YATT HAMZAH Kongsi Video Kelahiran Puteri Ketiganya, Mahu Beri Inspirasi & Hargai Pengorbanan IBU BAPA!

YATT HAMZAH Kongsi Video Kelahiran Puteri Ketiganya, Mahu Beri Inspirasi & Hargai Pengorbanan IBU BAPA!

Benarlah, pengalaman melahirkan setiap anak itu berbeza-beza. Terbaru, selebriti Yatt Hamzah turut berkongsi detik kelahiran puteri ketiganya yang lahir pada 1 April lalu secara induce selepas 12 hari lewat daripada tarikh jangkaan bersalin. Meskipun terpaksa mengharungi bermacam-macam dugaan sebelum dan selepas melahirkan namun ibu berusia 38 tahun ini tabah menempuh fasa tersebut. Tahniah Yatt dan suami, Mohammad Zulfadhli Khairuddin.

Semalam, genap tujuh hari pasangan suami isteri ini menyambut kehadiran cahaya mata yang dinanti-nantikan. Dan sebagai mengambil keberkatan sunah Rasullullah SAW yang menggalakkan ibu bapa menamakan anak mereka pada hari ketujuh kelahiran, Yatt dan Zul sepakat menamakan bayi perempuan mereka dengan nama Suci Hayfaa Medina. Indahnya nama yang diberi dan kalau tak silap ‘Hafyaa’ tu bermaksud suara yang lembut. Moga maksud nama yang baik untuk bayi ini mempengaruhi sikap dan peribadi mereka bila besar nanti. InshaAllah.

“Masuk ubat induce pukul 1 pagi 1 April malam. Lepas 5 minit terus sakit datang menyerang, makin lama makin kerap, makin panjang dan makin kuat sakitnya sampai satu tahap rasa macam nak pecah dan meletup rahim peranakan tu. Allahu Akbar, Allah saja yang tahu sakitnya macam mana. Tak boleh tidur sepanjang malam bertarung dengan sakit demi melahirkan anak secara normal.

Subhanallah Alhamdulillah Allahuakbar! Saya dengan rendah hati share moment detik2 cemas sebelum melahirkan #LilSuci #LilMujahidahSuci #BabyYH pada 1 April 2018 lalu tepat jam 12.10 pm. Hanya dengan 1 niat, agar ia dijadikan inspirasi buat para ibu ayah, yang bakal menimang cahaya mata buat kali pertama dan pengajaran buat anak2. Wallahi sungguh besar pengorbanan seorang wanita bergelar ibu. Sungguh tulus suci cinta mereka. Bila sudah menjadi ibu, barulah faham kasih dan pengorbanan ibu kita dahulu. Wahai para suami, hargailah dan cintailah isterimu kerana dia berjuang dengan nyawanya utk memberikanmu cahaya mata sbg waris legasimu. Tahniah IBU, kalian Mujahidah yg kuat. Semoga anak2 jadi syafaat utk mu ke Syurga. Ameen. . Perhatikan tali pusat yg melilit 2 kali leher #babyYH #LilSuci Alhamdulillah Allah selamatkan anak Bonda. ALLAHUAKBAR! . @zul.autkaz . 📽🎥@suhanakamal_ #BondaYH #yattmengayat #fromtheheartofaMujahidah #darihatiseorangMujahidah #yatthamzah #kisahlabourroomku #newborn #baby #motheranddaughter #labour

A post shared by www.fb.com/YATT.HARYATIHAMZAH (@yatthamzah_suci) on

Lepas Subuh dalam jam 7 pagi, nurse datang check bukaan baru 3 cm. Allahu sakit sepanjang malam hanya progress 1 cm je. Sebelum induce bukaan 2 cm. Lepas induce 3 cm. Alhamdulillah itu bahagian saya. Lain ibu, lain rezekinya.

Dalam 8.30 pagi saya dipindahkan ke Labour Room untuk masukkan water induce yang lebih kuat bagi cepatkan lagi bukaan. Masuk je air tu dalam saluran darah, Allahu terus sakit contraction menyerang 3 kali ganda lebih kuat, lebih lama dan lebih kerap dari yang diharungi sepanjang malam tadi. Syukur alhamudlillah. Inilah nikmat sakit yang hanya wanita bergelar ibu dapat rasakan. Hanya seorang ibu diberikan KEISTIMEWAAN ini.”

Yatt dan suami bergambar bersama doktor yang menyambut Suci Hayfaa Medina

Khabarnya waktu awal kelahiran, Suci Hayfaa Medina mengalami demam kuning yang sangat tinggi tapi alhamdulillah segalanya telah dipermudahkan. Semalam, Yatt turut berkesempatan menitipkan coretan ringkas di laman Instagramnya selepas selamat bersalin. “MashaAllah dah seminggu dah usia awak anak. Cepatnya masa berlalu. Bonda masih ingat lagi masa ni mingggu lepas awak baru selesai pemeriksaan keseluruhan oleh doktor dan jururawat.

Bonda pun baru habis dibersihkan oleh midwife dan dibawa ke wad. Masa nurse serah awak pada bonda di wad tu, terus bonda dakap dan cium awak puas-puas. SubhanAllah harumnya baru awak anak. Tiada satu perfume atau pewangi pun di dunia ini setanding bau harum semula jadi seluruh tubuhmu sayang. Beruntungnya bonda, Allah kirimkan hadiah dari syurga pada bulan kelahiran bonda iaitu April juga.”

Paling istimewa, Yatt turut berkongsi video berdurasi 15 saat yang memaparkan detik kelahiran Suci Hayfaa Medina khas sebagai inspirasi kepada semua wanita.

“Saya dengan rendah hati share momen detik cemas sebelum melahirkan Suci Hayfaa Medina pada 1 April 2018 lalu tepat jam 12.10pm. Hanya dengan satu niat, agar ia dijadikan inspirasi buat para ibu ayah yang bakal menimang cahaya mata buat kali pertama dan pengajaran buat anak-anak. Wallahi sungguh besar pengorbanan seorang wanita bergelar ibu. Sungguh tulus suci cinta mereka. Bila sudah menjadi ibu, barulah faham kasih dan pengorbanan ibu kita dahulu.

Wahai para suami, hargailah dan cintailah isterimu kerana dia berjuang dengan nyawanya untuk memberikanmu cahaya mata sebagai waris legasimu. Tahniah ibu, kalian Mujahidah yang kuat. Semoga anak-anak jadi syafaat untukmu ke syurga. Ameen.”

Sumber foto: Instagram Yatt Hamzah

 

 

Bila ‘Dipaksa Bersalin’ Kerana Pelbagai Faktor, Ini Info INDUCE Patut Ibu Hamil Ambil Tahu!

Bila ‘Dipaksa Bersalin’ Kerana Pelbagai Faktor, Ini Info INDUCE Patut Ibu Hamil Ambil Tahu!

Menjelang 9 bulan kehamilan, kebanyakan ibu berasa cemas untuk menunggu saat-saat kelahiran bayi. Lazimnya, kaedah induce semasa bersalin tidak akan banyak membantu disebabkan servik anda ditutup rapat. Induce hanya membantu apabila servik anda mula melembut dan memendek.

Para doktor hanya menggunakan kaedah induce semasa bersalin apabila bayi lebih berisiko jika berada di dalam rahim si ibu daripada dilahirkan. Oleh itu, doktor sakit puan akan mengguna ubat-ubatan atau teknik yang boleh mencetuskan kelahiran secara semula jadi untuk mempercepat proses melahirkan.

BILAKAH INDUCE SEMASA BERSALIN DIPERLUKAN?

  • Air ketuban pecah tetapi tidak mempunyai kontraksi pengecutan rahim.
  • Kehamilan berpanjangan melebihi 42 minggu.
  • Masalah plasenta iaitu uri telah matang dan kurang oksigen dan nutrien
  • Tidak mempunyai cecair air ketuban mencukupi.
  • Mempunyai faktor risiko kehamilan seperti diabetes atau tekanan darah tinggi
  • Terdapat jangkitan dalam rahim
  • Bayi tidak membesar seperti sepatutnya

 

BAGAIMANA INDUCE SEMASA BERSALIN DILAKUKAN?

Ia boleh dilakukan melalui kaedah berikut:

1. Ubat-ubatan

  • Prostaglandin: Dimasukkan ke dalam faraj pada sebelah petang. Ini akan melembutkan servik dan mencetuskan kelahiran bayi menjelang pagi.
  • Oxytocin: hormon ini akan disuntik ke dalam badan ibu untuk merangsang pengecutan rahim dan mempercepat proses kelahiran. Dos yang rendah diberikan kepada ibu hamil.

Kesan: Jika pengecutan rahim dirangsang terlalu kuat, ia akan menyebabkan ibu tidak boleh menahan kesakitan yang terlalu kuat tanpa ubat penahan sakit. Oxytocin perlu dihentikan jika kontraksi pengecutan rahim menjadi terlalu kuat.

2. Amniotomi

Doktor mungkin mencadangan ini untuk memecahkan air ketuban secara tiruan dengan menggunakan cangkuk nipis, steril dan plastik. Ia digunakan untuk mencetus air ketuban pecah seterusnya menyebabkan kepala bayi bergerak ke dalam servik dan kontraksi akan menjadi lebih kuat.

Kesan: Kedudukan bayi mungkin bertukar kepada songsang jika air ketuban pecah sebelum bayi engaged. Tali pusat mungkin terkeluar dahulu. Jangkitan juga boleh berlaku jika terdapat banyak masa di antara pecah air ketuban dan kelahiran.

3.Merangsang puting payu dara

Merupakan teknik induce secara semula jadi yang dilakukan secara manual atau dengan pam penyusuan elektrik. Ini disebabkan oleh hormon oxytocin akan dihasilkan secara semula jadi apabila puting payu dara dirangsang dan akan menyebabkan kontraksi mula berlaku.

Mujur DOKTOR Ini Sudi Berkongsi Ilmu, Pelajari 7 Teknik Elak KOYAKAN Teruk Masa Bersalin! No. 6 Tu Paling Penting

Mujur DOKTOR Ini Sudi Berkongsi Ilmu, Pelajari 7 Teknik Elak KOYAKAN Teruk Masa Bersalin! No. 6 Tu Paling Penting

Bersalin dengan beberapa kesan jahitan akibat koyakkan di bahagian vagina adalah perkara biasa bagi kebanyakan ibu hamil. Tapi bila ada kalangan ibu-ibu hebat ini yang selamat melahirkan tanpa sebarang koyakan, ia sememangnya luar biasa. Sama ada individu tersebut memang sudah mahir dengan proses bersalin atau sudah ditakdirkan rezeki mereka menerima kelebihan itu, kedua-duanya pun menjadi dambaan bagi setiap ibu hamil terutamanya menjelang detik kelahiran.

‘Jangan panik’, itu adalah kunci utama yang harus anda tanam dalam diri sebelum tibanya waktu bersalin. Bagi yang sedang hamil, masih sempat lagi untuk anda mempelajari teknik yang dikongsikan doktor Obstetrik dan Ginekologi, Dr Muhammad Izzat Abdul Razak ini. Sekurang-kurangnya dengan pendedahan Dr Muhammad Izzat, dapatlah melegakan kebimbangan meniti kelahiran nanti.

=========================

Antara rutin senaman kegel yang baik untuk ibu mengandung

  1. Jangan ler panik tak tentu pasal. Banyakkan membaca fakta dan ilmu yang betul mengenai kelahiran supaya bakal ibu lebih tenang dan tidak panik ketika proses kelahiran. Bertanya pada yang berilmu, BUKAN PADA PENJUAL PRODUK
  2. Amalkan senaman Kegel : Kemutkan otot pelvis / vagina seperti anda sedang menahan kencing, tahan selama 10 saat, lepaskan perlahan-lahan dan ulang 25 kali setiap satu sesi. Lakukan 3 kali sehari sepanjang tempoh mengandung
  3. Urutan perineum pada hujung-hujung kehamilan berfaedah untuk menjadikan otot pada bahagian vagina lebih anjal dan mengurangkan risiko koyakan vagina yang teruk. Otot pada perineum yang anjal akan lebih senang mengembang dan menguncup tanpa meninggalkan koyakan yang teruk
  4. Meneran dengan cara yang betul! Fokus ke arah perut dan anda meneran dari abdomen dan ke bawah, seperti meneran sembelit
  5. Jangan meneran awal jika belum tiba masanya. Meneran terlalu awal ketika kepala bayi masih lagi belum nampak pada vagina menyebabkan vagina membengkak dan mudah koyak
  6. Pastikan posisi yang betul ketika meneran. Rapatkan dagu ke dada, anda berkeadaan sama seperti udang membengkok. Pegang pergelangan kaki dan jangan sesekali mengangkat punggung ataupun punggung terhuyung-hayang ke kanan ke kiri. Macam nak tangkap bola pula gayanya misi (jururawat) nak sambut kelahiran bila punggung digerakkan ke sana ke mari
  7. Dengar arahan doktor dan misi. Bila nak periksa tu bagi kerjasama, bukannya terkepit-kepit sampai jari misi atau doktor tak boleh keluar. Banyakkan berzikir dan berselawat, bukannya meraung macam tertelan microphone.

Sumber:

Dr. Muhammad Izzat Abdul Razak

Pegawai Perubatan Obstetrik & Ginekologi

Kementerian Kesihatan Malaysia
==========================

Mujur ada perkongsian Dr Muhammad Izzat. Semoga ilmu ini dapat dimanfaat dan dipraktikkan oleh semua ibu-ibu hamil di luar sana sekali gus menjauhkan mereka daripada perasaan trauma semasa bersalin.

Nikmat Bila Suami Teman Isteri Bersalin, LUFYA Bersyukur DR HAFIZ Jadi Saksi Kelahiran Anak Mereka!

Nikmat Bila Suami Teman Isteri Bersalin, LUFYA Bersyukur DR HAFIZ Jadi Saksi Kelahiran Anak Mereka!

Pelakon dan penyanyi, Lufya Omar, 32, telah selamat melahirkan bayi perempuan di Pusat Perubatan Tropicana, Petaling Jaya, Selangor pada pukul 6.32 petang beberapa hari yang lalu. Lufya selamat melahirkan cahaya mata sulungnya secara normal dan kini kedua-duanya berada dalam keadaan sihat. Bayi perempuan yang dilahirkan dengan berat 3.39 kilogram pastinya menjadi penyeri rumah tangga Lufya dan suami tersayang Dr Hafiz.Lufya

Pengalaman sebagai doktor telah digunakan sebaik mungkin oleh Che Muhammad Hafiz Che Baharum untuk menyambut kelahiran zuriat pertamanya. Memetik kata-kata Lufya di laman instagramnya, suaminya bagaikan cheerleader memberi sokongan dan dorongan untuknya di bilik bersalin. Lebih istimewa untuk bayi yang digelar Baby L, Dr Hafiz melakukan penghormatan untuk memotong tali pusat puterinya itu.

“Pengalaman melihat kelahiran anak sendiri tidak sama seperti apa yang kita dengar dari orang atau lihat di kaca televisyen. Sampailah kita sendiri yang melaluinya. Pada mula-mula saat nak keluar kepala bayi memang akan terasa berdebar kerana macam-macam kemungkinan boleh berlaku seperti kepala bayi stuck dan bayi lemas. Tapi selepas bayi keluar. Lega dan rasa bersyukur yang amat sangat. Perasaan tu tak boleh digambarkan melalui kata-kata. Hanya Tuhan saja yang tahu,” ujar Dr Hafiz ketika dihubungi.

Selain meraikan kegembiraan melihat kehadiran cahaya mata penyeri kehidupan berumah tangga bersama isteri tersayang, Dr Hafiz sempat menitipkan beberapa tip buat bakal bapa untuk menemani isteri tersayang di bilik bersalin. Mungkin ada suami yang nampak macho di luar, tetapi pada hakikat perasaan gementar pastinya terbit di dalam hati untuk melihat perjuangan si isteri bertarung nyawa melahirkan zuriat.

“Di sini saya nak kongsikan beberapa tips kepada bakal bapa atau suami yang susah nak hilang gementar ketika isteri dalam di dalam bilik bersalin.”

  • Seeloknya tambahkan ilmu mengenai proses kelahiran secara normal dan c sec serta hal-hal berkaitan seperti stage of delivery.  Walaupun anda akan bertemu dengan beberapa terma perubatan, cuba bertanya dengan pakar ginekologi ketika menemani isteri melakukan pemeriksaan kandungan. Ada pengetahuan serba sedikit pun sudah kira memadai supaya keresahan di setiap apa yang terjadi boleh dikurangkan and apa saja cadangan yang disarankan oleh doktor senang untuk difahami.
  • Banyakkan bacaan zikir dan tawakal kepada Allah setelah berikhtiar. Terutamanya ketika isteri di fasa active labour. Si suami harus banyak memberi semangat dan membacakan surah-surah yang bertepatan seperti Surah Maryam, Surah Yassin, Surah Al Baqarah dan lain-lain . Dapatkan pandangan daripada ustaz mengenai surah-surah yang sesuai dibacakan ketika isteri sedang berjuang melahirkan zuriat. Dan ingat di setiap apa yang berlaku itu semua adalah Dari Nya. Kita manusia hanya  merancang tapi Allah SWT itu adalah sebaik-baik perancang.
  • Tidak putus memberi semangat kepada isteri untuk bertenang dan melalui proses bersalin dengan tenang dan menjaga pernafasan agar isteri tidak panik ketika proses kelahiran. Jadikan kekuatan untuk si isteri dan jauhkan dari sikap negatif ketika menemani isteri di bilik bersalin. ROSMAH IDAYU ABU SAMAH
Bertakung AIR MATA Baca Nukilan ACHA SEPTRIASA Tempuh Kelahiran Anak Pertamanya! Terus Teringat Mak

Bertakung AIR MATA Baca Nukilan ACHA SEPTRIASA Tempuh Kelahiran Anak Pertamanya! Terus Teringat Mak

Mendirikan rumah tangga pada 11 Disember 2016 bersama kekasih hati, Vicky Kharisma nyata impian terindah buat selebriti Indonesia, Acha Septriasa. Baru beberapa bulan bergelar suami isteri, Acha kemudiannya disahkan hamil. Dalam perjalanan menuju status seorang ibu, pelakon berusia 28 tahun ini tampak cukup ceria sepanjang tempoh kehamilan. Sehinggalah pada tanggal 20 September lalu bayi comel yang dinanti-nantikan Acha dan suami selamat dilahirkan.

Bridgia Kalina, itulah nama yang diberikan Acha dan Vicky kepada cahaya mata sulung mereka. Ringkas dan indah bunyinya, seindah maksud yang tersirat di sebalik nama berkenaan. Jelas Acha, Bridgia membawa maksud sumber kekuatan dan penghubung yang kuat. Sementara Kalina pula bererti ‘to love’ yang terinspirasi dari bunga yang tumbuh di Australia. Khabarnya, pasangan romantis ini juga mengambil keputusan untuk menetap di bumi Australia buat masa ini.

Jika dulu laman Instagram jelitawan ini penuh dengan potret dirinya di samping suami, kini platform media sosial Acha yang memiliki 1.2 juta pengikut dihiasi dengan foto-foto terkini Bridgia atau Baby Brie. Selain berkongsi perkembangan terbaru, Acha turut berkesempatan meluah rasa syukur dan pengalaman yang dialaminya menjelang detik kelahiran Baby Brie pada bulan September lalu. Daripada nukilan yang dizahirkan bintang filem Heart ini, tergambar jelas betapa perit dan besarnya pengorbanan seorang ibu.

