Namanya sahaja sudah unik. Begitu juga rupa kuih ini yang cukup dikenali sebagai kuih tradisional Melayu Pahang. Mungkin generasi masa kini kurang mengenali Tonjet atau Bubur Picit kerana penyediaannya yang agak rumit iaitu hanya diperbuat daripada telur dan gula sahaja.

Ambil kesempatan Ramadan kali ini dengan menikmati keunikan rasa manisan diraja Pahang tatkala berbuka puasa. Jom, pelajari cara penyediaan Tonjet melalui perkongsian resipi yang kami kongsikan berikut.

Kredit resipi: MARINA KHAIRUDDIN, MM KATERING, KUANTAN (Facebook: @mmcatering.phg)

TONJET

Bahan-bahan:

  • 20 biji telur ayam (diambil kuning sahaja)
  • 1 kg gula
  • 3 helai daun pandan (disimpul)
  • 700 gram air

Cara membuat:

Dengan menggunakan periuk yang rendah, didihkan air dan masukkan gula bersama daun pandan. Masak hingga sedikit pekat. Kemudian, keluarkan daun pandan. Pukul kuning telur hingga kembang dan menjadi gebu. Kecilkan api agar air gula tidak berbuih. Uji dengan menitikkan sedikit telur ke dalam air gula panas yang masih di atas api. Kalau telur itu tidak boleh dibentuk, pukul lagi. Seterusnya, dengan menggunakan sudu kecil ambil adunan telur yang telah gebu dan tuangkan dengan perlahan ke dalam air gula yang panas agar berbentuk bulat. Ulangi proses hingga penuh permukaan periuk. Besarkan api seketika sehingga mendidih. Ambil sudip leper, angkat tonjet tersebut dan letakkan di atas pinggan. Ulangi proses sehingga adunan telur habis. Jika air gula menjadi terlalu pekat, tambah air panas sedikit demi sedikit bergantung kepada kepekatan air gula. Bentukkan dengan tiga jari supaya berbentuk tiga segi dan bertonjet. Sedia untuk dinikmati.

BUBUR PICIT

Bahan-bahan :

  • 2 cawan tepung pulut
  • 500 gram santan
  • 3 helai daun pandan
  • 1 liter air
  • Secubit garam
  • ½ cawan gula merah
  • 2 sudu besar gula pasir
  • 3 jenis pewarna makanan (ikut cita rasa)     

Cara membuat:

Masukkan tepung pulut ke dalam bekas dan tuang air sedikit demi sedikit. Bahagikan kepada empat bahagian kemudian titiskan pewarna kesukaan ke dalam setiap bahagian. Gentel doh ke bentuk kecil membulat dan picit di bahagian tengahnya. Asingkan seketika. Sementara itu, tuang santan bersama garam, gula merah, gula pasir dan daun pandan ke dalam periuk. Masak di atas api sederhana sambil kacau hingga mendidih. Selepas itu, masukkan doh yang telah digentel tadi sehingga masak. Doh yang sudah masak akan timbul. Angkat dan hidangkan.