Jangan Jadi Tuan, Puan Besar Bila Balik Ke Kampung, Rumah Ibu Bapa BUKAN HOTEL Nak Minta Apa Saja!

Jangan Jadi Tuan, Puan Besar Bila Balik Ke Kampung, Rumah Ibu Bapa BUKAN HOTEL Nak Minta Apa Saja!

Salah satu aktiviti wajib menjelang cuti sekolah ini, tentu sekali pulang ke kampung halaman. Anak-anak bersorak riang, mungkin rindu sangat nak jumpa tok dan nenek tersayang. Kita pula rindukan masakan mak serta suasana kebun abah yang tengah lebat berbuah.

Tapi dalam keterujaan itu, kita tak sedar yang keluarga kita pulang ke kampung seperti Tuan atau Puan Besar. Mentang-mentanglah ibu bapa kita rindukan anak cucunya, kita pun ambil kesempatan request masak itu ini dan guna segala barangan macam hak milik sendiri.

Kerana teringinkan masakan mak, ada yang beli bahan mentah sebanyak-banyaknya dan longgokkan di dapur. Lalu demi memenuhi hajat anak, terbongkok-bongkoklah si ibu tua membuat persiapan dan memasak untuk santapan keluarga kita.

Harapkan menantu atau anak perempuan menolong, masing-masing sibuk mendukung anak kecil. Tak sampai hati nak suruh, jadi mak jugalah yang siapkan semua. Belah dan kukur kelapa, giling cili dan macam-macam seorang diri.

Lepas makan, berlonggok-longgok pinggan mangkuk di singki. Anak lelaki dah bersila kekenyangan, minta kopi pula nak minum depan TV. Yang perempuan awal-awal masuk bilik mahu tidurkan anak. Cucu-cucu yang besar dah hadap smartphone.

Mak kita faham. Maka mak jugalah yang kemas dan cuci semua pinggan mangkuk tu. Walaupun penat memasak masih berbekas, tapi tak apalah. Sesekali jumpa anak cucu… Itu kata mak sambil tersenyum.

Begitu juga halnya apabila ada tetamu. Nenek dan atuk yang tinggal sendirian dan sedang berpuasa sunat itu jugalah yang kena bangkit ke dapur menghidangkan air. Mereka jugalah yang melayani tamu.

Padahal anak cucu dan menantu ada di situ, atau memerap dalam bilik tanpa mahu ambil tahu. Alasannya mereka tidak kenal pun siapa tetamu itu.

Turut menjadi mangsa selain mak yang terpaksa memasak dan membersihkan segala kekotoran yang membebankan ialah adik-beradik kita yang menetap di kampung atau cucu-cucu lain yang ringan tulang.

Setiap kali kita dan keluarga kita balik kampung, orang-orang yang sama itulah juga yang menjadi mangsa. Si Tuan dan Puan Besar bersama anak-anaknya akan terus ber-huhu haha macam bercuti di hotel.

Bila balik kampung, cukup-cukuplah berperangai seperti ini. Dah tahu ibu bapa kita gembira, janganlah ambil kesempatan pula. Tak cukup memasak, mereka terpaksa pula jadi tukang cuci membersihkan timbunan tuala, selimut dan tilam yang hancing gara-gara anak kita yang kencing malam.

Ada seorang nenek pernah mengadu sikap cucu-cucunya yang sangat pemalas. Sepanjang 5 hari di kampung, kesemua 13 cucunya hanya memerap di bilik, terbongkang depan tv atau keluar meronda menggunakan motosikal atuknya.

Ironinya, golongan yang selalu menjadi Tuan dan Puan Besar ini bukan orang biasa-biasa. Ada yang bergaji besar, bergelar guru agama bahkan ada yang jadi guru besar pun. Sampai hati perlakukan mak macam tu!

Ya, inilah realiti dan tabiat buruk orang kita sejak zaman berzaman. Kita tak sedar perbuatan kita membebankan ibu bapa.

Pulangnya kita ke kampung untuk bercuti dan menjenguk orang tua. Mengapa sampai terpaksa mereka bayar kepulangan kita dengan tugas berat semata-mata untuk menggembirakan anak cucunya?

Beranikanlah diri menukar sesuatu yang salah tetapi telah menjadi lazim kepada sesuatu yang lebih baik. Cuba kita ubah kebiasaan lama itu. Apabila kita pulang ke kampung, kita selaku anak dan cucu pula yang berusaha menggembirakan mak atau nenek kita itu sebaik-baiknya.