“Jam 6.15 pagi ke Rumah Sakit tanggal 19 September ketuban belum pecah tapi kontraksi sudah 5 minit sekali. Midwife menolak ku tinggal lama di Rumah Sakit dan menyatakan ‘you’re too pretty for labor’ tandanya aku masih belum cukup terlihat sakit layaknya ibu yang siap melahirkan. Perasaanku campur aduk, kesal. Tak ada tindakan saat itu dari siapa pun ahli yang bekerja kecuali diri sendiri yang harus berusaha mengatur nafas. Masih bukaan 2 dan masih panjang perjalanan bertemu dengannya (Baby Brie).

Setelah pulang ke rumah, aku masih merasakan masakan mama.. sesekali aku minum air dingin untuk menanggulangi rasa sakit di bahagian perut. Sore pun berlalu dan belum ada tanda juga. Tiba-tiba saat buang air kecil aku menemukan bleeding coklat kemerahan. Setelah aku telefon Rumah Sakit, dari ciri-ciri yang aku sebutkan mereka bilang itu hal yang normal. Malam hari aku tidur awal.

Jam 11 malam aku merasakan kontraksi yang hebat setiap 7 minit sekali dan suamiku belum berani telefon Rumah Sakit kerana tanda pecah ketuban belum ada. Setelah aku menyatakan tidak kuat, akhirnya dia menelefon pihak Rumah Sakit dan mereka memperkenankan kami datang kali kedua untuk check pembukaan.

Jam 3.30 pagi tanggal 20 September masih bukaan 2. Dari ruang delivery suite, kami disarankan pulang tapi aku menolak. Alhamdulillah masih tersedia kamar di ruang inap prenatal. Jadi aku, mama dan suami bermalam di Rumah Sakit setelah dua kali kami disarankan pulang ke rumah. Mama dan suamiku yang bermalam di dalam kamar dan tidur di kerusi menjadi saksi munculnya kontraksi demi kontraksi.

Saat itu jam 7.30 pagi aku diberi 2 butir ubat penahan sakit. Aku ditawarkan menyuntik morphine untuk menanggungi kontraksi. Pada jam 9.30 pagi sehabis hot shower yang disarankan oleh midwife untuk relaxation, aku diam di tempat tidur. Kontraksi ku tahan kerana tak ingin melihat muka mama dan suami tak tega mengkasihani aku. 24 jam lebih belum ada hasil maju bukaannya.

Jam 10 pagi aku merasakan kontraksi lanjutan yang lebih hebat lagi, sampai aku ramas jemari dan lengan ibuku tanpa dia berkata apa-apa kecuali hanya doa yang ku tahu dia panjatkan dalam hatinya. Di situ aku bilang sama Mama, ‘Ma maafkan aku yaa.. aku akhirnya tahu sakitnya melahirkan seorang anak, maafin aku yaa.. doain Acha maa’.”

Setelah beberapa jam berdepan kesakitan tidak tertanggung, Acha akhirnya selamat melahirkan Baby Brie sekitar pukul 12 tengah hari. Menerusi coretan pengalaman bersalin itu juga dia turut berpesan kepada bakal ibu bahawa kekuatan utama untuk melawan kesakitan saat itu bukanlah melalui kaedah bersalin atau ubat-ubatan tahan sakit semata-mata. Sebaliknya, apa yang paling penting adalah sikap para ibu yang perlu sentiasa berfikiran positif, kuat semangat dan optimis berjuang untuk bertemu darah daging sendiri.

Malah, dia juga mengakui proses bersalin tersebut benar-benar mengajar erti ikhlas dan sabar dalam perjalanan menjadi seorang ibu. “Baik bersalin normal, pembedahan, water birth atau sebagainya, semua memiliki perjuangan yang tidak mudah dan berbeza. Semua perjuangan ibu adalah sama iaitu mempertaruhkan nyawa untuk menyambung kehidupan seseorang ke dunia,” akhirinya.

Sumber: Instagram @septriasaacha

KORPORAT     POLISI DATA PERIBADI    PENAFIAN   •   LANGGANAN      PENGIKLANAN      KERJAYA       HUBUNGI KAMI

© Hakcipta Terpelihara • Dikendali Oleh Astro Group

error: