Arena pertandingan ratu cantik kini bukan hanya kepada mereka yang ingin menjadi popular sahaja, sebaliknya ia lebih dari itu. Kini pertandingan Ratu Cantik dilihat sebagai sebuah platform untuk memperjuangkan sesuatu misi dan juga menyebarkan positiviti kepada seluruh dunia.

Terbaru, seorang saintis kerajaan yang bertugas untuk Suruhanjaya Kawal Selia Nuklear Amerika Syarikat telah memenangi pertandingan Miss USA Universe 2017. Kara McCullough yang berusia 25 tahun mewakili Distict of Colombia ternyata sama sekali tidak menyangka dia akan memenangi pertandingan tersebut memandangkan saingan kuat yang diterima dari peserta lain.

Namun begitu, kemenangan Kara mencipta sedikit kontroversi dari beberapa pihak yang kurang menyenangi jawapan beliau apabila ditanya mengenai hak penjagaan kesihatan di Amerika Syarikat. Jawapan yang diberikan beliau berbunyi, "Saya akan menyatakan bahawa penjagaan kesihatan adalah satu keistimewaan. Sebagai seorang staf kerajaan saya diberikan keistimewaan penjagaan kesihatan dan saya melihat dengan mata saya sendiri yang untuk seseorang mendapatkan hak kesihatan mereka perlu memiliki kerja.Oleh itu, kita perlu terus memupuk persekitaran ini bahawa kita diberi peluang untuk mempunyai penjagaan kesihatan serta peluang pekerjaan kepada semua rakyat Amerika di seluruh dunia."

Dan kemudian apabila ditanya apakah erti 'Feminism'dia menjawab penuh yakin, "Sebagai seorang saintis wanita dalam kerajaan, saya ingin mengubah nada perkataan 'feminism' kepada 'equalism'. Ini  untuk pendirian saya tidak  mahu menganggap diri saya merupakan individu yang tidak ambil tahu mengenai lelaki. Tetapi satu perkara saya boleh kongsikan, walaupun kita seorang wanita, kita sama seperti lelaki apabila ia tentang kepada peluang di tempat kerja."

Mungkin jawapannya yang telus berdasarkan pengalaman diri menarik perhatian juri berbanding jawapan yang sudah dipraktis dan kelihatan seperti sudah dihafal. Lagipun, setiap orang memiliki pandangan sendiri dan bagi penulis sendiri kita tidak salah untuk meluahkan apa yang kita rasakan betul. Ia adalah pandangan tersendiri dan peribadi.