Jika betul-betul berhajatkan air tangan mereka sekalipun, cuba siapkan bahan-bahannya. Biar kita yang menggaul dan memasaknya dan mak hanya sekadar melakukan sentuhan terakhir sahaja.

Jika seorang anak mungkin masih boleh tahan lagi. Tapi jika ada 10 orang anak dan masing-masing pulang bersama pasangan dan anak-anak?

Mulakan sesuatu yang betul walaupun pelik. Balik ke kampung DAN BERKHIDMATLAH UNTUK MEREKA bukan mengharap khidmat mereka pula terhadap kita. Barulah kehadiran kita sekeluarga akan benar-benar membahagiakan mereka. Norzalina Mohd Alias

Sumber: Warga Prihatin

Selain Persediaan MENTAL Anak, Tip Penting Ini Berguna Buat Ibu Bapa Sepanjang Tempoh Anak BERKHATAN!

Selain Persediaan MENTAL Anak, Tip Penting Ini Berguna Buat Ibu Bapa Sepanjang Tempoh Anak BERKHATAN!

Memasuki musim cuti persekolahan ramai ibu bapa yang merencana pelbagai aktiviti untuk anak-anak. Ada yang merancang percutian dalam dan luar negara dan tidak kurang juga mengambil kesempatan cuti sekolah untuk membawa anak teruna menjalani proses berkhatan. Memandangkan cuti akhir tahun ini agak lama tempohnya, dapatlah si anak berehat dan menikmati momen ‘fasa dewasa’ dengan tenang.

Jika dulu tok mudim dan pisau yang tajam menghantui imaginasi anak-anak apabila berkhatan, kini segala-galanya lebih mudah dan pantas. Bukan hanya dari segi masa prosedur yang singkat malah kesan pembedahan juga mampu sembuh sepenuhnya dengan cepat.

Sebagai pegawai perubatan yang telah terlibat dengan operasi berkhatan, Dr Abdul Rahim sudi berkongsi tip berguna buat anak-anak dan ibu bapa terutama sebelum, semasa dan selepas prosedur berkhatan. Semak panduan Dr Abdul Rahim ini seperti yang dikongsikan beliau dalam laman media sosial miliknya.

Sebelum hari bersunat

  • Pastikan anak anda sihat walafiat. Tak demam batuk
  • Makan minum secukupnya sebelum ke klinik. Elok mandikan seluruh tubuh badan sebelum jumpa doktor
  • Boleh bawa kain pelikat/kain batik kalau nak elak tersentuh pakaian lepas khatan. Hendak pakai seluar pun boleh saja tanpa pakai seluar dalam
  • Bagi semangat dan motivasi kepada anak-anak
  • Jika berkemampuan, hadiahkan keberanian anak-anak. Jangan janji yang bukan-bukan atau cakap kosong. Cakap tujuan kita orang Islam bersunat kepada mereka
  • Yang penting anak relax & ready menjalankan proses khatan yang sebenarnya mudah dengan teknologi canggih. Hanya ambil masa 10 – 15 minit saja

Semasa hari berkhatan

  • Selain anak, ibu bapa juga perlu tenang
  • Sebelum prosedur berkhatan doktor baca doa beri semangat kepada anak itu dan terus segerakan proses berkhatan menggunakan Laser Cautery
  • Anak-anak yang telah bersedia tidak akan menangis langsung waktu prosedur tapi kalau mind set tidak sedia, ada yang menangis, meraung, lompat turun daripada katil dan sebagainya
  • Pastikan ibu bapa sentiasa ada di klinik sepanjang anak dikhatankan supaya doktor mudah berkomunikasi jika berlaku sesuatu

Selepas berkhatan

  • Doktor sarankan kanak-kanak lepas sunat dipakaikan kain untuk memudahkan berjalan dan jaga kesan pembedahan
  • Makan ubat tahan sakit bila perlu
  • Elakkan kena air pada bahagian operation selama 3 – 4 hari sebelum datang ke klinik untuk dressing. Takut infeksi seperti bernanah, jika terjadi kena makan antibiotik
  • Hindar sebarang ubat-ubatan atau benda asing di kawasan berkhatan tanpa pengetahuan doktor kerana boleh memudaratkan bahagian tersebut

Dr. Abdul Rahim
Klinik Abdul Rahim, Bayan Lepas, Penang

Sumber: Facebook DrRich DrRahim – DAR

KORPORAT     POLISI DATA PERIBADI    PENAFIAN   •   LANGGANAN      PENGIKLANAN      KERJAYA       HUBUNGI KAMI

© Hakcipta Terpelihara • Kumpulan Karangkraf

error: