Lagu klasik 'Balik Kampung' dendangan Allahyarham Dato' Sudirman Haji Arshad sepertikan sebuah anthem tidak rasmi menjelang cuti perayaan. Yang tua dan yang muda gembira menyanyikannya sewaktu pulang berhari raya. Namun dalam kegembiraan, banyak kecelakaan yang sering terjadi pada masa ini. Kalau tak mahu suka bertukar duka, amalkan panduan ini agar anda selamat pergi dan pulang.

Kereta Mesti Diservis

Bagi yang bakal memandu pulang ke kampung halaman, perkara pertama yang mesti anda periksa adalah kereta. Pastikan minyak hitam, minyak gearbox dan oil filter telah ditukar, aircond, bateri, brek dan wiper berfungsi serta tayar tidak botak.

Trik Selamat: Bawa bekal kit kecemasan, air dan minyak kereta ekstra di bonet. Jangan lupa payung dan kon kecemasan. Paling penting, anak-anak kecil mesti duduk di dalam kerusi keselamatan mereka.

Isi Kad Nilai TouchNGo

Tambah nilai siap-siap kad ni. Lagipun semua kaunter tambah nilai di lebuh raya akan ditutup, jadi kalau emergency pun tak jadi masalah sebab anda dah mengisinya lebih awal.

Trik Selamat: Bawa bateri ekstra untuk Smart Tag.

Install Waze & Google Maps Di Telefon Pintar

Musim balik kampung ni, biasalah jalan mesti sesak walaupun dekat. Tapi kalau kita guna Waze, mungkin boleh dapat informasi jalan mana yang cepat atau perlu dielakkan.

Trik Selamat: Selalu pastikan mobile data dan kredit anda mencukupi. Bawa juga power bank dan charger kerana Waze selalunya serap bateri macam air.

Bawa Pendrive Lagu-lagu Kesukaan

Kadang-kadang apabila melalui jalan yang di luar kawasan, susah nak dapat signal radio. Jadi bawalah pendrive lagu-lagu, nasyid atau bacaan Al-Quran sendiri untuk mengisi masa. Mata pun taklah mengantuk sangat.

Selalu berdoa

Sebelum memulakan perjalanan, bacalah doa naik kenderaan dan doa ketika bermusafir. Bukankah antara waktu mustajab doa adalah semasa musafir?

Cabut Segala Suis Elektrik

Berjaga-jaga sebelum kena. Sebelum keluar rumah, pusing rumah anda 2-3 kali untuk pastikan semua suis plug telah dicabut dari soketnya. Cabut juga penutup tong gas bagi mengelakkan kebocoran gas.

Kunci Rumah & Tingkap Dengan Betul

Pastikan semua mangga dan gril dikunci rapat. Pasang CCTV atau alarm rumah untuk tambahan keselamatan atau maklumkan pada balai polis berdekatan supaya ada peronda yang lalu-lalang di kawasan rumah. Anda juga boleh mendaftar sebagai Rakan COP.

Trik Selamat: Pasang lampu laman automatik untuk tunjukkan seperti ada penghuni di rumah. Atau pun letak beberapa pasang selipar atau kasut di depan pintu rumah seperti menandakan ada ramai orang di dalam. Yang penting jangan tinggalkan kunci pendua di rumah.

Maklumkan Pada Jiran Tetangga

Masa inilah semangat kejiranan mesti kuat. Maklumkan tentang rancangan balik kampung anda dan ambil nombor telefon mereka. Kalau boleh, minta mereka hubungi anda segera jika ternampak apa-apa yang mencurigakan.

Trik Selamat: Kenali jiran anda. Kadang-kadang merekalah orang paling penting yang menjaga keselamatan harta benda anda sepanjang cuti perayaan ini.

Jangan Tinggalkan Barang Berharga

Simpan semua barang berharga seperti barang kemas, wang tunai, laptop dan sebagainya di tempat yang selamat. Atau pun, bawa sekali pulang ke kampung.

Jangan Makan Terlalu Kenyang

Jika memandu pada waktu malam atau selepas berbuka/bersahur, janganlah ambil makanan sehingga perut terlalu kenyang. Nanti mengantuk sangat jadinya. Cukuplah seadanya.

Trik Selamat: Mungkin boleh amalkan suplemen tenaga bagi elakkan rasa letih atau mengantuk. Tapi jangan minum air isotonik atau air penambah tenaga lain pula.

Sehingga itu, selamat memandu dan kami doakan anda selamat pergi dan pulang. Berhati-hati sepanjang masa dan sentiasalah ingat orang tersayang. Selamat Hari Raya buat semua!