Tidak semua orang rajin sepanjang masa kerana sikap malas sememangnya ada dalam diri setiap manusia. Tapi malas yang berlebih-lebihan, hinggakan membuat anda tidak mahu berusaha memajukan diri itu dianggap melampau.

Lebih mengejutkan kalau yang terpalit sifat malas ini adalah golongan ibu ibu yang sepatutnya rajin dalam semua perkara. Nona tertarik dengan tip yang diberikan oleh pakar motivasi, Dr. Haji Tengku Asmadi bagi mengikis rasa malas ini. Jom tangani sindrom ‘kemalasan’ kita!

IKLAN

Sindrom MALAS, Cuba Praktikkan Tip Dr. Haji Tengku Asmadi Ini Agar Jiwa Kembali Bersemangat!

(1) Amalkan doa 

Doa adalah senjata mukmin seperti mana Allah SWT telah berfirman:

“Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.” (Ghaafir 40:60)

Allah SWT sendiri telah memberikan jaminan bahawa Dia nescaya akan memperkenankan doa hamba-Nya. Sama ada cepat atau lambat hasilnya itu tidak penting, yang penting kita sebagai hamba melakukan apa yang telah disarankan kepada kita.

Buat anak-anak, amalkan doa ini:

“Ya Allah, aku berlindung kepada Mu dari kedukaan dan kesusahan, perasaan lemah, malas dan kebakhilan”.

(2) Ingat matlamat atau sasaran anda

Anthony Robbins seorang pakar motivasi terkenal di Amerika telah menulis dalam bukunya, ‘People are not lazy. They simply have impotent goals – that is, goals that do not inspire them.’ Maksudnya, ‘Manusia tidak malas. Mereka sekadar memiliki matlamat yang mati – iaitu matlamat yang tidak merangsang diri mereka’.

(3) 10 minit keemasan!

Sekiranya anda malas, maka cuba katakan pada diri anda bahawa anda bukan mahu belajar satu jam pun, tetapi anda hanya mahu belajar selama 10 minit sahaja.

Sebab untuk atasi perasaan malas ini ia umpama keretapi yang bergerak dan menarik gerabak-gerabak. Pada peringkat awalnya keretapi perlukan momentum dan tenaga yang banyak dan bergerak secara perlahan. Semakin lama keretapi menjadi semakin laju, pergerakan semakin lancar dan ketika itu susah pula untuk berhenti.

Begitulah juga dengan belajar. Susahnya hanya pada beberapa minit awal sahaja. Tetapi kalau anda mula paksa diri dan lakukan 10 minit yang terbaik, insyaAllah perasaan malas akan pergi. Bagaimana pula kalau selepas 10 minit perasaan malas masih lagi wujud? Itu disebabkan anda tidak menggunakan 10 minit keemasan itu sebaik-baiknya. Maknanya anda kena ulang semula 10 minit tersebut sehingga anda berjaya atasi perasaan malas itu.

(4) Banyak membaca bahan motivasi

Di sini bukan bermakna anda perlu banyak membaca buku pelajaran tetapi sebaliknya banyak membaca buku-buku motivasi yang mampu mencetuskan pemikiran positif dan merangsang diri untuk berubah menjadi rajin. Setidak-tidaknya bacalah artikel- artikel motivasi yang pendek-pendek yang boleh anda cari dengan mudah dalam internet.

Baca juga kisah-kisah kejayaan orang lain kerana apa yang dibaca itu nanti mampu memberikan inspirasi untuk anda turut berjaya seperti mereka. Malah mungkin melebihi pencapaian mereka dan ini bukanlah sesuatu yang mustahil.

IKLAN

Sindrom MALAS, Cuba Praktikkan Tip Dr. Haji Tengku Asmadi Ini Agar Jiwa Kembali Bersemangat!

(5) Susun dan mudahkan jadual belajar

Ada ketikanya anda rasa malas sebab hidup anda kelam kabut dan tidak teratur. Anda rasa terlalu banyak yang mahu dilakukan tetapi tidak begitu pasti apa yang banyaknya. Anda mahu siapkan tetapi tidak tahu yang mana satu mahu disiapkan atau dibaca dahulu sebab anda tidak pernah ada satu senarai kerja dan tiada sebarang jadual. Ambil masa untuk susun kerja anda dan buat jadual harian dan jadual belajar. 30 minit masa yang anda berikan untuk merancang boleh selamat sehari masa anda.

(6) Rehat dan tidur yang cukup

Malas akan terbit apabila badan terasa lemah dan letih. Oleh itu rehat dan tidur yang cukup adalah satu cara yang boleh diambil bagi mengatasi rasa malas.

(7) Riadah

IKLAN

Ada ketikanya anda rasa malas sebab tiadanya aktiviti fizikal yang membolehkan darah dan oksigen berjalan lancar dalam badan. Cubalah libatkan diri dengan pelbagai aktiviti riadah dan anda pasti akan dapati tubuh badan yang segar menjana semangat belajar yang tinggi.

(8) Berkawan dengan orang yang positif

Tingkah laku dan sikap anda banyak dipengaruhi oleh kawan-kawan anda. Sekiranya anda berkawan dengan mereka yang positif, yang mahu belajar dan sering berbincang tentang pelajaran maka lama-kelamaan sikap positif ini akan mempengaruhi diri anda juga.

Sindrom MALAS, Cuba Praktikkan Tip Dr. Haji Tengku Asmadi Ini Agar Jiwa Kembali Bersemangat!

(9) Amalkan teknik pernafasan

Ada ketikanya anda rasa malas sebab oksigen yang dibekalkan ke otak berkurangan. Otak memerlukan 25% daripada bekalan oksigen yang dihantar ke badan untuk berfungsi dengan baik. Sebab itulah apabila kita baru sahaja selesai makan makanan yang berat seperti nasi maka diri terasa malas kerana sebahagian besar oksigen digunakan untuk menghadamkan makanan.

Satu cara yang boleh dilakukan ialah tarik nafas dalam-dalam dan lepaskan perlahan-lahan beberapa kali. Anda serta merta akan terasa lebih segar.

(10) Suarakan kata-kata semangat anda

Salah satu cara untuk anda mengatasi rasa malas ialah dengan cipta beberapa kata-kata semangat untuk diri anda sendiri. Contohnya, ‘Sedikit sedikit lama lama jadi bukit’ apabila terasa malas untuk mengemas rumah atau melipat kain baju yang bertimbun.

Sumber: Dr. Haji Tengku Asmadi Tengku Mohamad

Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI