‘Warkah’ Di Balik Tirai Besi, Catatan Anak Bongsu DATUK SERI ANWAR IBRAHIM Ni Sentuh Emosi Ramai!

‘Warkah’ Di Balik Tirai Besi, Catatan Anak Bongsu DATUK SERI ANWAR IBRAHIM Ni Sentuh Emosi Ramai!

Luar biasa betul reaksi rakyat Malaysia tentang pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini. Dari Hospital Rehabilitasi Cheras, Istana Negara sampailah ke kediaman beliau .. semuanya menanti-nantikan kemunculan semula Ketua Umum PKR ini di depan khalayak. Jelas terbukti, aura Datuk Seri Anwar masih kuat seperti dulu.

Apa yang pasti, isteri dan anak-anak beliau antara individu yang paling bersyukur dengan perkhabaran tersebut. Masakan tidak, dengan ketibaan Ramadan esok sudah tentu ia ‘kemenangan’ terindah buat keluarga kesayangan ramai ini. Sesungguhnya perancangan Allah SWT itu cukup cantik aturan-Nya!

Sepanjang berada di balik tirai besi, perjuangan Datuk Seri Anwar tidak pernah terhenti. Malah meskipun warkah yang ditulis tidak dapat dikirimkan kepada dunia luar, namun beliau tetap setia melontar kata-kata semangat.

Lebih meruntun perasaan, coretan manja anak bongsunya, Nurul Hana yang setia menanti kepulangan bapa tersayang. Antara nukilan yang pernah dikongsikan Hana adalah potret waktu kecilnya bersama Datuk Seri Anwar dengan kapsyen ‘Sayang Buat Papa’.

Karya itu ditujukan sempena Hari Kelahiran Datuk Seri Anwar.  Tulisnya, “Happy Birthday Papa. This book is for you and inshaAllah, you will get to see the finalized book soon pa. May Allah shower you with countless blessings.”

Walau apa pun cabaran yang bakal menanti, moga keluarga ini tetap kuat menempuhinya.

Sumber: Instagram hana_pisang

 

 

‘KERETA BARU BUAT AYAH’, Kejutan Istimewa 8 Beradik Ni Buat Netizen Menangis Sama!

‘KERETA BARU BUAT AYAH’, Kejutan Istimewa 8 Beradik Ni Buat Netizen Menangis Sama!

Berderai air mata tengok reaksi bapa ini saat menerima hadiah kereta baru daripada anak-anak. Walau hanya sekadar melihat menerusi alam maya, tapi riak wajah bapa bertuah ini sudah cukup membuatkan netizen merasai perasaan yang dialaminya ketika itu. Allahu, bersyukurnya dikurniakan anak-anak yang prihatin dan mengenang jasa.

Menerusi video yang dimuat naik Nor Haliza Samsudin yang kini mencecah lebih sejuta tontonan, bapanya Samsudin Zainuddin dan ibu, Nor Hayati Abdul Talib kelihatan terpinga-pinga saat membuka kota berisi kunci yang diserahkan kepada mereka. Tak sedar ‘hadiah’ yang bakal diterima, reaksi kedua-duanya berubah apabila sebuah kereta Perodua Axia memasuki perkarangan rumah.

Posted by Nor Haliza Samsudin Jrm on Wednesday, 9 May 2018

Tindakan si ayah yang beberapa kali mengesat air mata turut membuatkan semua yang menonton video ini menangis gembira.

Kongsi anak kedua daripada lapan beradik, Nor Haliza Samsudin di Facebooknya, “Kami adik-beradik tak sampai hati tengok ayah bawa kereta lama. Air cond tak ada, banyak yang rosak, tak selesa. Sedangkan kami semua naik kereta yang selesa. Maka, perancangan demi perancangan untuk buat surprise.

Dan akhirnya, 9 Mei 2018, sempena hari mengundi dapat juga kami semua berkumpul untuk serahkan kereta untuk ibu dan ayah. Bukan kereta mewah kami dapat belikan, hanya kereta kecil ikhlas dari jiwa kami yang besar untuk ibu ayah tersayang. Maaflah ibu ayah, banyak sangat kami terpaksa ‘menipu’ untuk buat suprise untuk ibu ayah.

‘Biar 1 dunia membenci, kami tetap di sisi’. Ayat ayah semalam, ‘Ayah tengah mandi pun terasa nak nangis, tersenyum sendiri.”

Ketika dihubungi, Haliza turut memberitahu pemberian istimewa ini dah lama dirancang. “Kami start plan nak hadiahkan pada ibu ayah memang dah lama. Tapi cuma angan-angan je sebab kami bukan jenis berkemampuan sangat. Bila dengar ayah cerita kereta selalu rosak, terus kami bincang secara serius pada 16 April lalu dan sepakat untuk sama-sama belikan ayah kereta yang kebetulan sempena ulangtahun perkahwinan mereka pada 13 April 2018.”

Baiknya hati lapan beradik ini. Ternyata, bukan hadiah yang menjadi ukuran kebahagiaan tetapi ingatan mereka terhadap jasa ibu dan ayah meskipun jauh di sudut hati pasangan suami isteri ini untuk meminta-minta bantuan daripada anak-anak. Moga kenangan manis keluarga ini menjadi inspirasi buat semua untuk terus berbakti dan berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa kita. InshaAllah.

Sumber: Facebook Nor Haliza Samsudin Jrm

 

 

 

Tuhan ‘Pinjamkan’ Suami Hanya Lima Tahun, NOOR BAZLIN Luah Rasa Pilu Besarkan 3 Anak Kecil Sendirian!

Tuhan ‘Pinjamkan’ Suami Hanya Lima Tahun, NOOR BAZLIN Luah Rasa Pilu Besarkan 3 Anak Kecil Sendirian!

“Setiap hari, setiap saat saya amat merindui arwah. Setiap kenangan manis mahupun pahit bersamanya masih segar dalam ingatan.” Begitulah luahan jiwa seorang balu, Noor Bazlin Mohammad atau Bazlin, yang kehilangan suami buat selama-lamanya. Lima tahun sahaja wanita ini ‘dipinjamkan’ seorang suami yang sangat penyayang serta bertanggungjawab terhadap keluarga.

Perginya meninggalkan kesan yang sangat mendalam apatah lagi Bazlin kini harus menggalas tanggungjawab sebagai ibu dan bapa kepada tiga zuriat berusia 5 dan 3 tahun serta seorang bayi berusia 11 bulan.

September tahun lalu kita digemparkan dengan satu kisah tragis yang mendapat liputan meluas media tentang arwah suaminya, Laskar Kelas 1 Nik Muhammad Baihaqy Nik Mat bersama seorang rakan meninggal dunia dalam sel tahanan tentera akibat didera di Bilik Tahanan Unit Sungai Wangi, Setiawan, Perak.

Kedua-dua mangsa dipercayai dipukul bertubi-tubi menggunakan objek keras sehingga mengalami sesak nafas dan pendarahan serius di bahagian paru-paru.

“Hari-hari pasti bergenang air mata apabila mengenangkan detik itu. Tetapi seboleh-bolehnya saya tak mahu menangis depan anak-anak. Saya tak mahu mereka lihat saya lemah. Sebab itulah saya ambil keputusan untuk berpindah ke Kelantan untuk membina hidup baru bersama anak-anak.

Sebelum ini saya bertugas di Klinik Kesihatan Datuk Keramat. Terlalu banyak kenangan saya bersama arwah di Kuala Lumpur. Saya rasa lebih kuat jika dekat dengan keluarga di kampung,” luah wanita berusia 29 tahun ini yang bertugas sebagai Jururawat Masyarakat.

SAHABAT BAIK DR NOOR DAYANA

Bukan sekadar bergelar rakan sekerja, Bazlin juga bersahabat baik dengan isteri pertama kepada penerbit dan aktor terkenal, Ashraf Muslim iaitu Dr Noor Dayana Lokman. Keakraban mereka bermula sejak tahun 2016 sehinggalah kini.

“Kami mula akrab semasa saya bertugas di Klinik Kesihatan Datuk Keramat kerana berada di dalam unit yang sama iaitu Ibu & Anak. Dr Noor Dayana seorang sahabat yang sangat ikhlas dan jujur. Saya masih ingat lagi, semasa saya maklumkan tentang kematian suami, dia terus datang walaupun sudah lewat malam untuk melawat saya di rumah. Ketika itu saya memang tak jangka pun dia akan datang dan berikan sumbangan buat saya dan anak-anak.

Dr Dayana juga berpesan supaya saya banyak bersabar dan tabah menerima ujian dari Allah SWT selain jaga anak-anak dengan baik. Malah, dia juga menyakinkan saya untuk tabah melalui ujian ini kerana dia tahu saya kuat.

Saya bersyukur dikurniakan seorang sahabat yang sangat baik seperti Dr Noor Dayana. Saya juga sangat bangga dengannya kerana dia bukan saja seorang yang sangat baik tetapi juga lambang wanita yang tabah walaupun sikapnya lemah lembut dan sopan.

 

Sepanjang mengenali, Dr Noor Dayana tak pernah membezakan pangkat mahupun meninggi diri. Kali terakhir kami berjumpa ialah ketika dia meraikan satu majlis istimewa bersempena dengan perpindahan saya ke Kelantan.

Kini kami masih lagi berhubung dan saling bertanya khabar melalui telefon. Nak berjumpa belum ada rezeki kerana masing-masing jauh dan sibuk dengan tugas,” kongsi Bazlin yang turut menjadikan ibunya yang juga seorang ibu tunggal, sebagai sumber kekuatan untuk meneruskan hidup.

Buat Bazlin, NONA kongsikan kiriman kata-kata semangat daripada Dr Noor Dayana.

“Sejak Bazlin berpindah ke Kelantan, rasa sunyi klinik. Bazlinlah penghibur kami di sini kerana banyak cakap. Saya harap setelah apa yang terjadi, Bazlin tetap kuat menempuh hari-hari yang mendatang.

Besarkan anak-anak sehingga berjaya di dunia dan akhirat. Allah SWT memilih Bazlin sebab Dia tahu Bazlin mampu menghadapi dugaan tersebut.”

 

Jangan Cepat ‘Lepas Tangan’ Saat Mendidik Anak, 5 Teknik Ringkas Ini Buat IBU BAPA Rasa Lebih Tenang!

Jangan Cepat ‘Lepas Tangan’ Saat Mendidik Anak, 5 Teknik Ringkas Ini Buat IBU BAPA Rasa Lebih Tenang!

Menurut pakar perbuatan menengking, membentak atau menggunakan kata-kata kasar bukanlah sesuatu yang bijak dalam mendidik anak-anak. Salah satu sebab mengapa ibu bapa tidak dapat menahan emosi terhadap anak-anak ketika mereka berbuat salah ialah rasa takut. Ia membuatkan ibu bapa menengking atau memukul anak secara spontan.

Ditambah dengan beban stres dan bebanan di tempat kerja juga menjadi salah satu sebab ibu bapa tidak dapat menahan emosi pada anak. Berikut cara bagaimana menahan emosi saat anak berbuat salah:

ADAKAH ANDA BENAR-BENAR PERLU MARAH?

Ingat, tidak semua kenakalan anak perlu direspon dengan cara memarahi atau menghukum. Maka, anda akan lebih tenang ketika berhadapan dengan karenah anak.

KETIKA HENDAK MARAH SEGERA TENANGKAN DIRI

Pertama sekali, cara paling mudah ialah dengan menarik nafas sedalam dalamnya. Kemudian hembus dan ulang cara ini beberapa kali sehingga emosi anda lebih stabil. Kedua, jauhkan diri anda dari anak contohnya ke bilik tidur. Jika sudah merasa lebih tenang barulah anda mengajak anak berbual dan menasihatinya secara tegas agar tidak mengulangi perbuatannya lagi.

CUBA MENGIRA

Contohnya, “Kemaskan barang mainan sekarang. Ibu kira sampai sepuluh. Kalau sampai sepuluh masih belum kemas kamu tidak boleh main mainan ini lagi. Satu, dua…” Kalau si anak masih belum mematuhi arahan anda cubalah untuk memberi peringatan lagi dengan sikap yang tegas tanpa menengking atau membentak anak.

ELAKKAN MEMUKUL

Perbuatan memukul akan mengajar anak-anak bahawa menyakiti orang lain itu diperbolehkan. Ini menyebabkan mereka percaya bahawa cara menyelesaikan masalah dengan menggunakan kekerasan. Kekerasan menjadikan anak hilangnya kepercayaan terhadap ibu bapa seterusnya menjadikan anak lebih nakal.

KENDALI CARA BERBUAL ANDA

Semakin tenang anda berkomunikasi dengan anak, semakin mudah untuk anda menahan emosi. Sebaliknya jika anda menggunakan kata-kata kesat atau makian, semakin naik amarah anda. Kendali cara komunikasi anda sebaik mungkin. Secara tidak langsung anak kian mengerti perilaku kesalahannya.

Pilih 1 Rejab Sebagai Tarikh Kelahiran Cahaya Mata, DATO’ SRI SITI NURHALIZA Selamat Bersalin!

Pilih 1 Rejab Sebagai Tarikh Kelahiran Cahaya Mata, DATO’ SRI SITI NURHALIZA Selamat Bersalin!

Akhirnya, penantian Dato’ Sri Siti Nurhaliza bergelar ibu menjadi realiti. Kira-kira jam 8.17 pagi tadi, penyanyi kesayangan ramai ini dikhabarkan telah selamat melahirkan bayi perempuan di sebuah pusat perubatan di ibu negara. Menerusi kenyataan rasmi yang dikongsikan di laman IGnya, beliau melahirkan bayi seberat 3.55 kilogram secara pembedahan. Buat masa ini, hanya kaum keluarga terdekat saja dibenarkan untuk melawat dan Dato’ Sri Siti dan bayi berada dalam keadaan baik.

Sementara itu, Dato’ Sri Khalid Mohamad Jiwa turut melahirkan rasa syukur kerana segala-galanya berjalan lancar. Katanya, apa yang penting adalah proses kelahiran dan kesihatan isteri serta anak mereka selamat. Difahamkan, pasangan yang telah mendirikan rumah tangga selama hampir 12 tahun ini juga mengucapkan terima kasih di atas doa dan sokongan daripada ahli keluarga, rakan-rakan, peminat serta pihak media sejak dari awal kehamilan sehinggalah Dato’ Sri Siti melahirkan bayi hari ini.

Menariknya, Dato’ Sri Siti dan Dato’Sri Khalid memilih hari ini sebagai hari kelahiran anak pertama mereka kerana bersamaan hari kelahiran Nabi Muhamad SAW selain jatuh pada tarikh 1 Rejab. Menurut pengurus Dato’ Sri Siti yang juga kakak iparnya, Rozi Abdul Razak, buat ketika ini penyanyi yang terkenal dengan lagu Bukan Cinta Biasa tersebut mahu diberikan ruang untuk berehat dan menumpukan perhatian sepenuhnya pada hari-hari awal bergelar ibu. Mengenai wajah dan nama anak, terang Rozi, kedua-duanya akan mengumumkan berita gembira ini bila tiba waktunya.

Malam tadi, Dato’ Sri Siti sempat menzahirkan rasa terharu atas ingatan ulama Mufti Menk yang mendoakan proses melahirkan cahaya mata sulungnya dipermudahkan. Jelas Dato’ Sri Siti, Mufti Menk menghantar pesanan di telefon bimbit suaminya dan mendoakan kesejahteraan mereka sekeluarga.

 

KORPORAT     POLISI DATA PERIBADI    PENAFIAN   •   LANGGANAN      PENGIKLANAN      KERJAYA       HUBUNGI KAMI

© Hakcipta Terpelihara • Dikendali Oleh Astro Group

error: