Tidak sekadar memiliki rupa paras yang cantik jelita, telah terbukti juga mereka ini memiliki kehebatan tersendiri dalam bidang seni yang diceburi.
Malah, mereka ini antara yang dikategorikan sebagai selebriti wanita antarabangsa yang hadir dengan pakej iaitu cantik dan bijak. Sebab itulah perjalanan seni mereka tidak dicemari dengan kontroversi murahan semata-mata untuk dikenali.
Sekadar memberi beberapa contoh, Nona senaraikan 5 selebriti wanita terkenal yang sinonim dengan gelaran beauty with brain.
EMMA WATSON
Nama aktres jelita kelahiran Perancis yang dibesarkan di England ini mula dikenali ramai kerana lakonannya sebagai Hermione dalam filem bersiri, Harry Potter, filem adaptasi daripada novel terkenal.
Gadis manis ini merupakan graduan Brown University jurusan kesusasteraan Inggeris. Disebabkan kepintaran dan bakatnya, Emma diangkat sebagai duta perwakilan termuda bagi Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
JULIA STILES
Julia pernah berlakon dalam filem The Prince and Me, dan juga The Bourne Identity bergandingan dengan bintang ternama iaitu Matt Damon.
Julia merupakan graduan Columbia University dalam jurusan Kesusasteraan Inggeris. Dia juga memperoleh Ijazah Sarjana bersama penganugerahan pencapaian cemerlang dari pihak universiti.
NATALIE PORTMAN
Pelakon jelita bertahi lalat di pipi ini mula dikenali menerusi filem lakonan antaranya Black Swan.
Selain cantik dan berbakat besar dalam dunia lakonan, Natalie merupakan graduan lulusan Harvard University jurusan psikologi. Natalie berjaya buktikan bahawa dia tidak bersandarkan kepada kecantikan saja malah dia juga bijak dalam akademik.
ELIZABETH BANKS
Pernah membintangi filem The Hunger Games dan Lego the Movie.
Si cantik Elizabeth merupakan lulusan University Penssylvania dalam jurusan komunikasi.
JODIE FOSTER
Aktres senior dalam industri Hollywood, bakat lakonan Jodie Foster sememangnya tak perlu disangkalkan lagi. Buktinya, dia pernah memenangi Golden Globe Award.
Sering membintangi filem-filem romantik Hollywood, Jodie Foster juga seorang wanita yang cemerlang dalam pengajiannya di mana dia merupakan graduan Yale University jurusan kesusasteraan.
Datuk Nurul Zahid Sahut Cabaran Abah, Kini Bangga Sarung Uniform Pangkat LEFTENAN
Sejak kecil memang kita telah menyimpan hasrat apabila dewasa kelak akan bekerja sebagai doktor, jurutera, peguam dan sebagainya. Ini yang dikatakan cita-cita. Namun cita-cita tidak hanya terhad ketika di bangku sekolah saja. Setelah dewasa, walaupun sudah mempunyai pekerjaan, kita masih boleh merealisasikan cita-cita yang lain pula.
Respek dengan Datuk Nurul Zahid atau nama sebenarnya Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid, walaupun sudah mencapai usia 40 tahun tapi tetap mahu menjadikan cita-citanya kenyataan. Nampaknya isteri kepada Dato’ Saiful Nizam ini boleh tersenyum bangga menyarung uniform Rejimen Askar Wataniah hasil dari usaha gigihnya.
Kegembiraan anak kepada pasangan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datin Seri Hamidah Khamis ini telah dikongsikan melalui akaun media sosialnya. Kongsinya, “Masa ni, lepas pakai pangkat Leftenan terus call PA abah tanya dia kat mana.
Cari dia kat office dan kebetulan mak pun ada baru lepas majlis rasmi. Cakap kat Abah “Look! I Did it! I made it as a Lieutenant from my sweat and hard work NOT from your position!” (Abah, Kak Long berjaya memakai pangkat Leftenan daripada titik peluh dan usaha Kak Long melengkapi Kursus untuk pakai pangkat dalam Askar Wataniah BUKAN sebab Abah sesiapa dalam Kerajaan – ketika itu),” kongsi Datuk Nurul Zahid yang memperolehi ijazah Sarjana Komunikasi Korporat dari UPM pada tahun 2012.
Kalau kita berjaya mencapai sesuatu dengan hasil usaha sendiri tanpa bantuan sesiapa memang rasa bangga dia lain macam sikit. Faham sangat bagaimana perasaan Datuk Nurul Zahid ketika ini. Kongsinya lagi, “Semasa abah menerajui Kementerian Pertahanan sebagai Menteri, saya menyuarakan hasrat untuk menyertai Askar Wataniah.
