan Puan bekerja apa? Majikan lama dan persatuan flat tahu tak tentang masalah ni?

Sebenarnya kami suami isteri berniaga tapi sejak tinggal di flat sekarang, kami hadapi masalah tiada lif untuk naik turun bawa barang berniaga. Ada segelintir penduduk flat yang tahu, terutamanya AJK KRT flat (rumah beralamat Blok F-5-12, Pangsapuri Rakyat Seri Perdana, Paroi). Tapi kami kurang bergaul atau bercampur kerana masalah kesempitan ni.

Pernah cuba dapatkan bantuan ahli keluarga lain?

Jujurnya saya tak pernah minta tolong dengan keluarga sendiri dan mereka tak tahu masalah kami sekeluarga. Tapi keluarga suami pernah bantu beri belanja sikit-sikit apabila diminta.

Bila masalah kesempitan hidup ni bermula?

Masalah kami ni sejak suami, Azhary Miswan, jatuh sakit. Dia disahkan mempunyai masalah jantung yang serius iaitu injap jantung tersumbat. Pada hari raya ketiga lepas, suami telah dimasukkan ke wad kerana penyakit tersebut. Dia juga memegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) serta mengalami masalah mental.

Jadi, macam mana berulang-alik ke hospital tu?

Kami naik kenderaan sendiri tapi masa suami sakit tenat, saya terpaksa panggil ambulans hospital untuk menyelamatkannya.

Puan kata dapat bantuan JKM, jadi apa statusnya sekarang?

Ya, saya dapat sedikit bantuan untuk kanak-kanak dengan jumlah RM300 sebulan. Tapi bulan ni langsung tak dapat sebab bantuan dilewatkan atas masalah yang saya pun kurang pasti.

Ceritakan keadaan Puan sekarang?

Saya betul-betul buntu. Pening memikirkan nak buat macam mana lagi. Ada terfikir juga nak pindah cari rumah sewa lain (rumah bawah) tapi kawasan di sini mahal sangat sewanya. Rumah yang saya duduk sekarang hanya RM150 sebulan, tapi masalahnya saya tak dapat nak berniaga kalau masih terus tinggal di flat ni.

Sejak bantuan tersangkut, urusan harian macam mana?

Kami makan apa yang ada.

Beli makanan dan sebagainya macam mana?

Kadang-kadang terpaksa pinjam pada kawan dan bayar semula pinjaman sejurus dapat wang bantuan JKM. Pernah saya jual semua barang elektrik yang ada demi mendapatkan wang untuk makan.

Puan ada usaha cari kerja?

Saya tak dapat nak kerja sebab ada anak kecil dan masih menyusu badan. Anak-anak yang besar, 3 orang sudah bersekolah.

(Dia mempunyai 4 orang anak, masing-masing berumur 14, 9, 7 dan 3 tahun. Identiti dan nama anak-anaknya terpaksa dirahsiakan)

Mereka makan apa?

Setiap hari sedikit nasi dan telur. Tiada apa nak dimasak.

Perasaan puan sekarang, boleh gambarkan pada kami?

Entah, macam mana yer... Saya tak tahu nak gambarkan perasaan ni. Saya sedih dan buntu memikirkan nasib kami. Hanya telatah mereka saja mengubat rasa resah yang mengamuk dalam hati.

Puan maklumkan hidap asma, jadi bagaimana keadaannya sekarang?

Asma jarang-jarang datang tapi saya ada pam ubat yang diambil dari klinik kerajaan.

Susah ke kalau terpaksa bekerja dengan keadaan sekarang?

Macam mana saya nak bekerja... anak-anak sekolah saya yang uruskan. Anak yang kecil tak mahu tinggal dengan orang. Lagipun saya tak mampu bayar pengasuh.

Apa keluhan anak-anak dan perasaan Puan tengok nasib keluarga?

Anak-anak tak tahu masalah yang kami hadapi. Tapi mungkin mereka faham dan cuba tak mahu menambah kesusahan yang kami alami.

Ikhtiar puan?

Hanya tawakal pada Allah moga dipermudahkan urusan. Saya sangat berharap agar ada mana-mana pihak yang sudi bantu kami, untuk mulakan semula kehidupan yang sangat susah ini.

Bisik Salmah pada Nona, besar harapannya semoga ada insan yang sudi menghulurkan sedikit sumbangan. Tidak besar pun tak mengapa.

Dari cara desakan Salmah, sebenarnya penulis faham betapa dia amat berharap akan sedikit sumbangan kecil. Kata kami, terpulanglah pada pembaca. Mungkin kalau kasihan menyentuh hati mereka, barangkali ada yang cuba membantu apa yang terdaya. Bukankah malaikat itu ada di mana-mana?

Pada yang ingin menderma, Salmah ada berkongsi maklumat akaunnya iaitu:

  • Bank: Maybank Berhad
  • Nama: Salmah Binti Shafii
  • Akaun: 155050269100

Wanita tersebut juga boleh dihubungi melalui talian 0176307318 atau 0172679011. Boleh cuba tanya khabarnya, jika mahu. #nonaprihatin