Ketiga-tiganya saling memerlukan dan mendukung antara satu sama lain. Masing-masing saling mengusik dan sesekali mereka melepaskan tawa bersama.
Sewaktu Nona bertemu adik-beradik popular iaitu Noor Neelofa, Noor Nabila dan Nur Ameera ini, kelihatannya Ameera tidak banyak mencelah namun wajahnya sentiasa manis dengan senyuman.
Sejauh mana agaknya keakraban mereka? Jom tengok ni!
Pada usia 17 tahun, ternyata kecantikan asli yang diwarisi daripada ibu mereka iaitu Datin Noor Kartini Noor Mohamed yang berdarah campuran telah memberi kelebihan bukan sahaja buat Ameera bahkan juga Neelofa dan Nabila.
Manja dengan panggilan Baby di kalangan ahli keluarga, Ameera sama seperti kakaknya iaitu cantik, bijak serta sentiasa mengikuti peredaran fesyen semasa.
Gadis ini juga terkenal sebagai YouTube vlogger menerusi Little Miss Khan Channel yang membicarakan perkongsian item solekan dan fesyen, testimoni produk di samping topik-topik berkaitan dengan kehidupan sehariannya.
Terkini, Ameera berkongsi perancangan besarnya sempena tahun 2018 ini. [klik video]
Wow, LMK Cosmetics tentunya singkatan untuk Little Miss Khan, kan? Tak sabar nak tunggu pelancaran produk ni!
Turut menjadikan kakak-kakaknya sebagai idola, kata Ameera, “Saya rasa mereka sememangnya layak berada pada tahap sekarang dengan kesungguhan serta komitmen yang ditunjukkan selama ini.
Contohnya Neelofa yang sanggup bersusah payah tanpa memikirkan masa rehat demi merebut peluang yang datang. Yang penting dia tidak pernah merungut dan melaksanakan tugasnya dengan bersungguh-sungguh. Sebab itulah ramai yang selesa bekerja dengan insan bernama Neelofa,” puji Ameera. Norzalina Mohd Alias
Wanita Ke-3 Menyandang Jawatan Perdana Menteri, Kenali Liz Truss PM Baru UK Gantikan Boris Johnson
Sekalung tahniah diucapkan kepada Setiausaha Luar Britain, Liz Truss yang dipilih menjadi Perdana Menteri baharu United Kingdom (UK), umum Jawatankuasa Parti Konservatif 1922 pada Isnin. Wanita berumur 46 ini memperoleh 81,326 undi manakala pencabarnya Rishi Sunak sekadar mendapat 60,399 undi menurut pengerusi jawatankuasa itu, Sir Graham Brady.
Beliau akan menggantikan Boris Johnson sekali gus menjadi perdana menteri wanita ketiga UK selepas Margaret Thatcher dan Theresa May dalam tempoh 40 tahun, lapor Agensi Anadolu. Perdana Menteri Boris Johnson dipaksa untuk meletakkan jawatan kerana berhadapan banyak skandal semasa pandemik COVID-19. Lantas, Parti Konservatif kemudiannya terpaksa memilih pemimpin baharu. Jom kenali dengan lebih rapat siapakah gerangan wanita ini.
Graduan Oxford. Truss merupakan graduan Universiti Oxford Truss yang mengambil jurusan Falsafah, Politik dan Ekonomi.
Mary Elizabeth Truss dilahirkan di Oxford pada tahun 1975, dan dia dibesarkan di bahagian England yang secara tradisinya tidak mengundi Konservatif, sering berpindah randah antara Scotland dan utara England. Truss adalah anak kepada seorang profesor matematik dan ibunya pula seorang jururawat.
Truss terkenal dengan pandangan libertarian tentang ekonomi dan perdagangan. Truss mengasaskan Kumpulan Ahli Parlimen Konservatif Free Enterprise, kumpulan pasaran bebas ahli parlimen yang memperjuangkan ekonomi yang lebih keusahawanan dan lebih sedikit undang-undang pekerjaan.
Truss telah berkhidmat sebagai Setiausaha Luar sejak 2021 dan memegang jawatan Menteri untuk Wanita dan Persamaan sejak 2019. Pada tahun 2000, Truss berkahwin dengan akauntan Hugh O’Leary. Pasangan itu mempunyai dua anak perempuan.
Lulusan PhD, Wanita Inspirasi Sabah Ini Miliki Firma Guaman Sendiri Di Seluruh Dunia
Berpegang kepada prinsip “Berjuang dengan pena untuk kebaikan” wanita berusia 41 tahun ini terus mencipta kejayaan tersendiri dalam bidang kerjayanya sebagai seorang peguam. Anak kelahiran Sandakan, Sabah ini memiliki firma guaman sendiri iaitu Sikin & Co. Malaysia yang turut mempunyai pejabat di seluruh dunia di bawah Regus.
16 tahun berkecimpung dalam karier hebat ini, Putli Noor Asikin Datu Gulam atau lebih mesra disapa sebagai Asikin menggalas peranan sebagai Peguambela, Peguamcara dan Peguam Syarie serta penulis buku hasil penulisan Ph.D.
Kalau nak dikongsikan dari sudut pencapaian dan anugerah yang diterimanya memang terlalu banyak. Pun begitu, Nona kongsikan beberapa anugerah terbaharu yang diterima olehnya tahun ini iaitu 100 Wanita Inspirasi Sabah, 100 Most Influential Young Entrepreneurs 2021 dari Entrepreneurs Insight Malaysia, World Women Icon dari Times Women, World Women Council New York, pencalonan untuk Global International Technology Exhibition Dubai (GITEX), dan First Asia Artificial Intelligence Lawyers Website. Hebatnya!
PERMULAAN & PENGALAMAN
“Saya berada dalam bidang kerjaya ini sejak tahun 2005 iaitu selama lebih kurang 16 tahun. Saya memilih kerjaya ini kerana sejak kecil ibu telah mendidik saya ke arah itu. Ibu sering berpesan agar sentiasa membela nasib golongan susah dan memerlukan.
Ibu juga berpesan kepada saya jangan sesekali meminta-minta sebaliknya jadilah anak solehah yang sentiasa membantu.
Sebelum ini saya pernah bergelar pelatih dalam ‘kamar’ mahkamah, menjadi peguam selama 6 tahun, peguam korporat untuk Khazanah Nasional Berhad kumpulan syarikat yang mengurus dan menubuhkan syarikat-syarikat gergasi untuk dua projek Datai Langkawi, Legoland dan Iskandariah Puteri. Kemudian barulah saya buka firma guaman sendiri pada tahun 2013 sehingga sekarang,” kongsi Asikin yang dilahirkan dalam keluarga yang bukan calang-calang.
Bapanya berketurunan Sultan Sulu, Sultan Nasaruddin dari susur galur ke-7 Sultan Brunei. Manakala ibunya berketurunan Sultan Tarakan, Indonesia (ayah) dan Sepanyol (ibu) iaitu Panglima Adam Gallulad yang membuka penempatan pertama di Sandakan.
Seterusnya ialah impian saya untuk merekrut lebih ramai peguam dan staf. Selain itu, saya juga ingin menambah panel peguam untuk pejabat firma guaman kami di Manhattan, New York, Los Angeles dan San Francisco serta California USA. Semoga impian ini akan terlaksana kelak, Insha-Allah.”
Selain merupakan lulusan PhD Islamic Studies OUM, Asikin turut mempunyai Master Islamic Studies OUM, serta LLB. Hons (Sarjana Muda Undang-Undang Dengan Kepujian) UiTM Shah Alam.
Kredit Foto: Instagram Puteri Noorasikin Datu Gulam
Lontaran Kata Dari Arwah Datuk Dr Maznah Hamid, Secebis Ingatan Buat Pembaca Majalah Nona
Sudah tiga tahun berlalu sejak pemergian Pengerusi Eksekutif Kumpulan Securiforce Sdn Bhd, Datuk Maznah Hamid. Wanita Inspirasi Nona ini, atau lebih dikenali sebagai Iron Lady telah menghembuskan nafas terakhirnya di Institut Jantung Negara (IJN) pada tahun 2017, selepas mengalami komplikasi jantung.
Kami berkongsi kembali coretan yang pernah ditulis oleh arwah kepada semua pembaca Majalah Nona…
============================
Saya melontar kata ini untuk pembaca jadikannya sebagai inspirasi, motivasi dan kesedaran kepada semua. Jika saya boleh, anda semua boleh! Tidak kira anda anak penoreh getah, pesawah padi atau siapa sahaja dari mana asal usulnya, paling penting apa akhirnya… dia boleh jadikan dirinya!
Saya tidak mahu wanita mudah yang mudah tertindas, merana ikut emosi sehingga hidup tidak teratur dan tidak bangun semula. Saya tidak mahu mereka mengalah dan harus bangun kembali berjuang supaya hidup ini dihadapi dengan kuat biarpun pelbagai cabaran. Kita perlu enjoy menikmati kehidupan dan hadapi cabaran untuk menjadi lebih kuat.
Saya orang kampung, bila ibu bapa bercerai saya dijaga oleh nenek sebagai cucu sulung. Saya juga dibesarkan dalam sawah bendang dalam suasana yang sememangnya tidak mengenali erti kekayaan atau kemewahan. Tetapi mungkin bagi sesetengah manusia, keadaan begini akan membuatkannya menjadi lemah dan pasrah. Namun saya jadikan keadaan ini sebagai satu rahmat untuk bangun berjuang, kebal dan ‘Never say die attitude’ akhirnya.
Dahulunya saya seorang yang sensitif, takut, pemalu dan tidak bijaksana. Saya seorang gadis biasa dengan kebiasaannya. Tetapi saya berikrar tidak mahu jadi sebegitu selamanya. Saya ingin mencipta 3k – kejayaan, kekayaan dan kesenangan. Itulah yang saya rasa perlu ubah segala-galanya. Saya keluar dari kepompong tersebut, lalu menjelajah dunia untuk belajar untuk memperoleh pelbagai ilmu bagi mencapai kejayaan.
Pada peringkat permulaan saya mula berniaga di awal 80-an, saya gagal untuk mendapat sebarang bantuan kewangan kerana saya seorang wanita. Kata mereka, ‘Maznah, you salah pilih bidang! Perempuan mana boleh buat perniagaan yang melibatkan senjata api dan sebagainya. Ini bukan mainan wanita, lelaki sahaja boleh berjaya.
Tetapi saya berdoa kepada Allah untuk memberi kekuatan kerana saya ingin buktikan kemampuan untuk melakukannya. Kerana saya percaya wanita seperti saya mempunyai nilai kejujuran, kepercayaan dan amanah yang tinggi. Inilah asas paling utama dalam pelaksanaan apa sahaja bidang perniagaan sekalipun selain daripada kuat untuk menghadapi cabaran.
Perniagaan saya ini melibatkan mereka yang ternama dan kaya-raya, menjaga keselamatan secara menyeluruh. Bukan mudah untuk melalui semua keadaan ini, … saya boleh berjaya daripada lelaki. Wanita kadang-kadang tidak faham keistimewaan dan keunikan yang Tuhan berikan.
Kekuatan dalaman yang diberikan tidak digunakan dan diperkuatkan. Wanita hanya melihat dia lemah fizikal atau beremosi mengikut perasaan, seharusnya wanita perlu cabar untuk menghadapi pelbagai cabaran di abad ke-21 ini…. Seperti saya, saya ingin menjadi wanita luar biasa, tidak mahu sama sekali dikatakan lemah, putus asa, ‘mandom’ dan ‘loy’ – loghat bahasa orang utara Kedah.
‘The best man for the job is a woman’ kata-kata ini setiap pagi saya baca. Ini kerana perniagaan utama saya ialah keselamatan, senjata api, kereta kebal dan monitor dengan penggunaan sistem teknologi terkini. Jadi orang ingat wanita hanya sesuai buat perniagaan tradisi seperti memasak, mengandam, menjahit dan sebagainya.
Saya ingin menjadi seorang yang luar biasa. Lelaki yang berada dalam dunia kerjaya wanita, akan menjadi hebat dan begitu juga wanita apabila berada dalam dunia lelaki, dia akan menjadi perkasa dan bertambah powerful. Jadi wahai wanita, keluarlah daripada bidang tradisi mu…
Saya bersyukur kepada Allah SWT telah mengubah keperibadian saya dahulu menjadi wanita perkasa disebabkan perniagaan saya ini. Sekarang karakter berani dengan kekuatan dalaman yang kuat, mempunyai personaliti yang tidak mudah ‘terancam tetapi ‘mengancam’. Tidak mudah tergugat tetapi menggugat.
Walau bagaimanapun, ciri-ciri perubahan ini bukanlah sesuatu perkara yang mudah untuk dicapai. Ia tidak datang bergolek begitu sahaja, ia memerlukan latihan demi latihan, mengharungi pelbagai cabaran dan godaan yang tidak henti tanpa noktahnya.
Sebab itu saya percaya kalau kail panjang sejengkal jangan lautan hendak diduga. Kita haruslah berupaya untuk membuat persediaan yang rapi untuk mempunyai keupayaan mengharungi segala-galanya.
Namun saya tidak menafikan, sebagai wanita biasa, saya juga tidak terlepas untuk meluahkan perasaan sedih dengan menangis. Tetapi saya melatih diri saya untuk jangan menangis seperti dahulu, kecuali untuk perkara yang membantu saya.
Suami dan anak-anak saya, kalau saya menangis semua akan menjadi takut kerana saya jarang menangis. Tetapi kadangkala saya menangis mungkin kerana saya gembira bukan kecewa. Andai kata musibah berlaku dan kalau saya ingin menangis, saya akan masuk bilik kecil dan menangis sekurang-kurang sejam. Selepas itu saya akan menarik nafas dan memohon pada Tuhan untuk memberi saya kekuatan dan keluar untuk menghadapi cabaran dunia ini.
Jelas untuk menjadi wanita perkasa bukan mudah sebenarnya. Saya bersyukur kepada Allah S.W.T kerana memberikan saya seorang suami terbaik, Life partner, business partner and sleeping partner yang cukup memahami dan menghormati keistimewaan serta keunikan seperti saya.
Dan alhamdulillah, saya kini mengecap segala keseimbangan ini. Saya bersyukur perjalanan hidup saya sempurna sebagai seorang wanita, isteri, ibu dan nenekanda yang terbaik… Dan kini saya ingin kembalikan segala-galanya kepada masyarakat untuk berjaya bersama.
DATUK DR. MAZNAH HAMID
Marilah kita sama-sama sedekahkan Al-Fatihah (dibaca) buat wanita besi ini….