Keju lazimnya digunakan secara meluas untuk pelbagai sajian Barat. Antara juadah yang memerlukan ramuan keju termasuk penyediaan piza, kek, pasta, biskut dan penambah perisa dalam salad. Pembuatan keju bagaimana pun mengambil tempoh masa yang agak lama bergantung kepada jenis keju itu sendiri. Bahkan ada di antara keju siap diproses selama berbulan-bulan lamanya. Meskipun ia bukan makanan ruji di Malaysia namun keju telah menjadi salah satu bahan wajib dalam menu harian. Bahan asas keju terbentuk daripada susu lembu, biri-biri dan kambing yang terbahagi kepada dua jenis iaitu keju muda atau lembut (soft cheese) dan keju tua atau keras (hard cheese).

IKLAN

TEKNIK PENYIMPANAN KEJU

Kualiti dan rasa keju dapat dikekalkan dalam tempoh yang lama jika ia disimpan dengan baik. Sebagai penggemar keju, anda wajib praktikkan tip berikut agar blok keju yang ada di rumah bebas daripada unsur yang boleh menjejaskan kebersihan mahupun keenakan keju.

  • Pastikan keju disimpan dalam peti sejuk di bahagian penyimpanan khusus untuk mengelak dihinggap bau makanan yang tajam kerana ia mudah tercemar oleh bau dan rasa
  • Setiap kali mahu menikmati keju pastikan hanya potong mengikut jumlah yang diinginkan. Kemudian, simpan kembali dalam peti sejuk dengan suhu dingin bawah 6 darjah Celsius
  • Keju yang sudah dipotong perlu dibungkus rapat dengan plastik atau pembalut aluminium
  • Tempoh paling lama untuk menyimpan keju adalah dua minggu
  • Terdapat petua yang menyarankan keju disimpan di dalam plastik yang ditutup kemas bersama gula merah bagi mencegah pembentukan kulat
  • Harus ingat supaya tidak segera menggunakan keju yang masih beku. Sebaliknya, biarkan seketika sebelum menggunakannya

Pelihara Kesihatan MATA & TULANG Dengan Resipi Berasaskan Keju. Juga, Cara Penyimpanannya!

STUFFED CHICKEN BREAST

Bahan-bahan utama:

  • 8 ketul dada ayam (tanpa tulang & kulit)
  • 8 keping daging ayam salai
  • 4 keping keju Swiss (ukuran 1 inci)
  • 1 sudu teh daun thyme kering
  • ¼ cawan mentega cair
  • ½ cawan bijirin cornflakes (dihancurkan)
  • 50 gram hirisan bawang merah
  • 50 gram hirisan cendawan
  • 300 gram daun bayam
  • Garam
  • Lada sulah

Bahan-bahan membuat sos:

IKLAN
  • ½ sudu makan lada hitam Sarawak (dihancurkan)
  • 30 gram bawang (dipotong dadu)
  • 100 gram tomato
  • 2 sudu besar bawang putih
  • 200 ml air
  • 5 sudu teh sos tomato
  • 1 sudu besar sos tiram
  • 2 sudu besar sos soya cair
  • ½ sudu besar gula
  • ¼ sudu teh garam
  • 1 sudu teh sos soya pekat

Cara membuat:

Panaskan ketuhar pada suhu 200 darjah Celsius. Letakkan separuh daripada isi dada ayam di atas plastik pembalut dan ketuk menggunakan penukul daging dengan ketebalan kira-kira 1/8 inci. Kemudian, bubuh secubit keju dalam setiap kepingan daging ayam salai dan taburkan daun thyme, garam dan lada sulah. Gulung daging ayam salai yang diperap tadi bersama dada ayam dan keju di dalamnya. Kemaskan balutan dengan lidi pencungkil gigi. Seterusnya, tuang mentega cair di dalam mangkuk kecil dan campurkan bersama bijirin Cornflakes yang dah hancur untuk dicelup dengan gulungan isi ayam. Pastikan dulang pembakar telah disapu mentega supaya tidak melekat. Akhir sekali, bakar dengan suhu 200 darjah Celsius selama kira-kira 40 minit atau hingga ayam berwarna coklat keperangan. Untuk membuat sos, panaskan dua sudu besar minyak zaitun di dalam kuali dan tumis bersama lada hitam hancur hingga naik bau. Masukkan bawang dan bawang putih diikuti tomato serta bahan perasa. Kacau sebati. Tuangkan air dan dibiarkan mendidih. Perlahankan api dan masak selama 10 minit. Masukkan beberapa sudu tepung jagung untuk memekatkan sos. Hidangkan bersama gulungan ayam yang telah siap dimasak.

IKLAN

Resipi: TERIMA KASIH CEF EKSEKUTIF PARKROYAL KUALA LUMPUR, CEF JOSEPH KUAN

 

 

 

Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI