Label Sugarscarf sebagai jenama fesyen Muslimah tidak perlu diperkenalkan lagi. Bermula dengan bisnes tudung, ia kemudian bertapak kukuh hingga menembusi pasaran luar negara dengan rangkaian produk Muslimah termasuk pakaian dan kosmetik.

Menguruskan perniagaan bersama suami tercinta, Muhammad Zulkarnaen Mohd Ali, empayar Sugarscarf yang dahulunya dijalankan secara dalam talian kini diangkat sebagai salah satu jenama hijab premium.

IKLAN

Berasal dari keluarga susah telah mendorong usahawan wanita ini untuk berkecimpung dalam dunia perniagaan. Enggan membebankan kedua-dua ibu bapa dan mahu mendapat wang saku sendiri, Pengarah Pengurusan Sugarscarf International, Nur Atiqah Sulaiman tidak segan berniaga di kalangan rakan-rakan ketika zaman persekolahan.

“Sebenarnya saya sudah mula berniaga semasa di sekolah menengah lagi. Oleh sebab saya sukakan benda yang kreatif dan unik, saya sanggup bersengkang mata menghasilkan beberapa keping kad untuk dijual kepada rakan sekelas.

Duit hasil jualan itu pula saya gunakan untuk beli keperluan diri. Mungkin sudah terbiasa pegang duit sendiri dan tak mahu susahkan mak ayah, saya bawa minat berniaga itu sehingga ke universiti.

Sewaktu jadi pelajar universiti, macam-macam barang yang saya jual. Salah satu daripadanya adalah kasut kerana saya peminat kasut termasuk baju dan aksesori wanita. Saya juga pernah masak nasi lemak ayam dan menjualnya ke setiap bilik hostel. Alhamdulillah, ramai yang membeli.

Memang seronok kalau ingat kembali detik itu dan tak timbul langsung perasaan malu sebab saya perlukan duit untuk tampung bayaran pengajian dan kos sara hidup di universiti.

Kerana tak mahu bergantung pada bisnes yang sama saja, saya cuba menjual tudung pula. Dari satu bilik ke satu bilik hostel saya ketuk selain turut menjual tudung di blog,” telus Eyqa.

Pernah Jual Kasut, Kad & Nasi Lemak Di Universiti, Kini Eyqa Sulaiman Berjaya Miliki Empayar FESYEN SUGARSCARF Yang Terkenal

Siapa sangka perniagaan sambilan ketika menuntut di Universiti Multimedia Malaysia (MMU) pada tahun 2006 itu membuahkan hasil apabila pelajar lepasan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Teknologi Multimedia ini aktif mengorak langkah meluaskan perniagaan secara dalam talian.

IKLAN

Tanpa memohon pinjaman wang daripada mana-mana institusi perbankan, Eyqa yang ketika itu sudah berumah tangga memutuskan untuk mempunyai label tudung sendiri.

“Seingat saya waktu itu bulan Jun 2008 dan saya dan suami hanya bermodalkan RM800 untuk uruskan perniagaan ini. Kami bermula semuanya dari bawah. Mak dan ayah pada mulanya agak bimbang tetapi selepas melihat kesungguhan dan kejayaan bisnes ini akhirnya mereka akur dan sentiasa menjadi tulang belakang kami hingga ke hari ini.”

Demi memenuhi kehendak pelanggan yang sering dahagakan keluaran terbaharu, Eyqa yang tidak lepas dilanda segala macam ujian mengakui belajar tentang pasaran dan sasaran produknya melalui buku dan pengalaman. Beliau percaya jika mahu berjaya dalam industri ini, seseorang itu tidak harus terikut-ikut dengan trend sebaliknya berusaha mencipta kelainan.

IKLAN

“Sejujurnya cabaran paling besar dalam bisnes adalah memastikan aliran keluar masuk wang dipantau dan terjaga. Kena tahu ke mana hala duit tersebut dan bajet yang diperlukan untuk projek seterusnya. Tak boleh sedikit pun berlaku kebocoran kerana ia menjadi salah satu punca kejatuhan perniagaan.

Sebab itu saya amat menitikberatkan soal cash flow. Cabaran lain yang kami kena kawal adalah komitmen para pekerja. Walau sesibuk mana pun majikan misalnya saya perlu ambil tahu tentang kebajikan mereka supaya kekal konsisten dengan tugas yang diberi. Ada ketika saya akan hantar staf ke bengkel keusahawanan untuk menaikkan motivasi diri mereka.

Saya tidak anggap semua ini perkara sukar kerana apa yang paling utama sebenarnya mengekalkan matlamat Sugarscarf. Memang tak dinafikan ada di kalangan peniaga yang cuba untuk meniru produk peniaga lain. Benda ini sudah jadi lumrah.

Saya sendiri sudah mendaftarkan rekaan Sugarscarf dan sepatutnya peniaga yang meniru boleh dikenakan saman. Bila difikirkan balik, semua ini duniawi dan tak perlu bergaduh. Lagipun ia melibatkan proses yang panjang. Takkan sebab fesyen kita hendak naik turun mahkamah. Siapa yang bekerja keras dan bijak mengatur strategi, pada akhirnya akan menang.”

Berkat kerja keras Eyqa dan suami, butik Sugarscarf telah bertapak di empat buah lokasi seluruh Malaysia antaranya di Kuala Lumpur, Shah Alam, Bangi dan Johor Bahru. Malah, pada Oktober tahun  lalu, Sugarscarf telah mengadakan peragaan tudung di United Kingdom secara eksklusif khusus untuk pelanggan setia dan blogger antarabangsa. Suziana Abu Daud

Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI