Semasa dalam tempoh mengandung ramai wanita sibuk memikirkan proses berpantang yang bakal dilalui selepas melahirkan anak. Membaca semua pantang larang ketika berpantang dan mula mencari jamu atau tukang urut untuk membuang segala jenis angin selepas menjalani proses bersalin sama ada secara pembedahan mahupun normal. Tetapi, ramai wanita yang tidak endah tentang penjagaan selepas keguguran.

Mengikut perbidanan Melayu rawatan selepas bersalin lebih mudah berbanding rawatan selepas keguguran. Ini kerana ketika menjalani proses bersalin uri dan segala yang menjadi teman bayi turut keluar bersama-sama. Namun, keguguran adalah proses janin dikeluarkan secara semulajadi atau secara pembersihan. Jika tidak dirawat dengan betul wanita yang keguguran mudah diserang angin dalam badan.

Jika keguguran tidak dijaga dengan betul akan membawa masalah seperti angin meroyan yang berpunca daripada keracunan darah. Apabila rahim tidak dicuci dengan bersih toksik akan menyerap masuk ke seluruh sistem badan. Justeru ibu yang baru keguguran sering diserang demam panas atau sejuk dan kadang-kala diserang kancing gigi kerana mengambil makanan yang ditegah ketika dalam proses berpantang.

Jenis keguguran mengikut perbidanan Melayu

1. Gugur Ugut

Keguguran jenis ini sering berlaku pada rahim yang lemah. Dinding rahim tidak mantap dan sering berlaku kerana suhu badan tidak sekata, muntah yang kronik atau ibu terjatuh. Keguguran terjadi apabila keluar tompokan darah tanpa rasa sakit.

2. Gugur Bentan

Keguguran jenis ini digelar jika berlaku keguguran pada kehamilan tiga bulan ke atas. Ibu akan merasa seperti kontraksi atau senggugut yang serius. Kesakitan yang diikuti dengan tumpah darah menyebabkan ibu lemah atau boleh pengsan.

3. Gugur Sangkut

Keguguran jenis ini berlaku apabila janin atau keguguran tidak berlaku sepenuhnya. Ibu masih mengalami tumpah darah tetapi ada lebihan tisu janin atau tisu uri yang tertinggal di dalam rahim. Biasanya rahim akan membengkak dan sakit apabila disentuh.

4. Gugur Sawan atau Keracunan

Keguguran ini berlaku apabila ibu mengeluarkan darah berbau busuk dan mengandungi nanah. Ibu akan mengalami demam panas berserta rahim yang membengkak dan mengeras.

5. Gugur akibat kecacatan

Apabila kandungan berhenti membesar dan janin tidak bernadi bermakna berlaku kecacatan janin. Janin yang telah berhenti membesar itu akan disaluti pendarahan dalam rahim dan membentuk seperti gumpalan darah. Gumpalan darah ini akan keluar diikuti dengan cebisan isi.

6. Gugur Berulang

Wanita yang mengalami keguguran berulang mempunyai rahim yang lemah. Rahim tidak dapat memegang kehamilan yang kukuh. Apabila kerap berlaku keguguran ibu perlu mendapat rawatan yang secukupnya agar tubuh lebih bermaya.