Tempias populariti Marshaira Ismail atau King Coco yang sedang tular di Instagram, mendorong Nona untuk mendekati wanita muda ini secara peribadi. Daripada pemerhatian di media sosial, stigma negatif terhadap Coco mula menebal selepas dia menjadi isteri kedua tatkala madunya sarat mengandung. Isu gempar ini dihentam masyarakat, namun secara serentak turut melonjakkan namanya secara mendadak.

Mungkin hari ini Coco belum lagi menjadi wanita prolifik atau boleh diangkat sebagai idola generasi muda. Lembaran kisah silamnya sebagai remaja yang kuat berpesta berulang kali diulang tayang oleh para pembenci. Malah foto-foto liar itu masih berlegar bebas di Instagram meskipun ada yang telah lama berlalu. Dalam tempias kebencian haters, tanpa diduga meningkatkan jumlah followers di akaun Instagram miliknya, @k1ngcoco_1 menghampiri angka setengah juta.

“Saya tekad untuk terus bergerak ke depan meskipun banyak benda negatif yang dilemparkan. Saya percaya, selagi Tuhan beri saya peluang untuk bernafas, saya akan berusaha untuk rebut peluang yang ada. Sebenarnya sekarang, sudah terlalu banyak benda negatif yang saya tinggalkan. Apatah lagi selepas berkahwin, saya sedar banyak nama perlu dijaga. Keluarga menjadi perkara utama dan saya sudah jarang bertemu kawan-kawan seperti dulu,” ujar Coco yang mendirikan rumah tangga awal Januari lalu dengan Azrin Anas Abdul Shukor.

 Bukan niat penulis mahu menyelongkar watak antagonis Coco yang dikatakan suka bersosial. Dalam mencari jawapan dari mulut tuan empunya badan, soalan ini perlu diajukan jua bagi menjernihkan suasana. “Tidak dinafikan, kisah silam saya sewaktu zaman remaja penuh dengan kebebasan. Adat anak muda, masa itu jahil dan terikut-ikut gaya hidup moden. Tapi itu setahun dulu, sebelum saya berumah tangga. Banyak yang sudah berubah sekarang.

Bila kesilapan lalu digali semula, kadang-kadang saya rasa down yang amat sangat. Perempuan mana yang tak tersentuh dan tipulah kalau saya kata, fikiran saya tak terusik bila diburuk-burukkan. Banyak yang suka menulis tanpa menyelidik. Ada masanya, saya bagai nak menjerit sekuat hati. Psikologi saya terganggu, lebih-lebih lagi kalau ia melampaui batasan. Tapi saya sedar kalau saya buat begitu, keadaan akan bertambah buruk. Jadi jalan terbaik, berdiam diri sajalah dan mind your own business,” jawab Coco dengan perlahan.

Jawapan Coco bila selalu dituduh sebagai perampas suami orang... “Beginilah. Saya cerita dari awal supaya orang tahu bagaimana saya setuju menjadi isteri kedua. Jodoh itu datang secara tiba-tiba kerana saya sendiri pun tak sangka akan berkahwin pada usia muda. Kami berjumpa di sebuah kafe pada November lalu dan mula berkenalan sebagai sahabat. Apabila saya tahu status suami masa tu, saya berusaha bersungguh-sungguh untuk jauhkan diri. Ibu bapa saya pun ada beri nasihat supaya jangan berkawan dengannya.

Tapi semakin saya cuba jauhkan diri, kami semakin lama semakin dekat. Dua bulan berkawan, suami betul-betul serius mahu memperisterikan saya. Bayangkan kami rancang majlis pernikahan hanya lima hari sebelum tarikh ia dilangsungkan! Terlalu cepat. Mungkin inilah yang dikatakan jodoh itu ketentuan Ilahi kerana segala-galanya dipermudahkan dan berlaku sekelip mata.

Tentang hubungan saya dengan madu, Kak Zura... sebenarnya kami berdua tak bergaduh pun. Ada beberapa kali saya mesej dia dan kami berinteraksi secara baik. Saya hormat dia dan dia pun hormat waktu saya dengan suami. Tiada istilah siapa monopoli siapa. Apabila tiba giliran dia, saya takkan mesej atau call suami kerana itu masa untuk mereka sekeluarga. Saya faham, saya pun ada hati perut juga. Saya tahu madu sedang hamil dan perlukan lebih perhatian sekarang.

To be honest, kami pernah berjumpa dua kali. Duduk semeja tapi tidaklah sampai bermasam muka. Saya sedar kami mungkin tak sekepala tapi mungkin itulah pilihan suami. Apa pun, saya percaya resam bermadu perlu banyak mengalah. Kalau sudah tertulis jodoh saya dengan suaminya, siapa kita untuk mempersoalkan keputusan Dia? Saya cuba positif dan jika ditakdirkan saya memiliki anak nanti, mungkin banyak yang boleh dipelajari daripada madu tentang penjagaan anak,” ujar Coco.

LUMAYAN

Ramai yang menyelar slang pertuturan Coco yang kedengaran seperti dibuat-buat. Namun tatkala diajukan soalan ini, Coco menegaskan bahawa ia adalah identiti dirinya dan telah biasa bercakap seperti itu sejak dulu lagi. “Keturunan saya mempunyai kacukan Cina, Pakistan dan Serani. Sedikit sebanyak, slang di rumah turut mempengaruhi gaya percakapan kami. Apabila saya muat naik video di Instagram, ramai yang mentertawakan perkara ini. Mereka rasa tak senang hati dan minta ibu bapa saya tunjukkan surat beranak saya.

Tapi kalau dilihat dari sisi positif, populariti sekelip mata ini juga membuka pintu rezeki untuk saya sekeluarga. Perniagaan melalui media sosial sememangnya banyak bergantung pada populariti, lebih-lebih lagi yang berlandaskan paid review kerana iklan kita seharusnya dapat dilihat oleh ramai orang. Konsep inilah yang menentukan pulangan terhadap produk yang diiklankan. Ditambah hobi saya yang suka merakam video, jadi apa salahnya kalau saya cuba menjana pendapatan dengan perkara yang disukai.

Bermula dengan suka-suka, alhamdulilah sekarang saya mampu menjana sekitar RM20,000 sebulan. Buat masa ini saya belum terikat dengan mana-mana pengurusan tapi demi kelangsungan kerjaya, saya fikir ada baiknya jika ia diuruskan oleh pihak yang mahir dan berpengalaman tentangnya. Dalam bidang ini, banyak cabaran datang daripada aspek kreativiti dan kerenah klien yang pelbagai. Ada yang kurang sabar dan ada yang minta refund apabila hasilnya tak mendapat sambutan. Apa pun saya cuba bersikap profesional,” ujar Coco.

Mengakhiri pertemuan ini, rahsia kesihatannya pula menjadi topik terakhir kami. “Saya suka minum air kosong sebab saya percaya itu cara terbaik untuk detoks. Kemudian setiap jam 6.30am dan selepas solat Subuh, saya akan keluar berjoging. Itu rutin harian yang diamalkan. Petang bukan masa yang baik untuk joging sebab kita dah penat. Untuk mengekalkan tubuh yang langsing, saya akan makan epal hijau Granny Smith, bersarapan dengan makanan sihat seperti scrambled egg dan toast. Gantikan dengan minyak zaitun dan kudap kacang walnat jika terasa lapar,” akhiri Coco.