Tiada kata-kata yang boleh dilafazkan selain terharu oleh Che Zuhaiza Che Hamat terhadap pengorbanan suaminya, Mohd Rusdi Husain. Sejak lima tahun lalu Che Zuhaiza telah diuji dengan musibah penyakit Multiple Sclerosis atau gangguan saraf.
IKLAN
Che Zuhaiza hanya boleh dipapah serta berkerusi roda untuk bergerak. Suamilah tempatnya bergantung harap, bukan sekadar menjaga dirinya yang tidak mampu lagi untuk bergerak bahkan melakukan semua urusan rumah tangga termasuklah menguruskan anak-anak.
Cukup besar pengorbanan seorang suami yang mungkin sukar untuk kita lihat pada zaman sekarang. Wajah lelaki berusia 44 tahun ini tampak tenang demi melihat kebajikan isteri tercinta sentiasa terjaga.
Pasangan ini dikurniakan empat zuriat yang masih kecil berusia 11, 9, 7 dan 6 tahun. Mohd Rusdi bertugas sebagai pembantu bilal di Masjid Saidina Othman Bandar Tun Razak Kuala Lumpur.
PENGORBANAN
“Saya disahkan mengalami gangguan saraf dan tidak dapat berjalan sekitar tahun 2013. Ia berlaku ketika saya mengandungkan anak bongsu. Namun alhamdulillah saya dapat bersalin secara normal.
IKLAN
Ini satu keajaiban di saat diri menderita dengan penyakit. Doktor juga memberitahu penyakit saya ini tak akan sembuh dan saya terpaksa bergantung dengan ubat dan rawatan hospital. Sejak saya sakit kadangkala anak-anak terpaksa ponteng sekolah untuk bantu suami menjaga saya. Jiran-jiran juga banyak membantu meringankan beban kami sekeluarga.
IKLAN
Ini antara kekuatan saya kerana di saat begini kami dikelilingi insan-insan yang baik dan berhati mulia. Selain itu, doa dan sabar menjadi kekuatan saya. Mujurlah anak sulung kami sudah boleh diharap dan ringan tulang membantu. Setiap hari suami akan memasak siap-siap kemudian dia akan bergerak ke Masjid Saidina Othman sebelum Zohor.
Saya terharu kerana suami sanggup belajar apa yang dia jarang buat sebelum ini seperti memasak dan mengemas rumah. Suami juga buat dua tiga kerja demi menambah pendapatan keluarga.
Terima kasih buat suami kerana sanggup bersusah payah menjaga saya dan anak-anak. Hikmahnya, kami sekeluarga kini bertambah rapat. Cinta dan kasih sayang kami kian mendalam,” luah Che Zuhaizah berusia 39 tahun.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Apabila PKP dilanjutkan ianya seperti satu rahmat kerana pelbagai perkara bermanfaat yang boleh diluangkan bersama keluarga. Namun tidak dinafikan juga ada sebahagian di kalangan kita yang merasakan apabila PKP dilanjutkan ia menjadi sebab kepada tekanan ekonomi, psikologi, emosi, sosial dan sebagainya.
Pendakwah terkenal Ustazah Fatimah Syarha berkongsi tentang ‘Bersabar Dalam Musibah, Bersyukur Dalam Nikmat’.
“Apabila wabak COVID-19 melanda dan adanya Perintah Kawalan Pergerakan di serata dunia statistik keganasan rumahtangga mendadak tinggi. Kebanyakan mangsanya adalah wanita dan kanak-kanak.
Ya Allah Kau lindungilah kami semua Ya Allah. Apa pun yang berlaku Allah Maha Baik. Kita tetap hendak besarkan rasa syukur kepada Allah SWT. Rahmat Allah jauh lebih besar. Dan kalau Allah uji kerana kita mampu.
FASA KEHIDUPAN
Kehidupan ini memang sentiasa menguji kita. Kita bermula dengan fasa lemah dahulu. Fasa daripada kita bayi yang tidak tahu apa-apa. Kemudian Allah Yang Maha Pemberi Rezeki (Ar-Razzaq) siapkan segalanya untuk kita. Makan minum kita terjaga dengan izin Allah SWT. Pakaian dan keperluan juga terjaga, juga dengan izin Allah Taala.
Kemudian kita masuk pula ke fasa kuat. Daripada remaja sampai usia 65 tahun kita berada di fasa kuat. Apabila kita kuat maka ujian pun makin kuat. Sebab Allah mengiktiraf kekuatan kita. Allah tidak akan bagi apa yang kita tidak mampu. Yang kita mampu Allah akan bagi. Sebab Allah hendak naikkan lagi level kita, tahap kita di sisi Allah SWT.
Maka apa pun yang Allah beri semuanya baik belaka. Allah sangat baik, sangat sayang kita. Kita juga nanti akan masuk ke fasa lemah. Ketika itu kita tidak perlu lagi risau kerana dahulu pun kita asalnya berada di fasa lemah iaitu kanak-kanak dan bayi. Allah jaga kita dengan sangat baik. Akan datang pun kita akan kembali ke fasa lemah, dengan izin Allah. Maka jangan risau. Allah sangat baik, Allah sangat menjaga.
PERSIAPAN
Dan di zon kita sekarang ini, apa yang hendak kita siapkan? Boleh jadi sebelum ini fasa kita adalah zon selesa. Sebab segalanya ada, segalanya dapat, segalanya terkawal dan selamat. Kemudian Allah membawa kita dari zon selesa masuk ke zon ketakutan. Takut rezeki tidak cukup, takut apa yang akan berlaku, takut sampai bila, takut raya di mana, tidak dapat ke masjid ketika puasa dan macam-macam ketakutan.
Tidak mengapa kerana ini normal dalam kehidupan. Kita akan diuji takut, ia normal. Kita harus bawa cepat-cepat diri kita dari zon takut ke zon ilmu. Doa yang kita minta antaranya ilmu yang bermanfaat. Kita akan dapat mengawal emosi, uruskan ujian. Sebab apa sahaja yang berlaku kita tidak boleh saling menuduh. Kita belajar daripadanya.
Kita tingkatkan skil daripadanya. Ini adalah zon pengetahuan. Dan kalau kita terus terusan belajar kita akan masuk ke zon berkembang dan bercambah. Apa pun yang berlaku dalam hidup kita sebelum ini semuanya akan menjadi aset yang sangat berharga untuk membina pengalaman, pencapaian baru, objektif baru ianya dapat meluaskan lagi zon selesa kita.
Di fasa mana pun, diuji bagaimana pun kita tetap selesa dengan Allah SWT. Allah SWT mengajar kita untuk sentiasa besarkan rasa syukur kerana ia terapi. Dalam Al-Quran Allah menyebut “Dengan nikmat Tuhanmu sebut sebutkanlah” Di Malaysia sekarang ini apa yang kita boleh sebut kesyukuran? Kita sangat bersyukur kerana sekarang ini dalam keadaan kita diuji wabak COVID-19, kita lihat semua pihak (pembangkang, NGO, anggota masyarakat, perseorangan) bersungguh-sungguh hendak membantu sesiapa sahaja yang memerlukan.
Fronliners kita berusaha siang malam hendak membantu mereka yang memerlukan. Begitu juga sesiapa yang ada tekanan ekonomi dan emosi, di sekeliling kita ada banyak pihak yang bersedia untuk membantu. Tinggal kita sahaja yang perlu keluar dari zon ketakutan. Bantu diri kita, carilah tempat-tempat yang kita perlukan untuk membantu apa sahaja yang kita alami.
TAQWA & SEDEKAH
Yakin dan percaya bahawa Allah Yang Maha Membantu, Maha Memberi dan Maha Menyayangi sentiasa dekat dan bersama dengan kita. Bagaimana kita hendak luahkan kepada Allah bahawa kita ini hambaNya yang sangat mensyukuri?
Pertama, jaga taqwa kepada Allah SWT. Dan Allah sebut dalam Al-Quran “Siapa yang bertaqwa kepada Allah, Allah akan bagi jalan keluar.” Allah hendak beri rezeki daripada sumber yang tidak disangka sangka. Rezeki adalah apa sahaja yang bermanfaat seperti kekayaan, kesihatan dan kebahagiaan, anak soleh dan solehah, dapat tersenyum, ilmu baru, dapat menikmati hari ini, itu semua itu rezeki.
Kita juga hendak banyakkan sedekah. Kata Nabi SAW, ketika ditanya oleh para sahabat apakah sedekah yang paling afdhal. Lalu kata Nabi SAW, sedekah yang paling afdhal ialah ketika kita sihat, ketika rasa kikir (kedekut) dan ketika berangan angan hendak kaya. Kita keluarkan sedekah kepada yang memerlukan. Ketika itu Allah memandang sedekah kita sebagai sedekah paling afdhal. Subhanallah!
ZIKIR
Hendak meluaskan lagi hubungan kita dengan Allah, bukan sekadar dengan perkara-perkara yang fardhu tetapi juga perkara-perkara sunat. Kita hendak buat sebanyak-banyaknya. Misalnya hubungan dengan zikir pagi dan petang, Al Mathurat. Ataupun Hisnul Muslim.
Baca maksudnya, tenangkan emosi, jiwa kita dengan memahami apa perkataan Allah. ‘Whatsappp’ Allah, ‘mesej’ Allah supaya jiwa kita kuat melalui apa jua ujian. Subhanallah!
Maka ingatlah, kata Allah dalam Al-Quran “Hari-hari itu Allah akan tukar (macam roda) sekejap di atas sekejap di bawah. Hari-hari yang kita lalui pun sama. Hari ini sihat, esok mungkin sakit. Kemudian sihat dan sakit semula. Atau, hari ini rezeki melimpah esok rezeki sempit.
Dunia semuanya sementara. Yang kekal hanyalah wajah Allah SWT. Alhamdulillah Ya Allah apa pun yang berlaku, senang mahupun susah, sakit ataupun sihat apa jua berlaku yang penting “Saya ada Allah dalam diri saya. Dan saya sangat bahagia dengan kehidupan ini. Alhamdulillah”.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Sebagaimana yang kita tahu, bulan April merupakan Bulan Kesedaran Autisme. Pengerusi Eksekutif Kumpulan HABIB, Dato’ Sri Meer Habib dan isterinya Pengarah Eksekutif Kumpulan HABIB, Datin Sri Zarida Noordin telah melaksanakan tanggungjawab sosialnya dengan menderma 300 keping wafer emas kepada Yayasan Pendidikan Insani.
Yayasan Pendidikan Insani merupakan akademi yang menawarkan
modul dan teknik berkaitan autisme dengan pegawai terlatih. Jualan setiap wafer emas tersebut akan disumbangkan kepada yayasan yang menyokong kanak-kanak Autism yang kurang berkemampuan.
Penyampaian Wafer Emas 999 (24K) HABIB kepada tabung Yayasan INSANI telah dilaksanakan sempena perasmian bilik pameran HABIB yang berkonsep bahari di KL East Mall. Perasmian pembukaan dimulakan dengan upacara pemotongan reben yang disempurnakan oleh Dato’ Sri Meer Habib, Datin Sri Zarida Noordin serta Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby, Dato’ Azmir Merican.
Selaras dengan pembukaan ini, HABIB mempamerkan koleksi raya terkini untuk kempen Rantaian Kasih yang akan berlangsung tidak lama lagi. Selain koleksi Oro Italia 916 terbaru, Grafetta dan juga Ananas, HABIB melancarkan koleksi rantai leher panjang dengan loket bertatahkan berlian yang merupakan kesukaan ramai.
Kempen raya yang bertemakan “Irama Aidilfitri” dipilih untuk membangkitkan emosi nostalgia raya yang suasana meriah, memandangkan ramai yang tidak berpeluang meraikan dengan keluarga tersayang tahun yang lalu. Tema retro muzikal berwarna – warni selaras dengan kolaborasi HABIB bersama Newsantara untuk melancarkan sebuah lagu raya yang akan dilancarkan tidak lama lagi.
Sejak turun temurun, budaya warga Malaysia adalah untuk menyimpan emas dalam bentuk jongkong emas ataupun barangan kemas. HABIB ingin memupuk budaya menyimpan dan melabur emas ke generasi seterusnya. Tahun ini HABIB telah mengeluarkan 4 reka bentuk wafer emas raya berunsurkan suasana hari raya seperti ketupat, rumah kampung, bunga api dan masjid. Setiap wafer emas datang dengan sampul yang berwarna warni.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Reda kisah bedilan di Palestin, nama supermodel Bella Hadid sekali lagi mencuri tumpuan dunia. Kali ini gadis muda berusia 25 tahun itu lantang mempertahankan hak wanita Islam untuk berhijab susulan isu yang menimpa Hoda Al-Jamaa baru-baru ini.
Di sebalik kisah fesyen dan persembahan runway di Minggu Fesyen, Bella Hadid memanfaatkan platform laman sosialnya untuk meningkatkan kesedaran mengenai diskriminasi terhadap wanita Muslim yang memakai hijab.
Tindakan Bella atau Isabella Khair Hadid yang mewarisi keturunan Palestin dari bapanya itu disuarakan menerusi gambar dan kapsyen dimuat naik di Instagram miliknya pada 17 Februari lalu.
Beliau secara terbuka menyatakan sokongan kepada Hoda Al-Jamaa, seorang pelajar sekolah berusia 17 tahun di Otago, New Zealand, yang dimasukkan ke hospital bulan ini selepas dibuli kerana berhijab.
“Ia membuatkan saya marah dan sakit hati. Kita perlu mengubah pemikiran menjatuhkan hukuman dengan segera.
Ajar rakan, anak, ibu bapa dan keluarga kita bahawa memakai tudung, menjadi Muslim, atau menjadi apa-apa selain kulit putih secara umumnya tidak bermakna layak diancam atau mendapat layanan ‘berbeza’ daripada orang lain.
Ajari mereka untuk menyayangi sebelum membenci. Mendidik sebelum menghukum. Dan melindungi sebelum membuli.” Bella Hadid
Memandangkan trend fesyen berhijab semakin popular, Bella turut menggesa orang ramai supaya sedar tujuan pemakaiannya dan mengapa ‘ia sangat penting kepada wanita Islam di seluruh dunia’.
“Meskipun fesyen melangkaui sempadan dan membuatkan pemakaian hijab kini lebih diterima dalam masyarakat, namun kita tetap perlu mengakui bahawa tekanan wanita Muslim dalam fesyen kebiasaannya di Amerika dan Eropah sangat mencabar.
Jadi berdirilah untuk rakan Muslim anda. Jika nampak sesuatu, tolong katakan sesuatu.”
Bella turut berkongsi sekeping foto milik sahabatnya, @taqwabintali yang memaparkan sekumpulan wanita Muslim tersenyum dalam busana berwarna-warni.
“Saya mahu foto ini mewakili generasi saya. Saya tak perlu menunggu ia jatuh dari langit atau seseorang bercakap untuk kami. Tapi saya akan lakukannya sendiri.
Daripada kami untuk kami.” Bella Hadid
Bella kini merupakan seorang supermodel terkemuka yang dilahirkan di Washington DC. Ibunya adalah Yolanda Hadid seorang bekas model, manakala bapanya, Mohamed Hadid, adalah arkitek dan pemaju hartanah.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!