Resipi yang dinamakan ‘Raya Manis Kismis California’ ilham Cef Rohani Jelani bukan sekadar unik malah cukup berkhasiat untuk dinikmati ketika musim perayaan. Jika anda berhasrat menyediakan lauk-pauk atau manisan menjelang iftar nanti, apa kata anda cedok resipi yang kami kongsikan ini buat sajian berbuka bersama keluarga tersayang.

Gerenti sedap, boleh tergugat iman. Selamat mencuba!

KUIH LOPES CALIFORNIA NATURAL RAISINS

Bahan-bahan:

  • 600 gram pulut
  • 10 helai daun pandan (dicuci & dihiris 1 sentimeter)
  • 250 ml air
  • 2 sudu besar air kapur
  • 150 gram California Natural Raisins
  • 2 cawan kelapa parut (putih sahaja)
  • ½ sudu teh garam
  • Daun pisang (dipotong empat segi, celur air panas 2 minit untuk melembutkan)

Bahan-bahan sirap lopes:

  • 300 gram gula Melaka (dicencang kasar)
  • 150 ml air
  • 2 helai daun pandan (disimpul)

Cara membuat:

Cuci pulut sehingga bersih. Masukkan ke dalam mangkuk berserta air segar (anggaran 3 sm dari paras pulut). Rendam selama 2 jam. Sementara itu, sediakan ekstrak pandan. Masukkan hirisan pandan dan air di dalam pengisar. Kisar sehingga lumat. Tapis, perah supaya dapat lebih banyak air. Ketepikan. Buang sisa daun pandan. Sejat pulut dan masukkan ke dalam tin kek tohor dan besar. Campur air daun pandan dengan air kapur. Tuang ke dalam pulut. Kukus atas air didih selama 25 minit. Angkat pulut dari pengukus, tambah raisins dan kacau dengan garfu supaya sekata.

Bahagikan pulut kepada 3 bahagian dan gulung dalam daun pisang. Ikat kedua-dua belah daun pisang sehingga kemas. Kukus lagi selama 15 minit. Semasa mengukus pulut, masak gula Melaka bersama air dan daun pandan. Biar  sehingga gula larut dan pekat. Tapis. Masukkan sirap ke dalam bekas kecil.Selepas kukus kali kedua, angkat pulut dan sejukkan dalam suhu rumah. Potong 1.5 sm panjang dan gaul dengan kelapa parut yang telah dicampur garam. Hidang bersama sirap gula Melaka.

BUBUR CHA CHA CALIFORNIA NATURAL RAISINS

Bahan-bahan:

  • 200 gram ubi kayu
  • 200 gram ubi keledek oren
  • 200 gram ubi keledek ungu
  • 200 gram ubi keladi
  • 120 gram California Natural Raisins
  • 500 ml santan pekat
  • 500 ml air
  • ½ sudu teh garam
  • 3 helai daun pandan, simpul
  • Gula putih secukup rasa (anggaran 100 gram)

Cara membuat:

Potong ubi kayu, keledek dan ubi keladi dalam bentuk kiub anggaran 2 sm. Masukkan dalam bekas dan kukus sehingga empuk. Satukan santan, air, garam, daun pandan dan gula dalam periuk besar. Masak sehingga mendidih. Masukkan pula bahan yang telah dikukus dan raisins. Renehkan atas api perlahan kira-kira 10 minit dan angkat. Hidang semasa masih hangat.

PULUT KUNING CALIFORNIA NATURAL RAISINS

Bahan-bahan:

  • 2 cawan pulut
  • 20 gram kunyit (buang kulit & hiris)
  • 2 keping asam keping
  • 3 - 4 daun pandan (disimpul)

Bahan-bahan adunan santan:

  • 100 ml santan pekat
  • 100 ml air panas dicampur ¼ sudu teh garam
  • 100 gram California Natural Raisins

Cara membuat:

Cuci pulut hingga benar-benar bersih. Masukkan ke dalam mangkuk bersama air (anggaran 1 sm daripada paras pulut). Masukkan kunyit bersama 1 cawan air ke dalam pengisar. Kisar lumat. Tapis dan air kunyit dimasukkan ke dalam pulut. Letak semula sisa lebihan kunyit ke dalam pengisar dan kisar lagi bersama ½ cawan air. Tapis semula dan tuang lagi dalam pulut – air kunyit perlu anggaran 2 sm daripada paras pulut. Buang sisa kunyit.

Masukkan asam keping dan rendam bersama pulut selama 2 jam. Sejat air kunyit, buang asam keping dan bilas beras dengan air. Berhati-hati supaya beras tidak patah. Sejat pulut dan masukkan dalam bekas tahan panas. Panaskan air dalam kukusan, bila mendidih kukus pulut selama 15 minit. Sementara itu, satukan santan, air dan garam dalam mangkuk adunan. Pindahkan pulut ke dalam adunan santan dan kacau sehingga semua santan meresap.

Masukkan semula pulut ke dalam pengukus dan kukus 20 minit lagi. Tambah raisins 5 minit terakhir sebelum pulut masak. Pilih acuan kek yang ada lubang di tengah. Alas dasar acuan dengan plastik atau pembalut melekat. Masukkan pulut yang masih panas dan tekan kemas. Keluarkan daripada acuan dan isi bahagian tengah dengan rendang atau serunding sebelum menghidang.