Usah berkelana hingga ke luar negara untuk menikmati pemandangan dan penginapan eksklusif berkelas dunia kerana di Lexis Hibiscus Port Dickson, percutian anda di samping insan tersayang pasti lebih bermakna. Sejak dibuka kepada umum, Lexis Hibiscus iaitu resort bertaraf antarabangsa yang terletak di Pasir Panjang kira-kira 120 kilometer dari ibu kota Kuala Lumpur ini tidak pernah sunyi menerima kunjungan pelancong dalam dan luar negara saban hari.

IKLAN

Daripada konsep kepada realiti, Lexis Hibiscus bagaikan sekuntum bunga raya mekar di Selat Melaka. Mercu peranginan terkenal yang dibina di atas air ini dinamakan ‘hibiscus’ sempena konsep reka bentuknya yang mengetengahkan keunikan bunga kebangsaan, bunga raya. Keindahan hotel terapung ini lebih menyerlah tatkala malam melabuh apabila cahaya lampu menerangi persekitaran resort. Lebih-lebih lagi dengan adanya pencahayaan berwarna-warni di pancuran air setinggi 400 kaki yang juga tertinggi di Malaysia.

Ruang lobi yang cantik dan luas memukau pandangan mata sebaik memasuki perkarangan hotel ikonik ini. Bersebelahan bangunan lobi terdapat sebuah lagi bangunan yang dikhususkan untuk ruang parkir bertingkat. Selesai urusan mendaftar masuk, perkhidmatan buggy tersedia di luar lobi untuk membawa anda ke kamar hotel. Bagi yang sukakan ketenangan laut lepas, Lexis Hibiscus adalah pilihan tepat. Hembusan angin sepoi-sepoi bagaikan menyambut ketibaan anda.

Sebanyak 639 kamar pool villa dengan tujuh jenis pilihan ditawarkan kepada pengunjung. Antaranya Imperial Suite, Presidential Suite, Executive Pool Villa, Premium Pool Villa dan Panorama Pool Villa yang dibina mengikut susunan bunga raya di atas air. Berbeza pula bagi kamar Sky Pool Villa dan Royal Suite di bangunan utama.

Mengadaptasikan elemen kontemporari, setiap kamar di Lexis Hibiscus dihiasi perabot serba moden yang dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk dua katil bersaiz king, kolam renang dan bilik stim persendirian serta kelengkapan set mandian. Ruang kamar yang luas dan selesa mampu menempatkan seisi keluarga anda. Dengan adanya kolam di setiap bilik, anda juga bebas melakukan aktiviti kekeluargaan penuh privasi. Pengunjung yang menginap di water chalet, kesediaan panel lantai gelas yang menampakkan air laut pastinya sesuatu yang mengujakan.

IKLAN

Pengalaman menginap di Sky Pool Villa dan Royal Suite pula menghidangkan pemandangan laut lepas yang indah. Bersesuaian dengan lokasinya yang menghadap laut dan berada di bangunan utama, anda berpeluang menyaksikan suasana matahari terbenam sambil menghayati keindahan Selat Melaka. Lebih manis, anda turut dapat melihat susunan resort berbentuk bunga raya.

Teroka keseronokan bercuti di Lexis Hibiscus dengan mencuba aneka hidangan menyelerakan di Roselle Coffee House dan UMI Japanese Restaurant. Menyajikan juadah sarapan pagi, tengah hari, minum petang dan makan malam, Roselle Coffee House sedia menanti kedatangan anda untuk menjamu selera. Begitu juga di UMI Japanese Restaurant yang menyediakan sajian popular dari negara matahari terbit seperti tempura, sashimi dan teppanyaki.

IKLAN

Lanjutkan percutian anda dengan menikmati sesi memanjakan diri di Lex Spa yang terletak di tingkat 2. Rawat tubuh yang lesu dan kembalikan kesegaran tubuh badan anda dengan memilih pelbagai rawatan urutan badan atau kecantikan yang ditawarkan di sini. Usai membelai tubuh dan minda, riangkan hati anak-anak anda dengan melawat Kidz World yang berada di aras sama. Luangkan aktiviti bersama keluarga di Lexis Hibiscus dengan melakukan aktiviti seperti sukan bola tampar, aktiviti sukan air, berbasikal mengelilingi kawasan resort mahupun berkaraoke di Starz Karaoke.

Apa yang pasti, percutian di Lexis Hibiscus pasti meninggalkan seribu satu kenangan jika anda bijak memanfaatkannya. Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai hotel ini atau membuat tempahan layari laman www.lexishibiscuspd.com atau hubungi talian 06 – 660 2626.

Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI