Truffle mungkin kedengaran asing bagi kebanyakan orang Malaysia, mungkin hanya kelompok tertentu sahaja yang tahu dan menjadikan makanan ini sebagai satu bahan masakan yang wajib dinikmati. Tidak hairan kalau ia bukan menjadi makanan wajib kerana harganya yang tinggi, khabarnya ada Truffle dijual pada $61,000 bagi Truffle seberat 1.8kg.
Mungkin untuk membeli Truffle berada diluar jangkauan kita, namun anda boleh menikmati hidangan istimewa yang menjadikan Truffle sebagai bintang dalam masakan di Nobu Kuala Lumpur sepanjang bulan September. Menyuntik kepakaran Nobu dalam menghasilkan hidangan Japanese-Peruvian, para tetamu yang hadir akan merasai pengalaman gabungan Truffle yang digabung bersama komponen masakan lain yang akan mengangkat pengembaraan deria rasa anda. Setiap satu hidangan ini disediakan oleh Cef Eksekutif Philip Leong bersama pasukannya di restoran Nobu.
Terdapat dua jenis pilihan Truffle dari eropah yang akan digunakan ke dalam masakan iaitu The Summer Black Truffle dari daerah Alba, Itali dan The Prigold Truffle dari Perancis.Kedua-dua jenis Truffle ini memiliki rasa yang berbeza. Skala harga setiap hidangan bermula dari serendah RM65 sehingga RM335. Mungkin anda patut cuba pengalaman gastronomi ini bersama insan tersayang.
Nak Rasa ASAM PEDAS Johor Yang Sedap, Cuba Resipi DATIN ILLYKA Ini!
Kelibat Datin Ilyka, masih ada dalam industri hiburan tanah air dan aktif memenuhi jemputan persembahan. Apatah lagi kini Datin Ilyka tampil dengan dua single baharu berjudul Persembahan Cinta dan Sempurnakan Takdirku, namanya kembali disebut peminat.
Kedua-dua single itu ciptaan sepenuhnya komposer Indonesia, Tengku Shafick yang sebelum ini menghasilkan lagu untuk Datuk Siti Nurhaliza (Cuba Untuk Mengerti) dan Anuar Zain (I’m The Lucky One). Artis kelahiran Johor ini bernaung di bawah label Cloudworks Record, Ilyka atau nama sebenarnya Zuraila Mohd Yassin kini merancang kembali mewarnai arena seni suara dengan mempertaruhkan single terbaharu.
Menyentuh mengenai Ramadan, ibu kepada seorang cahaya mata yang kini meningkat remaja ini berkata kebiasaannya, menu berbuka puasa di rumah agak meriah terutamanya jika berkumpul bersama keluarga. Antara hidangan yang sering disediakan hidangkan termasuklah rendang ayam, ketupat, kuah lodeh dan sambal udang.
Sebagai anak jati Johor, tidak sah jika tidak pandai memasak menu asam pedas. Begitu juga buat Datin Illyka, yang memasak asam pedas menggunakan resipi turun-temurun yang diwarisi daripada ibu tersayang.
“Sebenarnya, rahsia untuk mendapatkan asam pedas Johor terletak pada cili yang digunakan. Untuk menyediakan asam pedas Johor, pastikan cili yang digunakan ditumis dalam tempoh yang lama untuk memastikan ia boleh tahan lebih lama. Dari segi penggunaan bahan pula, asam pedas Johor menggunakan air asam yang pekat dan mempunyai tekstur kuah yang lebih pekat berbanding asam pedas Melaka,” ujar Datin Illyka berkongsi rahsia menu asam pedas yang enak.
Khas untuk pembaca NONA, Datin Illyka kongsikan menu Asam Pedas Kepala Ikan Merah untuk sajian berbuka puasa. Selamat mencuba!
ASAM PEDAS KEPALA IKAN MERAH
BAHAN-BAHAN:
- 1 cawan cili kering|direbus dan kisar
- 5 ulas bawang merah
- 3 ulas bawang putih
- 1/2 inci kunyit hidup
- 1/2 inci halia
- Sedikit belacan bakar
- 2 tangkai daun kesum
- 2 ekor kepala ikan merah
- 1 cawan air asam jawa
CARA MEMBUAT:
Kisar bahan-bahan seperti cili kering, bawang merah, bawang putih, kunyit hidup, halia dan belacan yang telah dibakar. Panaskan minyak dan tumis bahan-bahan tersebut sehingga ia menjadi garing dan naik baunya . Letak air asam sedikit dahulu kemudian letak ikan supaya cili sebati pada ikan . Tambah air perlahan-lahan supaya kuah asam pedas tidak menjadi cair. Kemudian tambahkan garam, gula dan sedikit bahan perasa. Masukkan pula daun kesum. Sedia untuk dihidangkan.
Nak Makan Pun Kena Beratur Panjang, Apa Istimewanya RESTORAN BOAT NOODLE Ini?
Tanpa perlu mengembara hingga ke Negara Gajah Putih, anda kini berpeluang merasai keunikan Thailand Street Food di cawangan Boat Noodle seluruh negara.
Terkenal dengan hidangan mi pelbagai perisa yang disediakan dalam mangkuk kecil, kunjungan anda di salah sebuah rangkaian Boat Noodle pasti tidak menghampakan.
Apatah lagi suasana restoran yang digarap dengan konsep dekorasi santai dan vintaj menjelmakan dimensi seolah-olah sedang berada di negara jiran, Thailand.
Atmosfera yang tercipta juga membuatkan para Instagrammers tak melepaskan peluang merakam foto menarik di sini.
Usah terkejut jika anda terpaksa beratur di luar premis kerana itu memang situasi biasa yang biasa berlaku kepada pelanggan setia Boat Noodle.
Malah, ada yang sanggup datang ke restoran pada awal waktu operasi semata-mata tak mahu menempuh kedatangan pelanggan yang bertali-arus.
Apa yang pasti, Boat Noodle menghidangkan pengalaman gastronomi mengagumkan sehingga anda tersandar kekenyangan dengan seleksi menu enak Thai Street Food. Tambahan pula, harga yang ditawarkan cukup berpatutan.
Sempena cuti hujung minggu ini apa kata anda bawa seisi keluarga menikmati hidangan Boat Noodle. Bagi penggemar sajian mi, ada dua pilihan yang wajib anda cuba iaitu mi beras dan mi telur yang boleh dinikmati dengan pilihan daging lembu atau ayam.
Untuk kuah mi pula, pelanggan diberi pilihan sama ada mahu sos Pathumtani iaitu sos rebusan soya gelap yang kaya dengan rasa masam dan pedas.
Sementara Ayutthaya pula dihasilkan dengan air rebusan soya berkrim yang menggabungkan tidak kurang 10 ramuan herba dan rempah ratus.
Kombinasi sos lazat dan daging empuk yang menyatukan rencah rasa mi membuatkan pelanggan mahu menikmati juadah ini lebih daripada semangkuk!
Selain mi, antara hidangan lain yang ditawarkan termasuk menu nasi Kra-Pow Chicken Rice dan Hulk Smash Green Curry yang terkenal dengan kepedasan cili padi. Begitu juga Fruit Somtam, Yum Seafood, Yum Mama dan Yum Meatball yang membangkitkan rasa pedas memikat.
Sebagai sajian sampingan, apa kata anda cuba Grilled Chicken Meatball, Grilled Beef Meatball, Chicken Wings, Thai Popeye’s Tempura atau Flame Grilled Ayam Legend untuk melengkapkan selera makan anda di sini.
Tidak cukup dengan itu, nikmati hidangan pencuci mulut berasaskan kuih seperti roti putih lembut yang dikukus, Sangkayaa. Persinggahan anda ke Boat Noodle bagaikan tidak lengkap tanpa minuman sejuk popularnya yang dikenali di bawah jenama Chill Chill.
Terdapat lebih 10 variasi perisa disediakan kepada pelanggan antaranya Cha Yen, Kaffe Yen, Thai Ice Blended Green Tea dan sebagainya.
Tarikan terbaharu di Boat Noodle adalah sajian somtam yang didatangi dengan pilihan somtam biasa dan somtam goreng. Tidak ketinggalan, menu Chicken Wing yang dihidangkan bersama sos istimewa.
Buat anda yang baru pertama kali ingin menikmati sajian mi Boat Noodle, ini tip penyediaan yang disarankan staf pemasaran dan komunikasi Boat Noodle, Muhammad Izzul sambil disaksikan Ketua Pegawai Penjenamaan, Pramesh Kumar.
Tip Nikmati Kelazatan Boat Noodle
- Pilih mana-mana perisa mi yang digemari sama ada mi beras atau telur dengan sajian daging lembu atau ayam.
- Dalam mangkuk kecil tersebut, bubuh sedikit garam mengikut cita rasa anda.
- Kemudian, tuangkan sedikit minyak ikan.
- Seterusnya, taburkan sesudu (sudu khas yang disediakan) emping cili. Jika mahu lebih pedas, tambahkan kuantiti.
- Akhir sekali, perasakan dengan cuka.
- Kacau sebati dan rasa. Tambah mana-mana bahan yang dirasakan kurang mengikut selera masing-masing.
- Tidak lengkap sajian mi jika hanya menikmati semangkuk mi sahaja.
Biarpun makanan yang dihidangkan bercita rasa Thailand namun pelanggan tidak perlu ragu dengan kualiti makanan di sini kerana Boat Noodle menggunakan bahan masakan daripada sumber yang halal selain telah menerima kelulusan halal daripada Jabatan Agama Islam Malaysia (JAKIM). Selamat mencuba! Suziana Abu Daud
‘Asam Pedas Kepala Ikan Salmon’ Air Tangan DATIN ISMATIA Ini Kecur Dibuatnya!
Bagi sesetengah wanita, memasak adakalanya dijadikan hobi mahupun terapi diri ketika berada di rumah. Kalau ada minat pastinya ia memberi kepuasan, lebih-lebih lagi jika air tangan kita itu menjadi kegemaran keluarga. Lagi lah bersemangat hendak memasak setiap hari dengan menu-menu yang istimewa walaupun simple.
Siapa yang tidak kenal dengan Datin Ismatia yang sering berkongsi resipi mudah di akaun Instagramnya ‘Masak with Passion’. Wanita anggun berasal dari Kelantan ini merupakan pengasas produk kecantikan Tia Amelia.
Penyediaan menu ringkas dengan bahan-bahan yang mudah didapati telah menarik minat warga media sosial untuk sentiasa mengikuti perkembangannya di Instagram.
Dengan jumlah pengikut seramai 413 ribu yang begitu setia menonton video masakan yang dihasilkan olehnya. Ramai yang mencuba resipi Datin Isma dan kalau diikut betul-betul memang menjadi!
Baru-baru ini Datin Isma berkongsi resipi Asam Pedas Kepala Ikan Salmon menerusi satu video ringkas di Instagramnya. Jarang kita dengar, kepala ikan salmon dibuat asam pedas, kan? Maklumlah, harga ikan salmon pun boleh tahan.
Apa kata, kali ini kita cuba resipi asam pedas versi ‘kayangan’ dari Datin Isma.
ASAM PEDAS KEPALA IKAN SALMON
Bahan-Bahan A (kisar):
6 ulas bawang merah
6 ulas bawang putih
Sedikit lada hitam
Sedikit belacan
Bahan-Bahan B:
4 sudu makan cili kering kisar
Sedikit asam jawa
Gula (secukup rasa)
Garam (secukup rasa)
Bahan perasa (secukup rasa)
Bahan-Bahan C:
Tomato (dibelah dua)
Bunga kantan (dibelah dua)
Segenggam daun kesum
Bendi
Cara-Cara Membuat:
Memetik kata-kata Datin Isma kepada Nona dahulu, “Saya gembira dapat membantu wanita-wanita yang tidak pandai memasak namun akhirnya mereka pandai kerana mengikut tutorial video di Instagram saya. Sehinggakan suami mereka memuji kebolehan mereka memasak dan meminta lagi mereka masak resipi tersebut.”
Kredit Foto: Instagram @datinismatia