Abah bagitahu “Eleh, boleh ker? Ingat latihan askar ni macam jogging ker?” Saya ambil kata-kata itu sebagai CABARAN. Kini, setelah 7 tahun berkhidmat (dah dua kali renew ROD), masa untuk melabuhkan tirai.
Kursus Askar Wataniah yang terakhir adalah G3 (untuk melayakkan pemakaian pangkat Kapten). Dah 3 tahun sejak kursus akhir tu,” coret Datuk Nurul Zahid yang pernah mengacara rancangan Air Tangan DiRaja terbitan ASTRO yang memaparkan menu masakan istimewa dari kerabat DiRaja.
Rupa-rupanya Datuk Nurul Zahid juga mempunyai serampang dua mata. Usaha untuk menguruskan badan juga salah satu sebab beliau menyertai askar wataniah ini. Kongsinya, “Sebab-sebab gigih nak kurus pun sebab nak pergi kursus-kursus tu semua.
Bersama Askar Wataniah jiwa dan kekuatan mental terutamanya lebih terurus. Dalam tentera, saya diajar untuk terima arahan dulu baru fikir boleh ker tak? Kalau tak boleh pun kena bagi boleh!” kata Datuk Nurul Zahid. Bukan calang-calang wanita mampu melepasi latihan ketenteraan sepertinya.
Bagai memahami apa yang difikirkan pembaca Datul Nurul Zahid telah bercadang nak kongsi pengalamannya dalam sebuah buku. “Banyak cerita dalam Askar Wataniah ni yang best. Nanti la nak share dalam buku. Apapun, sapa nak ikut jejak langkah Kak Long (panggilan Datuk Nurul Zahid) boleh. Tapi kena tahan segala macam cabaran hidup. Allah uji sebab Allah sayang. Simple,” coretnya.
Dalam perkembangan lain, Datuk Nurul Zahid juga telah berkongsi tentang ujian ke atas dirinya apabila baru saja mengalami fasa keguguran. Kongsinya, “Baru ada rasa nak share. Kejadian bulan March. Dapat la rasa dalam 2 minggu. Kembar. Allah Maha Mengetahui. Alhamdulillah tak la sedih beriya. Percaya dan yakin Allah nak beri lebih baik. Tolong doakan saya ya? Semoga Allah kurniakan rezeki lagi. Biiznillah,” kongsinya. Semoga Datuk Nurul Zahid dikurniakan cahaya mata dan dipermudahkan segala urusan.
Foto: Instagram @nurul.zahid
Air Tangan Terakhir, SITI SARAH Sempat Kongsi Resipi Ketam Sweet & Sour Chinese Style
Sesungguhnya pemergiaan insan hebat ini memberi kesan yang mendalam dan turut dirasai oleh seluruh rakyat Malaysia. Pemergiaan yang dicemburui dan bakal menjadi suri teladan buat semua wanita yang bergelar isteri.
Ramai yang tahu Siti Sarah Raisuddin seorang isteri yang hebat di sebalik kejayaan suaminya, Shuib atau nama penuhnya, Shahmira Muhamad. Siti Sarah beruntung pergi dalam reda suami dan bakal memilih mana-mana pintu syurga, Allahuakbar!
“Saya reda dengan pemergian isteri saya Siti Sarah Raisuddin. Cabaran saya untuk memaklumkan tiga anak kami mengenai ketiadaan ibunya selepas ini,” demikian kata Shuib ketika ditemui kaunter Bilik Jenazah, Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia, UKM (HCTM).
Buat pengetahuan, ibu kepada Uwais Alqarni, 10 tahun, Dzahira Talita Zahra, 8 tahun, Ariq Matin, 6 tahun dan Ayash Affan, yang baharu dilahirkan ini akan dikebumikan bersebelahan pusara arwah ibunya di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Sungai Pusu, Gombak, kira kira jam 12 tengah hari nanti.
Memang tanggungjawab penyanyi lagu Semakin itu sebagai isteri dan ibu wajar dicontohi. Sebelum dibawa ke hospital dan terus meninggalkan rumah buat selama-lamanya, Siti Sarah sempat masak buat keluarganya dan kongsi resipi Ketam Sweet & Sour Chinese Style. Inilah resipi terakhirnya dan mungkin air tangan terakhir buat anak-anak dan suami tercinta.
Ketam Sweet & Sour Chinese Style
Bahan-bahan;
Ketam, goreng terlebih dahulu
Bawang putih, kisar
Halia, kisar
Cili boh
Sos cili
Sos tomato
Sos tiram
Kicap cair
Semangkuk air
tepung jagung
1 sudu makan black vinegar
Gula dan garam secukup rasa
Cara membuat;
- Tumis bahan tumis sehingga naik bau.
- Masukkan cili boh, tumis sehingga naik minyak.
- Masukkan gula dan sos cili.
- Masukkan sos tiram, kicap cair dan semangkuk air
- Kemudian masukkan 1 sudu makan black vinegar dan sos tomato.
- Masukkan garam dan ketam yang telah digoreng ke dalam kuali.
- Masukkan tepung jagung dan putih telur.
- Masukkkan kulit ketam dan biarkan masak seketika.
Di samping memasak untuk keluarga, Siti Sarah juga mengajar kita agar berdoa setiap kali memasak hidangan buat keluarga tercinta.
Doa Siti Sarah ketika menyediakan resipi ini, “Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, Ya Allah, Ya Tuhanku, siapa sahaja yang makan makanan ini Ya Allah, tenangkan hati mereka, murahkanlah rezeki mereka, jadikanlah mereka hambaMu yang taat Ya Allah,” ucapnya.
Pelantar Licin, Beralun… Kiri Kanan Lautan & Mesin Berat, Mas Nadiana Imbau Kenangan Kerja Offshore!
Bekerja dalam industri yang didominasi lelaki, berlumur gris, kerja berat di bawah terik matahari dan sentiasa kotor… begitulah dunia jurutera sebenar seperti yang dilalui Mas Nadiana Mohd Noor suatu ketika lalu.
Macam pekerja buruh! Seloroh Mas kepada saya ketika mengimbau pengalaman suka dukanya sepanjang 10 tahun dalam industri minyak dan gas di Malaysia.
“Kalau nak cerita semua terlalu banyak. Tapi dari pengalaman saya, skop kerjaya ni bukan saja bahaya kerana kita terpaksa kerja di laut (offshore) tapi juga di workshop base dimana kita dikerumun perkakas dan mesin berat.
Semasa berkhidmat dengan syarikat Halliburton di Labuan, awalnya saya memang culture shock. Maklumlah budak bandar. McDonalds pun tak wujud masa tu.
Seperti dijangka, saya memang kena kerja berat. Kami perlu mengendalikan heavy tools, angkat perkakas berat, berpeluh dan berlumuran gris. Tak glamor langsung!
Lepas tu kena pula kerja setiap hari, termasuk Sabtu Ahad. Terkedu juga masa tu.
Nak dijadikan cerita, dapat pula ketua yang garang macam singa. Kalau dia turun kat base dan buat rondaan, ternampak pula juruteranya dalam coverall yang bersih dan cantik, siaplah kena panggil dan disoal siasat!
Bagi dia, kalau coverall you bersih dia anggap kita tak buat kerja bersungguh-sungguh. Tak kisahlah you perempuan atau lelaki, tak boleh lembik dan mengada-ngada. Kena buat jugak kerja-kerja buruh tu.
‘That is how you learn,’ katanya.
Tapi sebenarnya walaupun kedengaran macam teruk, at the same time environment tu happy. Cuma dari segi fizikal memang penat.”
KERJA OFFSHORE
Selain bekerja di workshop base, satu lagi yang mencabar ialah sewaktu Mas bekerja di tengah laut.
“Saya ingat lagi kerja-kerja high risk seperti pertama kali naik helikopter, kena naik lift transfer basket dari bot ke pelantar yang tinggi dan berpindah dari bot yang beralun ke platfrom mengunakan tali. Memang gayat!
Kerja di offshore ni tak menentu masa. Waktu on the job, tidur pun 3-4 jam je. Paling mencabar rasanya masa kerja tengah hujan.
Bila fikir balik bahayanya situasi tu sebab lantai pelantar licin dan beralun. Kita pula dikelilingi dengan heavy machinery dan heavy tools. Kerja in a harsh environment.
Dari hujan ke panas, panas ke hujan kita bekerja. Tapi kerja dalam keadaan beginilah yang membentuk character building.
Walaupun dari segi luaran nampak seperti saya seorang yang lembut tapi tidak sebenarnya.
Asal naik offshore je mesti lama. Paling-paling pun 2 minggu. Ada pernah tu sebulan kat laut. Nak jadikan cerita waktu puasa pulak tu. Dah kena time kita ada job waktu raya pulak tu. Pertama kali beraya kat laut. Aduuhh sayu je rasa. Orang tak biasa berjauhan dari keluargalah katakan.”
Selepas dua tahun di Labuan, Mas diserap masuk ke pejabat di Kuala Lumpur. Tekanan pada waktu ini bertambah tinggi apabila terpaksa memguruskan isu-isu teknikal dan pelanggan.
“Kalau salah sikit, bersiap-sedialah untuk dimaki, kena marah depan-depan orang ramai, kena pressure memang asam garam industri kejuruteraan ni. Kalau tak tahan, memang tak boleh survive lama.
Sebelum kahwin, bolehlah fokus bekerja dari pukul 7.00 pagi sampai 9.00 malam. Sabtu Ahad pun bekerja. Dua tahun pertama di sana, rasanya setiap hari saya fikir nak berhenti kerja!”
Namun semakin lama, semakin Mas terbiasa dengan gaya kerja dan kehidupan dalam kesibukan itu.
“Suami saya seorang pilot. Kerja pun tak tentu. Kadang-kadang ada. Kadang-kadang tak ada. Bila dia fly tu bertambahlah kerja saya dengan nak manage anak dan rumah tangga.
Walaupun waktu itu saya ada pembantu tapi tak sama. Selalu tak cukup tido, balik kerja pun lewat, takde masa dengan anak dan family.
Anak saya pun pandai komen, Mama dulu kerja ofis balik selalu marah-marah kita sebab Mama penat. Rumah sepah.
I reached my limit point masa saya buat keputusan nak berhenti kerja waktu itu. Banyak perkara yang terjadi dalam waktu yang sama.” Mas
Jelas Mas, selain post-partum depression, dia juga terpaksa menyiapkan tender dan ibu bapanya perlu menjalani operation dalam masa yang sama.
“Saya tak tahan, saya letak surat berhenti. Masa saya tender resignation tu, mak saya kat hospital lagi. Bos saya datang ke hospital untuk pujuk supaya jangan berhenti. But decision has been made.” Mas
PENERIMAAN KELUARGA
Alhamdulillah keputusan Mas untuk berhenti kerja itu langsung tidak mendapat tentangan keluarga. “Work was really demanding walaupun saya boleh dikatakan berpangkat dan gaji pun selesa.
Sebenarnya suami pun tak pernah halang saya bekerja sebab dari zaman bercinta memang dia dah paham perangai saya yang sangat ambitious.
Lagipun kita pun dah belajar sampai ijazah, rugi pulak kalau tak gunakan potensi ni. Tapi bila dia tengok kerja saya yang agak demanding sampaikan anak-anak pun selalu kena marah, dia pun tak berkenan jugak.”
Tonton video Lensa Nona bersama Mas Nadiana tentang kerjaya barunya di bawah…
Berusia 37 tahun, pemegang ijazah Elektrikal & Elektronik (Kepujian) itu kini tekad menukar kerjayanya sebagai pengasas jenama Emerssa.
“Sebenarnya masuk bidang fesyen ni secara tak sengaja. Mula-mula tu trial and error je. Tapi bila dah cuba tu rasa macam kena dengan jiwa. Tambah-tambah lagi keluarga saya ni ada darah seni sikit.
So bila dah masuk bidang seni ni banyaklah bakat seni yang selama ni tak tahu pun ada dan terpendam keluar. Sebab sebelum ni memang banyak guna skil teknikal je.
Saya suka mengkaji gaya Victoria Beckham. Sangat chic, elegan, sopan dan moden. Memang kena dengan my brand image.
Aside from that, I look up to Vera Wang as an inspiration. Beliau memulakan kerjaya fesyen pada usia 40 tahun, hampir sama macam usia saya sekarang.
That’s like dinosaur age in this fashion industry. Moral of the story is, its not too late to start.”
CABARAN
Persaingan, kewangan dan limitasi. Tiga cabaran ini merupakan ‘makanan’ yang perlu dihadam oleh setiap pengusaha fesyen pada waktu pandemik sekarang.
“Untuk orang yang baru berjinak-jinak dalam bidang ni, dengan bajet yang kecil, memang mencabar untuk bersaing jenama gergasi di luar sana.
Lagipun Emerssa adalah jenama yang menyediakan pakaian ke pejabat dan tak banyak pembekal kain di Malaysia menawarkan material-material yang sesuai. Kalau ada pun harganya mahal.
Kalau dulu saya boleh explore dan cari material di negara-negara berdekatan tapi disebabkan pandemik ni, kena make do dengan material yang dibekalkan di Malaysia sahaja.
Semoga impian saya untuk melihat Emerssa dikenali sebagai jenama Muslimah Office Wear terkemuka tercapai.
Emerssa bukan menjual baju semata-mata, tapi Emerssa adalah jenama yang memberi keyakinan kepada si pemakai untuk berjaya dalam kerjaya. Kami sentiasa memperkasakan wanita dan mahu setiap wanita percaya bahawa mereka adalah sangat cantik.
Saya mahu membina empayar dan harapan saya semoga anak-anak akan meneruskan legasi ini. Buat masa sekarang saya kena bekerja keras supaya suatu hari nanti bila saya pencen, saya akan pencen dengan tenang. Tiada hutang, hidup simple, travel to explore the world dan join NGO to give back to community.”