Masih tak boleh move on tengok majlis akikah puteri kepada Dato’ Jovian Mandagie dan isteri, Datin Nina Sabrina Ismail Sabri yang berlangsung meriah semalam. Dari bab persalinan, dekorasi dewan dan hiasan pelamin semuanya nampak cukup sempurna. Pandai Dato’ Jovian dan Datin Nina memilih apa yang terbaik untuk cahaya mata sulung mereka ini. Thumbs up!
Diadakan di Ballroom Menara FELDA Platinum Park Kuala Lumpur, majlis akikah Jeanelle Nika Mandagie yang kini memasuki usia empat bulan diserikan dengan kehadiran ahli keluarga, sahabat handai dan rakan artis. Antara selebriti yang turut memeriahkan majlis ini termasuk Datin Paduka Umie Aida, Lisa Surihani, Yusry KRU, Mira Filzah dan Alvin Chong. Tidak ketinggalan, pemilik Shoes Shoes Shoes iaitu Ung Yiu Lin.
Selain hiasan pelamin yang berkonsepkan ala butik atelier mencuri tumpuan para tetamu, rekaan busana yang dipakai Jeanelle Nika Mandagie juga menjadi topik hangat di kalangan tetamu termasuk netizen yang mengikuti perkembangan keluarga selebriti ini. Tampil sedondon bersama kedua-dua ibu bapanya dalam persalinan rona lilac, ramai menyifatkan gaun yang disarungkan ke tubuh comel Jeanelle Nika Mandagie seakan gaun kartun animasi Thumbelina. Mungkin kerana rekaannya yang kelihatan seperti kelopak bunga.
Apa-apa pun keindahan majlis akikah Jeanelle Nika Mandagie menerima banyak pujian. Malah, ada yang menganggap big day puteri kesayangan Dato’ Jovian dan Datin Nina ini begitu meriah umpama sebuah majlis persandingan. Berikut momen-momen indah yang dikongsikan Dato’ Jovian di laman Instagramnya.
Sumber foto: Instagram @jovianmandagie, @princessmandagie
Tak Salah Berbelanja Besar Untuk Yang Tersayang, Pengasas MOMMY HANNA Perjelas Isu Tular Botol Air Harga Kayangan
Seorang gadis Bernama Aisyah terkejut apabila video dia membelikan botol air untuk adik-adiknya yang dimuat turut olehnya di TikTok mengundang kecaman negatif netizen di laman Twitter.
Menurut Aisyah yang mempunyai lebih 1.2 juta pengikut di TikTok miliknya, dia sendiri terkejut apabila ada orang yang mempertikaikan tindakannya membeli botol air untuk adik-adiknya kerana menganggap harga botol air itu terlalu mahal.
Aisyah menjelaskan isu ini di laman TikToknya, jika kita sendiri mahu membelikan sesuatu buat orang yang kita sayang, pasti kita tidak akan merasakan barangan tersebut mahal.
@itsmeaisyah__ dari sehari tak minum air langsung , dapat botol baru satu jam boleh minum habis 🤣 @MommyHana Future Education ♬ original sound – 𝕒𝕚𝕤𝕪𝕒𝕙 𝕞𝕖𝕠𝕨 ᵔ ᴥ ᵔ
Malah, jika kita sendiri membelikan botol air yang kurang kualitinya untuk anak kecil lalu botol itu jatuh dan pecah, kita sendiri terpaksa membelinya berkali-kali, membuatkan kos untuk membeli botol air itu sendiri menjadi mahal. Berbeza jika kita membelikan botol air yang berkualiti, cantik dan tahan lasak, pastinya ia lebih berbaloi untuk dibeli sekali saja dalam tempoh yang lama.
Aisyah turut menambah, dia hanya sekadar berkongsi video pembelian botol air MommyHana di ruangan TikToknya kerana mahu berkongsi kepuasannya membeli botol air yang berkualiti tinggi, ditambah pada ketika itu adalah musim baru persekolahan.
Turut terkesan dengan kecaman di Twitter tersebut adalah Puan Hana selaku pengasas produk MommyHana. Beliau turut terkilan dan kecewa atas kecaman yang diterima di Twitter dan TikTok yang mendakwa harga produk MommyHana mahal.
Menurut Puan Hana, ramai orang tidak tahu usaha yang diletakkan untuk menghasilkan sesuatu produk, apatah lagi produk tersebut berkualiti, tahan lama dan terbaik.
Sebagai perbandingan, Puan Hana menjelaskan jika kita boleh membeli secawan kopi dengan harga RM15 ke RM20 tanpa banyak soal hanya kerana produk itu adalah produk dari negara luar, maka mengapa orang kita sendiri mahu mengecam produk dari negara sendiri hanya kerana harga yang menurut mereka mahal?
Tambah Puan Hana, MommyHana sendiri telah melakukan yang terbaik dalam mengeluarkan produk-produk mereka. Sebagai contoh botol air, beliau memaklumkan sudah hampir dua tahun MommyHana menjalankan penyelidikan serta mengeluarkan modal mencecah jutaan ringgit bagi menghasilkan botol air yang terbaik untuk anak-anak.
@mommyhanaofficialSometimes orang tak nampak usaha di belakang tabir yang hampir 2 tahun nak develop product yang setanding luar negara. Berkorban tenaga masa wang ringgit. Tempuh pelabgai cabaran onak duri suka duka jatuh bangun air mata darah.♬ original sound – MommyHana Future Education
“Jangan seperti anjing menyalak di bukit. Bukit tak runtuh, termalu diri sendiri.” Ujarnya di akhir penulisannya di laman social miliknya.
MommyHana yang ditubuhkan pada tahun 2016 mula dikenali ramai dengan produk buku interaktif mereka iaitu My First Book dan My Islamic Book. Syarikat milik penuh bumiputera ini turut menghasilkan Islamic Audio Device serta makanan tambahan seperti Excel Hana, Emmune Kids dan Emmune Adult.
Syarikat yang diasaskan oleh pasangan suami isteri Tuan Farid dan Puan Hana ini semakin melebarkan pengaruhnya dengan menghasilkan produk persekolahan untuk kanak-kanak pada penghujung tahun 2022. Produk persekolahan MommyHana bukan sekadar berkualiti tinggi, bahkan berteknologi dan boleh diimbas menggunakan aplikasi MommyHana.
Malah pendekatan Puan Hana yang seringkali berbaju sekolah mempromosikan produknya turut diperakui sebagai teknik pemasaran yang cukup bijak. MommyHana menawarkan pilihan buat ibubapa untuk membelikan produk persekolahan yang sangat cantik, berwarna-warni, berkualiti serta tahan lama.
***
Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona
***
‘Mummy, Haikal Nak Pergi!’ MAS ANIZAN Sebak Ingat Kenangan 3 Anak Saudara, Mangsa Korban Tahfiz Ittifaqiah!
Insiden kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiah, Kampung Dato’ Keramat pada September tahun lalu masih hangat dirasai sehingga ke hari ini. Meskipun sudah empat bulan peristiwa mengejutkan itu berlaku dan pesalah tragedi yang mengundang kebakaran tersebut telah ditahan, namun ia tetap meninggalkan kesan mendalam kepada khalayak. Bukan bermaksud tidak menerima ketentuan Ilahi sebaliknya apa yang terjadi di maahad tahfiz itu patut dijadikan iktibar.
Kehilangan tiga orang anak saudara dalam sekelip mata akibat kejadiaan berkenaan nyata bukan satu perkara mudah bagi ibu saudara berjiwa penyayang, Mas Anizan Mohd Shahid. Selebriti wanita yang kini berusia 45 tahun ini ketika dihubungi mengakui masih trauma setiap kali teringat momen indah bersama Muhammad Syafiq Haikal Muhammad Sulaiman 13, Muhammad Hafiz Iskandar Muhammad Sulaiman 11 dan Muhammad Harris Ikhwan Muhammad Sulaiman 10 tahun.
“Sejujurnya kami sekeluarga masih dalam keadaan trauma kerana baru kehilangan seorang anak saudara pada Hari Raya Ketiga pada tahun lepas. Kami juga merasakan seolah-olah mereka masih ada dan sedang menjalani pengajian seperti biasa di tahfiz tersebut.
Sehingga saat ini, saya masih terbayang-bayangkan mereka sebab setiap kali cuti mereka akan pulang bercuti di rumah saya. Tambahan pula pada cuti yang terakhir sebelum kejadian, ketiga-tiga mereka banyak menghabiskan masa bermain dan melepak di bilik saya.
Hubungan saya dengan semua anak-anak buah memang sangat rapat. Dari yang kecil sampailah dewasa. Terlalu banyak kenangan manis sebenarnya bersama mereka. Tapi ketika pulang pada cuti terakhir, kami sekeluarga sempat pergi berkelah di air terjun dan menonton wayang bersama.”
Mengimbas kembali saat menerima perkhabaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiah, bekas penyanyi, model dan aktres ini mula menyedari insiden yang menimpa anak saudaranya menerusi aplikasi Whatsapp sekolah. Sangka Mas, ia hanyalah kebakaran kecil. Tapi sebaik mendapat tahu ada mangsa yang terkorban, dia terus bergegas ke sana untuk mengetahui status ketiga-tiga anak saudaranya itu.
Biarpun dia sekeluarga telah reda dengan pemergian arwah, perubahan sikap yang ditunjukkan Haikal, Hafiz dan Harris sebelum kejadian menimbulkan rasa rindu yang terus menebal.
“Perubahan tu memang ada cuma tak perasan pada waktu tu. Bila ingat balik sekarang baru perasan banyak sangat perubahan dan kelakuan yang ganjil beberapa bulan sebelum mereka pergi. Selalunya pada Hari Raya mereka akan lebih excited untuk bergambar tapi pada raya tahun lepas ketiga-tiga mereka mengelak untuk bergambar.
Selain itu, beberapa minggu sebelum kejadian, Haikal lebih suka menyendiri dan banyak berdiam diri. Manakala Hafiz dan Harris pula bersikap lebih manja. Hafiz juga ada bertanya kepada adik lelaki saya iaitu bapa saudaranya. Kata Hafiz, ‘Sekiranya budak kecil meninggal, adakah mereka akan ke syurga?’
Sehari sebelum kejadian pula, Haikal ada menelefon saya dengan kata-kata yang pelik. ‘Mummy, Haikal nak pergi’. Saya pun tanya, ‘Nak pergi ke mana?’ Dia cuma jawab ringkas, ‘Nak pergilah.’ Rasa agak pelik, lalu saya bertanya lagi, ‘Nak balik cuti ke?’, ‘Ya’, jawabnya sambil ketawa kecil. Itulah panggilan yang terakhir dan masih terngiang-ngiang lagi di telinga hingga ke saat ini. Rupa-rupanya betullah dia telah pergi meninggalkan kami.”
Ditanya apa harapan Mas sekeluarga terhadap pelaku yang menyebabkan kematian 23 orang termasuk dua guru pusat tahfiz berkenaan, dalam nada tenang dia menyusun bicara.
“Saya memang tak sangka kanak-kanak semuda usia mereka boleh berfikir dan bertindak sejauh itu. Membakar sebuah sekolah tahfiz dengan segala persiapan dan strategi yang digunakan memang terlalu advance untuk kanak-kanak seperti mereka. Saya cuma mengharapkan hukuman yang setimpal kepada kanak-kanak yang membakar tahfiz tersebut agar ia menjadi satu pengajaran buat mereka di luar sana.
Jujurnya saya telah pun memaafkan pelaku ini dan reda pemergian anak-anak buah kerana tahu mereka adalah anak-anak syurga dan bahagia di sana. Sebagai ibu bapa, kita haruslah mengawasi dan memantau gerak-geri anak-anak. Mengambil tahu dengan siapa mereka bergaul dan didikan agama adalah antara faktor yang paling penting dalam memastikan anak-anak tidak terlibat dengan gejala yang tak sihat,” pesannya.
“Bakal Pianist Terkenal Ni..!” Warga Maya Teruja Aafiyah Tunjuk Handal Main Piano, Tok Ti Pula Yang Sebak
Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Jika dah lahir dalam keluarga berdarah seni, pastinya dari kecil dah nampak bakat semulajadi. Itu yang dapat digambarkan tentang keupayaan anak kepada penyanyi kesayangan ramai, Dato’ Siti Nurhaliza atau Tok Ti yang berkongsi di Instagramnya hantaran video, menyaksikan anaknya Aafiyah yang baru berusia 4 tahun bermain piano.
Yang pasti, Tokti menjadi individu paling terharu malah sebak menyaksikan anaknya melakukan persembahan menerusi konsert piano pertama yang disertainya. Meski baru berusia 4 tahun, namun kemahiran Aafiyah bermain piona mengikut pitch nyata mengujakan. Aafiyah dikhabarnya sudah lama mengikuti kelas piano sejak dari kecil lagi.
Di dalam video tersebut, Aafiyah bersama jurulatih muziknya memainkan lagu berjudul Twinkle Twinkle Little Star, malah Aafiyah juga dikatakan pelajar termuda yang membuat persembahan.
“Hari ini Aafiyah menyertai konsert piano pertamanya.. Ibu bila teacher @illypianoacademy kata Aafiyah ada konsert, ibu yang nervous sebab Aafiyah antara yang paling muda iaitu 4 tahun dan takut dia panic (ibu je over thinking sebenarnya) Bila makin dekat ibu lagi nervous bercampur excited”, jelas Tok Ti di dalam kapsyennya.
Tok ti menjelaskan yang beliau juga berasa begitu sebak dapat melihat anaknya membuat persembahan. Tambahannya lagi, beliau berkata suaminya Dato’K memuji Aafiyah yang mempunyai gaya kerana jarinya yang begitu lentik.
“Hari ini ibu rasa sebak mula2 tengok Aafiyah perform .. Ayah pun bangga je bila tengok anak dara dia perform sambil lentik2 jari tuuu.. (Ada gayaa kata Ayah). Semoga Aafiyah dapat menimba segala ilmu dengan baik anakku.. Ibu dan Ayah selalu doakan ye.. Tq teacher @illypianoacademy yang sentiasa sabar mendidik anak ibu ye..Tahniah untuk majlis hari ini..”, akhiri Tok Ti.
Dalam ruangan komen pula dapat disaksikan ramai yang mengagumi dan kemahiran Aafiyah di usia muda, termasuk dari kalangan rakan artis dan selebriti.