• 10
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    10
    Shares

Cara paling mudah untuk mendapat kebaikan buah-buahan sitrus ialah dengan memakannya terus atau dijadikan jus. Namun ramai pakar pemakanan menyarankan pengambilan buah-buahan dalam bentuk segar supaya mendapat manfaat serat yang penting untuk sistem penghadaman dan melancarkan aliran keluar bahan buangan daripada badan.

Apabila menyebut tentang khasiat buah-buahan sitrus, perkara pertama yang terlintas dalam fikiran ialah kandungan vitamin C atau asid askorbik. Terkenal dengan rasa manis dan masam (atau benar-benar masam) dengan bau yang unik serta mampu membuatkan kebanyakan orang kecur air liur ini sebenarnya menawarkan banyak manfaat.

Sejak dulu, buah-buahan sitrus sememangnya diakui penting dalam pencegahan penyakit skurvi. Vitamin C juga adalah bahan anti oksidan yang berfungsi melawan radikal bebas. Ia menguatkan sistem imun badan dan mengurangkan risiko kanser.

Kajian di seluruh dunia menunjukkan bahawa ia juga boleh merangsang kesihatan sistem kardiovaskular (jantung) dengan kandungan fitonutrien di dalamnya mampu merendahkan tekanan darah yang sekali gus mengurangkan risiko sakit jantung.

Berdasarkan maklumat Organisasi Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, buah-buahan sitrus juga kaya dengan folate, yang menjadikan ia ‘makanan tambahan’ yang baik untuk wanita hamil. Apa yang lebih penting, ia mampu mengurangkan risiko kecacatan pada anak di dalam kandungan.

Kandungan vitamin C membantu badan menyerap zat besi dengan lebih cepat sehingga dua hingga empat kali ganda. Manfaat ini amat penting kepada vegetarian atau golongan yang tidak mengambil makanan daripada sumber haiwan. Ia juga disarankan untuk wanita yang sering mengalami masalah anemia atau kurang darah.

Pengambilan vitamin C secukupnya secara berkala dan berterusan juga dipercayai merendahkan peluang mendapat masalah tekanan darah tinggi, kanser dan sakit jantung. Malah ia juga sangat penting untuk membantu merangsang dan menguatkan daya ketahanan badan. Semua bauah-buahan sitrus mempunyai ciri haruman tersendiri yang biasanya digunakan untuk membuat minyak asas bagi aromaterapi dan minyak wangi.

Berikut adalah jenis buah-buahan sitrus yang terdapat di pasaran.

  1. OREN

Dianggap sebagai raja sitrus, jenis yang paling terkenal ialah Valencia dan navel. Ia boleh dijadikan kaedah membersihkan kulit secara semula jadi. Ia juga digunakan dalam bahan pencuci, minyak wangi dan masakan.

  1. LEMON

Bentuknya bujur, berkulit tebal dan berwarna kuning serta mempunyai rasa yang masam. Ia mempunyai banyak khasiat dalam kesihatan dan sering digunakan sebagai bahan nyah kuman pada luka. Ia juga bertindak sebagai astringen (ubat mengecurkan tisu kulit) dan mempunyai kesan anti radang.

  1. LIMAU NIPIS

Ia mempunyai lebih banyak asid berbanding buah-buahan sitrus yang lain. Kebiasaannya, ia digunakan sebagai minuman, masakan dan bahan untuk membersihkan badan.

  1. LIMAU MANDARIN

Buah oren tanpa biji dan struktur kulitnya yang ‘longgar’ mudah untuk dikupas. Ia mempunyai rasa lebih manis berbanding buah-buahan sitrus yang lain dan ia mempunyai kandungan serat yang tinggi.

  1. TANGERIN

Tangerin ialah nama popular bagi buah sitrus dalam kumpulan seperti oren tetapi saiznya lebih kecil dan leper. Kulitnya nipis dan berbau wangi. Ia kaya dengan vitamin C,A,B1,B2 dan B6, kalsium, zat besi dan potassium.

  1. LIMAU GEDANG

Satu kumpulan buah sitrus yang besar serta kaya dengan serat, beta karoten, zat besi dan kalsium. ROSMAH IDAYU ABU SAMAH

Jangan Lupa Komen

KORPORAT     POLISI DATA PERIBADI    PENAFIAN   •   LANGGANAN      PENGIKLANAN      KERJAYA       HUBUNGI KAMI

© Hakcipta Terpelihara • Kumpulan Karangkraf

error: