Kehadiran bulan Ogos ini menyemarakkan rasa cinta terhadap negara dengan sambutan hari kemerdekaan ke-60. Buat jurulatih pesawat simulator, Fatin Nabilah Musa, 22, dia mendefinisikan kemerdekaan sebagai lambang sebuah kebebasan.

IKLAN

Gadis muda yang sedang menanti tawaran untuk berkhidmat dalam syarikat penerbangan ini begitu teruja bercerita tentang dunia awan biru yang dicintainya.

“Kepuasan terbang di awan biru adalah ketika saya dapat melihat bumi dari sisi yang berbeza. Tidak semua orang mampu memiliki pengalaman ini dan secara tidak langsung membuatkan saya rasa lebih bersyukur.

Menakluki dunia sambil membawa penumpang menuju destinasi impian dengan selamat merupakan tugas murni seorang juruterbang. Sebenarnya cita-cita ini tercetus selepas saya jatuh hati dengan watak sebuah filem yang ditonton ketika kecil.

Berkisarkan legenda juruterbang Amerika bernama Amelia Earhart, filem berjudul Amelia lakonan Hilary Swank itu benar-benar memberi kesan sejak dari saat dia duduk di tempat duduk juruterbang.

Saya kagum melihat keberaniannya… Amelia menjadi wanita pertama yang terbang secara solo merentasi Atlantik dan wanita pertama yang mengelilingi dunia dengan kapal terbang. Ia benar-benar menjentik hati kecil ini,” terangnya.

Kisah Cemas Bakal Juruterbang Muda Ini Dipukul AWAN HUJAN Memang Mendebarkan. Tapi Itulah BAYARAN KEBEBASANNYA!
Walaupun belum bertugas sebagai juruterbang tetapi gadis manis ini pernah mengemudi kapal terbang sepanjang tempoh pembelajarannya. Berkongsi cabaran yang pernah ditempuhi, “Saya belum pernah mengutip cabaran yang hebat dalam dunia penerbangan ini. Namun, ada beberapa pengalaman mencemaskan ketika berada di sekolah penerbangan dahulu.

IKLAN

Seingat saya, pengalaman paling mencabar ialah ketika mengendalikan kapal terbang semasa dual flight bersama instruktor saya, Kapten Zulkifli Hassan dari Langkawi ke Pulau Pinang (Navigation, Cross Country Flight). Ketika itu kami berdepan dengan cuaca yang amat buruk sehingga menyebabkan kami masuk ke dalam awan hujan. Dalam dunia penerbangan, situasi ini adalah musuh yang paling cuba dielakkan.

Walaupun agak gugup ketika itu, merentasi suasana hujan lebat dan gegaran kuat, tapi cabaran itu menaikkan semangat saya untuk terus berkhidmat,” ungkap gadis yang pernah mengambil Foundation In Science di Mahsa University College untuk bidang Pergigian sebelum memasuki sekolah penerbangan.

IKLAN

Menurut Fatin, ahli keluarganya sentiasa memberi sokongan atas apa sahaja pilihan kerjaya yang dipilihnya. “Selepas mendapat keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), ibu mahu saya menjadi seorang doktor gigi.

Namun, saya tidak mampu untuk meneruskan pengajian kerana tidak minat bidang pergigian. Saya tidak dapat menumpukan sepenuh perhatian ketika belajar dan akhirnya atas pertolongan kakak saya dapat merealisasikan cita-cita untuk menceburi bidang penerbangan.

Saya meneruskan pengajian dalam bidang penerbangan di Halim Mazmin Aerospace Sdn. Bhd. di Langkawi dan memperoleh Lesen Pesawat Terbang PPL, CPL/IR with Frozen ATPL. Pendorong utama saya sudah tentu kakak dan ibu saya.

Kakak sangat berjasa kerana telah menyakinkan ibu untuk menceburi bidang penerbangan ini. Saya juga berterima kasih atas dorongan semangat dan tunjuk ajar ketua di Sky Simulator. Beliau telah melatih saya agar sentiasa bersedia untuk proses pengambilan juruterbang syarikat penerbangan nanti,” katanya. Hamizatul Maizan Mohamed

Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI